Salah satu lagi sebab isteri yang diceraikan itu tidak berhak atau tidak layak mendapat bayaran mut’ah adalah sekiranya perceraian yang berlaku itu adalah melalui tuntutan fasakh dengan alasan terdapatnya aib (kecacatan) di pihak isteri atau aib di pihak suaminya.
Inilah persoalan yang menjadi tumpuan perbincangan dalam posting kali ini.
DALAM kes NORMAIDIAH v AZAHARI 2 (1979) 1 JH 91 Mahkamah mengatakan bahawa mut’ah wajib diberi kerana isteri diceraikan suami bukan atas alasan fasakh disebabkan keaiban mana-mana pihak tentang kebolehan hubungan jenis atau satu-satu penyakit yang menjijikkan.
Dalam kes SABARIAH v ZAINOL 2 (1980) 1JH 99 Mahkamah mengatakan bahawa tuntutan mut’ah dibenarkan kerana isteri diceraikan suami bukan atas alasan fasakh nikah oleh isteri terhadap suami.
Dalam kes ZAWIYAH v RUSLAN 2 (1980) 1JH 102 Mahkamah mengatakan bahawa perceraian yang dibayar mut’ah ialah setiap perceraian daripada suami tidak dari sebab pihak perempuan seperti fasakh kerana aib yang ada pada perempuan itu, atau perempuan memfasakh nikahnya dengan suaminya disebabkan sara nafkah atau sebagainya.
Dalam kes ZAHRAH v SAIDON 3 (1983) JH 225 Kadi Besar berkata: Perceraian yang berlaku antara mereka hanya semata-mata diatas anggapan tidak bersesuaian bukan kerana kecacatan atau keaiban sesuatu pihak. Maka kerana itu hak mut’ah juga kekal.
Dalam kes ASIAMAMAL v ABDUL JABBAR 3 (1983) 1JH 262 suami menceraikan isterinya kerana merasa tertipu apabila selepas tiga bulan bernikah baru beliau menerima sijil nikah dan ketika itu barulah beliau sedar bahawa isterinya bukan anak dara. Diputuskan bahawa perceraian tidak dibuktikan berlaku atas sebab cacat cela dipihak isteri ataupun difasakh oleh pihak isteri. Maka isteri berhak mendapat bayaran mut’ah.
Oleh kerana terdapat juga keputusan Mahkamah Syariah di Malaysia merujuk persoalan cerai fasakh perkahwinan dalam tuntutan mut’ah maka diperturunkan disini sedikit informasi mengenai cerai fasakh sedemikian.
Apakah dia ‘fasakh’ perkahwinan:
Fasakh perkahwinan bermaksud membatal atau membubar pernikahan oleh sebab-sebab tertentu yang menghalang kekalnya perkahwinan tersebut. Fasakh sedemikian hendaklah dibuat melalui Perintah Mahkamah.
Beberapa istilah digunakan dalam apabila membincangkan perkara fasakh. Antaranya:
~ Abu Zahrah menggunakan istilah al-Talaq bi al-Hukm al-Qadi [dalam kitab al-Al-Ahwal al-Syakhsiyyah 1957 Dar al-Arabiy hal. 347];
~ Wahbah al-Zuhayli pula menyebutnya sebagai al-Tafriq al-Qada'l [dalam kitab al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh 1989, Juz. 7 Dar al-Fikr, hal. 509]; dan
~ ada juga yang membincangkan soal ini di bawah tajuk al-Khiyar [pilihan] seperti al-Nawawi dalam Minhaj al-Talibin, al-Haramain, hal. 85 dan juga Abu Shujak dalam kitab al-Iqna juz 2 hal. 129.
Prinsip perceraian fasakh ini terdapat didalam al-Quran yakni dalam Surah al-Baqarah ayat 231; al-Nisa' ayat 35; dan al-Nisa’ ayat 128.
