Khamis, 7 Februari 2013

Kadar Mut'ah: keputusan kes di Mahkamah


Mut’ah adalah merupakan bayaran saguhati yang diberi oleh suami kepada isteri yang diceraikan mengikut hukum syarak. Sekiranya tiada persepakatan antara suami isteri terhadap kadar jumlah mut’ah yang perlu dibayar maka ia akan ditaksirkan oleh Mahkamah.

Kes dibawah ini adalah melibatkan satu tuntutan mutaah oleh bekas isteri terhadap bekas suaminya. Mahkamah merujuk kepada beberapa isu yang berkaitan sebelum membenarkan tuntutan oleh bekas isteri - sama ada isteri berhak mendapat mutaah – sama ada suami wajib membayar mutaah - Perceraian dengan sebab yang patut – Tidak ada penafian – kadar Mutaah – Tidak ada persetujuan dalam menentukan kadar – Kemampuan suami, taraf kehidupan dan kedudukan suami dan isteri dalam masyarakat – pengorbanan dan sumbangan isteri – sek 58 Enakmen Undang-Undang keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003

SURAIYA BT M SHAFIE v ABD SHUKOR BIN MOHD HASHIM  – 27 (2009) 2 JH 259 keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.

Dalam kes ini Plaintif dan Defendan telah berkahwin pada 11.07.1991 dan memperolehi 4 orang anak. Setelah berkahwin selama 15 tahun mereka bercerai pada 20.12.2006. Plaintif dan Defendan bermula dengan kerjaya sebagai Pegawai Perubatan. Pasangan ini melanjutkan pelajaran sehingga mereka diiktiraf sebagai doktor pakar. Plaintif berjawatan Pakar Mata di Hospital Pakar Seremban manakala Defendan berjawatan Pakar Tulang di Hospital yang sama.

Plaintif telah menuntut Defendan membayar mutaah sebanyak RM500,000.00.
Defendan tidak menafikan hak mutaah tersebut tetapi tidak bersetuju dengan jumlah yang dituntut oleh Plaintif.

Mohd Nadzri bin Haji Abdul Rahman HMTS dalam penghakimannya telah berkata:

Dalam kes ini, Plaintif telah menuntut bayaran mutaah sebanyak RM500,000.00 daripada Defendan, iaitu bekas suaminya. Dalam menentukan sama ada wajar atau tidak pemberian mutaah tersebut, Mahkamah perlu melihat kepada beberapa isu, iaitu:

a)    sama ada mutaah itu sesuatu yang wajib dibayar oleh Defendan, dan

b) jika wajib, berapakah kadar yang munasabah bagi mutaah tersebut.

a) Sama ada mutaah itu sesuatu yang wajib dibayar oleh Defendan

‘Mutaah’ mengikut Hukum Syarak ialah bayaran saguhati yang diberikan kepada isteri yang diceraikan sebagaimana yang disebut di dalam kitab ‘Umdah al-Mukmin, volume 6, halaman 303, mutaah membawa erti;

“Mutaah itu ialah nama bagi harta yang diberikan oleh seorang lelaki terhadap isteri kerana diceraikan.” (lihat juga Taqiyuddin Abi Bakr bin Muhammad al Husaini, Kifayah al-Akhyar Fi Hal Ghayah al-Ikhtisar, Beirut: Dar al-Khair, cetakan 2, 1995, hlm. 373).

Hukum pemberian mut’ah ada dinyatakan di dalam kitab Hasyiah I’anah al Talibin, oleh Abi Bakr Usman bin Muhammad, Juz 3, Dar al-Kutub al Ilmiah, Beirut, 1995, hlm 595, yang menyebut:

“Wajib ke atas suami memberi mut’ah terhadap isteri yang telah disetubuhi sekalipun ia seorang amah dengan sebab perceraian yang perceraian itu berlaku bukan sebab isteri atau bukan kerana kematian salah seorang daripada keduanya.”

Dalam kitab Badai’ al Manan fi Jam’ie wa Tartib Musnad as-Syafi’ie wa al-Sunan, juzuk 2, halaman 381 menyatakan:

“Imam Al-Syafie telah memberi tahu kepada kami Imam Malik daripada Nafik daripada Ibn Umar R.A sesungguhnya ia berkata bagi tiap-tiap perempuan yang ditalakkan oleh suami mendapat mut’ah kecuali perempuan yang telah difardhukan baginya mas kahwin dan belum disetubuhii lagi maka memperolehi baginya separuh mas kahwinnya.”

