Mut’ah adalah merupakan bayaran
saguhati yang diberi oleh suami kepada isteri yang diceraikan mengikut hukum
syarak. Sekiranya tiada persepakatan antara suami isteri terhadap kadar jumlah
mut’ah yang perlu dibayar maka ia akan ditaksirkan oleh Mahkamah.
Kes dibawah ini adalah melibatkan satu tuntutan
mutaah oleh bekas isteri terhadap bekas suaminya. Mahkamah merujuk kepada
beberapa isu yang berkaitan sebelum membenarkan tuntutan oleh bekas isteri -
sama ada isteri berhak mendapat mutaah – sama ada suami wajib membayar mutaah -
Perceraian dengan sebab yang patut – Tidak ada penafian – kadar Mutaah – Tidak
ada persetujuan dalam menentukan kadar – Kemampuan suami, taraf kehidupan dan
kedudukan suami dan isteri dalam masyarakat – pengorbanan dan sumbangan isteri
– sek 58 Enakmen Undang-Undang keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003
SURAIYA BT M SHAFIE v ABD SHUKOR BIN MOHD
HASHIM – 27 (2009) 2 JH 259 keputusan
Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.
Dalam kes ini Plaintif dan Defendan telah
berkahwin pada 11.07.1991 dan memperolehi 4 orang anak. Setelah berkahwin
selama 15 tahun mereka bercerai pada 20.12.2006. Plaintif dan Defendan bermula
dengan kerjaya sebagai Pegawai Perubatan. Pasangan ini melanjutkan pelajaran
sehingga mereka diiktiraf sebagai doktor pakar. Plaintif berjawatan Pakar Mata
di Hospital Pakar Seremban manakala Defendan berjawatan Pakar Tulang di
Hospital yang sama.
Plaintif telah menuntut Defendan membayar mutaah
sebanyak RM500,000.00.
Defendan tidak menafikan hak mutaah tersebut
tetapi tidak bersetuju dengan jumlah yang dituntut oleh Plaintif.
Mohd Nadzri bin Haji Abdul Rahman HMTS dalam
penghakimannya telah berkata:
Dalam kes ini, Plaintif telah menuntut bayaran
mutaah sebanyak RM500,000.00 daripada Defendan, iaitu bekas suaminya. Dalam
menentukan sama ada wajar atau tidak pemberian mutaah tersebut, Mahkamah perlu
melihat kepada beberapa isu, iaitu:
a)
sama ada
mutaah itu sesuatu yang wajib dibayar oleh Defendan, dan
b)
jika wajib, berapakah kadar yang munasabah bagi mutaah tersebut.
a) Sama ada mutaah itu sesuatu yang
wajib dibayar oleh Defendan
‘Mutaah’ mengikut Hukum Syarak ialah bayaran
saguhati yang diberikan kepada isteri yang diceraikan sebagaimana yang disebut
di dalam kitab ‘Umdah al-Mukmin, volume 6, halaman 303, mutaah membawa erti;
“Mutaah
itu ialah nama bagi harta yang diberikan oleh seorang lelaki terhadap isteri
kerana diceraikan.” (lihat juga Taqiyuddin Abi Bakr bin
Muhammad al Husaini, Kifayah al-Akhyar Fi Hal Ghayah al-Ikhtisar, Beirut: Dar
al-Khair, cetakan 2, 1995, hlm. 373).
Hukum pemberian mut’ah ada dinyatakan di dalam
kitab Hasyiah I’anah al Talibin, oleh Abi Bakr Usman bin Muhammad, Juz 3, Dar
al-Kutub al Ilmiah, Beirut, 1995, hlm 595, yang menyebut:
“Wajib
ke atas suami memberi mut’ah terhadap isteri yang telah disetubuhi sekalipun ia
seorang amah dengan sebab perceraian yang perceraian itu berlaku bukan sebab
isteri atau bukan kerana kematian salah seorang daripada keduanya.”
Dalam kitab Badai’ al Manan fi Jam’ie wa Tartib
Musnad as-Syafi’ie wa al-Sunan, juzuk 2, halaman 381 menyatakan:
“Imam
Al-Syafie telah memberi tahu kepada kami Imam Malik daripada Nafik daripada Ibn
Umar R.A sesungguhnya ia berkata bagi tiap-tiap perempuan yang ditalakkan oleh
suami mendapat mut’ah kecuali perempuan yang telah difardhukan baginya mas
kahwin dan belum disetubuhii lagi maka memperolehi baginya separuh mas
kahwinnya.”
Dalam kes ini, kedua-dua pihak tidak
mempertikaikan bahawa mereka berdua pernah menjadi pasangan suami isteri yang
telah berkahwin pada 11hb Julai 1991secara sah mengikut Hukum Syarak di Kepong,
Selangor sehingga kedua-duanya bercerai pada 20hb Disember 2006, iaitu selama
jangkamasa lebih kurang 15 tahun. Perceraian tersebut telah disahkan di hadapan
Mahkamah dan direkodkan dengan lafaz talak satu. Dalam tempoh perkahwinan,
mereka telah dikurniakan seramai empat orang cahaya mata. Oleh itu, Plaintif
ternyata dan terbukti adalah seorang bekas isteri yang telah menepati
syarat-syarat kelayakan dari segi Hukum Syarak untuk menuntut mutaah terhadap
Defendan.
