Prosedur Tuntutan Mut’ah di Mahkamah Syariah –
Pliding (Siri 5).
Kuasa Mahkamah menolak
dan membatalkan Pliding
atas permohonan pihak
yang bertikai
Dalam posting yang
bertajuk ‘Pliding (Siri 4)’ kita telah membincangkan peruntukan seksyen 70 Enakmen
Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 mengenai kuasa Mahkamah untuk enggan
menerima yakni menolak Pliding yang di failkan sekiranya Pliding itu tidak
mematuhi Bahagian Enakmen VIII (bahagian VIII
ini bermula dengan seksyen 63 hingga seksyen 71 Enakmen ini dan khusus
mengenai ‘isu pliding’). Kuasa ini adalah kuasa berbentuk budibicara kehakiman Mahkamah
yang boleh di mohon oleh mana-mana pihak yang bertikai dan ianya juga boleh di
laksanakan oleh Mahkamah atas inisiatif dan kehendaknya sendiri demi untuk
keadilan kepada pihak lawan dan agar tiada pihak teraniaya atau menyusahkan
serta agar proses Mahkamah tidak di salahgunakan oleh mana-mana pihak yang
memohon pertimbangan dan keputusan Mahkamah.
Walaupun
peruntukan seperti dalam seksyen 70 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah
(Pahang) 2002 tidak dirujuk samasekali dalam kes AMNAH SHAARI v RODERICK
JOHN BROOKS 24 [2007] 1 JH 33 sedangkan peruntukan yang sama terdapat juga
dalam Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1988
namun kes ini boleh memberi panduan dan jawapan kepada isu mengenai kuasa
Mahkamah untuk membatalkan pliding dan prosiding atas alasan bahawa pliding
yang difailkan adalah cacat serta tidak menunjukan terdapatnya kausa tindakan dinyatakan
didalam pliding serta apakah hak locus
standi (Arab: Haq al-Muthul)
pihak yang memfailkan pliding itu. Terma ‘Locus
standi’ ini adalah terma dalam
bahasa Latin dan di gunakan sebagai istilah perundangan di Malaysia (samada di
Mahkamah Sibil mahupun di Mahkamah Syariah) yang secara ringkasnya bermaksud:
hak untuk membawa sesuatu kes ke Mahkamah ataupun hak untuk dibicarakan di
Mahkamah. Ia merujuk juga kepada hak untuk mendakwa/menuntut (apabila merujuk
kepada locus standi orang yang membuat tuntutan mahkamah) dan hak untuk di dakwa/di
tuntut (apabila merujuk kepada locus standi orang yang di tuntut).
Perkara dan
persoalan kausa tindakan dan locus standi ini jelas di peruntukan oleh seksyen
63 (1)(a) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pahang) 2002 kerana: ‘Tiap-tiap
pernyataan tuntutan hendaklah ditandatangani oleh plaintif atau Peguam
Syarienya dan hendaklah mengandungi
– (a) suatu pernyataan yang ringkas lagi padat, dalam perenggan-perenggan
yang bernombor, tentang fakta-fakta yang dijadikan sandaran oleh plaintif dan
menunjukkan kausa tindakannya,
termasuk butir-butir mengenai apa-apa sifat khas yang atasnya plaintif mendakwa,
jika ada;’
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Dalam kes AMNAH SHAARI v RODERICK JOHN BROOKS 24
[2007] 1 JH 33 suatu Saman telah di failkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala
Lumpur oleh pihak suami terhadap isterinya. Perenggan 10(a) Pernyataan Tuntutan
memohon Perintah mahkamah bagi menentukan taraf keislaman isteri. Pasangan ini
telah berkahwin pada tahun 1992. Saman ini di failkan oleh suami pada tahun
2006 setelah isteri memfailkan prosiding menuntut fasakh di Mahkamah Rendah
Syariah pada tahun 2005.
Dalam kes ini isteri telah memfailkan suatu
Permohonan untuk membatalkan Saman prosiding yang di failkan oleh pihak suami
tersebut.
Mahkamah Tinggi Syariah dalam kes ini berkata
(mukasurat 40 – 41):
Setiap
Saman hendaklah di sertakan dengan penyata tuntutan seperti yang di peruntkkan
di dalam seksyen 8(2) akta yang sama. Seksyen tersebut berbunyi:
8.
Tiap-tiap saman –
(a) ...
(b)
hendaklah di sertakan dengan suatu pernyataan tuntutan yang hendaklah mematuhi
kehendak seksyen 63.
Kehendak
seksyen 63 pula berbunyi:
(1) Tiap-tiap
pernyataan tuntutan hendaklah ditandatangani oleh plaintif atau Peguam
Syarienya dan hendaklah mengandungi –
(a) suatu pernyataan yang ringkas lagi padat,
dalam perenggan-perenggan yang bernombor, tentang fakta-fakta yang dijadikan
sandaran oleh plaintif dan menunjukkan kausa tindakannya, termasuk butir-butir
mengenai apa-apa sifat khas yang atasnya plaintif mendakwa, jika ada;
(b) butir-butir tuntutan yang mencukupi;
(c) suatu pernyataan tentang relief yang dituntut; dan
(d) butir-butir mengenai apa-apa permohonan lain.
(2) Jika
lebih daripada satu kausa tindakan dijadikan sandaran, alasan bagi setiap satu
tindakan dan relief yang dituntut berdasarkan kausa itu hendaklah dinyatakan
secara berasingan.
Sekiranya
saman dan penyata tuntutan tersebut tidak teratur, ianya tidaklah membatalkan
prosiding kecuali di arahkan oleh Mahkamah. Sek. 5 akta tersebut
memperuntukkan:
Ketakpatuhan mana-mana peruntukan Enakmen ini
atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya tidaklah membatalkan mana-mana
prosiding melainkan jika Mahkamah memerintahkan sedemikian, tetapi Mahkamah
boleh, atas kehendaknya sendiri atau atas permohonan mana-mana pihak,
mengetepikan mana-mana prosiding keseluruhannya atau sebahagiannya sebagai tak
teratur, atau memerintahkan supaya apa-apa pindaan dibuat atas apa-apa terma
yang difikirkannya adil.
Selain
daripada itu tidak terdapat lain-lain peruntukan yang secara jelas
memperuntukkan tentang kuasa mahkamah untuk menolak dan membatalkan sesuatu
saman. Dalam permohonan ini Pemohon (isteri) telah memohon untuk saman dalam
14600-099-0027-2006 ditolak atau dibatalkan oleh Mahkamah.
Setelah merujuk kepada seksyen 63 dan 244 Akta
Tatacara Mal Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dalam kes ini berkata
(mukasurat 43):
Setelah
merujuk kepada peruntukan-peruntukan, mahkamah ini berpuashati bahawa mahkamah
ini berbidang kuasa untuk mengeluarkan perintah penolakan atau pembatalan saman
walaupun tidak mempunyai peruntukan yang jelas seperti yang diperuntukkan di
bawah Aturan 18 Klausa 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.
Peruntukan seksyen 244 itu berbunyi:
Tiada apa-apa jua dalam
akta ini boleh disifatkan sebagai menghadkan atau menyentuh kuasa sedia ada
pada Mahkamah untuk membuat apa-apa perintah yang perlu untuk mengelakkan
ketidakadilan atau mengelakkan penyalahgunaan proses Mahkamah.
Selanjutnya Mahkamah Tinggi Syariah dalam kes ini
berkata (mukasurat 51 - 53):
Oleh
yang demikian, kes 14600-099-0027-2006 seolah-olah pembelaan bagi kes fasakh
tersebut tetapi dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah kerana masalah
bidangkuasa. Jika persoalan iktikad atau penentuan keIslamannya ini menjadi
soal dalam apa-apa prosiding di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam, maka
soal itu hendaklah diputuskan mengikut reputasi am, tanpa percubaan untuk
mempersoalkan keimanan, kepercayaan kelakuan perangai, watak perbuatan atau
kemungkiran orang itu. Oleh itu sek. 5 Undang-Undang Keluarga Islam terpakai
dalam kes ini. Sek. 5 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1984 berbunyi:
Jika bagi maksud Akta
ini timbul apa-apa soal tentang sama ada seseorang itu orang Islam, soal itu
hendaklah diputuskan mengikut kriterium reputasi am, tanpa membuat apa-apa
percubaan untuk mempersoalkan keimanan, kepercayaan, kelakuan perangai, watak,
perbuatan, atau kemungkiran orang itu.
...
Daripada
kes-kes tersebut samada dari kes-kes di Mahkamah Syariah ataupun kes-kes di
Mahkamah Sivil, mahkamah bersetuju dengan hujahan pemohon bahawa hak untuk
memulakan prosiding bagi penentuan agama atau pertukaran agama keluar dari
Islam hendaklah di mulakan sendiri oleh individu itu sendiri atau pihak
berkuasa Agama jika pihak itu masih hidup. Jika individu itu telah meninggal,
hak tersebut boleh dilaksanakan oleh waris-warisnya atau pihak berkuasa Agama.
Membenarkan individu lain mempersoalkan keimanan seseorang akan membuka jalan
kepada ruang gejala kafir mengkafir dalam masyarakat. Kafir mengkafir adalah
suatu yang haram berdasarkan nas-nas yang sahih.
Akhirnya Mahkamah Tinggi Syariah dalam kes ini
berkata (mukasurat 60):
Oleh
yang demikian saman No. 14600-099-0027-2006 adalah remeh dan tidak mungkin
berjaya dari segi undang-undang dan untuk mendapatkan penghakiman sewajarnya.
Keputusan
Oleh
yang demikian, ... mahkamah dengan ini membuat keputusan seperti berikut:
1.
Mahkamah dengan ini perintahkan saman
No. 14600-099-0027-2006 dibatalkan.
2.
Tiada perintah mengenai kos.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Tiada ulasan:
Catat Ulasan