Dalam kes ini, kedua-dua pihak tidak mempertikaikan bahawa mereka berdua pernah menjadi pasangan suami isteri yang telah berkahwin pada 11hb Julai 1991secara sah mengikut Hukum Syarak di Kepong, Selangor sehingga kedua-duanya bercerai pada 20hb Disember 2006, iaitu selama jangkamasa lebih kurang 15 tahun. Perceraian tersebut telah disahkan di hadapan Mahkamah dan direkodkan dengan lafaz talak satu. Dalam tempoh perkahwinan, mereka telah dikurniakan seramai empat orang cahaya mata. Oleh itu, Plaintif ternyata dan terbukti adalah seorang bekas isteri yang telah menepati syarat-syarat kelayakan dari segi Hukum Syarak untuk menuntut mutaah terhadap Defendan.
Ini adalah selaras dengan kehendak syarak sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Sayed al-Bakri di dalam kitab I’anah al-Talibin, juz 3, hal. 356, dar al-Fikr, t,t, yang menyatakan maksudnya;

“Bayaran mutaah wajib ke atas suami yang menceraikan isterinya setelah disetubuhi di mana perceraian itu bukan berpunca dari perbuatannya (isteri) seperti isteri murtad atau difasakhkan nikah sebab keaiban suami atau isteri”

Dalam kes Tuan Farizah binti Tuan Ludin v Mohd Razuhan bin Abdul Razab JH (2007) 24/2, 335, Pengerusi Panel Rayuan, YAA KHS telah mengulas matan tersebut. Menurut KHS dalam penghakiman kes tersebut;

“Yang dimaksud suami telah menceraikan isterinya itu ialah seperti perceraian biasa sama sama ada dengan persetujuan bersama atau sebagainya dan juga apa yang dimaksudkan dengan perbuatan isteri di sini ialah seperti isteri murtad atau dia pohon fasakh nikahnya dengan sebab keaiban suami seperti suami gila atau mati pucuk atau suami seorang yang papa atau sebagainya. Begitu juga jika difasakhkan nikah oleh suami dengan sebab keaiban isteri seperti alat kelaminnya terdapat ‘ratak’ atau ketumbuhan daging atau ‘qaran’ iaitu ketumbuhan tulang.”

Kewajipan mutaah ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 241 iaitu:

“dan isteri-isteri Yang diceraikan berhak mendapat Mut'ah (pemberian saguhati) dengan cara Yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.”

Di dalam ayat lain iaitu surah al-Ahzab, ayat 49, Allah berfirman;

“Wahai orang-orang Yang beriman, apabila kamu berkahwin Dengan perempuan-perempuan Yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah Yang kamu boleh hitungkan masanya. oleh itu, berilah "Mut'ah" (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka Dengan cara Yang sebaik-baiknya.”

Bagi menjelaskan lagi kewajipan suami memberi mutah kepada isterinya, suka saya merujuk kepada beberapa kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Dalam kes Piah binti Said v Che lah bin Awang JH (1983) Jld 3, 320, Kadi Besar Pulau Pinang, Haji Harussani bin Haji Zakaria berkata:

“Mutaah adalah pemberian yang tertanggung ke atas seorang suami yang menceraikan isteri. Tanggungan mutaah tidak gugur dalam apa-apa pun perceraian berlaku kecuali jika perceraian itu disebabkan keaiban di pihak isteri terhadap suaminya atau perceraian kerana mati. “

Dalam kes Rokiah bt Haji Abdul Jalil v Mohamed Idris bin Syamsuddin JH (1990) Jld VII/I, 112, panel rayuan di dalam ulasannya menyebut:

“Dalam kes ini jelas perceraian itu berlaku dengan talak oleh suami terhadap isteri sekalipun ada tanda-tanda nusyuz, tetapi nusyuz tidak mnenafikan hak mutaah sekiranya ini berlaku”

Dalam kes Nor Bee v Ahmad Shanusi JH (1978) Jld. 1, 63, Hakim Haji Harussani bin Haji Zakaria, Kadhi Besar Pulau Pinang telah berkata:

“Mutaah adalah pemberian yang diwajibkan oleh syarak kerana perceraian yang bukan dari sebab isteri kerana keaiban yang ada pada dirinya atau fasakh dari isteri sebab iksar suami atau aib yang ada padanya. Ia bukan diwajibkan kerana kehilangan kasih sahaja kerana itu mutaah juga diwajibkan dalam keadaan dimana isteri menebus talak dari suaminya .Mutaah juga bertujuan untuk menutup rasa malu yang dialami oleh isteri dan menghindarkan fitnah serta sebagai asas untuk memulakan hidup bersendirian. Seseorang isteri yang diceraikan akan merasa malu dan mungkin akan menerima prasangka buruk daripada masyarakat sekelilingnya. Untuk menghilangkan prasangka buruk bahawa seorang isteri itu diceraikan bukanlah kerana keaiban yang ada pada dirinya maka lazim mutaah diwajibkan ke atas suami. Seseorang isteri yang lazimnya bergantung hidup kepada suaminya akan menghadapi kepayahan untuk memulakan kehidupan secara bersendirian. Dalam kitab Kifayatul Akhyar , Juz. 2, muka surat 42 dalam bab mutaah yang mana nasnya bermaksud – dan khuluk seperti juga talak atas pendapat yang sahih”

Dalam kes Zawiyah v Ruslan JH (1980) 1, 102, Hakim yang sama telah berkata:

“Perceraian yang kena dibayar mutaah ialah setiap perceraian daripada suami, tidak dari sebab pihak perempuan seperti fasakh kerana aib yang ada pada diri perempuan itu atau perempuan memfasakhkan nikahnya dengan suaminya disebabkan sara nafkah dan sebagainya”

Selain dari nas syarak dan kes-kes terdahulu, kewajipan mutaah ini ada juga disebut di bawah sek.58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:

Selain haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian sagu hati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami supaya membayar sejumlah wang yang adil dan patut mengikut Hukum Syarak.