Ini adalah selaras dengan kehendak syarak
sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Sayed al-Bakri di dalam kitab I’anah
al-Talibin, juz 3, hal. 356, dar al-Fikr, t,t, yang menyatakan maksudnya;
“Bayaran
mutaah wajib ke atas suami yang menceraikan isterinya setelah disetubuhi di
mana perceraian itu bukan berpunca dari perbuatannya (isteri) seperti isteri
murtad atau difasakhkan nikah sebab keaiban suami atau isteri”
Dalam kes Tuan Farizah binti Tuan Ludin v Mohd
Razuhan bin Abdul Razab JH (2007) 24/2, 335, Pengerusi Panel Rayuan, YAA
KHS telah mengulas matan tersebut. Menurut KHS dalam penghakiman kes tersebut;
“Yang
dimaksud suami telah menceraikan isterinya itu ialah seperti perceraian biasa
sama sama ada dengan persetujuan bersama atau sebagainya dan juga apa yang
dimaksudkan dengan perbuatan isteri di sini ialah seperti isteri murtad atau
dia pohon fasakh nikahnya dengan sebab keaiban suami seperti suami gila atau
mati pucuk atau suami seorang yang papa atau sebagainya. Begitu juga jika
difasakhkan nikah oleh suami dengan sebab keaiban isteri seperti alat
kelaminnya terdapat ‘ratak’ atau ketumbuhan daging atau ‘qaran’ iaitu
ketumbuhan tulang.”
Kewajipan mutaah ini berdasarkan firman Allah dalam
surah al-Baqarah ayat 241 iaitu:
“dan
isteri-isteri Yang diceraikan berhak mendapat Mut'ah (pemberian saguhati)
dengan cara Yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang
yang taqwa.”
Di dalam ayat lain iaitu surah al-Ahzab, ayat 49,
Allah berfirman;
“Wahai
orang-orang Yang beriman, apabila kamu berkahwin Dengan perempuan-perempuan
Yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka
tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah Yang kamu boleh
hitungkan masanya. oleh itu, berilah "Mut'ah" (pemberian sagu hati)
kepada mereka, dan lepaskanlah mereka Dengan cara Yang sebaik-baiknya.”
Bagi menjelaskan lagi kewajipan suami memberi
mutah kepada isterinya, suka saya merujuk kepada beberapa kes yang telah
diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Dalam kes Piah binti Said v Che lah bin
Awang JH (1983) Jld 3, 320, Kadi Besar Pulau Pinang, Haji Harussani bin
Haji Zakaria berkata:
“Mutaah
adalah pemberian yang tertanggung ke atas seorang suami yang menceraikan
isteri. Tanggungan mutaah tidak gugur dalam apa-apa pun perceraian berlaku
kecuali jika perceraian itu disebabkan keaiban di pihak isteri terhadap
suaminya atau perceraian kerana mati. “
Dalam kes Rokiah bt Haji Abdul Jalil v Mohamed
Idris bin Syamsuddin JH (1990) Jld VII/I, 112, panel rayuan di dalam
ulasannya menyebut:
“Dalam
kes ini jelas perceraian itu berlaku dengan talak oleh suami terhadap isteri
sekalipun ada tanda-tanda nusyuz, tetapi nusyuz tidak mnenafikan hak mutaah
sekiranya ini berlaku”
Dalam kes Nor Bee v Ahmad Shanusi JH (1978)
Jld. 1, 63, Hakim Haji Harussani bin Haji Zakaria, Kadhi Besar Pulau Pinang
telah berkata:
“Mutaah
adalah pemberian yang diwajibkan oleh syarak kerana perceraian yang bukan dari
sebab isteri kerana keaiban yang ada pada dirinya atau fasakh dari isteri sebab
iksar suami atau aib yang ada padanya. Ia bukan diwajibkan kerana kehilangan
kasih sahaja kerana itu mutaah juga diwajibkan dalam keadaan dimana isteri
menebus talak dari suaminya .Mutaah juga bertujuan untuk menutup rasa malu yang
dialami oleh isteri dan menghindarkan fitnah serta sebagai asas untuk memulakan
hidup bersendirian. Seseorang isteri yang diceraikan akan merasa malu dan
mungkin akan menerima prasangka buruk daripada masyarakat sekelilingnya. Untuk
menghilangkan prasangka buruk bahawa seorang isteri itu diceraikan bukanlah
kerana keaiban yang ada pada dirinya maka lazim mutaah diwajibkan ke atas
suami. Seseorang isteri yang lazimnya bergantung hidup kepada suaminya akan
menghadapi kepayahan untuk memulakan kehidupan secara bersendirian. Dalam kitab
Kifayatul Akhyar , Juz. 2, muka surat 42 dalam bab mutaah yang mana nasnya
bermaksud – dan khuluk seperti juga talak atas pendapat yang sahih”
Dalam kes Zawiyah v Ruslan JH (1980) 1,
102, Hakim yang sama telah berkata:
“Perceraian
yang kena dibayar mutaah ialah setiap perceraian daripada suami, tidak dari
sebab pihak perempuan seperti fasakh kerana aib yang ada pada diri perempuan
itu atau perempuan memfasakhkan nikahnya dengan suaminya disebabkan sara nafkah
dan sebagainya”
Selain dari nas syarak dan kes-kes terdahulu,
kewajipan mutaah ini ada juga disebut di bawah sek.58 Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:
Selain
haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa
sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian sagu hati
kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan
apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang
patut, memerintahkan suami supaya membayar sejumlah wang yang adil dan patut
mengikut Hukum Syarak.