Surah al Baqarah 2: 231 bermaksud:
Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu mereka mendekati akhir iddahnya, maka rujukilah mereka dengan cara yang ma’ruf atau ceraikanlah mereka dengan cara yang ma’ruf (pula).Janganlah kamu rujuki mereka untuk memberi kemudharatan, karena dengan demikian kamu menganiaya mereka. Barangsiapa berbuat demikian, maka sungguh ia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Janganlah kamu jadikan hukum-hukum Allah permainan, dan ingatlah ni’mat Allah padamu, dan apa yang telah diturunkan Allah kepadamu yaitu Al Kitab dan Al Hikmah. Allah memberi pengajaran kepadamu dengan apa yang diturunkan-Nya itu. Dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah bahwasanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
Surah An-Nisa’a (4) : 35 bermaksud:
Dan jika kamu khawatirkan ada pengsengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang hakam dari keluarga laki-laki dan seorang hakam dari keluarga perempuan. Jika kedua orang hakam itu bermaksud mengadakan perbaikan, niscaya Allah memberi taufik kepada suami-isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.
Surah An-Nisa’a (4) : 128 bermaksud:
dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka suami isteri membuat perdamaian diantara mereka berdua kerana pendamaian itu lebih baik bagi mereka [daripada bercerai berai] walaupun manusia itu menurut tabiatnya adalah kikir. Dan jika kamu menggauli isteri kamu dengan baik dan memelihara dirimu [dari nusyuz] maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.
Pembatalan atau pembubaran perkahwinan sedemikian adalah diharuskan berasaskan kepada prinsip yang terkandung dalam hadis Nabi s.a.w. yang melarang melakukan kemudaratan sebagaimana sabdanya: Tidak ada kemudaratan dan tidak memudaratkan.
لاضرار ولاضرار
Al Suyutiy dan Ibn Nujaym mengulas bahawa hadis ini adalah mengenai larangan membawa mudarat atau darar keatas orang lain. Hadis ini menjadi dasar kepada salah satu kaedah fiqhiyyah. Furuq kepada kaedah fiqh itu adalah memperuntukan kaedah furuq: kemudaratan hendaklah dihilangkan.
الضرار يزال
Kaedah fiqh ini menurut Al Suyuti memberi ruang untuk menuntut fasakh keatas perkahwinan yang ada unsur-unsur darar atas sebab keaiban atau salahlaku pasangan.
Namun al-Zarqa menambah perkara darar tersebut hendaklah diadukan kepada hakim untuk penyelesaian dan setelah hakim memberi Perintah barulah pasangan yang terkena mudarat itu dipisahkan.
Pembubaran perkahwinan melalui fasakh kerana aib ini memerlukan campurtangan kadi (hakim) atas sebab-sebab yang biasanya diketengahkan oleh seseorang isteri.
Di dalam Perundangan Islam, perkara-perkara yang mengharuskan untuk fasakh bagi suami isteri adalah berbeza antara satu mazhab dengan mazhab yang lain.
Dalam Mazhab Hanafi, seorang isteri hanya boleh memohon untuk membubarkan perkahwinan melalui cara fasakh apabila suami yang dikahwininya itu mengalami kecacatan dan keaiban. Marghinani dalam kitab al-Hidayah juz.1 hal 26 menyatakan bahawa hanya tiga penyakit sahaja iaitu mati pucuk, terpotong zakar dan terputus dua buah zakar/testis.
Dalam Mazhab Hanafi seorang isteri itu tidak boleh memohon fasakh atas sebab-sebab yang lain dari yang disebutkan itu sekalipun suami itu terkena penyakit sopak dan kusta.
Dalam mazhab ini, seorang isteri yang telah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sewaktu umurnya belum baligh, berhak memohon fasakh perkahwinannya apabila sampai umur baligh. Fasakh seperti ini dikenali sebagai khiyar al-bulugh.
Bagaimanapun fasakh kerana sebab khiyar al-bulugh tidak dibolehkan oleh mazhab Syafi'i dan Maliki [lihat Ali al-Khafif, Furaqal-Ziwajfi al-Madhahib al-Islamiyyah 1957 m.s. 319].
Pengertian suami berpenyakit mengikut mazhab Maliki, Syafi'i dan Hanbali mungkin agak luas sedikit, kerana ia termasuk segala penyakit seperti sopak dan kusta.