Mengulas seksyen ini, YAA KHS dalam satu kes rayuan iaitu Murshida Bte Mustakim v Hassim bin Abdullah JH (2005) XIX/I, 143 menyebut:

Apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘bersebab’ ertinya perceraian itu berlaku bukan disebabkan oleh isteri bahkan disebabkan oleh suami seperti perceraian oleh suami, suami memeluk Islam, suami murtad dan oleh sebab li’an.

Dalam kes ini, perkahwinan dan perceraian antara Plaintif dan Defendan tidak menjadi isu kerana kedua-dua pihak mengakui fakta tersebut. Mengenai perceraian, meskipun ada ditimbulkan pertikaian mengenai isu yang menjadi punca, sama ada ianya atas kehendak Plaintif atau tidak, saya berpendapat ianya tidaklah menjadi halangan kepada Plaintif untuk menuntut mutaah selagi perkara-perkara yang menggugurkan hak tersebut seperti yang dijelaskan tadi tidak berlaku.

Dari penjelasan tersebut, saya berpendapat kewajipan Defendan untuk membayar mutaah adalah tidak gugur dan wajib ke atas Defendan untuk memikul tanggungjawab tersebut.

b) Isu selanjutnya ialah berapakah kadar yang munasabah bagi mutaah tersebut.

Dalam kes ini, Plaintif menuntut bayaran mutaah tersebut dibayar oleh Defendan sebanyak RM500,000.00. Plaintif berhujah, jumlah tersebut adalah wajar dan munasabah dengan berdasarkan kemampuan Defendan dan diasaskan kepada:

i.             nafkah diri plaintif sebanyak RM1,500.00 sebulan selama 15 tahun berjumlah RM270,000.00
ii.           pakaian dan perhiasan diri Plaintif sebanyak RM1,000.00 selama 15 tahun berjumlah RM180,000.00 dan
iii.          Upah menjaga, mengurus dan membesarkan 4 orang anak sebanyak RM500.00 sebulan selama 15 tahun berjumlah RM90,000.

Plaintif juga berhujah bahawa Plaintif dan Defendan pada awalnya adalah merupakan doktor biasa sehinggalah mereka melanjutkan pelajaran masing-masing ke peringkat sarjana dan seterusnya menjadi doktor pakar. Sebagai doktor pakar, kehidupan Defendan semakin selesa dan pendapatannya menjadi semakin bertambah.

Mengenai kadar mutaah ini, saya merujuk kepada Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 236:

“tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) Dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi "Mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). iaitu: suami Yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami Yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut Yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.”

Di dalam Kitab Hasyiah I’Anah At-Talibin, juzu’ 3, halaman 595 ada menyatakan seperti berikut:

“Kadar mut’ah ialah kadar yang dipersetuji oleh kedua pihak itu. Atau pendapat lain ialah kadar yang harus dijadikan sebagai maskahwin. Dan setengah kadar mut’ah itu tidak dikurang daripada tiga puluh dirham.”

Dalam kitab Hasyiat Qalyubi wa Umairah, oleh Syihabuddin Ahmad bin Ahmad Salamah al-Qalyubi, juzu’ 3, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah, cetakan pertama , hlm.441 menyebut:

“Dan disunatkan bahawa mut’ah itu tidak kurang daripada tiga puluh dirham. Pendapat lain pula berkata mut’ah itu sesuatu yang sedikit yang boleh dijadikan harta. Maka jika kedua suami isteri bersetuju atas kadar mut’ah yang tertentu maka eloklah kadar mut’ahnya.”

Dalam Kitab Raudhah At-Talibin, oleh Abi Zakaria yahya bin Syaraf al-Nawawi al-Dimasyki, ditahkik oleh Syeikh Adil Ahmad Abdul Maujud, Jilid 5, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiah, 2000, hlm. 637 ada menyebut:

“Disunatkan bahawa isteri yang dicerai itu diberi mut’ah sebanyak tiga puluh dirham.”

Adapun kadar mut’ah yang wajib ialah sebagaimana yang disebut dalam kitab yang sama halaman 596 seperti berikut:

“Adapun kadar mut’ah yang wajib jika kedua-dua belah bersetuju dengan sesuatu yang tertentu maka itulah kadar mut’ahnya.”