Mengulas seksyen ini, YAA KHS dalam satu kes
rayuan iaitu Murshida Bte Mustakim v Hassim bin Abdullah JH (2005)
XIX/I, 143 menyebut:
Apa
yang dimaksudkan dengan perkataan ‘bersebab’ ertinya perceraian itu berlaku bukan
disebabkan oleh isteri bahkan disebabkan oleh suami seperti perceraian oleh suami,
suami memeluk Islam, suami murtad dan oleh sebab li’an.
Dalam kes ini, perkahwinan dan perceraian antara
Plaintif dan Defendan tidak menjadi isu kerana kedua-dua pihak mengakui fakta
tersebut. Mengenai perceraian, meskipun ada ditimbulkan pertikaian mengenai isu
yang menjadi punca, sama ada ianya atas kehendak Plaintif atau tidak, saya
berpendapat ianya tidaklah menjadi halangan kepada Plaintif untuk menuntut
mutaah selagi perkara-perkara yang menggugurkan hak tersebut seperti yang
dijelaskan tadi tidak berlaku.
Dari penjelasan tersebut, saya berpendapat
kewajipan Defendan untuk membayar mutaah adalah tidak gugur dan wajib ke atas
Defendan untuk memikul tanggungjawab tersebut.
b) Isu selanjutnya ialah berapakah
kadar yang munasabah bagi mutaah tersebut.
Dalam kes ini, Plaintif menuntut bayaran mutaah
tersebut dibayar oleh Defendan sebanyak RM500,000.00. Plaintif berhujah, jumlah
tersebut adalah wajar dan munasabah dengan berdasarkan kemampuan Defendan dan
diasaskan kepada:
i.
nafkah diri
plaintif sebanyak RM1,500.00 sebulan selama 15 tahun berjumlah RM270,000.00
ii.
pakaian dan
perhiasan diri Plaintif sebanyak RM1,000.00 selama 15 tahun berjumlah
RM180,000.00 dan
iii.
Upah menjaga,
mengurus dan membesarkan 4 orang anak sebanyak RM500.00 sebulan selama 15 tahun
berjumlah RM90,000.
Plaintif juga berhujah bahawa Plaintif dan
Defendan pada awalnya adalah merupakan doktor biasa sehinggalah mereka
melanjutkan pelajaran masing-masing ke peringkat sarjana dan seterusnya menjadi
doktor pakar. Sebagai doktor pakar, kehidupan Defendan semakin selesa dan
pendapatannya menjadi semakin bertambah.
Mengenai kadar mutaah ini, saya merujuk kepada
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 236:
“tidaklah
kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu
menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) Dengan mereka
atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian,
hendaklah kamu memberi "Mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka
(yang diceraikan itu). iaitu: suami Yang senang (hendaklah memberi saguhati
itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami Yang susah pula menurut ukuran
kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut Yang patut, lagi menjadi satu
kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.”
Di dalam Kitab Hasyiah I’Anah At-Talibin, juzu’ 3,
halaman 595 ada menyatakan seperti berikut:
“Kadar
mut’ah ialah kadar yang dipersetuji oleh kedua pihak itu. Atau pendapat lain
ialah kadar yang harus dijadikan sebagai maskahwin. Dan setengah kadar mut’ah
itu tidak dikurang daripada tiga puluh dirham.”
Dalam kitab Hasyiat Qalyubi wa Umairah, oleh
Syihabuddin Ahmad bin Ahmad Salamah al-Qalyubi, juzu’ 3, Beirut: Dar al-Kutub
al-Ilmiah, cetakan pertama , hlm.441 menyebut:
“Dan
disunatkan bahawa mut’ah itu tidak kurang daripada tiga puluh dirham. Pendapat
lain pula berkata mut’ah itu sesuatu yang sedikit yang boleh dijadikan harta.
Maka jika kedua suami isteri bersetuju atas kadar mut’ah yang tertentu maka
eloklah kadar mut’ahnya.”
Dalam Kitab Raudhah At-Talibin, oleh Abi Zakaria
yahya bin Syaraf al-Nawawi al-Dimasyki, ditahkik oleh Syeikh Adil Ahmad Abdul
Maujud, Jilid 5, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiah, 2000, hlm. 637 ada menyebut:
“Disunatkan
bahawa isteri yang dicerai itu diberi mut’ah sebanyak tiga puluh dirham.”
Adapun kadar mut’ah yang wajib ialah sebagaimana
yang disebut dalam kitab yang sama halaman 596 seperti berikut:
“Adapun
kadar mut’ah yang wajib jika kedua-dua belah bersetuju dengan sesuatu yang
tertentu maka itulah kadar mut’ahnya.”
Di dalam kes Ida Hidayati binti Taufik v Ahmad
Shukri bin Kassim JH (2004) XVIII/II, 259, KHS, Dato’ Johdi bin Toha dalam
penghakimannya menyebut:
“Tidak
ada penentuan nas mengenai kadar mutaah yang perlu dibayar kepada isteri yang
diceraikan. Para fuqaha’ membuat ijtihadnya mengenai kadarnya. Ulamak Hanafi
menetapkan bayaran mutaah merupakan tiga pakaian iaitu pakaian basahan, pakaian
tudung kepala dan pakaian yang menutup aurat dari kepala hingga ke kaki. Ulamak
Shafie pula berpendapat bahawa pemberian mutaah adalah tidak kurang daripada 30
dirham atau barang yang sama nilai dengannya ini adalah serendah-rendahnya yang
disunatkan. Setinggi mutaah ialah bayaran tebusan jhadam (hamba) dan yang
sederhana ialah pakaian. Disunatkan mutaah itu ialah juga kadarnya sampai
separuh daripada mahar mithli”
Yang tersebut di atas adalah mengenai mut’ah yang
dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Jika sekiranya bertelingkah mengenai
kadarnya maka perkara ini hendaklah dirujuk kepada hakim. Ini telah dinyatakan
di dalam kitab Hasyiah I’Anah At-Talibin, juzu’ 3 halaman 596:
“Jika
berlaku perselisihan antara kedua belah pihak kadar mut’ah maka hakimlah yang
akan menentukan mengikut kadar kedua belah pihak, pihak suami dilihat pada segi
kemampuan dan sudut keturunan dan sifatnya.”
Dalam kitab Mughni al-Muhtaj juzu’ 3 halaman 249
ada menyatakan:
“Jika
berlaku perselisihan antara kedua belah pihak tentang kadar mut’ah maka kadi
yang menentukan kadar mut’ah itu mengikut ijtihadnya setelah melihat keadaan
kedua belah pihak mengenai kemampuan suami dan keturunan serta sifat-sifat
isteri.”
Suka juga saya merujuk kepada satu kes iaitu Rahaniah
v Haji Ujang (1983) 4 JH 270, isteri yang telah diceraikan telah menuntut
mut’ah sebanyak RM 10,000.00 daripada suaminya yang telah bersara. Di dalam kes
ini hakim bicara telah memutuskan mut’ah sebanyak RM2,000.00 sahaja diberi
kepada isteri. Ini adalah kerana memandang kepada kemampuan pihak suami. Dalam
kes ini pihak Perayu tidak setuju memberi mut’ah kepada pihak Responden dengan
alasan:
i. Perceraian dipohon oleh pihak isteri
sendiri
ii. Pihak isteri tidak taat kepada suami
iii. Pihak isteri berlaku curang dengan seorang
bangsa asing
Setelah mahkamah mengkaji, bahawa ketiga-tiga
perkara di atas bukanlah suatu halangan untuk bekas isteri mendapat mut’ah.
Adapun halangan bekas isteri mendapat mut’ah adalah sebagaimana disebut dalam
kitab Kitab Hasyiah I’Anah At-Talibin, juzu’ 3 halaman 496:
“Menyalahi
masalah apabila perceraian itu berlaku disebabkan oleh isteri seperti isteri
memeluk agama Islam sama ada isteri murtad, isteri memiliki suaminya, fasik
isteri kerana keaiban isteri. Ataupun disebabkan kedua-duanya suami isteri
seperti kedua duanya jadi murtad. Ataupun disebabkan kedua-duanya suami isteri
seperti keduaduanya jadi murtad. Atau dengan sebab suami memilih isteri seperti
suami memilih isteri selepas ia bernikah dengannya maka dalam masalah tersebut
isteri tidak berhak mendapat mutaah.”
Dalam kes Faridah binti Sulaiman v Mohd Noh bin
Othman JH (2005) XIX/I, 124, HMTS Kuala Lumpur dalam penghakimannya telah
menyebut:
“Dasar
mutaah adalah keredhaan kedua-dua pihak tetapi jika tidak tercapai persetujuan,
maka penentuan boleh dibuat oleh qadhi . Penentuan kadar telah digariskan oleh
syarak dengan nilai kedudukan kaya atau miskinnya suami serta sifat dan keadaan
isteri. Sifat ialah perwatakan dan keadaan pula ialah kedudukan keluarga atau
status keluarga dalam masyarakat. Kaya dan miskin ialah nil;ai semasa dari segi
perolehan dan pemilikan. Tentang kadar yang harus diberikan tidaklah ditetapkan
oleh syarak tetapi diserahkan mengikut keadaan semasa seperti yang terkandung
di dalam surah al-Baqarah ayat 236 yang disebut sebelum ini, iaitu pemberian
menurut ukuran kemampuannya sebagai kewajipan atas orang-orang yang berbuat
kebaikan.”
YA HMTS dalam kes tersebut juga merujuk kerpada
kitab al-Muin al Mubin oleh Ustaz Abdul Hamid Hakim, Juz 4, terjemahan bahasa
Melayu oleh Syarif Zaini Daud, cetakan Rawa Pulau Pinang, muka surat 104 yang
menyebut:
“Dan
ada disebut bahawa Saidina Hussain bin Ali telah memberi mutaah salah seorang
sebanyak sepuluh ribu dirham sambil mengatakan harta yang sedikit dari kekasih
yang bercerai”
Nas-nas yang disebut diatas adalah sekadar
menyentuh mengenai kadar asas yang menjadi panduan kepada Mahkamah untuk
memutuskan sesuatu jumlah mutaah jika ada persetujuan, atau jika tidak ada
persetujuan, terpulanglah pada ijtihad hakim itu sendiri. Soalnya, apakah
formula yang perlu diikuti oleh Mahkamah ini untuk memutuskan kadar yang
difikirkan munasabah?
Dalam memenuhi kehendak pihak-pihak dalam kes ini,
saya telah berpeluang merujuk beberapa kes terdahulu yang boleh dijadikan asas
penentuan kadar mutaah. Antara panduan yang boleh diambil ialah:
i) Dengan meletakkan kadar mutaah sama
seperti nafkah iaitu keperluan harian.
Dalam kes Rokiah v Mohamed Idris (1986) 6
JH 272, mahkamah menyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan mutaah atas
khidmat yang diberikan seperti mencuci, memasak dan menjaga rumahtangga. Jumlah
yang dituntut dinilaikan sebagai RM1.00 sehari yang jumlah keseluruhannya ialah
RM12,697.00 untuk tempoh 35 tahun 3 bulan dan 5 hari. Bagaimanapun Jawatankuasa
Rayuan telah menolak cara pengiraan ini dan memerintahkan suami membayar
sebanyak RM6,500.00 berdasarkan status kewangan suami dan status social isteri.
Bagaimanapun, dalam kes Jaliah v Abu Bakar
(1987) 7 JH 72, kiraan mutaah sebanyak RM50.00 sebulan untuk tempoh 15 tahun
perkahwinan telah dikurangkan kepada lapan tahun atas permintaan suami dan
telah diterima oleh Mahkamah. Apa pun keputusannya, kes Jaliah ini adalah
bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Panel rayuan dalam kes sebelumnya
yang tidak menerima pengiraan dalam bentuk ini.
ii) kadar mutaah adalah lebih rendah
dari kadar nafkah
Dalam kes Hajah Ramlah v Nor Husin (1999)
13 JH 103, YA Hakim telah mengambil pendekatan bahawa kadar mutaah hendaklah
lebih rendah daripada kadar nafkah yang diterima oleh isteri pada setiap bulan.
Oleh itu, YA Hakim telah menetapkan jumlah mutaah iaitu satu perempat (1/4)
daripada jumlah nafkah yang diterima untuk sebulan dan dijumlahkan dengan
tempoh perkahwinan. Jumlah keseluruhan ialah RM43,200.00.
Pengiraan dalam bentuk ini tidak diterima oleh
Panel Jawatankuasa Rayuan seperti yang diputuskan oleh Prof Ahmad Ibrahim dalam
kes Tengku Puteri Zainah v Dato’ Sri Mohd Najib (1998) 12 JH 1, dimana
tiada nas yang khusus mengenainya dan mutaah bukanlah nafkah walaupun ianya
kelihatan seperti hampir sama.
iii) melihat kepada kedudukan
pihak-pihak, status kewangan suami dan taraf kehidupan isteri.
Dalam kes Tengku Anum Zaharah v Dato’ Dr
Hussein (1980) 3 JH 125, oleh sebab pihak-pihak daripada keluarga yang
berada dan isteri juga merupakan kerabat diraja, jumlah yang diperuntukkan
ialah RM25,200.00.
Dalam kes Tengku Puteri Zainah v Dato’ Sri Mohd
Najib (1998) 12 JH 1, Perayu menuntut RM5,000,000.00 sebagai bayaran mutaah
walaupun Responden telah menawarkan sejumlah RM36,000.00 sebagai bayaran
mutaah. Perayu telah meminta Responden menyenaraikan harta alih dan harta tak
alih bagi tujuan pengiraan mutaah. Bagaimanapun, permohonan Perayu telah
ditolak oleh Mahkamah kerana bertentantangan dengan tujuan mutaah itu sendiri.
Untuk tujuan tersebut Mahkamah meletakkan prinsip pengiraan mutaah hendaklah
mengikut kemampuan bekas suami dan kedudukan bekas isteri.
iv) Mengambil kira tempoh perkahwinan
Dalam kes Timah v Abdul Rahman (2001) JH
14, 297, Plaintif menuntut RM100,800.00 sebagai mutaah dengan mengambil kira
usia perkahwinan selama 25 tahun yang dikira sebanyak RM8.00 sehari. Jumlah
tersebut tidak dipersetujui oleh Defendan. YA Hakim mengambil kira Plaintif
yang terpaksa tinggal dirumah saudara mara sehingga kes selesai. Dia juga
mungkin menerima prasangka buruk daripada masyarakat akibat perceraian
tersebut. Jumlah mutaah yang dibenarkan ialah 1/3 daripada jumlah yang dipohon.
Dalam kes Rusiah v Mohd Rafi Heinges (1999)
13 JH 227, Plaintif menuntut mutaah sebanyak RM22,550.00 dengan perkiraan
sebanyak RM5.00 sehari di samping tuntutan-tuntutan lain. Mahkamah telah
merujuk kepada keputusan kes terdahulu dan mengambil keputusan untuk tidak
mengikat keputusan dengan apa-apa yang telah diputuskan. Mengambil kira
kemampuan suami dan keturunan serta sikap isteri, mahkamah mensabitkan tuntutan
mutaah sebanyak RM5,000.00 kerana Defendan tidak mempunyai kemampuan untuk
membayar mutaah sebagaimana yang dituntut.