Prinsip mereka dalam soal ini ialah sekiranya segala keaiban atau penyakit yang dialami oleh suami boleh menjejaskan perhubungan jenis antara mereka atau boleh berjangkit kepada isteri dan juga janin, maka isteri boleh memohon fasakh [contoh keterangan lihat dalam Ibn Qudamah, al-Mughni juz 7 hal. 585, juga lihat dalam Taj, Abdul Rahman, al-Syariah al-Islamiyyah fi al-Ahwal al-Shakhsiyyah, 1952, Dar al-Ta’lif].
Selain dari alasan di atas, ketidakmampuan suami untuk membayar nafkah, hilang atau dipenjarakan juga diterima oleh Maliki, Syafi'i dan juga Hanbali sebagai alasan untuk menuntut fasakh.
Bagaimanapun Mazhab Maliki dan Hanbali telah menambah satu lagi alasan iaitu berlaku kemudharatan dalam rumahtangga sebagai sebab untuk memohon fasakh.
Kemudaratan yang dimaksudkan di sini adalah kemudaratan kepada lima perkara iaitu, agama, diri, keturunan, harta, aqal (maruah) [lihat Abu Ishaq al-Syatibi, al-Muafaqat fi Usul al-Shariah, juz. 4 hal. 28-30.Keadaan ini akan berlaku, apabila pertelingkahan dalam rumahtangga wujud.
Oleh itu Mustafa al-Sibai'e dalam kitab, al-Mar’ah baina al-Fiqh wa al-Qanun, [1962] menyebut pembubaran kerana sebab-sebab wujud unsur-unsur pertelingkahan sebagai al-tafriq li al-syiqaq. Ini bermakna sekiranya berlaku penderaan dan penganiayaan kepada isteri, maka keadaan ini boleh dijadikan alasan bagi isteri membubarkan perkahwinannya melalui fasakh.
Pada tahun 1915, Kerajaan Turki Uthmaniyyah telah memulakan langkah pertama melakukan reformasi Undang-undang Keluarga dengan memperuntukkan hak pembubaran perkahwinan melalui fasakh sekiranya berlaku kemudaratan dalam rumahtangga berasaskan prinsip Mazhab Maliki yang berpegang kepada kaedah takhayyur.
Kemudian beberapa perundangan telah digubal dengan memasukkan alasan kemudaratan dalam tuntutan isteri untuk fasakh perkahwinannya. Ini berlaku di beberapa negara seperti Mesir, Tunisia, Moroko, Jordon, Kuwait, India, Pakistan dan Bangladesh.
Peruntukan Fasakh di Malaysia
Dalam Fasal 27 Hukum Kanun Melaka memperuntukan alasan untuk membubarkan perkahwinan melalui fasakh iaitu:
"Fasal yang kedua puluh tujuh pada menyatakan hukum khiyar itu mau pada perempuan, mau pada laki-laki itu atas lima perkara 'aibnya itu, pertama-tama 'aib gila (dan) judham, kedua baras, ya'ni sopak atau kedal, ketiga 'aib ratak, keempat 'aib karan, ya'ni tumbuh tulang pada perjinya, 'aib kebiri (dan) orang yang lemah zakarnya iaitu seperti orang ratak hukumnya, dan judham pun demikian juga, tiada sah nikahnya kahwin dengan orang yang demikian itu.
Adapun jikalau dikahwinkan orang suatu laki-laki maka tiada diberinya akan hal ada perempuan itu berpenyakit yang demikian itu. Telah kemudian, maka baharu diketahuinya, nescaya-terurailah kahwinnya itu yakni “fasakh”, tiadalah laki-laki itu menanggung isi kahwin perempuan.
Dan demikian lagi, jikalau ada 'aib laki-laki yang berpenyakit seperti yang tersebut itu, maka itupun “fasakh” jua, jikalau tiada kabul perempuan itu, diberitahunya kepada Hakim, niscaya cerai jua.
Jika lemah zakarnya laki-laki itu, maka disuruh oleh Hakim berubat kepada tabib yang tahu, maka dinantikan setahun lamanya. Jikalau tiada sembuh di dalam setahun, maka “fasakh” nikahnya itu.