Di dalam kes Ida Hidayati binti Taufik v Ahmad Shukri bin Kassim JH (2004) XVIII/II, 259, KHS, Dato’ Johdi bin Toha dalam penghakimannya menyebut:

“Tidak ada penentuan nas mengenai kadar mutaah yang perlu dibayar kepada isteri yang diceraikan. Para fuqaha’ membuat ijtihadnya mengenai kadarnya. Ulamak Hanafi menetapkan bayaran mutaah merupakan tiga pakaian iaitu pakaian basahan, pakaian tudung kepala dan pakaian yang menutup aurat dari kepala hingga ke kaki. Ulamak Shafie pula berpendapat bahawa pemberian mutaah adalah tidak kurang daripada 30 dirham atau barang yang sama nilai dengannya ini adalah serendah-rendahnya yang disunatkan. Setinggi mutaah ialah bayaran tebusan jhadam (hamba) dan yang sederhana ialah pakaian. Disunatkan mutaah itu ialah juga kadarnya sampai separuh daripada mahar mithli”

Yang tersebut di atas adalah mengenai mut’ah yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Jika sekiranya bertelingkah mengenai kadarnya maka perkara ini hendaklah dirujuk kepada hakim. Ini telah dinyatakan di dalam kitab Hasyiah I’Anah At-Talibin, juzu’ 3 halaman 596:

“Jika berlaku perselisihan antara kedua belah pihak kadar mut’ah maka hakimlah yang akan menentukan mengikut kadar kedua belah pihak, pihak suami dilihat pada segi kemampuan dan sudut keturunan dan sifatnya.”

Dalam kitab Mughni al-Muhtaj juzu’ 3 halaman 249 ada menyatakan:

“Jika berlaku perselisihan antara kedua belah pihak tentang kadar mut’ah maka kadi yang menentukan kadar mut’ah itu mengikut ijtihadnya setelah melihat keadaan kedua belah pihak mengenai kemampuan suami dan keturunan serta sifat-sifat isteri.”

Suka juga saya merujuk kepada satu kes iaitu Rahaniah v Haji Ujang (1983) 4 JH 270, isteri yang telah diceraikan telah menuntut mut’ah sebanyak RM 10,000.00 daripada suaminya yang telah bersara. Di dalam kes ini hakim bicara telah memutuskan mut’ah sebanyak RM2,000.00 sahaja diberi kepada isteri. Ini adalah kerana memandang kepada kemampuan pihak suami. Dalam kes ini pihak Perayu tidak setuju memberi mut’ah kepada pihak Responden dengan alasan:
i.        Perceraian dipohon oleh pihak isteri sendiri
ii.       Pihak isteri tidak taat kepada suami
iii.      Pihak isteri berlaku curang dengan seorang bangsa asing

Setelah mahkamah mengkaji, bahawa ketiga-tiga perkara di atas bukanlah suatu halangan untuk bekas isteri mendapat mut’ah. Adapun halangan bekas isteri mendapat mut’ah adalah sebagaimana disebut dalam kitab Kitab Hasyiah I’Anah At-Talibin, juzu’ 3 halaman 496:

“Menyalahi masalah apabila perceraian itu berlaku disebabkan oleh isteri seperti isteri memeluk agama Islam sama ada isteri murtad, isteri memiliki suaminya, fasik isteri kerana keaiban isteri. Ataupun disebabkan kedua-duanya suami isteri seperti kedua duanya jadi murtad. Ataupun disebabkan kedua-duanya suami isteri seperti keduaduanya jadi murtad. Atau dengan sebab suami memilih isteri seperti suami memilih isteri selepas ia bernikah dengannya maka dalam masalah tersebut isteri tidak berhak mendapat mutaah.”

Dalam kes Faridah binti Sulaiman v Mohd Noh bin Othman JH (2005) XIX/I, 124, HMTS Kuala Lumpur dalam penghakimannya telah menyebut:

“Dasar mutaah adalah keredhaan kedua-dua pihak tetapi jika tidak tercapai persetujuan, maka penentuan boleh dibuat oleh qadhi . Penentuan kadar telah digariskan oleh syarak dengan nilai kedudukan kaya atau miskinnya suami serta sifat dan keadaan isteri. Sifat ialah perwatakan dan keadaan pula ialah kedudukan keluarga atau status keluarga dalam masyarakat. Kaya dan miskin ialah nil;ai semasa dari segi perolehan dan pemilikan. Tentang kadar yang harus diberikan tidaklah ditetapkan oleh syarak tetapi diserahkan mengikut keadaan semasa seperti yang terkandung di dalam surah al-Baqarah ayat 236 yang disebut sebelum ini, iaitu pemberian menurut ukuran kemampuannya sebagai kewajipan atas orang-orang yang berbuat kebaikan.”

YA HMTS dalam kes tersebut juga merujuk kerpada kitab al-Muin al Mubin oleh Ustaz Abdul Hamid Hakim, Juz 4, terjemahan bahasa Melayu oleh Syarif Zaini Daud, cetakan Rawa Pulau Pinang, muka surat 104 yang menyebut:

“Dan ada disebut bahawa Saidina Hussain bin Ali telah memberi mutaah salah seorang sebanyak sepuluh ribu dirham sambil mengatakan harta yang sedikit dari kekasih yang bercerai”

Nas-nas yang disebut diatas adalah sekadar menyentuh mengenai kadar asas yang menjadi panduan kepada Mahkamah untuk memutuskan sesuatu jumlah mutaah jika ada persetujuan, atau jika tidak ada persetujuan, terpulanglah pada ijtihad hakim itu sendiri. Soalnya, apakah formula yang perlu diikuti oleh Mahkamah ini untuk memutuskan kadar yang difikirkan munasabah?

Dalam memenuhi kehendak pihak-pihak dalam kes ini, saya telah berpeluang merujuk beberapa kes terdahulu yang boleh dijadikan asas penentuan kadar mutaah. Antara panduan yang boleh diambil ialah:

i) Dengan meletakkan kadar mutaah sama seperti nafkah iaitu keperluan harian.

Dalam kes Rokiah v Mohamed Idris (1986) 6 JH 272, mahkamah menyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan mutaah atas khidmat yang diberikan seperti mencuci, memasak dan menjaga rumahtangga. Jumlah yang dituntut dinilaikan sebagai RM1.00 sehari yang jumlah keseluruhannya ialah RM12,697.00 untuk tempoh 35 tahun 3 bulan dan 5 hari. Bagaimanapun Jawatankuasa Rayuan telah menolak cara pengiraan ini dan memerintahkan suami membayar sebanyak RM6,500.00 berdasarkan status kewangan suami dan status social isteri.

Bagaimanapun, dalam kes Jaliah v Abu Bakar (1987) 7 JH 72, kiraan mutaah sebanyak RM50.00 sebulan untuk tempoh 15 tahun perkahwinan telah dikurangkan kepada lapan tahun atas permintaan suami dan telah diterima oleh Mahkamah. Apa pun keputusannya, kes Jaliah ini adalah bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Panel rayuan dalam kes sebelumnya yang tidak menerima pengiraan dalam bentuk ini.

ii) kadar mutaah adalah lebih rendah dari kadar nafkah

Dalam kes Hajah Ramlah v Nor Husin (1999) 13 JH 103, YA Hakim telah mengambil pendekatan bahawa kadar mutaah hendaklah lebih rendah daripada kadar nafkah yang diterima oleh isteri pada setiap bulan. Oleh itu, YA Hakim telah menetapkan jumlah mutaah iaitu satu perempat (1/4) daripada jumlah nafkah yang diterima untuk sebulan dan dijumlahkan dengan tempoh perkahwinan. Jumlah keseluruhan ialah RM43,200.00.

Pengiraan dalam bentuk ini tidak diterima oleh Panel Jawatankuasa Rayuan seperti yang diputuskan oleh Prof Ahmad Ibrahim dalam kes Tengku Puteri Zainah v Dato’ Sri Mohd Najib (1998) 12 JH 1, dimana tiada nas yang khusus mengenainya dan mutaah bukanlah nafkah walaupun ianya kelihatan seperti hampir sama.

iii) melihat kepada kedudukan pihak-pihak, status kewangan suami dan taraf kehidupan isteri.

Dalam kes Tengku Anum Zaharah v Dato’ Dr Hussein (1980) 3 JH 125, oleh sebab pihak-pihak daripada keluarga yang berada dan isteri juga merupakan kerabat diraja, jumlah yang diperuntukkan ialah RM25,200.00.

Dalam kes Tengku Puteri Zainah v Dato’ Sri Mohd Najib (1998) 12 JH 1, Perayu menuntut RM5,000,000.00 sebagai bayaran mutaah walaupun Responden telah menawarkan sejumlah RM36,000.00 sebagai bayaran mutaah. Perayu telah meminta Responden menyenaraikan harta alih dan harta tak alih bagi tujuan pengiraan mutaah. Bagaimanapun, permohonan Perayu telah ditolak oleh Mahkamah kerana bertentantangan dengan tujuan mutaah itu sendiri. Untuk tujuan tersebut Mahkamah meletakkan prinsip pengiraan mutaah hendaklah mengikut kemampuan bekas suami dan kedudukan bekas isteri.

iv) Mengambil kira tempoh perkahwinan

Dalam kes Timah v Abdul Rahman (2001) JH 14, 297, Plaintif menuntut RM100,800.00 sebagai mutaah dengan mengambil kira usia perkahwinan selama 25 tahun yang dikira sebanyak RM8.00 sehari. Jumlah tersebut tidak dipersetujui oleh Defendan. YA Hakim mengambil kira Plaintif yang terpaksa tinggal dirumah saudara mara sehingga kes selesai. Dia juga mungkin menerima prasangka buruk daripada masyarakat akibat perceraian tersebut. Jumlah mutaah yang dibenarkan ialah 1/3 daripada jumlah yang dipohon.

Dalam kes Rusiah v Mohd Rafi Heinges (1999) 13 JH 227, Plaintif menuntut mutaah sebanyak RM22,550.00 dengan perkiraan sebanyak RM5.00 sehari di samping tuntutan-tuntutan lain. Mahkamah telah merujuk kepada keputusan kes terdahulu dan mengambil keputusan untuk tidak mengikat keputusan dengan apa-apa yang telah diputuskan. Mengambil kira kemampuan suami dan keturunan serta sikap isteri, mahkamah mensabitkan tuntutan mutaah sebanyak RM5,000.00 kerana Defendan tidak mempunyai kemampuan untuk membayar mutaah sebagaimana yang dituntut.

Dalam kes Safiyya v Ruzainee (2003) 16 JH 29, Plaintif menuntut mutaah sebanyak RM41,052.50 iaitu RM7.50 sehari selama 15 tahun. YA Hakim bersetuju dengan kiraan tersebut dan memerintahkan bayaran mutaah sebanyak RM27,373.00 selama 15 tahun kahwin dengan kadar RM5.00 sehari. Dengan mengambil kira kemampuan Defendan yang bekerja sebagai arkitek dan lamanya tempoh perkahwinan.

Dalam satu kes lain, Ida Hidayati binti Taufiq v Ahmad Shukri bin Kassim (2004) 18 JH 266, Mahkamah melihat kepada lamanya tempoh perkahwinan dan melihat kepada kemampuan suami serta taraf kedudukan isteri. Jumlah yang dibenarkan ialah RM48,000.00 daripada jumlah asal yang dipohon iaitu RM144,000.00.

v) Mutaah tidak diasaskan kepada kiraan jumlah harta yang terkumpul

Dalam kes Tengku Puteri Zainah v Dato’ Sri Mohd Najib (1998) 12 JH 1, Perayu menuntut sebanyak RM5,000,000.00 sebagai bayaran mutaah. Perayu berhujah Responden adalah seorang yang berkemampuan dan memiliki jumlah harta yang banyak. Perayu bagaimanapun gagal membuktikan jumlah harta-harta tersebut. Jawatankuasa Rayuan memutuskan jumlah harta yang dipunyai oleh suami tidaklah menjadikan sebagai asas dalam menentukan kadar mutaah. Sebaliknya Mahkamah menegaskan bahawa mutaah merupakan bayaran saguhati yang ditentukan dengan melihat kepada kemampuan suami dan kedudukan isteri bukan jumlah harta yang telah dikumpulkan. Mahkamah dalam kes ini tidak bersetuju dengan amalan yang diamalkan oleh Mahkamah Syariah Singapura yang menetapkan kadar mutaah sebanyak RM1.00 sehari kerana tidak terdapat nas atau amalan yang boleh menyokong amalan tersebut.

vi) Berdasarkan pendapatan tahunan

Dalam kes Ida Hidayati binti Taufiq v Ahmad Shukri bin Kassim (2004) 18 JH 266, Mahkamah menolak pembahagian mutaah berdasarkan peratusan daripada jumlah pendapatan tahunan memandangkan tidak ada nas yang khusus mengenainya.

vii) Kemampuan suami, kedudukan isteri dan pengorbanan sepanjang perkahwinan

Amalan yang paling kerap dilaksanakan di Mahkamah Syariah dalam menentukan kadar mutaah ialah dengan merujuk kepada nas syarak iaitu melihat kepada susah senang suami dan kedudukan isteri disamping melihat kepada pengorbanan isteri sepanjang perkahwinan mereka.

Dalam kes Ahmad Shah Ahmad Tabrani v Norhayati Yusoff (2004) 18 JH 33, Mahkamah Rayuan Syariah telah memutuskan sejumlah RM50,000.00 sebagai satu bayaran yang munasabah berbanding RM250,000.00 yang dituntut oleh Responden. Mahkamah Rayuan mengambil kira kemampuan suami yang berpendapatan RM9,000.00 sebulan sebagai seorang Jurutera perunding dan pengorbanan isteri yang berhenti kerja bagi menumpukan perhatian kepada keluarga.

Dalam kes Norma @ Normek binti Ghazali v Mohd Zain (2005) 19 JH 278, Mahkamah Rayuan mermutuskan jumlah RM10,000.00 sebagai munasabah berbanding dengan RM5,000.00 sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah sebelumnya dengan mengambil kira pendapatan suami sebanyak RM2,400.00 sebulan daripada pencen bulanan bekas Ahli Parlimen Malaysia bagi Kawasan Bachok dan Perayu sebagai seorang yang mempunyai taraf dan kedudukan yang baik dalam masyarakat dan dihormati.

Dalam kes lain, Mohd Farid bin Abdul Rahman v Rabihah binti Kamaruddin (2006) XXI/I JH 71, HMTS Kuala Lumpur telah memutuskan Perayu membayar mutaah sebanyak RM30,000.00 iaitu dengan mengekalkan jumlah yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah Syariah dimana jumlah tersebut dianggap munasabah dan berkemampuan berbanding pendapatan kasar perayu sebanyak RM18,000.00 sebulan.

Berdasarkan panduan yang disebut diatas, ianya banyak memberi panduan kepada saya dalam menentukan kadar yang munasabah dan patut bagi menentukan kadar mutaah yang dituntut dan saya lebih cenderung untuk mengikuti amalan di para iii dan vii diatas.

Perkara utama yang menjadi sandaran saya ialah kemampuan suami, kedudukan suami dan isteri dan melihat kepada faktor-faktor sampingan lain seperti pengorbanan isteri, menutup malu dan kesedihan dan sebagainya. Ini bermakna kemampuan kewangan hendaklah disokong dengan faktor-faktor lain seperti kedudukan, status dan taraf suami isteri dan sebagainya. Kemampuan semata-mata akan menyebabkan ketidak adilan dan akan berlakunya tuntutan yang tidak munasabah. Kedudukan, status atau taraf kehidupan pula hendaklah dinilai dari segi kemampuan kewangan, kerana tidak semestinya kedudukan yang baik dalam masyarakat bermakna berkemampuan membayar jumlah mutaah yang tinggi.

Saya percaya, atas dasar itulah Hukum syarak tidak menetapkan formula khusus untuk pengiraan kadar mutaah dan memberikan ruang yang luas untuk para hakim berijtihad, kerana mengambil mudah pada pengiraan kadar mutaah ini akan membuatkan tuntutan mutaah ini disalah gunakan oleh masyarakat.

Mengenai kemampuan suami, iaitu Defendan dalam kes ini, Plaintif membuktikan pendapatan tahunan suami untuk bulan Januari 2006 hingga November 2007 ialah RM877,397.48 iaitu lebih kurangnya secara purata sebanyak RM79,776.34 sebulan. Bagi tahun 2007, untuk pendapatan bagi bulan September dan Oktober, pendapatan bersih Defendan ialah RM118,624,69 dan RM110,287.79. Keterangan ini disokong oleh SP3 yang juga merupakan akauntan bertauliah di tempat pasangan ini bertugas.

Defendan dalam Pembelaannya menghujahkan bahawa pendapatan tersebut adalah pendapatan kasar dan masih belum dikira setelah potongan-potongan dibuat. Menurut Defendan, beliau terpaksa membelanjakan sebanyak RM38,658.00 sebulan bagi tujuan yang pelbagai.

Selain dari penafian, jumlah potongan tersebut tidaklah dibuktikan sewajarnya. Apa pun, jika diandaikan jumlah tersebut adalah benar sekali pun, pendapatan bulanan Plaintif masih mencecah kepada angka yang melebihi RM50,000.00. Dari analisis pendapatan ini, Defendan adalah termasuk daripada golongan yang berkemampuan.

Jika dilihat pula pada kedudukan isteri, Plaintif adalah seorang Doktor pakar. Sebagaimana Defendan, Plaintif juga adalah orang yang dihormati dalam masyarakat dan mendapat kedudukan atau status yang tinggi. Biarpun tidak mendapat penghormatan sebagai seorang yang penting dan ternama dalam masyarakat, kedudukan sebagai doktor biasa sudah pun dipandang tinggi dalam masyarakat kita. Biarpun begitu ianya tidaklah sampai ke tahap yang mulia atau disanjungi oleh masyarakat.

Perceraian walau apa sekalipun sebabnya, akan memberi kesan yang buruk kepada kedua-dua pihak terutamanya Plaintif. Ianya bukan sahaja menjejaskan kerjaya, tetapi juga tekanan peribadi dan persekitaran terutamanya ditempat kerja. Biarpun begitu, ianya tidaklah sampai kepada Plaintif dicerca oleh masyarakat atau kenalannya akibat perceraian tersebut.

Dari segi latar belakang keluarga, menurut keterangan yang ada, Plaintif tidaklah tergolong daripada keluarga bangsawan yang ternama. Bapanya sebagai seorang pesara kerajaan dan ibunya sebagai suri rumah adalah terdiri dari keluarga biasa yang boleh dikatakan mempunyai taraf sederhana dari sudut status dalam masyarakat. Saya juga berpendapat kehidupan Plaintif adalah lebih baik daripada kedudukan ibu bapa Plaintif jika dilihat dari sudut pandangan masyarakat.

Bagi Defendan pula, jika dibandingkan dengan Plaintif, taraf kehidupannya adalah hampir sama dan mempunyai kedudukan yang setara dalam masyarakat, iaitu tidak rendah dan tidak tinggi.

Dilihat pula dari sudut sumbangan dan pengorbanan Plaintif terhadap kerjaya Defendan, adalah tidak dinafikan Plaintif turut memberi sumbangan besar terutamanya membantu Defendan menamatkan pengajian bagi mendapat pengiktirafan sebagai doktor pakar terutamanya dalam menyiapkan kerja kursus sepanjang pengajian dan membantu dalam peningkatan kewangan Defendan ditempat kerja.

Saya juga melihat kesan perceraian kepada Plaintif. Sebagai seorang Doktor yang bertugas di tempat yang sama, perceraian sudah tentunya akan menjadi buah mulut rakan sekerja. Apatah lagi kemungkinan yang besar punca perceraian akibat daripada berlakunya tohmahan dengan orang ketiga yang juga bertugas di tempat yang sama, sudah tentunya memberi kesan yang amat besar dan mengaibkan Plaintif. Biarpun perceraian tersebut tidak dipedulikan oleh rakan-rakan sekerja atau kenalan Plaintif, tetapi sangkaan buruk mengenai perceraian yang akan diperkatakan orang sudah tentulah akan menghantui plaintif sepanjang masa, selagi Plaintif dan Defendan bekerja di tempat yang sama.

Saya kurang bersetuju dengan cadangan Plaintif yang mengasaskan taksiran mutaah berdasarkan kiraan nafkah dan upah menguruskan rumah tangga. Sungguhpun menguruskan rumah tangga adalah asas kepada mutaah, tetapi bukan kepada formula kiraan kadar mutaah seperti yang disebut dalam kes-kes terdahulu. Ianya lebih dekat kepada nafkah.

Demikian juga kepada lamanya tempoh perkahwinan kerana itu lebih mirip kepada harta sepencarian.

Juga bukan berasaskan harta yang terkumpul kerana tidak semestinya mereka yang berharta berkemampuan membayarnya.

Demikian juga dengan pendapatan tahunan kerana tiada nas mengenainya.

Bagaimanapun, saya mengasaskan pengiraan kadar mutaah ini berdasarkan kemampuan Defendan sewaktu perceraian berlaku, dan kemampuan semasanya yang mana kemampuan ini dibuktikan dengan sempurna oleh Plaintif.

Jadi berdasarkan alasan-alasan tersebut, saya berpendapat, mutaah adalah sesuatu yang wajib dibayar oleh Defendan kepada Plaintif.

Mengenai jumlahnya pula, saya berpendapat RM500,000.00 adalah suatu jumlah yang kurang munasabah jika dibandingkan kepada kedudukan dan status Plaintif dan Defendan dalam masyarakat.

Perceraian tersebut tidaklah menjadikan Plaintif seorang yang terhina dan dipandang serong. Mahkamah berpendapat, hanya Plaintif sahaja yang berperasaan demikian yang tertekan akibat perceraian kerana pada masa yang sama rakan-rakan Plaintif masih membantu dan memberikan sokongan kuat kepada Plaintif sepertimana yang diakui oleh SP1.

Bagaimanapun jika dibandingkan dengan pendapatan Defendan yang mencecah RM50,000.00 ke 70,000.00 sebulan menunjukkan Defendan seorang yang berkemampuan memberikan Mutaah yang lebih daripada apa yang ditawarkan kepada Plaintif iaitu 10% daripada apa yang dituntut oleh Plaintif.

Defendan juga mengakui ada simpanan RM100.000.00 dan sanggup memberikannya kepada Plaintif separuh dari simpanan tersebut.

Asas kepada Mutaah ialah keredhaan kedua pihak. Jumlah yang ditawarkan tidak dipersetujui oleh Plaintif dan jumlah yang dituntut tidak pula dipersetujui Defendan, maka terserahlah kepada Hakim untuk menggunakan ijtihadnya bagi memutuskan hal demikian.
Dalam soal ini saya mengambil pendekatan jumlah sebanyak RM50,000.00 sebagai asas tawaran dari Defendan dan RM20,000.00 lagi berdasarkan kesedihan, kesukaran Plaintif menjalani kehidupan selepas bercerai, pengorbanan Plaintif, kemampuan Defendan berdasarkan pendapatan bulanannya dan adanya wang simpanan yang boleh diperuntukkan untuk tujuan demikian.

Pada hemat saya juga, kemampuan Defendan telah dibuktikan dengan kehadiran SP3, seorang akauntan syarikat di tempat pasangan ini bekerja, yang boleh dikatakan saksi yang pakar dalam bidangnya. Saya percaya dan yakin Defendan mampu membayar lebih dari jumlah tersebut, tetapi saya juga melihat kepada status dan kedudukan pihak-pihak yang tidak mewajarkan tuntutan RM500,000.00 tersebut dipenuhi.

Bagi melaksanakan perintah ini, jumlah tersebut bolehlah dilangsaikan dalam tempoh tujuh bulan daripada tarikh perintah ini dikeluarkan dan terpulanglah kepada Defendan sama ada untuk membayarnya secara sekali gus atau ansuran atau apa-apa cara yang difikirkan wajar dalam tempoh tersebut.

Jumlah mutaah sebanyak RM70,000,00 tersebut adalah lebih munasabah melihatkan kepada purata pendapatan bulanan Defendan dan jumlah tersebut boleh mengubat duka bekas isteri yang diceraikan, ianya juga sebagai satu pemberian dengan jumlah munasabah yang penuh hormat dari bekas suami bersesuaian dengan kemampuannya dan kedudukannya.

KEPUTUSAN. Selepas mempertimbangkan permohonan Plaintif dan setelah meneliti keterangan dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mahkamah dengan ini memutuskan bahawa:

Adalah Diperintahkan bahawa Defendan, Abd Shukor Bin Mohd Hashim, Kad Pengenalan No.660905-04-5005 adalah difardhukan supaya membayar mutaah kepada Plaintif, Suraiya binti Mohamad Shafie, Kad Pengenalan No. 650502-08-5046 sebanyak RM70,000.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Puluh Ribu Sahaja).

Bayaran tersebut hendaklah dijelaskan oleh Defendan dalam tempoh 7 (tujuh) bulan daripada tarikh perintah ini dikeluarkan dan bayaran bolehlah dibuat sama ada secara sekali gus atau ansuran atau apa-apa cara yang difikirkan wajar dalam tempoh tersebut.

Mana-mana pihak bolehlah mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perintah ini dikeluarkan.

Perintah ini adalah berdasarkan penghakiman interparte antara kedua-dua belah pihak dan hendaklah berkuatkuasa serta merta.


4 ulasan: