Selasa, 26 Februari 2013

gugur hak mut'ah (3) - perceraian melalui tebus talaq [khuluk]


Perceraian yang berlaku secara tebus talaq [khuluk] adalah merupakan salah satu sebab gugurnya hak dan kelayakan untuk menuntut bayaran mut’ah dari bekas suami.
Posting kali ini saya tulis dalam bentuk hujahan ringkas kepada suatu bantahan awal dalam suatu prosiding Mahkamah Syariah di mana pihak isteri menuntut bayaran mut’ah terhadap bekas suaminya sedangkan perceraian antara pasangan itu adalah melalui proses perceraian khuluk dihadapan Hakim Mahkamah Syariah dengan bayaran wang tunai pada jumlah yang dipersetujui oleh masing-masing pihak.
Berikut ialah hujahan ringkas yang dimaksudkan untuk tatapan dan renungan bersama.


***************************************************
HUJAHAN BERTULIS DEFENDAN TERHADAP NOTIS BANTAHAN AWAL
Defendan dalam prosiding ini telah memfailkan suatu bantahan awal ini dan memohon agar tindakan Plaintif dibuang/dibatalkan dengan kos.


FAKTA KES

Plaintif dan Defendan telah bernikah pada ... Mereka kemudiannya bercerai di Mahkamah Rendah Syariah ... pada ... secara khuluk. Bayaran khuluk adalah sebanyak RM... Lihat perenggan 5 Pernyataan Tuntutan.

Perceraian itu didaftarkan di ... dan suatu surat perakuan cerai No: XXX bertarikh VVVV dikeluarkan. Lihat lampiran B kepada Pernyataan Tuntutan.

Plaintif dalam prosiding ini memohon agar Defendan membayar mut’ah sebanyak RMXXX mengikut seksyen 58 EUKI 2005.

ISU BANTAHAN AWAL

Adalah dihujahkan bahawa perceraian secara khuluk adalah merupakan talaq bain-sughra yakni sejenis talaq yang tidak boleh dirujukkan.

Peruntukan Seksyen 49 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005:

Perceraian khul’ atau cerai tebus talaq

[1] Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaanya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talaq, Mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan, dan perceraian itu adalah ba-in-sughra atau tak boleh dirujukkan.

Persoalan isu bantahan awal disini adalah samada isteri tidak berhak mendapat mut'ah jika isteri telah membuat perceraian secara khuluk (tebus talaq) atau menukarkan hak mut'ahnya sebagai 'iwad atau bayaran bagi tebus talaq.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa wanita yang khulu’ dan mula’anah tidak mendapatkan mut’ah karena mereka yang menghendaki perceraian.

Ibnu Qasim berkata, tidak ada mut’ah dalam hal pernikahan yang di-fasakh (dibatalkan). Adapun ayat “Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mut’ah menurut yang ma’ruf’ dalam Surah al-Baqarah ayat 241 hanya mengenai dan berlaku pada wanita yang ditalak sahaja tetapi tidak merangkumi para isteri yang di-fasakh (digugurkan akad nikahnya), seperti khulu’ dan mula’anah.

Sebahagian ulama yang lain pula seperti at-Tirmidzi, Atha’ dan an-Nakha’i rahimahumullah, berpendapat bahawa wanita yang khulu’ mendapat mut’ah.

Mahmood Zuhdi Hj Abdul Majid dalam buku Undang-Undang Keluarga Islam, Konsep dan Perlaksanannya di Malaysia.dimukasurat 176 – 178 berkata bahawa:

Mengikut Imam Syafi’i, mut’ah diwajibkan ke atas suami sekiranya perceraian itu dari kehendak suami dan bukan dari permintaan isteri atau tebus talak.

Maka sehubungan dengan itu, jika perceraian itu adalah secara tebus talaq [khuluk] maka mut’ah adalah tidak jatuh wajib. Bahkan merupakan sebab gugurnya hak isteri untuk mendapatkan bayaran mut’ah.

Wahbah al Zuhaili dalam FIQH & PERUNDANGAN ISLAM Jilid VII setelah mengulas dan menyatakan bahawa Mazhab Maliki berpendapat bahawa mut’ah adalah sunat bagi semua perempuan yang diceraikan oleh suaminya telah berkata:
         
Mereka berpendapat bahawa perempuan yang diceraikan oleh suami ada tiga bahagian iaitu perempuan yang diceraikan sebelum bersatu dengan suami dan sebelum ditentukan maharnya, maka ia berhak mendapat mut’ah dan tidak berhak mendapat sesuatu pun daripada mahar. Perempuan yang diceraikan sebelum bersatu dengan suami dan setelah ditentukan maharnya, maka tidak ada mut’ah baginya. Manakala perempuan yang diceraikan setelah bersatu dengan suami, sama ada sebelum ditentukan mahar ataupun setelah ditentukannya, maka ia berhak mendapat mut’ah. Bagaimana pun tidak ada mut’ah bagi perempuan pada setiap perceraian yang dipilih oleh perempuan, seperti isteri kepada orang gila, orang berpenyakit sopak, orang mati pucuk dan tidak ada mut’ah pada perceraian dengan sebab fasakh, khulu’ dan li’an.