Adapun akan orang yang baras dan judham dan gila itu jikalau reda perempuan itu akan laki-laki itu, atau reda laki-laki itu akan perempuan itu, tiadalah ia “difasakhkan” oleh Hakim akan mereka itu, kerana sama reda keduanya, ya'ni ia suka keduanya, tiada lagi khiyar daripada yang demikian, itu kaul yang sah.
Adapun jikalau diperoleh 'aib tatkala di dalam laki-laki, difasakhkannya dirinya perempuan itu atas isi kahwinnya akan laki-laki itu. Demikian lagi jikalau ada “aib laki-laki itu di dalam perempuan itu, itupun difasakhkan dirinya daripada perempuan itu. Demikian lagi atas barang yang diperoleh 'aib di dalam sudah kahwin, itu pun fasakh jua. Itulah hukum khiyar atas tiap-tiap kahwin. Demikianlah hukumnya itu.”
Alasan dalam Hukum Kanun Melaka tersebut ialah berhubung dengan kecacatan yang ada pada suami atau isteri. Ini sesuailah dengan prinsip yang terdapat dalam Mazhab Syafi'i.
Pindaan tahun 1908 kepada Seksyen 19(l) Mohammedan Marriage Ordinance 1880 perkataan fasakh telah dinyatakan dengan terangnya tetapi masih tiada dinyatakan alasan-alasan untuk pembubaran tersebut. Ia hanya memperuntukan:
“A kathi shall have power to receive from a married woman who has either been resident for at least four months in the district within which he is appointed or for whose nationality or sect he is specially appointed, an application for the divorce known in Muhammadan Law as fasakh”.
Sekalipun tiada alasan yang diperuntukkan bagi memohon fasakh, namun bagi E.N. Taylor, kebanyakan Muslim di Tanah Melayu adalah bermazhab Shafie, maka dengan sendirinya prinsip dalam mazhab Syafi'i bagi masalah ini akan terpakai [lihat kes Rokiah lwn Abu Bakar ].
Semua Undang-undang Keluarga di Malaysia yang digubal sejak tahun 1983 mengiktiraf bahawa seorang isteri/suami dibenarkan memohon fasakh di Mahkamah atas satu atau beberapa alasan yang telah disenaraikan dan diperuntukan dalam Undang-undang Keluarga Islam di tiap-tiap negeri.
Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2005 Pahang [sebagai contoh] telah menyenaraikan alasan-alasan berikut yang boleh membubarkan perkahwinan melalui fasakh:
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripadanya satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami atau isteri telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali Mujbirnya sebelum ia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain –
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
(ii) berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak.
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah;
(iv) melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu;
(v) menghalang isteri atau suami dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya;
(vi) jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayan isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak;
(j) bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan mensetubuhinya;
(j) bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, samada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguh pun berkebolehan memberi izin sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31/52] dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; atau
(l) apa-apa alasan lain yang didktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.
Alasan-alasan tersebut bolehlah kita rangkumkan didalamnya empat aspek utama iaitu:
i. Kerana keaiban dan kecacatan suami/isteri;
ii. kerana suami/isteri hilang atau dipenjarakan;
iii. kerana berlaku dharar kepada isteri/suami; dan
iv. kerana suami tidak membayar nafkah.
Keempat-empat aspek ini adalah yang dikatakan termasuk di dalam definasi al-Shatibiy dan Walter sebagai keganasan iaitu menyentuh fizikal, mental dan emosi.
Berbalik kepada isu persolan mengenai aib nikah
Dalam kes HASNAH BINTI OMAR v OTHMAN BIN YA @ ZAKARIA 26 [2008] 1JH 43 Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan telah merujuk kepada kitab I’aanah al-Talibin Juz 3 hlm 356 oleh Abu Bakar yang menyatakan:
Wajib keatas suami membayar mut’ah kepada isteri yang sudah disentuh (disetubuhi) walaupun ianya (isteri itu) seorang hamba, dengan sebab berlaku perceraian yang bukan dari pihaknya dan perceraian yang bukan kerana kematian salah seorang dari keduanya-duanya.
Bayaran mut’ah wajib keatas suami yang telah menceraikan isterinya yang telah disetubuhi dimana perceraian bukan berpunca dari perbuatan isteri seperti isteri murtad atau difasakhkan nikah disebabkan keaiban suami atau isteri.
Yang dimaksudkan suami telah menceraikan isterinya itu ialah seperti perceraian biasa samada dengan persetujuan bersama atau sebagainya. Yang dimaksudkan dengan perbuatan isteri disini adalah seperti isteri murtad atau isteri memohon untuk memfasakhkan pernikahannya dengan sebab keaiban suami seperti suami gila, atau mati pucuk atau suami seorang yang papa dan sebagainya. Begitu juga jika difasakhkan nikah oleh suami dengan sebab keaiban isteri seperti alat kelaminnya terdapat ratak (ketumbuhan daging) atau qaran (ketumbuhan tulang).
Terdapat juga perkara aib atau kecacatan dalam pernikahan ini dibincangkan di Indonesia.
Mereka membahagikan kecacatan atau aib dalam pernikahan sedemikian kepada dua jenis iaitu seperti berikut:
1. Cacat-cacat yang menghalangi jima’, di mana pada lelaki: dzakarnya terputus, terputus kedua testisnya dan impotent. Sedangkan pada wanita: rataq (tersumbuat lubang vagina dengan daging), qarn (vagina tersumbat tulang yang menyerupai tanduk) dan a’fal (........................).
2. Cacat-cacat yang tidak menghalangi senggama namun ia membuat orang menjauh atau ia tidak menular pada laki-laki atau wanita sepeti penyakit shapak, gila, kusta, basur (wasir) nasur (luka yang tidak bisa sembuh), luka yang berair di dalam kemaluan dan yang serupa itu.
Penerangan mereka akan keadaan diatas saya adalah seperti dibawah ini:
a. Wanita yang mendapatkan suaminya terputus dzakarnya atau tersisa baginya bagian dzakar yang tidak bisa menjima’ dengannya maka dia berhak untuk fasakh. Dan bila dia sudah mengetahui dan ridha dengannya sebelum akad atau ridha dengannya setelah dukhul (bermesraan dengan khalwat) maka gugur haknya dalam fasakh.
b. Setiap cacat yang membuat pasangan seseorang menjauh darinya seperti penyakit sopak, bisu, cacat-cacat di kemaluan, luka-luka yang berair, gila, kusta, kencing terus di luar kontrol, di kembiri, TBC, bau mulut terus menerus, bau badan yang menyengat dan yang semacam itu maka masing – masing dari suami isteri memiliki hak fasakh bila dia mau dan barang siapa dia ridha dengan hal itu dan dia melakukan akad nikah maka dia tidak memiliki khiyar (pilihan untuk fasakh) dan bila cacat itu terjadi setelah akad maka pasangannya memiliki hak khiyar.
c. Bila fasakh terjadi karena sebab salah satu dari cacat-cacat yang lalu dan yang serupa dengannya maka bila fasakh ini terjadi sebelum dukhul (hubungan badan) maka tidak ada mahar bagi si wanita, dan bila fasakh ini stelah dukhul maka dia berhak mendapatkan mahar yang sudah disebutkan di saat akad dan si suami meminta ganti dari orang yang mengecohnya dan tidak sah pernikahan khuntsa musykil (waria) yang belum jelas apa dia laki-laki atau wanita sebelum ada kejelasan statusnya.
d. Bila ternyata si suami mandul maka isteri punya hak khiyar karena wanita punya hak dalam anak. Impotent yaitu orang yang tidak mampu menjimai. Wanita yang mendapatkan suaminya impotent maka si suami diberi tangguh satu tahun dari sejak pengaduannya, bila dalam waktu ini dia bisa menjimai (maka pernikahan diteruskan). Dan bila tidak bisa maka si wanita memiliki hak fasakh, namun bila dia rela punya suami yang impoten sebelum dukhul atau sesudahnya maka gugur hak khiyarnya.
Dalam Fatwa Islam, tanya jawab, dilayangkan sebuah pertanyaan, bahwa ada seorang wanita yang mengalami ovariectomy, apakah dia harus menceritakan kepada calon suami yang meminangnya?
Syaikh Muhamad Sholeh Al-Munajed menjelaskan:
Jika ovariectomy yang dia alami tidak menghalanginya untuk punya anak, karena ovarium yang lain masih berfungsi dengan baik maka dia tidak wajib memberitahukan lelaki yang meminangnya. Karena batasan aib dalam nikah yang wajib untuk disampaikan dalam proses ta’aruf adalah segala keadaan yang bisa menyebabkan hilangnya 3 tujuan utama pernikahan, yaitu mut’ah (kenikmatan), khidmah (pelayanan), dan injab (tidak mandul). Hanya saja, sebaiknya semacam ini disampaikan kepada orang yang melamar, untuk menghindari munculnya berbagai permasalahan selanjutnya, karena suami merasa bahwa sikap istrinya termasuk penipuan. (Fatwa Islam: Sual-jawab, no. 125910).
Selanjutnya, beliau menukil keterangan Syaikh Muhammad bin Sholeh Al-Utsaimin:
Aib adalah segala keadaan yang menghilangkan tujuan utama nikah. Difahami bersama bahawa tujuan utama nikah diantaranya adalah mut’ah (kenikmatan), khidmah (pelayanan), dan injab (tidak mandul). Tiga perkara ini adalah tujuan yang paling utama. Jika ada keadaan yang menghalangi tiga perkara di atas maka itu termasuk cacat. Oleh karena itu, jika seorang isteri mengetahui suaminya ternyata mandul atau suami mendapati isterinya mandul maka ini termasuk aib. Juga apabila suami baru mengetahui bahawa isterinya buta, pekak atau bisu maka ini juga sesuatu yang aib, kerana pasangan yang sedemikian cacatnya akan mengurangi dua tujuan nikah, mut’ah (kenikmatan) dan khidmah (pelayanan)..
Akan tetapi jika suami baru mengetahui ternyata gigi istrinya bermasalah, padahal masih muda maka ini tidak termasuk aib. Karena aib semacam ini mungkin untuk dihilangkan. Sementara kebutuhan suami terhadap gigi istrinya adalah kesempurnaan kecantikan, dan masih mungkin untuk dipasang gigi sebaik mungkin. Untuk itu, jika ada orang yang bertanya: Apabila ada suami yang baru mengetahui ternyata istrinya kurang cantik, tapi tidak ada cacat seperti yang disebutkan di atas, apakah suami boleh mengajukan cerai ke pengadilan? Jawab: Tidak berhak. Kecuali jika suami mempersyaratkan hal itu di depan.
Karena itu yang tepat, aib dalam nikah jumlahnya tidak terbatas dengan bilangan tertentu, tapi dia dibatasi dengan kaidah tertentu, bahwa segala sesuatu yang menghilangkan tujuan utama nikah, meskipun bukan kesempurnaan nikah maka itu termasuk aib, yang membolehkan adanya hak pilih. Baik untuk suami maupun untuk istri. (As-Syarhul Mumthi’, 12: 220 – 221)
KECACATAN / AIB YANG MEMBOLEHKAN FASAKH MENURUT MAZHAB
| |||
MAZHAB HANAFI
|
MAZHAB MALIKI
|
MAZHAB HAMBALI
|
MAZHAB SYAFIE
|
Gila
|
Gila
|
Gila
| |
Kusta
|
Kusta
|
Kusta
| |
Sopak
|
Sopak
|
Sopak
| |
Jubb [zakar terpotong] – lelaki
|
Jubb [zakar terpotong] – lelaki
|
Jubb [zakar terpotong] – lelaki
|
Jubb [zakar terpotong] – lelaki
|
Unnah [mati pucuk] – lelaki
|
Unnah [mati pucuk] – lelaki
|
Unnah [mati pucuk] – lelaki
|
Unnah [mati pucuk] – lelaki
|
Tumbuh tulang dalam kemaluan faraj – perempuan
| |||
Kemaluan tertutup – perempuan
| |||
Tumbuh daging dalam kemaluan - perempuan
| |||
Lemah kemaluan kerana berpenyakit
| |||
Pondan yang nyata
|
Pondan yang nyata
| ||
kemaluan bernanah
| |||
Buasir
| |||
Mulut berbau busuk
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan