Rabu, 13 Februari 2013

gugur hak mut'ah


Walaupun pada dasarnya isteri yang diceraikan berhak mendapat bayaran mut’ah dari suaminya namun hak tersebut akan hilang, lupus atau lucut dalam beberapa hal keadaan, situasi dan faktor. Salah satu darinya adalah:

-     -  apabila isteri bersetuju dalam perjanjian yang dibuat selepas perceraian bahawa dia tidak akan menuntut mut'ah daripada suaminya.

Untuk panduan serta penjelasan berikut ialah antara beberapa kes yang telah di putuskan di Mahkamah Syariah Malaysia dan di lapurkan di dalam Jurnal Hukum Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia berkaitan kenyataan persoalan diatas.

Joriah binti Doralim v Ibrahim bin Mamat 14 [2001] 1 JH 89. Pemohon dalam kes ini selain menuntut bayan nafkah eddah ada juga menuntut bayaran mut’ah sebanyak RM5,000.00. Diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka bahawa tuntutan mut’ah ditolak kerana dalam catatan Sijil Daftar Cerai ada tertulis ‘tidak menuntut’ maknanya sebagai persetujuan Plaintif tidak mahu menuntut.

Y.A.A.Datuk Hj Ibrahim Lembut dalam kes ini berkata:

Mengikut keterangan-keterangan ternyata perceraian bukan dari sebab keaiban isteri atau fasakh isteri tetapi dari  suami sendiri. Dengan talaq satu rajie. Oleh itu pihak isteri berhak mendapat kedua-dua nafkah iaitu mutaah dan eddahnya. Soalnya sekarang samada hak nafkah itu sudah terlupus kerana catatan ‘tidak menuntut’ sepertimana yang tercatat dalam sijil daftar cerai bil. 66/97 muka surat satu (1) IDP (Penentang) sebagai persetujuan. Dan Mahkamah tidak teragak-agak, pembelaan berikut ialah res judicata, jika tdak dibuktikan catatan ‘tidak menuntut’ membawa erti  ‘bukan tidak mahu menuntut’.

Dari keterangan dan hujah Pemohon yang diperolehi berkenaan catatan itu, Penentang selain menafikan ada keredaan dan mendakwa ini adalah tuntutan baru, saya berpendapat samada keredaan telah berlaku atau tidak atau tuntutan baru, yang perlu diberi perhatian dan pasti, Pemohon hendaklah membuktikan catatan itu, telah memberi erti selain daripada tidak mahu menuntut. Pemohon telah gagal membuktikannya. Mahkamah menolak kedua-dua tuntutan nafkah [mutaah] dan eddah.

RAHIMA BINTI BABA v ABU HANIFAH BIN BACHIK 19 [2005] 1  JH 171. Apabila Plaintif menuntut fasakh suami memberi syarat untuk bercerai yang antara lain bahawa Defendan tidak akan memberi nafkah iddah, mut'ah dan sebagainya. Syarat ini diterima isteri dan mereka bercerai di Mahkamah Qadi. Mahkamah Qadi meluluskan permohonan perceraian itu dengan menambah bahawa atas persetujuan bersama Mahkamah Qadi meluluskan syarat-syarat yang diberikan suami terhadap isteri dan penerimaannya diterima isteri. Antara syarat-syarat yang ditetapkan atau dipersetujui itu adalah suami akan menceraikan isteri dengan syarat suami tidak akan membayar nafkah iddah, mutaah dan sebagainya.

Selepas perceraian itu Plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah menolak tuntutan itu kerana Plaintif telah menggugurkan haknya keatas tuntutan itu sebagai syarat perceraian. Tuntutan pemberian sebanyak RM10,000.00 juga ditolak kerana tiada dalam pliding. Plaintif kemudiannya merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah.

Namun Mahkamah Rayuan Syariah Selangor mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan berkata:

Mengikut Wahbah Zuhaili dalam kitabnya al Fiqh al Islami wa adillatuh Jilid 6 Dar al Fikr 1997 ms 4377-78 syarat pelepasan/ibrak ada dua iaitu: perkara yang hendak diibrakkan adalah berupa hak dan bukan barang; dan perkara yang hendak diibrakkan itu hendaklah wujud ketika ketika ibra' dilakukan. Tiada syarat perkara yang hendak diibrakkan itu diketahui/maklum kadar dan sifatnya.

... Setelah kami meneliti kami dapati hak Pemohon pada waktu itu adalah hak yang sah untuk diibrakkan. ... Dalam hal ini kami dapati bahawa harta-harta yang menjadi tuntutan Perayu adalah selari dengan definisi harta sepencarian menurut seksyen 2 diatas. ...

Adapun hak-hak Perayu yang lain seperti nafkah iddah dan mut'ah adalah tidak sah diibrakkan kerana hak-hak ini masih belum wujud sehinggalah jatuh talak. Oleh yang demikian kami berpendapat hak-hak ini masih boleh dituntut oleh Perayu jika ingin berbuat demikian.

Mengenai isu pemberian wang RM10,000.00 itu kami sependapat dengan YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah bahawa setelah kami meneliti Rekod Rayuan kami dapati tiada dalam tuntutan Pemohon. Oleh yang demikian kami berpendapat tiada hukuman atau keputusan mengenainya.

BABJI BABJAN v ZAINAB MOHD SALLEH – 29 [2009] 2 JH 175. Plaintif dalam kes ini memfailkan permohonan untuk mengubah Perintah/Perjanjian Persetujuan yang dirakam sebelum itu di Majlis Sulh dan di rekodkan Mahkamah. Permohonan itu adalah terhadap Perintah mengenai nafkah anak, hak jagaan dan muta’ah. Defendan membuat bantahan awal memohon agar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membatalkan permohonan-permohonan Plaintif tersebut.

Diputuskan oleh Mahkamah bahawa permohonan untuk mengubah Perintah mengenai nafkah anak dan hak jagaan anak adalah boleh diteruskan berdasarkan seksyen 76 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984.

Seksyen 76. Kuasa bagi Mahkamah mengubah perjanjian penjagaan atau nafkah seseorang anak.

Mahkamah boleh pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa mengubah syarat-syarat sesuatu perjanjian berhubung dengan penjagaan atau nafkah seseorang anak sama ada perjanjian itu dibuat sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan, walau apapun peruntukkan yang berlawanan dalam perjanjian itu, jika Mahkamah berpuashati bahawa adalah munasabah dan untuk kebajikan anak itu berbuat demikian.

Manakala bantahan awal terhadap pemfailan permohonan untuk meminda perintah persetujuan mengenai bayaran mutaah sebanyak RM50,000.00 kepada RM20,000.00 adalah dibenarkan. maka jumlah mut’ah yang perlu dibayar adalah kekal sebanyak RM50,000.00. Alasan Mahkamah adalah merujuk kepada Arahan Amalan No. 5 tahun 2006; No. 11 tahun 2005 dan No. 15 tahun 2006.

YA Hakim dalam kes itu berkata:

Arahan Amalan No, 5 tahun 2006 ini dijadikan sandaran, iaitu menyatakan berkaitan Kesan Perjanjian Sulh:

kesan perjanjian persetujuan Sulh yang menepati kehendak Hukum Syarak yang telah direkodkan dan disahkan oleh Mahkamah tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu oleh pihak-pihak yang terlibat dengan perjanjian persetujuan tersebut. 

Tafsiran bagi maksud ‘tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu’ dalam Arahan Amalan No. 5 tahun 2006 ini juga perlu diperjelaskan, iaitu mahkamah berpendapat bahawa kesan suatu perjanjian secara sulh bukan sahaja tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu sahaja, malah turut bermaksud bahawa tidak boleh dibuat pindaan tanpa persetujuan pihak yang satu lagi dan tidak boleh diubah perintah tersebut tanpa mencapai persetujuan bersama antara pihak-pihak.
...
Berdasarkan pemakaian Arahan Amalan No. 5 tahun 2006 ini, ... setiap perjanjian sulh yang dimaksudkan dalam Arahan Amalan juga membawa maksud perjanjian bersama. Kedua-dua terma ini perlu dibaca bersama dan dengan itu mana-mana perkara berkenaan persetujuan bersama turut disebut ‘dan/atau sulh’. Contoh yang Mahkamah berikan ialah Arahan Amalan No. 11 tahun 2005 iaitu:

Mahkamah Rendah Syariah hendaklah merekodkan apa-apa terma Persetujuan Bersama dan/atau Sulh tetapi tidak boleh mengendorskan dalam kes-kes yang mana bidangkuasanya adalah termasuk di dalam bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah.

Begitu juga dengan Arahan Amalan No. 15 tahun 2006:

Perjanjian-perjanjian persetujuan bersama atau perjanjian semasa Majlis Sulh tidak boleh menggugurkan hak-hak isteri yang belum disabitkan melalui talaq iaitu nafkah iddah dan mut’ah dan hak anak iaitu hadhanah dan nafkah anak.


5 ulasan:

  1. salam cik zul

    ulasan yang menarik

    BalasPadam
    Balasan
    1. wa 'alaikum salam en hafizk. Terima kasih.

      Padam
  2. Salam en. Zul..

    Sy nk bertanya, adakah gugur hak mutaah bg isteri sekiranya dia diceraikan oleh suami atas sebab suami tidak tahan dgn perangai dn kelakuan isteri yg sgt tdk menghormati suami, mencaci suami, memaki suami, memaki ipar dn mertua dihadapan suami, memukul suami di khalayak ramai dn di depan ank2. Isteri bagaimanapun tdk mengaku telah melakukan semua itu. Bagaimanakah cara utk membuktikan perbuatan isteri itu sekiranya semasa kejadian hnya ada mereka berdua dn ank2 yg msh kecil?
    Mohon pencerahan.

    BalasPadam
  3. Boleh ke suami berkahwin lagi sebelum menyelesaikan muta'ah dan eddah bekas isteri????

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum... sy inginkan penjelasan bagaimana tindakan jika seorang suami yg sudah berkahwin itu telah memalsukan dokumen dengan menyatakan bahawa dia masih bujang sedangkan telah berkahwin? Dan ke manakah tempat pengaduan bagi pihak isteri pertama yg paling sesuai jika suami disabitkan dengan kesalahan tersebut?

    BalasPadam