Dalam kes SALMA v MAT AKHIR 5 [1983] JH 161 Timbalan Kadi Besar Mahkamah telah memutuskan bahawa tuntutan isteri untuk bayaran mut’ah adalah dibenarkan kerana suami gagal membuktikan keujudan sebab-sebab yang menggugurkan bayaran mut’ah dalam kes itu seperti kholok dan sebagainya. Dengan kata lain jika umpamanya suami [Defendan] dalam kes itu dapat membuktikan bahawa perceraian pasangan itu adalah dengan cara khuluk maka bayaran mut’ah adalah gugur dan tidak layak dituntut siisteri.

Di mukasurat 172 Mahkamah itu berkata:

‘... (J) [yakni Defendan] tidak dapat ... membuktikan dalam Mahkamah ini akan wujudnya apa-apa sebab bagi menggugurkan bayaran mutah seperti kholok atau sebagainya.’

Dalam kes MOHAMAD SUKRI SALLEH v NALMA YAACOB [2005] 1CLJ 433 Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan berkata bahawa:

‘Perceraian tebus talak (khul’) diharuskan oleh Islam ...’

Mahkamah Rayuan Syariah tersebut berkata sedemikian dengan bersandarkan kepada nas-nas  berikut:

1.    maksud firman Allah dalam surah al Baqarah : 229

Jika kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran tebus talak yang diberikan oleh isteri untuk tebuskan dirinya dan mengenai pengembalian suami akan bayaran itu.

2.   Maksud hadis riwayat Bukhari daripada Ibnu Abas r.a:

Isteri Thabit bin Qais telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w. dan berkata, “Wahai Rasulullah, aku tidak hendak mencela dan memburuk-burukkan Thabit tetapi aku takut menjadi kufur nikmat.
Maka sabda Nabi, “Kamu sanggup mengembalikan kebunnya yang dijadikan mas kahwin semasa perkahwinan kamu dahulu?” Jawabnya - “Ya,” jawabnya. Lalu Nabi menyuruh Thabit terima balik kebunnya dan cerai isterinya dengan satu talak [tebus talak].


Dihujahkan bahawa dalam syariat Islam kebiasaan yang tidak bertentangan dengan ajaran agama dapat menjadi dalil syarak yang diakui.
Saya merujuk kepada hadis riwayat dari Ibnu Mas’ud r.a. :


مَا رَآهُ الْمُسْلِمُوْنَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللهِ تَعَالَى حَسَنٌ،
وَمَا رَآهُ الْمُسْلِمُوْنَ قَبِيْحًا فَهُوَ عِنْدَ اللهِ تَعَالَى قَبِيْحٌ
Maksudnya:
“Apa yang dianggap oleh kaum muslimin sebagai suatu kebaikan, maka hal itu adalah baik menurut Allah SWT. Dan apa yang dianggap oleh kaum muslimin suatu kejelekan, maka hal itu adalah jelek menurut Allah SWT.” (HR. Ahmad).

Dengan demikian, seorang isteri yang menuntut cerai dari suaminya secara khuluk harus mengembalikan mahar yang diberikan kepadanya. Ia juga harus menggugurkan hak-haknya di masa mendatang, seperti hak nafkah selama iddah, dan mahar yang belum sempat dibayar.

Perlu diingat bahawa perceraian diantara pasangan Plaintif dan Defendan dalam kes ini adalah menepati kehendak seksyen 49 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005.

Maka sebab perceraian dalam kes ini adalah merupakan apa yang dimaksudkan sebagai  ‘sebab yang patut’ didalam seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005.

Seksyen 58 itu memperuntukkan:

Seksyen 58. Mut’ah atau pemberian saguhati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut

Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

PENUTUP

Maka dengan yang demikian adalah dihujahkan bahawa Plaintif tiada kausa tindakan untuk menuntut mut’ah terhadap Defendan.

MOHON AGAR bantahan awal ini dibenarkan dan tindakan Plaintif dibuang/dibatalkan dengan kos.


Bertarikh pada ... ...



                                                                 .............….……..……………                                                          Peguam Syarie Defendan

HUJAHAN BANTAHAN AWAL ini difailkan oleh ...





2 ulasan:

  1. assalamualaikum ustaz . saya nak tanya lebih lanjut berkenaan talaq (khuluk) . dan apa pandangan ustaz tentang hal ini ..

    BalasPadam
  2. assalamualaikum ustz... berapa kali eddah utk cerai tebus talak?

    BalasPadam