Dalam kes Safiyya v Ruzainee (2003) 16 JH
29, Plaintif menuntut mutaah sebanyak RM41,052.50 iaitu RM7.50 sehari selama 15
tahun. YA Hakim bersetuju dengan kiraan tersebut dan memerintahkan bayaran mutaah
sebanyak RM27,373.00 selama 15 tahun kahwin dengan kadar RM5.00 sehari. Dengan
mengambil kira kemampuan Defendan yang bekerja sebagai arkitek dan lamanya
tempoh perkahwinan.
Dalam satu kes lain, Ida Hidayati binti Taufiq v
Ahmad Shukri bin Kassim (2004) 18 JH 266, Mahkamah melihat kepada lamanya
tempoh perkahwinan dan melihat kepada kemampuan suami serta taraf kedudukan
isteri. Jumlah yang dibenarkan ialah RM48,000.00 daripada jumlah asal yang
dipohon iaitu RM144,000.00.
v) Mutaah tidak diasaskan kepada
kiraan jumlah harta yang terkumpul
Dalam kes Tengku Puteri Zainah v Dato’ Sri Mohd
Najib (1998) 12 JH 1, Perayu menuntut sebanyak RM5,000,000.00 sebagai
bayaran mutaah. Perayu berhujah Responden adalah seorang yang berkemampuan dan
memiliki jumlah harta yang banyak. Perayu bagaimanapun gagal membuktikan jumlah
harta-harta tersebut. Jawatankuasa Rayuan memutuskan jumlah harta yang dipunyai
oleh suami tidaklah menjadikan sebagai asas dalam menentukan kadar mutaah.
Sebaliknya Mahkamah menegaskan bahawa mutaah merupakan bayaran saguhati yang
ditentukan dengan melihat kepada kemampuan suami dan kedudukan isteri bukan
jumlah harta yang telah dikumpulkan. Mahkamah dalam kes ini tidak bersetuju
dengan amalan yang diamalkan oleh Mahkamah Syariah Singapura yang menetapkan
kadar mutaah sebanyak RM1.00 sehari kerana tidak terdapat nas atau amalan yang
boleh menyokong amalan tersebut.
vi) Berdasarkan pendapatan tahunan
Dalam kes Ida Hidayati binti Taufiq v Ahmad
Shukri bin Kassim (2004) 18 JH 266, Mahkamah menolak pembahagian mutaah
berdasarkan peratusan daripada jumlah pendapatan tahunan memandangkan tidak ada
nas yang khusus mengenainya.
vii) Kemampuan suami, kedudukan isteri
dan pengorbanan sepanjang perkahwinan
Amalan yang paling kerap dilaksanakan di Mahkamah
Syariah dalam menentukan kadar mutaah ialah dengan merujuk kepada nas syarak
iaitu melihat kepada susah senang suami dan kedudukan isteri disamping melihat
kepada pengorbanan isteri sepanjang perkahwinan mereka.
Dalam kes Ahmad Shah Ahmad Tabrani v Norhayati
Yusoff (2004) 18 JH 33, Mahkamah Rayuan Syariah telah memutuskan sejumlah
RM50,000.00 sebagai satu bayaran yang munasabah berbanding RM250,000.00 yang
dituntut oleh Responden. Mahkamah Rayuan mengambil kira kemampuan suami yang
berpendapatan RM9,000.00 sebulan sebagai seorang Jurutera perunding dan
pengorbanan isteri yang berhenti kerja bagi menumpukan perhatian kepada
keluarga.
Dalam kes Norma @ Normek binti Ghazali v Mohd
Zain (2005) 19 JH 278, Mahkamah Rayuan mermutuskan jumlah RM10,000.00
sebagai munasabah berbanding dengan RM5,000.00 sebagaimana yang diputuskan oleh
Mahkamah Rendah sebelumnya dengan mengambil kira pendapatan suami sebanyak RM2,400.00
sebulan daripada pencen bulanan bekas Ahli Parlimen Malaysia bagi Kawasan
Bachok dan Perayu sebagai seorang yang mempunyai taraf dan kedudukan yang baik
dalam masyarakat dan dihormati.
Dalam kes lain, Mohd Farid bin Abdul Rahman v
Rabihah binti Kamaruddin (2006) XXI/I JH 71, HMTS Kuala Lumpur telah
memutuskan Perayu membayar mutaah sebanyak RM30,000.00 iaitu dengan mengekalkan
jumlah yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah Syariah dimana jumlah tersebut
dianggap munasabah dan berkemampuan berbanding pendapatan kasar perayu sebanyak
RM18,000.00 sebulan.
Berdasarkan panduan yang disebut diatas, ianya
banyak memberi panduan kepada saya dalam menentukan kadar yang munasabah dan
patut bagi menentukan kadar mutaah yang dituntut dan saya lebih cenderung untuk
mengikuti amalan di para iii dan vii diatas.
Perkara utama yang menjadi sandaran saya ialah
kemampuan suami, kedudukan suami dan isteri dan melihat kepada faktor-faktor
sampingan lain seperti pengorbanan isteri, menutup malu dan kesedihan dan
sebagainya. Ini bermakna kemampuan kewangan hendaklah disokong dengan faktor-faktor
lain seperti kedudukan, status dan taraf suami isteri dan sebagainya. Kemampuan
semata-mata akan menyebabkan ketidak adilan dan akan berlakunya tuntutan yang
tidak munasabah. Kedudukan, status atau taraf kehidupan pula hendaklah dinilai
dari segi kemampuan kewangan, kerana tidak semestinya kedudukan yang baik dalam
masyarakat bermakna berkemampuan membayar jumlah mutaah yang tinggi.
Saya percaya, atas dasar itulah Hukum syarak tidak
menetapkan formula khusus untuk pengiraan kadar mutaah dan memberikan ruang
yang luas untuk para hakim berijtihad, kerana mengambil mudah pada pengiraan
kadar mutaah ini akan membuatkan tuntutan mutaah ini disalah gunakan oleh
masyarakat.
Mengenai kemampuan suami, iaitu Defendan dalam kes
ini, Plaintif membuktikan pendapatan tahunan suami untuk bulan Januari 2006
hingga November 2007 ialah RM877,397.48 iaitu lebih kurangnya secara purata
sebanyak RM79,776.34 sebulan. Bagi tahun 2007, untuk pendapatan bagi bulan
September dan Oktober, pendapatan bersih Defendan ialah RM118,624,69 dan
RM110,287.79. Keterangan ini disokong oleh SP3 yang juga merupakan akauntan
bertauliah di tempat pasangan ini bertugas.
Defendan dalam Pembelaannya menghujahkan bahawa
pendapatan tersebut adalah pendapatan kasar dan masih belum dikira setelah potongan-potongan
dibuat. Menurut Defendan, beliau terpaksa membelanjakan sebanyak RM38,658.00
sebulan bagi tujuan yang pelbagai.
Selain dari penafian, jumlah potongan tersebut
tidaklah dibuktikan sewajarnya. Apa pun, jika diandaikan jumlah tersebut adalah
benar sekali pun, pendapatan bulanan Plaintif masih mencecah kepada angka yang
melebihi RM50,000.00. Dari analisis pendapatan ini, Defendan adalah termasuk
daripada golongan yang berkemampuan.
Jika dilihat pula pada kedudukan isteri, Plaintif
adalah seorang Doktor pakar. Sebagaimana Defendan, Plaintif juga adalah orang
yang dihormati dalam masyarakat dan mendapat kedudukan atau status yang tinggi.
Biarpun tidak mendapat penghormatan sebagai seorang yang penting dan ternama
dalam masyarakat, kedudukan sebagai doktor biasa sudah pun dipandang tinggi
dalam masyarakat kita. Biarpun begitu ianya tidaklah sampai ke tahap yang mulia
atau disanjungi oleh masyarakat.
Perceraian walau apa sekalipun sebabnya, akan
memberi kesan yang buruk kepada kedua-dua pihak terutamanya Plaintif. Ianya
bukan sahaja menjejaskan kerjaya, tetapi juga tekanan peribadi dan persekitaran
terutamanya ditempat kerja. Biarpun begitu, ianya tidaklah sampai kepada
Plaintif dicerca oleh masyarakat atau kenalannya akibat perceraian tersebut.
Dari segi latar belakang keluarga, menurut
keterangan yang ada, Plaintif tidaklah tergolong daripada keluarga bangsawan
yang ternama. Bapanya sebagai seorang pesara kerajaan dan ibunya sebagai suri
rumah adalah terdiri dari keluarga biasa yang boleh dikatakan mempunyai taraf
sederhana dari sudut status dalam masyarakat. Saya juga berpendapat kehidupan
Plaintif adalah lebih baik daripada kedudukan ibu bapa Plaintif jika dilihat
dari sudut pandangan masyarakat.
Bagi Defendan pula, jika dibandingkan dengan
Plaintif, taraf kehidupannya adalah hampir sama dan mempunyai kedudukan yang
setara dalam masyarakat, iaitu tidak rendah dan tidak tinggi.
Dilihat pula dari sudut sumbangan dan pengorbanan
Plaintif terhadap kerjaya Defendan, adalah tidak dinafikan Plaintif turut
memberi sumbangan besar terutamanya membantu Defendan menamatkan pengajian bagi
mendapat pengiktirafan sebagai doktor pakar terutamanya dalam menyiapkan kerja
kursus sepanjang pengajian dan membantu dalam peningkatan kewangan Defendan
ditempat kerja.
Saya juga melihat kesan perceraian kepada
Plaintif. Sebagai seorang Doktor yang bertugas di tempat yang sama, perceraian
sudah tentunya akan menjadi buah mulut rakan sekerja. Apatah lagi kemungkinan
yang besar punca perceraian akibat daripada berlakunya tohmahan dengan orang
ketiga yang juga bertugas di tempat yang sama, sudah tentunya memberi kesan
yang amat besar dan mengaibkan Plaintif. Biarpun perceraian tersebut tidak
dipedulikan oleh rakan-rakan sekerja atau kenalan Plaintif, tetapi sangkaan
buruk mengenai perceraian yang akan diperkatakan orang sudah tentulah akan
menghantui plaintif sepanjang masa, selagi Plaintif dan Defendan bekerja di
tempat yang sama.
Saya kurang bersetuju dengan cadangan Plaintif
yang mengasaskan taksiran mutaah berdasarkan kiraan nafkah dan upah menguruskan
rumah tangga. Sungguhpun menguruskan rumah tangga adalah asas kepada mutaah,
tetapi bukan kepada formula kiraan kadar mutaah seperti yang disebut dalam
kes-kes terdahulu. Ianya lebih dekat kepada nafkah.
Demikian juga kepada lamanya tempoh perkahwinan
kerana itu lebih mirip kepada harta sepencarian.
Juga bukan berasaskan harta yang terkumpul kerana
tidak semestinya mereka yang berharta berkemampuan membayarnya.
Demikian juga dengan pendapatan tahunan kerana
tiada nas mengenainya.
Bagaimanapun, saya mengasaskan pengiraan kadar
mutaah ini berdasarkan kemampuan Defendan sewaktu perceraian berlaku, dan
kemampuan semasanya yang mana kemampuan ini dibuktikan dengan sempurna oleh
Plaintif.
Jadi berdasarkan alasan-alasan tersebut, saya
berpendapat, mutaah adalah sesuatu yang wajib dibayar oleh Defendan kepada
Plaintif.
Mengenai jumlahnya pula, saya berpendapat
RM500,000.00 adalah suatu jumlah yang kurang munasabah jika dibandingkan kepada
kedudukan dan status Plaintif dan Defendan dalam masyarakat.
Perceraian tersebut tidaklah menjadikan Plaintif
seorang yang terhina dan dipandang serong. Mahkamah berpendapat, hanya Plaintif
sahaja yang berperasaan demikian yang tertekan akibat perceraian kerana pada
masa yang sama rakan-rakan Plaintif masih membantu dan memberikan sokongan kuat
kepada Plaintif sepertimana yang diakui oleh SP1.
Bagaimanapun jika dibandingkan dengan pendapatan
Defendan yang mencecah RM50,000.00 ke 70,000.00 sebulan menunjukkan Defendan
seorang yang berkemampuan memberikan Mutaah yang lebih daripada apa yang
ditawarkan kepada Plaintif iaitu 10% daripada apa yang dituntut oleh Plaintif.
Defendan juga mengakui ada simpanan RM100.000.00
dan sanggup memberikannya kepada Plaintif separuh dari simpanan tersebut.
Asas kepada Mutaah ialah keredhaan kedua pihak.
Jumlah yang ditawarkan tidak dipersetujui oleh Plaintif dan jumlah yang
dituntut tidak pula dipersetujui Defendan, maka terserahlah kepada Hakim untuk
menggunakan ijtihadnya bagi memutuskan hal demikian.
Dalam soal ini saya mengambil pendekatan jumlah
sebanyak RM50,000.00 sebagai asas tawaran dari Defendan dan RM20,000.00 lagi
berdasarkan kesedihan, kesukaran Plaintif menjalani kehidupan selepas bercerai,
pengorbanan Plaintif, kemampuan Defendan berdasarkan pendapatan bulanannya dan
adanya wang simpanan yang boleh diperuntukkan untuk tujuan demikian.
Pada hemat saya juga, kemampuan Defendan telah
dibuktikan dengan kehadiran SP3, seorang akauntan syarikat di tempat pasangan
ini bekerja, yang boleh dikatakan saksi yang pakar dalam bidangnya. Saya
percaya dan yakin Defendan mampu membayar lebih dari jumlah tersebut, tetapi
saya juga melihat kepada status dan kedudukan pihak-pihak yang tidak mewajarkan
tuntutan RM500,000.00 tersebut dipenuhi.
Bagi melaksanakan perintah ini, jumlah tersebut
bolehlah dilangsaikan dalam tempoh tujuh bulan daripada tarikh perintah ini dikeluarkan
dan terpulanglah kepada Defendan sama ada untuk membayarnya secara sekali gus
atau ansuran atau apa-apa cara yang difikirkan wajar dalam tempoh tersebut.
Jumlah mutaah sebanyak RM70,000,00 tersebut adalah
lebih munasabah melihatkan kepada purata pendapatan bulanan Defendan dan jumlah
tersebut boleh mengubat duka bekas isteri yang diceraikan, ianya juga sebagai
satu pemberian dengan jumlah munasabah yang penuh hormat dari bekas suami
bersesuaian dengan kemampuannya dan kedudukannya.
KEPUTUSAN. Selepas mempertimbangkan permohonan
Plaintif dan setelah meneliti keterangan dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka
Mahkamah dengan ini memutuskan bahawa:
Adalah Diperintahkan bahawa Defendan, Abd Shukor
Bin Mohd Hashim, Kad Pengenalan No.660905-04-5005 adalah difardhukan supaya
membayar mutaah kepada Plaintif, Suraiya binti Mohamad Shafie, Kad Pengenalan
No. 650502-08-5046 sebanyak RM70,000.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Puluh Ribu
Sahaja).
Bayaran tersebut hendaklah dijelaskan oleh
Defendan dalam tempoh 7 (tujuh) bulan daripada tarikh perintah ini dikeluarkan
dan bayaran bolehlah dibuat sama ada secara sekali gus atau ansuran atau
apa-apa cara yang difikirkan wajar dalam tempoh tersebut.
Mana-mana pihak bolehlah mengemukakan rayuan dalam
tempoh 14 hari daripada tarikh perintah ini dikeluarkan.
Perintah ini adalah berdasarkan penghakiman
interparte antara kedua-dua belah pihak dan hendaklah berkuatkuasa serta merta.
terima kasih atas perkongsian tuan :-)
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadamterima kaseh share info
BalasPadam