Prosedur Tuntutan Mut’ah di Mahkamah Syariah – Pliding
(Siri 4).
Posting kali ini adalah mengenai perkara-perkara
dan isu-isu yang berikut:
1. Jawapan-Jawapan;
2. Kuasa Mahkamah enggan menerima Pliding atau mengembalikan
Pliding untuk di pinda;
3. Butir-Butir Lanjut; dan
4. Contoh-contoh
Pliding dan Permohonan Untuk Butir-Butir Lanjut.
Selamat membaca.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
1. Jawapan-Jawapan
Pliding Jawapan adalah satu lagi bentuk pliding
bagi menjawab perkara atau fakta material atau isu perundangan yang di
bangkitkan dalam pliding Pembelaan (yakni samada terhadap Pembelaan kepada
Pernyataan Tuntutan ataupun Pembelaan kepada Tuntutan Balas, mana yang
berkenaan). Mengenai perkara ini seksyen 69 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah
Syariah 2002 ada memperuntukkan seperti berikut:
Seksyen
69. Jawapan
Mahkamah
boleh, atas alasan yang mencukupi, memberi kebenaran untuk memfailkan dan
menyerahkan suatu jawapan kepada pembelaan, sama ada pembelaan itu ialah
pembelaan terhadap suatu tuntutan atau tuntutan balas.
Seksyen 69 tersebut dengan jelas membahagikan
Pliding Jawapan kepada dua jenis atau peringkat iaitu:
a.
Jawapan Kepada Pembelaan Defendan terhadap
Pernyataan Tuntutan:
peringkatnya
= Pernyataan Tuntutan → Pembelaan → Jawapan;
b.
Jawapan kepada Pembelaan Tuntutan Balas:
peringkatnya
= Pernyataan Tuntutan → Pembelaan & Tuntutan Balas → Jawapan &
Pembelaan terhadap Tuntutan Balas → Jawapan kepada Pembelaan Tuntutan Balas.
Seksyen itu juga dengan jelas menyatakan bahawa
pliding jawapan tersebut hanya boleh difailkan dan di serahkan selepas mendapat
kebenaran Mahkamah sahaja dan setelah Mahkamah berpuashati dengan alasan yang
mencukupi. Sehubungan dengan itu persoalan-persoalan berikut perlu dibincangkan
dalam posting ini:
i. Keperluan untuk memfailkan Jawapan kepada
Pembelaan;
ii. Tujuan Jawapan kepada Pembelaan; dan
iii. Bagaimana
untuk merangka jawapan yang berkesan.
1.1. Keperluan untuk memfailkan Jawapan
Kepada Pembelaan
Pihak yang menuntut lazimnya tidak diperlukan
untuk memfailkan Jawapan kepada Pembelaan, dan pihak yang menuntut (Plaintif) juga
tidak diandaikan sebagai telah mengakui kes pihak kena tuntut (Defendan) apabila
beliau tidak memfailkan jawapan, ataupun apabila tidak menyentuh langsung
dakwaan tertentu yang dibuat dalam jawapan. Pliding Jawapan hanya diperlukan sekiranya
ia (Jawapan itu) ingin membangkitkan apa-apa perkara tertentu yang perlu diplidkan,
seperti salahnyata, penipuan atau ketidaksahan disisi undang-undang.
1.2. Tujuan memfailkan Jawapan Kepada
Pembelaan
Dalam semua prosiding kes kecuali kes yang paling
mudah, ia (Jawapan) memberi manfaat kepada kedua-dua pihak bahawa pihak
menuntut itu berbuat demikian kerana jawapan berfungsi untuk:
1.2.1. mengurangi/mengecilkan isu yang
dipertikaikan antara pihak-pihak; dan
1.2.2.
menetapkan isu-isu yang perlu ditangani dalam
perbicaraan prosiding kes itu.
Jawapan sedemikian hendaklah dibuat dalam bentuk
pliding dan di failkan di Mahkamah bersama dengan fi pemfailannya. Pada masa
yang sama Jawapan hendaklah juga diserahkan atau di sampaikan kepada pihak
lawan.
1.3. Langkah-langkah
untuk merangka Jawapan dan Balasan yang berkesan
1.3.1.
Pengenalan
Plaintif
telah menyampaikan tuntutan dan pernyataan tuntutannya kepada Defendan.
Defendan kemudiannya telah menyampaikan Pembelaannya. Lembaran Fakta dalam
bentuk Pliding Jawapan ini adalah mengenai apa yang perlu dilakukan sebagai
tindak balas kepada Pembelaan. Di bawah Enakmen Tatacara Mal Plaintif boleh memfailkan
Jawapan kepada Pembelaan.
Jawapan
biasanya lebih pendek daripada Pernyataan Tuntutan atau Pembelaan. Ia adalah
lebih merupakan satu ringkasan mengemaskan apa-apa kelonggaran yang berpunca daripada
pliding sebelumnya, dan bukannya untuk mengemukakan sebarang asas baru bagi
tuntutan anda.
1.3.2.
Bilakah perlunya memfailkan pliding
Jawapan ?
Pliding
Jawapan adalah penting dalam dua keadaan berikut:
a. Defendan telah menimbulkan dakwaan fakta yang
baru; atau
b.
Defendan telah memfailkan tuntutan balas terhadap anda (tindak-balas terhadap
Tuntutan Balas dipanggil ‘Balasan’).
1.3.3.
Terdapat 5 langkah untuk merangka Jawapan dan Balasan yang berkesan
i.
Menerima-pakai pengakuan nyata dalam
Pembelaan
Kadangkala
terdapat juga dalam pliding Pembelaan pihak Defendan dengan nyata mengakui sebahagian
kenyataan dalam pliding Plaintif umpamanya dalam Pembelaan di nyatakan bahawa:
‘Defendan mengakui kebenaran kandungan perenggan 1, 3 dan 7 ( a) Pernyataan
Tuntutan’. Kesannya kepada Plaintif adalah:
a.
bahawa pengakuan sedemikian menguatkan lagi kes Plaintif walaupun Plaintif
masih perlu membuktikan kesnya dan Plaintif hanya perlu membawa bukti yang
formal sahaja dan tidaklah keterlaluan berat beban buktinya mengenai fakta yang
telah di akui itu; dan
b.
sekiranya Defendan ingin menarik balik pengakuannya sedemikian beliau perlulah
memohon kebenaran Mahkamah untuk berbuat demikian dan Plaintif berhak untuk
membuat bantahan terhadap permohonan sedemikian.
Jika pliding
Pembelaan tidak membuat pengakuan sedemikian tetapi sebaliknya mempertikaikan
kandungan pliding Plaintif atau diam sahaja maka Plaintif hendaklah membawa
keterangan samada berbentuk lisan atau dokumentasi atau kedua-duanya sekali.
Ini berdasarkan kaedah bahawa ‘Yang Mendakwa hendaklah membawa bukti keterangan
manakala Yang Kena Dakwa hendaklah bersumpah’.
Oleh
itu jika ada pengakuan nyata yang sedemikian dalam pliding Pembelaan maka pliding Jawapan hendaklah membuat kenyataan
yang bermaksud bahawa:
- Plaintif menerima pakai pengakuan yang di nyatakan di dalam
Pembelaan Defendan.
ii.
Plaintif tidak perlu respon terhadap
setiap perenggan (kecuali mengenai Tuntutan Balas)
Tidak
semestinya Plaintif memberi respon kepada setiap perenggan pliding Pembelaan.
Ini kerana pihak Plaintif telahpun mengemukakan kesnya dalam Pernyataan
Tuntutan. Sebagaimana yang telah di sebut diatas Plaintif hanya perlu memberi
Jawapan terhadap pernyataan fakta baru yang di dakwa oleh Pembelaan.
Ini
adalah kerana sekiranya Plaintif tidak menjawab atau tidak memberi respon
kepada kandungan Pembelaan beliau adalah dianggap sebagai ‘tidak mengakui’
kandungan Pembelaan. Walaupun Plaintif tidak menjawab Pembelaan itu beliau
masih boleh mempertikaikan keterangan Defendan mengenai dakwaannya itu.
Plaintif juga semasa perbicaraan masih boleh membawa keterangan dan buktinya
mematahkan dakwaan Defendan sekiranya ianya mengenai isu yang telah
dibangkitkan dalam pliding Plaintif sebelum itu.
iii.
Memberi respon terhadap fakta-fakta baru
yang ditimbulkan Defendan dalam Pembelaan
Pihak
menuntut perlu terlebih dahulu meneliti dan mengkaji kandungan setiap perenggan
dalam Pembelaan untuk melihat samada terdapat sebarang fakta baru ditimbulkan
oleh Defendan. Sekiranya Defendan ada membangkitkan fakta atau persoalan baru
maka Plaintif hendaklah memberi respon dengan menyatakan didalam pliding
Jawapannya samada ianya diakui, atau tidak diakui kebenarannya ataupun
menafikan kenyataan fakta tersebut seperti menyatakan didalam pliding Jawapan
yang membawa maksud:
- Plaintif
menafikan kebenaran kandungan perenggan 4 Pembelaan Defendan atas alasan bahawa
...’.
iv.
Memberi respon terhadap sebarang alasan
pembelaan
Pihak
Kena Tuntut atau Defendan boleh bertindak balas kepada tuntutan Pihak Menuntut
dalam beberapa cara. Defendan mungkin menimbulkan pembelaan dalam bentuk
perkara undang-undang (umpamanya dengan mengatakan bahawa tuntutan Plaintif
telah luput-masa), ataupun berdasarkan fakta, ataupun berdasarkan
persoalan-campuran disisi fakta serta
undang-undang. Jika yang dibangkitkan itu adalah suatu pembelaan disisi
persoalan undang-undang, maka Plaintif boleh bertindak balas dengan cara yang
Defendan menjawab Pernyataan Tuntutan, contohnya:
- Terhadap kandungan perenggan 11
Pembelaan, Plaintif menafikan bahawa tuntutan itu telah dibawa di luar had batasan
masa yang ditetapkan kerana ..." .
v.
Respon kepada Tuntutan Balas Defendan –
dalam bentuk pliding Jawapan
Plaintif
perlu menjawab terhadap kandungan Tuntutan Balas Defendan seolah-olah Tuntutan
Balas itu adalah merupakan suatu pliding Pernyataan Tuntutan dan Plaintif hendaklah
bertindak seolah-olah beliau merangka suatu Pembelaan. Maka Plaintif hendaklah
-
•
beri respon terhadap setiap perenggan
Tuntutan Balas;
•
menafikan sebarang dakwaan fakta yang
tidak diakui Plaintif; dan
•
pastikan bahawa Plaintif memberi
pembelaan terhadap tuntutan balas itu (samada dari segi fakta, undang-undang
ataupun campuran fakta dan undang-undang).
Apa yang akan terjadi seterusnya?
Dalam kebanyakan kes, pliding Jawapan adalah merupakan
pliding terakhir yang perlu difailkan sebelum peringkat / tahap yang disebut
sebagai peringkat pliding dianggap telah ditutup dan peringkat kes selepas itu
adalah diperingkat perbicaraan pula. Samada pliding Jawapan itu difailkan atau
pun tidak, pihak-pihak dalam prosiding itu boleh memohon agar kes diteruskan
keperingkat selanjutnya iaitu peringkat proses menjalankan perbicaraan penuh
oleh Mahkamah. Inilah tatacara yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah buat masa
ini walaupun terdapat peruntukan penzahiran dokumen dan fakta (Bahagian XI
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pahang) 2002.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
2. Kuasa Mahkamah enggan
menerima Pliding atau mengembalikan Pliding untuk di pinda
Dalam kes KAMARIAH BINTI SALIM v ZULKIFLI BIN
PUTEH (kes Mal Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam No. 481-2001 – tidak di
lapurkan) Mahkamah telah menolak Pliding Pembelaan suami kerana tidak menjawab
tuntutan isteri (kes fasakh) bahkan Pliding Pembelaan itu sebaliknya berbentuk
mengelak dan mengandungi pernyataan yang terjumlah kepada penghinaan Mahkamah
serta institusi kehakiman.
Kuasa Mahkamah untuk menerima ataupun
mengembalikan Pliding untuk di pinda jelas di peruntukkan oleh seksyen 70
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 sekiranya Pliding itu tidak mematuhi
Bahagian Enakmen VIII (bahagian VIII ini
bermula dengan seksyen 63 hingga seksyen 71 Enakmen ini dan khusus mengenai
‘isu pliding’). Kuasa ini adalah merupakan budibicara kehakiman Mahkamah yang
boleh di mohon oleh mana-mana pihak yang bertikai dan ianya juga boleh di
laksanakan oleh Mahkamah atas inisiatif dan kehendaknya sendiri demi untuk
keadilan kepada pihak lawan dan agar tiada pihak teraniaya atau menyusahkan.
Seksyen
70. Keengganan menerima pliding dan pindaan
Mahkamah
boleh enggan menerima atau boleh mengembalikan untuk dipinda mana-mana pliding
yang tidak mematuhi kehendak Bahagian ini.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
3. Butir-Butir Lanjut
Dalam pliding,
butir-butir lanjut dan jelas adalah merujuk kepada maklumat tambahan yang
diperlukan bagi memaklumkan dengan ketepatan yang mencukupi berkenaan dengan sesuatu
set fakta yang diplidkan dalam dokumen pliding terdahulu. Pihak yang merasakan
bahawa fakta-fakta yang berkenaan tidak diplidkan secukupnya bolehlah membuat
permintaan bagi mendapatkan maklumat lanjut yang lebih jelas atau kenyataan yang
lebih khusus mengenai kenyataan dalam pliding yang berkaitan. Dakwaan yang
tidak diplid dengan secukupnya sebaliknya akan menyebabkan kesukaran untuk di
jawab.
Jika responden
kepada permintaan itu mempercayai bahawa dakwaan dalam plidingnya itu telah cukup
jelas, dan bahawa pihak yang meminta itu hanya memancing untuk maklumat lanjut
atau hanya untuk menyusahkan semata-mata, maka responden itu hanya perlu
memberi jawapan ringkas seperti: "tidak layak" atau "telah
mencukupi diplidkan".
Perlu di
ketahui bahawa prinsip ‘permintaan untuk butir-butir lanjut dan jelas’ ini
adalah berbeza dengan ‘interogatori’. Permintaan untuk butir-butir lanjut dan jelas
adalah berkaitan dengan pliding (yang menentukan isu-isu), manakala
interogatori adalah berkaitan dengan bukti (yang membuktikan atau menyangkal
dakwaan yang diplidkan).
Mengenai perkara ini seksyen 71 Enakmen Tatacara
Mal Mahkamah Syariah ada memperuntukkan seperti berikut:
Seksyen
71. Butir-butir
(1)
Jika mana-mana pliding tidak mengandungi butir-butir yang mencukupi, Mahkamah
boleh, atas kehendaknya sendiri atau atas permohonan mana-mana pihak,
memerintahkan pihak yang bertanggungjawab supaya memfailkan dan menyebabkan
disampaikan butir-butir lanjut dan jelas, dan boleh menggantung semua prosiding
sehingga perintah itu dipatuhi.
(2)
Butir-butir lanjut dan jelas boleh difailkan dan disampaikan atas permintaan
tanpa perintah.
Mahkamah Syariah dalam kes Tengku Puteri Zainab
v Dato Sri Mohd Najib 12 [1998] 1 JH 1 boleh di rujuk sebagai panduan
apabila ingin membuat permohonan untuk butir-butir lanjut dan kes itu telahpun
di rujuk beberapa kali dalam posting yang lalu dalam blog ini.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
4. Contoh-contoh Pliding dan Permohonan Untuk Butir-Butir
Lanjut
a. Pliding: Jawapan
kepada Penyata Pembelaan dan Pembelaan kepada Tuntutan Balas
DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI KUALA LIPIS
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ??? TAHUN 2013
ANTARA
AAAA BINTI BBBB –
(nama penuh isteri)
[KPPN NO:
xxxxxx-yy-iiii / paspot ] …
PLAINTIF
DAN
CCCC BIN DDDD –
(nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]
…DEFENDAN
JAWAPAN
KEPADA PEMBELAAN
Plaintif
memohon kebenaran Mahkamah untuk merujuk dan menjawab Pembelaan dan Tuntutan Balas Defendan
bertarikh 04hb September 2013 seperti berikut:
1. Plaintif menerima pakai pengakuan
yang di nyatakan di dalam Pembelaan Defendan.
2. Terhadap perenggan 2 Penyata
Pembelaan Plaintif menegaskan bahawa Defendan tidak ada membuat sebarang
bayaran mut’ah kepada Plaintif sehingga kini.
3.
Plaintif menafikan kebenaran
kandungan perenggan 3 dan 4 Penyata Pembelaan Defendan dan meletakkan
Defendan untuk membuktikan pengataannya dengan beban pembuktian yang keras
dan tepat serta mengikut Hukum Syarak.
4. Oleh yang demikian Plaintif memohon
agar Tuntutan Plaintif di benarkan dengan kos.
PEMBELAAN KEPADA TUNTUTAN BALAS
5.
Terhadap perenggan 1 Tuntutan Balas
Defendan, Plaintif menegaskan bahawa ...
6.
Terhadap perenggan 2 Tuntutan Balas
Plaintif menegaskan bahawa ...
7.
Selanjutnya dan/atau pilihan
Plaintif menegaskan bahawa:
a.
...;
b.
...;
8.
Selanjutnya dan/atau pilihan
Plaintif menegaskan bahawa kandungan perenggan 1, 2 dan 3 Tuntutan Balas
adalah tidak benar samasekali. Plaintif meletakkan Defendan untuk membuktikan
pengataannya itu dengan beban pembuktian yang keras dan tepat serta mengikut
Hukum Syarak.
9.
Selanjutnya dan/atau pilihan
Plaintif menegaskan bahawa Defendan tidak mempunyai sebarang kausa tindakan
atau tuntutan balas yang sah terhadap Plaintif.
10. Kecuali diperakui dengan nyata
terdahulu daripada ini Plaintif menafikan setiap dan tiap-tiap pernyataan
fakta yang terkandung dalam Tuntutan Balas Defendan itu seolah-olah ia
dinyatakan di dalam ini dan disangkal dengan khususnya.
11.
Oleh yang demikian Plaintif memohon
agar Tuntutan Balas Defendan ditolak dengan kos.
Bertarikh pada haribulan 2013.
------------------------------
Peguam
Syarie Plaintif
Jawapan
kepada Penyata Pembelaan dan Pembelaan kepada Tuntutan
Balas ini difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS,
Peguam Syarie Plaintif yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis,
Pahang Darul Makmur.
|
b.
Permohonan Untuk Butir-Butir Lanjut : contohnya Plaintif menuntut bayaran mut’ah
dan Defendan mempertikaikan tuntutan Plaintif dan selanjutnya membuat Tuntutan
Balas dalam bentuk tuntutan mengenai harta sepencarian. Plaintif memerlukan
butiran lanjut dan jelas mengenai tuntutan balas Defendan dan Peguamnya menulis
surat kepada Peguam Defendan untuk membekalkan beberapa maklumat butiran lanjut
dan jelas sebelum memfailkan pliding Jawapan dan Pembelaan kepada Tuntutan
Balas. Oleh kerana Peguam Defendan enggan membekalkan maklumat butiran tersebut
maka suatu permohonan di failkan ke Mahkamah untuk memerintahkan Defendan
membekalkan butiran-butiran yang di perlukan.
Berikut
ialah contoh permohonan yang berkenaan beserta dengan hujahan bertulis yang
berkaitan.
DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI KUANTAN
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ??? TAHUN 2013
ANTARA
AAAA BINTI BBBB –
(nama penuh isteri)
[KPPN NO:
xxxxxx-yy-iiii / paspot ] …
PLAINTIF
DAN
CCCC BIN DDDD –
(nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]
…DEFENDAN
PERMOHONAN
[Subseksyen
71 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002]
Ambil perhatian bahawa AAAA BINTI BBBB Plaintif yang dinamakan diatas akan memohon kepada
Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan pada hari pada haribulan 2013 pukul
pagi/petang
untuk mendapatkan suatu Perintah bahawa:-
1. Defendan hendaklah memfailkan di Mahkamah ini
serta hendaklah menyebabkan disampaikan keatas Plaintif butir-butir lanjut
dan jelas mengenai perkara berikut:
i. mengenai perenggan 6 Tuntutan Balas dalam
prosiding ini:
a. tarikh
pemerolehan aset;
b. dari
siapa aset diperolehi;
c. butiran
penuh geran aset termasuk nombor daftaran, mukim dan negeri;
ii. mengenai perenggan 7 Tuntutan Balas dalam
prosiding ini:
a. senaraikan
dengan terperinci butiran mengenai tarikh-tarikh serta jumlah-jumlah wang
yang dibayar Defendan;
b. senaraikan
resit-resit bayaran;
c. nyatakan
nama Bank yang berkenaan.
2. semua prosiding tuntutan balas Defendan didalam ini adalah di gantung/di batalkan melainkan Defendan mematuhi semua Perintah kepada Permohonan ini dalam tempoh sebulan dari tarikh Perintah ini;
3. Lain-lain relif atau Perintah yang Mahkamah ini
rasakan sesuai.
Alasan-alasan
permohonan adalah sepertimana yang dinyatakan didalam Afidavit yang
dilampirkan.
Bertarikh pada
haribulan
2013.
....................................
Peguam Syarie Plaintif
PERMOHONAN ini difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS, Peguam Syarie Plaintif
yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.
*********************
DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI KUANTAN
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ??? TAHUN 2013
ANTARA
AAAA BINTI BBBB –
(nama penuh isteri)
[KPPN NO:
xxxxxx-yy-iiii / paspot ] …
PLAINTIF
DAN
CCCC BIN DDDD –
(nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]
…DEFENDAN
AFIDAVIT
Saya RRRR [KPPN
NO: ------] yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang
berikrar dan menyatakan seperti berikut :-
1.
Bahawa saya telah
diarahkan Plaintif dengan sempurnanya untuk mengikrarkan afidavit ini bagi
pehaknya selaku Peguam Syarie. Plaintif ingin memfailkan suatu Pembelaan
terhadap Tuntutan Balas yang difailkan Defendan namun memerlukan terlebih
dahulu beberapa butir-butir lanjut serta yang lebih jelas dari Defendan.
2.
Sehubungan dengan
itu firma saya melalui surat berdaftar AT yang diposkan pada 25.08.2009 telah
membuat permintaan kepada Peguam Syarie Defendan agar butir-butir lanjut dan
jelas mengenai perenggan 6 dan 7 Tuntutan Balas dibekalkan dalam tempoh 14
hari kepada firma saya selaku Peguam Syarie Plaintif. Namun begitu Peguam Defendan
tidak membekalkan butir-butir yang diminta tersebut.
Butir-butir lanjut tersebut adalah
seperti berikut:
i. mengenai perenggan 6 Tuntutan Balas dalam
prosiding ini:
a. tarikh
pemerolehan aset;
b. dari
siapa aset diperolehi;
c. butiran
penuh geran aset termasuk nombor daftaran, mukim dan negeri;
ii. mengenai perenggan 7 Tuntutan Balas dalam
prosiding ini:
a. senaraikan
dengan terperinci butiran mengenai tarikh-tarikh serta jumlah-jumlah wang
yang dibayar Defendan;
b. senaraikan
resit-resit bayaran;
c. nyatakan
nama Bank yang berkenaan.
Saya
lampirkan disini serta ditanda sebagai Ekshibit 'A' salinan surat yang
berkenaan beserta kad Akuan Terimanya.
3.
Terhadap perenggan
6 Tuntutan Balas Plaintif menegaskan bahawa sepanjang tempoh perkahwinan
pasangan ini tidak pernah memperolehi rumah yang dikatakan oleh Defendan.
Dalam perenggan itu juga dinyatakan bahawa salinan Geran Tanah akan
dikemukakan. Merujuk kepada Arahan Amalan JKSM No. 6 Tahun 2007 adalah jelas
bahawa Defendan perlu membekalkan butiran terperinci mengenai hartanah yang
terlibat.
4.
Terhadap perenggan
7 Tuntutan Balas Plaintif menegaskan bahawa sepanjang tempoh perkahwinan
pasangan ini tidak pernah membuat pembayaran rumah yang dikatakan oleh Defendan
di mana-mana Bank.
5.
Oleh itu butiran
penuh diatas adalah patut dan perlu didapatkan dari Defendan sebelum Jawapan
dan Pembelaan Kepada Tuntutan Balas dapat disediakan, difailkan dan
diserahkan. Butiran dalam perenggan 6 dan 7 Tuntutan Balas adalah tiada
didalam pengetahuan Plaintif tetapi hanya didalam pengetahuan Defendan.
6.
Saya bagi pehak
Plaintif dengan ini memohon agar suatu Perintah dibawah sub-seksyen 71 Enakmen
Tatacara Mal Mahkamah Syariah dikeluarkan supaya perbicaraan yang adil dapat
dicapai.
Di ikrarkan pada haribulan ... 2013 ]
di
]
oleh RRRR ]
Dihadapan saya
……………………………….
Hakim/Pendaftar
AFIDAVIT ini difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS, Peguam Syarie Plaintif
yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.
*********************
DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI KUANTAN
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ??? TAHUN 2013
ANTARA
AAAA BINTI BBBB –
(nama penuh isteri)
[KPPN NO:
xxxxxx-yy-iiii / paspot ] … PLAINTIF
DAN
CCCC BIN DDDD –
(nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]
…DEFENDAN
SIJIL
PERAKUAN EKSHIBIT
Saya dengan ini memperakui bahawa berikut adalah ekshibit yang
bertanda “A” yang dirujuk dalam Afidavit RRRR yang diikrarkan pada haribulan 2013.
Di hadapan saya,
..............................................
HAKIM /
PENDAFTAR
AFIDAVIT ini difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS, Peguam Syarie Plaintif
yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.
|
c. Contoh Hujahan Bertulis Mengenai Permohonan
Untuk Butir-Butir Lanjut dan Jelas.
DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI KUANTAN
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ??? TAHUN 2013
ANTARA
AAAA BINTI BBBB –
(nama penuh isteri)
[KPPN NO:
xxxxxx-yy-iiii / paspot ] …
PLAINTIF
DAN
CCCC BIN DDDD –
(nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]
…DEFENDAN
HUJAHAN BERTULIS PEMOHON/PLAINTIF
Ini
adalah hujahan Pemohon/Plaintif mengenai permohonan Pemohon dibawah seksyen
71 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002. Permohonan ini dengan disokong
oleh Afidavit bertarikh 01.10.2009 [selepas ini dirujuk sebagai 'Afidavit Plaintif
tersebut' sahaja] adalah mengenai butir-butir lanjut dan jelas kepada
perenggan 6 dan perenggan 7 Tuntutan Balas Defendan. Permohonan itu memohon
Perintah berikut:
1. Defendan hendaklah memfailkan di Mahkamah ini
serta hendaklah menyebabkan disampaikan keatas Plaintif butir-butir lanjut
dan jelas mengenai perkara berikut:
i. mengenai perenggan 6 Tuntutan Balas dalam
prosiding ini:
a. tarikh pemerolehan aset;
b. dari siapa aset
diperolehi;
c.
butiran penuh geran aset termasuk nombor daftaran, mukim dan negeri;
ii. mengenai perenggan 7 Tuntutan Balas dalam
prosiding ini:
a.
senaraikan dengan terperinci butiran mengenai tarikh-tarikh serta
jumlah-jumlah wang yang dibayar Defendan;
b. senaraikan resit-resit
bayaran;
c. nyatakan nama Bank yang berkenaan.
2. semua
prosiding tuntutan balas Defendan di dalam ini adalah di gantung/di batalkan melainkan Defendan mematuhi semua
Perintah kepada Permohonan ini dalam tempoh sebulan dari tarikh Perintah ini;
3.
Lain-lain relif atau Perintah yang Mahkamah ini rasakan sesuai.
Melalui
surat bertarikh 25.08.09 peguam Plaintif telah membuat permintaan kepada
peguam syarie Defendan agar dibekalkan butir-butir tersebut dibawah
peruntukan seksyen 71 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002. Peguam Defendan
tidak membekalkan butir-butir yang diminta tersebut. Ini dinyatakan didalam
perenggan 2 serta ekshibit A Afidavit Plaintif tersebut.
Oleh
itu permohonan ini difailkan di Mahkamah untuk membolehkan Perintah dibawah
seksyen 71 Enakmen tersebut dikeluarkan bagi tujuan perbicaraan yang adil.
Sebagaimana
yang dinyatakan didalam perenggan 5 Afidavit
Plaintif tersebut butir-butir itu patut dan perlu didapatkan sebelum Jawapan
dan Pembelaan Kepada Tuntutan Balas dapat disediakan, difailkan dan
diserahkan. Butir-butir itu adalah didalam pengetahuan Defendan dan tiada
dalam pengetahuan Plaintif.
Perenggan
3 Afidavit Plaintif tersebut adalah mengenai butir-butir
kepada perenggan 6 Tuntutan Balas.
Rumah yang dikatakan/dituntut Defendan tidak pernah 'diperolehi' oleh
Plaintif.
Perenggan
6 Tuntutan Balas Defendan menyatakan:
'Dalam tempoh perkahwinan,
pihak-pihak telah memperolehi sebuah rumah yang beralamat di No. .... .
(salinan GERAN TANAH tersebut
akan dikemukakan di Mahkamah kelak).'
Seksyen
66 (1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 adalah mengenai pliding
Tuntutan Balas dan hendaklah di baca bersama dengan seksyen 63 Enakmen
Tatacara Mal Mahkamah Syariah. Maka Tuntutan Balas hendaklah mengandungi
fakta-fakta yang dijadikan sandaran oleh Defendan dan yang menunjukkan kausa
tindakan (maksud seksyen 63 [1](a)). Dalam kes ini fakta-fakta yang
dimaksudkan itu adalah fakta-fakta yang perlu bagi menunjukkan kausa tindakan
harta sepencarian yang dikatakan Defendan sebagai 'diperolehi'.
Sepertimana
Pernyataan Tunttuan sesuatu Tuntutan Balas hendaklah mengandungi butir-butir
tuntutan balas defendan (maksud seksyen 63 [1](a)). Dalam kes ini butiran
terperinci mengenai harta perlu dinyatakan didalam Tuntutan Balas Defendan.
Butiran itu adalah seperti yang dinyatakan didalam Arahan Amalan No. 6 tahun
2007.
Menurut
Arahan Amalan No. 6 tahun 2007 adalah jelas bahawa Defendan perlu menyatakan
didalam Tuntutan Balasnya butiran terperinci mengenai hartanah tersebut.
Arahan Amalan tersebut yang berkuatkuasa mulai 15 Jun 2007 memperuntukan
bahawa:
Butiran Perintah Harta Sepencarian
Berbentuk Hartanah
Perintah harta
sepencarian yang berbentuk hartanah hendaklah mengandungi antaranya
perkara-perkara berikut :-
1. Nombor hakmilik
/ strata / parcel
2. Bebanan dan
sekatan kepentingan
3. Nombor lot / PT
4. Mukim
5. Daerah
6. Bahagian tuan
tanah
7. Tuan tanah
berdaftar
8. Perisytiharan
sebagai harta sepencarian
9. Bahagian yang
diisytiharkan sebagai harta sepencarian.
Disamping
itu Defendan didalam perenggan 6 Tuntutan Balas tersebut menyatakan bahawa
beliau akan mengemukakan salinan Geran hartanah tersebut sedangkan sepatutnya
butiran terperinci tersebut perlu dinyatakan didalam Tuntutan Balas agar Plaintif
dapat membuat pembelaannya.
Fakta-fakta
yang diperlukan oleh Seksyen 66 (dibaca bersama seksyen 63[1](a) dan (b))
serta Arahan Amalan 6/2007 tidak ujud didalam Tuntutan Balas Defendan. Maka
dengan itu Defendan perlu membekalkan fakta-fakta dan butiran tersebut kepada
Plaintif apabila diminta oleh plaintif.
Seksyen
63 (1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 memperuntukan:
[1]
Tiap-tiap pernyataan tuntutan hendaklah ditandatangani oleh Plaintif atau
Peguam Syarienya dan hendaklah mengandungi:-
(a)
suatu perenggan yang ringkas lagi padat, dalam perenggan-perenggan yang
bernombor, tentang fakta-fakta yang dijadikan sandaran oleh Plaintif dan
menunjukkan kausa tindakannya, termasuk butir-butir mengenai apa-apa sifat
khas yang atasnya plaintif mendakwa, jika ada;
(b) butir-butir
tuntutan yang mencukupi;
... ...
Dalam
pliding Tuntutan Balas yang menuntut adalah Defendan maka beban mematuhi
seksyen 63 adalah merujuk keatas ‘Defendan’. Dalam ertikata lain perkataan
‘Plaintif’ disitu merujuk kepada ‘Defendan’ sebenarnya bagi memenuhi kehendak
seksyen 66.
Setiap
pliding adalah dihujahkan perlu menyatakan fakta-fakta mengenai apa yang
ingin dibuktikan di Mahkamah atau yang menjadi sandaran tuntutan balas
Defendan. Permohonan Plaintif ini adalah mengenai fakta-fakta yang sedemikian
dan bukannya mengenai acara pembuktian. Jika pliding Defendan tiada
mengandungi fakta-fakta sedemikian secara yang mencukupi maka seksyen 71
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 adalah terpakai dan boleh
dikuatkuasakan. Inilah yang terjadi didalam kes ini.
Seksyen
71 itu memperuntukan:
[1]
Jika mana-mana pliding tidak mengandungi butir-butir yang mencukupi,
Mahkamah boleh, atas kehendaknya sendiri atau atas permohonan mana-mana
pihak, memerintahkan pihak yang bertanggungjawab supaya memfailkan dan
menyebabkan disampaikan butir-butir lanjut dan jelas, dan boleh menggantung
semua prosiding sehingga perintah itu dipatuhi.
[2]
Butir-butir lanjut dan jelas boleh difailkan dan disampaikan atas permintaan
tanpa perintah.
Tambahan
kepada itu peruntukan diatas adalah bersesuaian dengan asas pendakwaan
didalam Islam sebagaimana yang dimaksudkan didalam hadis hasan berikut
sebagaimana yang diriwayatkan oleh al Baihaqi dan Ahmad:
'Jika manusia diberi segala apa yang
didakwanya nescaya ada diantara manusia yang mendakwa harta sesuatu kaum dan
menuntut hutang darah mereka. Tetapi pembuktian adalah ditanggung oleh
orang yang mendakwa dan sumpah dikenakan keatas orang yang ingkar.'
لو
يعطى النا س بد عواهم رجال أموال قوم ودماءهم، لكن البينة عل المدعي، واليمين عل
من أنكر.
Perenggan
4 Afidavit Plaintif tersebut adalah mengenai butir-butir
kepada perenggan 7 Tuntutan Balas. Perenggan itu adalah mengenai pembayaran
rumah di Bank atau pembayaran balik pinjaman pembiayaian membeli rumah.
Perenggan
7 Tuntutan Balas Defendan menyatakan:
'Plaintif banyak membantu membuat pembayaran
rumah tersebut di Bank.'
Fakta
material yang perlu dinyatakan oleh Defendanf adalah mengenai sumbangan
kepada pembelian harta tersebut. Maka menurut seksyen 66 dibaca dengan
seksyen 63[1](a) dan (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 Defendan
perlu membekalkan butiran mengenai pembayaran-pembayaran yang dibuatnya
kepada Bank [sebagaimana yang didakwanya].
Keperluan
membekalkan/memperincikan butiran bayaran ini adalah juga kerana Plaintif tiada pengetahuan bahawa pasangan ini ada
membuat bayaran kepada Bank [untuk pinjaman beli rumah] dalam tempoh
sepanjang perkahwinan mereka berlangsung.
Butiran
yang diminta terhadap kandungan perenggan 7 Tuntutan Balas adalah juga perlu
dibekalkan/dinyatakan Defendan kerana tuntutan harta sepencarian mempunyai
dua (2) taksiran pembahagian bahagian yakni pertama keatas harta yang
diperolehi atas usaha bersama [seksyen 122 (1) dan (2) Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam 2005] dan yang kedua mengenai harta yang
diperolehi atas usaha tunggal salah seorang pasangan [seksyen 122 (3)
dan (4) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005].
Untuk
rujukan mudah diperturunkan disini peruntukan Seksyen 122 Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam 2005 tersebut:
[1] Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila
membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk
memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam
masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau
supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa
perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka
atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara
pihak-pihak itu.
[2] Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh
subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang –
(a)
takat sumbangan-sumbangan yang
telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja
bagi memperolehi aset-aset itu;
(b)
apa-apa hutang yang terhutang oleh
salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c) keperluan-keperluan anak-anak yang
belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,
dan tertakluk kepada
pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang
sama banyak.
[3] Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila
membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah
supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha
tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara
mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara
mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi
antara pihak-pihak itu.
[4] Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh
subseksyen (3), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada –
(a)
takat sumbangan-sumbangan yang
telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan
keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;
(b)
keperluan-keperluan anak-anak yang
belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,
dan tertakluk kepada
pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah boleh membahagikan aset-aset itu atau
hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi,
walau bagaimanapun, pihak yang telah memperoleh aset-aset itu dengan usahanya
hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.
[5] Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan
mengenai aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset
yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang dimajikan pada
sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu
atau dengan usaha bersama mereka.
Perenggan
5 Afidavit Plaintif tersebut adalah kini dirujuk.
Seksyen 67 dan seksyen 65 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 adalah
mengenai kandungan pliding Pembelaan. Pembelaan perlu menjawab perkara isi
dan tidak boleh membuat pernyataan mengelak. Oleh itu sebelum dapat menjawab
Tuntutan Balas maka Plaintif perlu mengetahui apakah perkara isi yang
terdapat didalam pliding Tuntutan Balas Defendan. Dalam kes ini isi yang
lengkap tiada didalam pliding Tuntutan Balas maka Jawapan dan Pembelaan
Kepada Tuntutan Balas tidak dapat tidak terpaksa menunggu isi/fakta-fakta
tertentu dibekalkan kepada Plaintif terlebih dahulu.
Untuk
rujukan mudah diperturunkan disini peruntukan Seksyen 67 dan 65 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002
tersebut:
Seksyen
67. Pembelaan terhadap tuntutan balas
(1) Jika mana-mana defendan membuat tuntutan
balas, plaintif hendaklah, jika dia berhasrat hendak membuat pembelaan
terhadap tuntutan balas itu, memfailkan dan menyebabkan disampaikan kepada
defendan suatu Pembelaan kepada tuntutan balas itu dalam apa-apa tempoh masa
yang diarahkan oleh Mahkamah.
(2) Jika plaintif tidak mematuhi subseksyen (1),
seksyen 16 hendaklah terpakai seolah-olah plaintif ialah seorang defendan.
Seksyen
65. Bentuk Pembelaan
(1) Tiap-tiap pernyataan pembelaan
hendaklah ditandatangani oleh defendan atau Peguam Syarienya dan hendaklah:-
(a)
samada mengaku atau menafikan
tiap-tiap pengataan fakta yang material dalam pernyataan tuntutan;
(b)
menyatakan dengan ringkas lagi padat apa-apa fakta baru yang dijadikan
sandaran oleh defendan sebagai pembelaan;
(c)
membangkitkan dengan rengkas lagi padat dan tanpa hujah apa-apa perkara
undang-undang yang perlu.
(2)
Penafian dibawah perenggan (1)(a) tidak boleh berbentuk mengelak tetapi hendaklah
menjawab perkara isi.
Penutup:
Adalah
dihujahkan bahawa atas alasan-alasan diatas adalah jelas bahawa pliding Defendan
tidak mengandungi butir-butir yang mencukupi sebagaimana yang
diperlukan/ditetapkan. Butir-butir yang dimaksudkan tersebut adalah
sepertimana permintaan yang dibuat oleh
Plaintif dalam surat ekshibit A dan didalam permohonan ini. Demi perbicaraan
yang adil Plaintif memohon agar suatu Perintah dibawah seksyen 71 Enakmen
Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 dikeluarkan. Mohon permohonan-permohonan Plaintif
ini dibenarkan.
Bertarikh pada haribulan 2013.
Peguam
Syarie Pemohon/ PLAINTIF
HUJAHAN BERTULIS PEMOHON
ini
difailkan oleh difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS,
Peguam Syarie Plaintif yang beralamat di No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis,
Pahang Darul Makmur.
|
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Tiada ulasan:
Catat Ulasan