^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Isu Pertama: samada dokumen wakalah peguam syarie
yang lain/baru perlu di failkan lagi di setiap kes dan peringkat rayuan kes
yang berkenaan di Mahkamah Syariah.
Isu ini bermaksud bahawa sekiranya terdapat rayuan dalam tiga keadaan:
1. Rayuan di buat ke Mahkamah Tinggi Syariah terhadap keputusan Mahkamah Rendah Syariah;
2. Rayuan di buat
ke Mahkamah Rayuan Syariah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah tidak
kira samada keputusan yang di rayui itu merupakan kes bicara asal penuh mahupun
kes rayuan dari Mahkamah Rendah Syariah; dan
3. Bagi setiap
kes yang di failkan secara berasingan namun dalam semua kes itu pihak yang
menuntut dan pihak kena tuntut adalah pihak yang sama serta adalah di dalam
Mahkamah bicara yang sama;
Adakah perlu bagi setiap peringkat rayuan itu, dokumen wakalah peguam syarie yang lain/baru di buat dan di failkan oleh semua peguam yang terlibat dalam kes rayuan itu? Dengan kata lain wakalah yang difailkan dalam kes/prosiding di peringkat terdahulu tidak lagi terpakai dan untuk peguam syarie itu mewakili anakguamnya dalam prosiding rayuan/lanjutan suatu wakalah perlantikan peguam syarie yang lain perlu di laksanakan dan di failkan terlebih dahulu?
YAA Datuk Syeikh Ghazali dalam sebuah rencana bertajuk Proses Penghakiman dan Menjatuhkan Keputusan di Mahkamah Syariah: Suatu Penilaian 13 (2005) 2 JH 189 di ms 194 telah berkata:
Baik samada di dalam kes mal atau jenayah bagi pihak-pihak yang menggunakan khidmat peguam syarie, Hakim Mahkamah Syariah hendaklah memastikan pihak-pihak telah memfailkan wakalah Peguam Syarie dengan sewajarnya mengikut kehendak undang-undang. Tanpa wakalah yang sah oleh pihak-pihak kepada Peguam Syarienya, kes tersebut tidak sah dibawa oleh Peguam Syarie. Jika seseorang peguam syarie yang mewakili seseorang di Mahkamah Rendah masih ingin mewakili pihak-pihak di Mahkamah yang lebih tinggi dalam rayuan – pihak-pihak hendaklah memastikan bahawa wakalah yang baru telah difailkan sewajarnya. Namun begitu bagi Peguam Syarie yang telah menerima wakil daripada seseorang yang dinyatakan untuk mewakilinya dimana-mana peringkat Mahkamah secara umum, wakalah yang baru tidak diperlukan.
Seterusnya di ms 195 – 196 beliau berkata:
Perkara ini disentuh kerana telah ada satu kes rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan iaitu kes ABDUL RAVUFF BIN A.S. DAWOOD lwn PASLA HOLDINGS SDN BHD dan 23 yang lain (Rayuan Mal No. 02-01-99 belum dilapurkan).
Pada asalnya isu yang di bangkitkan di Mahkamah
Tinggi Syariah ialah tentang bidangkuasa mahkamah untuk mendengar dan
memutuskan tentang kes harta pusaka Allahyarham A.S Dawood s/o Abdul Razak. Apabila Mahkamah Rayuan
mendengar hujah kedua belah pihak isu yang dibangkiytkan oleh wakil Perayu
ialah tentang wakalah di mana tiada pelantikan peguam dibuat pihak
responden-responden kecuali Responden Ketiga iaitu Dato Dr Rahiman A.S Dawood
telah melantik En Zuri Zabudin untuk mewakilinya. Peguam Responden yang lain
tidak mempunyai locus standi (keahlian) dalam kes ini dan lafaz wakalah kes
yang dirujuk oleh beliau ialah kes mal bil. 198 tahun 1997 (perintah tegahan)
dan tiada kaitan dengan kes mal bil. 197 tahun 1997. Ini bermakna kesemua Pihak
Yang Kena Tuntut tidak mempunyai wakalah
dalam kes mal bil. 197 tahun 1997.
Peguam Responden juga dalam hujahnya mempertikaikan
kesahan wakalah perayu yang dibuat tanpa tandatangan dan tarikh. Ini dapat
dibuktikan oleh Peguam Responden dengan merujuk muka surat 34 Rekod Rayuan.
Dalam hal ini Mahkamah Rayuan Syariah telah menyemak fail kes dan dapati bahawa
dakwaan kedua belah pihak adalah benar.
...
Dalam kes ini tiada wakalah difailkan terhadap kes
yang dibicarakan. Lafaz wakalah juga tidak dilafazkan bagi kes yang dibicarakan
itu. Oleh itu Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah
mengisytiharkan bahawa perbicaraan dan keputusan di mahkamah Tinggi Syariah di
dalam kes mal bil. 197 tahun 1997 adalah tidak sah dan terbatal kerana ianya
dijalankan tanpa wakalah yang sah oleh wakil Defendan-Defendan menurut hukum
syarak dan undang-undang di dalam kes tersebut dan kes tersebut hendaklah
dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.
Mengenai isu ini terdapat pula Arahan Amalan No. 2 Tahun 2004 mengarahkan
bahawa mulai 08.06.2004 penggunaan lafaz wakalah di Mahkamah Rendah tidak boleh berurutan ke
peringkat Mahkamah yang lebih tinggi dan hanya sah digunakan sebagaimana tajuk
prosiding itu sahaja kecuali dinyatakan dengan jelas di dalam lafaz.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Isu Kedua: samada terdapat Arahan Amalan
dikeluarkan oleh kerana peruntukan mengenai wakalah Peguam Syarie dalam Enakmen
Tatacara Mal Mahkamah Syariah Pahang 2002 adalah tidak ‘exhaustive’ (lengkap
sepenuhnya).
Memang terdapat Arahan-Arahan Amalan mengenai tatacara yang berkenaan di keluarkan namun penambah-baikan masih di perlukan.
Berikut ialah beberapa Arahan Amalan yang berkaitan:
1.
Arahan
Amalan No. 6 Tahun 2002
Wakalah /
Iqrar / Afidavit
Saya ingin menarik perhatian
Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh
Malaysia Bil. 3 Tahun 2002 pada 7 Mei 2002 di Johor Bahru bersamaan 25 Safar
1423 telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerimapakai arahan amalan
berhubung lafaz Wakalah, Iqrar dan Afidavit bolehlah dibacakan di Hadapan
Hakim, Pendaftar, Pegawai Sulh, Penolong Pendaftar atau mana-mana orang yang
diturunkan kuasa berhubung dengannya.
Arahan amalan ini berkuatkuasa 1 Jun 2002.
2.
Arahan
Amalan No.2 Tahun 2004
Penggunaan
Wakalah
Saya ingin menarik perhatian
Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah Seluruh
Malaysia Bil 1 Tahun 2004 pada 8hb.-9hb. Jun 2004 bersamaan 19-20hb.
Rabiulakhir 1425H di Subang Jaya, Selangor telah bersetuju dan mengesahkan
untuk menerima pakai arahan amalan berhubung penggunaan lafaz wakalah di
Mahkamah Rendah tidak boleh berurutan ke peringkat Mahkamah yang lebih tinggi
dan hanya sah digunakan sebagaimana tajuk prosiding itu sahaja kecuali
dinyatakan dengan jelas di dalam lafaz.
Arahan ini berkuatkuasa mulai 8 Jun, 2004.
3.
Arahan
Amalan No. 7 Tahun 2000
Kehadiran
Wakil Bagi Pihak Peguam Syarie Pada Hari Sebutan Kes
Saya ingin menarik perhatian
Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh
Malaysia Bil.1/2000 pada 11 Mei 2000 di Kota Bharu Kelantan dan keputusan
Mesyuarat Ketua-ketua Hakim Syarie kali ke 16 pada 26 Jun 2000 bersamaan 26
Rabiulawal 1421 di Kota Kinabalu Sabah telah bersetuju dan mengesahkan untuk
menerimapakai arahan berhubung ketidakhadiran Peguam Syarie yang bertindak bagi
pihak anakguamnya dalam sesuatu kes pada hari sebutan. Sebaliknya Peguam Syarie
yang lain hadir menyebut kes tersebut bagi pihaknya. Mulai dari 1 Mac 2001,
hanya Peguam Syarie yang diberikan Wakalah Perlantikan Peguam dalam kes
tersebut boleh hadir untuk menjalankan apa-apa prosiding kes di
Mahkamah.
Arahan ini berkuatkuasa mulai
1 Mac 2001.
4.
Arahan
Amalan No. 5 Tahun 2004
Kehadiran
Pihak-Pihak dan Wakil Semasa
Prosiding
Semakan Kes Mal
Saya ingin menarik perhatian
Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh
Malaysia Bil. 1 Tahun 2004 pada 8-9hb Jun 2004 bersamaan 19-20hb Rabiulakhir,
1425H di Subang Jaya, Selangor telah bersetuju dan mengesahkan untuk
menerimapakai arahan amalan berhubung kehadiran pihak-pihak dan wakil
masing-masing semasa prosiding semakan kes Mal bolehlah di benarkan dan
tertakluk kepada budi bicara Hakim.
Arahan amalan ini berkuatkuasa
8 Jun 2004.
5.
Arahan
Amalan No. 4 Tahun 2002
Etika
Peguam Syarie
Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil.3 Tahun 2002 pada 7 Mei 2002 di Johor Bahru bersamaan 25 Safar 1423 telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerimapakai arahan amalan berhubung semua Peguam Syarie yang yang beramal di Mahkamah Syariah adalah terikat dengan Etika Peguam Syarie 2001.
2. Etika Peguam Syarie yang dimaksudkan adalah
sebagaimana lampiran.
Arahan amalan ini
berkuatkuasa 1 Jun 2002.
Lampiran
AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM
ETIKA PEGUAM SYARIE
PADA
menjalankan kuasa yang diberi menurut ( peruntukan undang-undang yang sedia
ada...) maka diperbuat etika berikut :
1. Nama
Etika
ini bolehlah dinamakan Etika Peguam Syarie.
2. Tafsiran
Dalam
etika ini, melainkan jika konteksnya menghendaki maknanya yang lain –
“Jawatankuasa”
ertinya Jawatankuasa Peguam Syarie di bawah (peruntukan undang-undang yang
sedia ada...)
“Peguam
Syarie” ertinya seseorang berkelayakan yang diterima sebagai Peguam Syarie di
bawah (peruntukan undang-undang yang sedia ada...) dan termasuklah mana-mana
Pendakwa Syarie, dan mana-mana orang yang dilantik di bawah seksyen 3(2) Akta
Bantuan Guaman 1971, Akta 26.
3. Akhlak dan peranan Peguam Syarie
Peguam
Syarie hendaklah mempunyai akhlak, sikap dan tingkah laku yang mulia, dan
dalam melaksanakan tugas dan peranannya hendaklah bersifat amanah, jujur dan
berniat baik untuk menegakkan keadilan.
4. Meningkatkan pengetahuan
Peguam
Syarie hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan Hukum
Syarak dan undang-undang supaya tugas guaman dapat dijalankan dengan lebih
cekap dan berkesan.
5. Peguam Syarie tidak diwajibkan bertindak bagi tiap-tiap orang
Tiada
seorang Peguam Syarie diwajibkan bertindak sebagai penasihat atau peguambela
bagi tiap-tiap orang yang hendak menjadi kelayannya; tetapi dia hendaklah
sanggup menerima apa-apa arahan Mahkamah-mahkamah di mana dia menjalankan
amalan dengan bayaran profesional yang wajar bergantung kepada lamanya tempoh
yang diperlukan bagi menyediakan dan juga rumitnya kes itu; dengan syarat
bahawa jika terdapat keadaan khas yang tidak mengizinkan, dia boleh, menurut
budi bicaranya enggan menerima sesuatu arahan tertentu.
6. Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan (brief/kemahuan
kelayan/kehendak kelayan) jika dalam keadaan serbasalah.
(a) Peguam Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan (brief/kemahuan
kelayan/kehendak kelayan) jika dengan menerimanya dia akan berada dalam
keadaan serba salah.
(b) Keadaan
serbasalah itu mungkin timbul –
(i) Jika dia
dapati ada dalam miliknya maklumat sulit hasil daripada nasihat yang telah
diberi sebelumnya kepada seorang lain berkenaan dengan perkara yang sama;
(ii) Jika ada sesuatu perhubungan peribadi antaranya
dengan suatu pihak atau seorang saksi dalam perbicaraan itu.
7. Peguam Syarie tidak boleh menerima arahan jika kelakuan profesionalnya
mungkin dipersoalkan.
Peguam
Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan dalam sesuatu kes jika dia tahu
atau ada sebab bagi mempercayai bahawa kelakuan profesionalnya sendiri
mungkin dipersoalkan.
8. Peguam Syarie tidak boleh menerima arahan (brief/kehendak
kelayan/kemahuan kelayan) jika dia sukar menyenggara kebebasan
profesionalnya.
(a) Peguam
Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan jika penerimaan itu menyebabkan
atau akan menyebabkan dia sukar untuk menyenggara kebebasan profesionalnya
atau bertentangan dengan kepentingan pentadbiran keadilan yang terbaik.
(b) Peguam
Syarie yang telah, pada bila-bila masa, menasihatkan atau membuat guaman,
atau bertindak bagi suatu pihak berhubung dengan mengadakan atau menjalankan
pendakwaan atau membela sesuatu guaman, rayuan atau lain-lain perbicaraan
tidak boleh bertindak, hadir atau berguam bagi pihak lawan dalam guaman,
rayuan atau lain-lain perbicaraan tersebut.
9. Peguam Syarie tidak boleh menerima arahan jika dia tidak dapat hadir
Peguam
Syarie tidak boleh menerima sesuatu arahan melainkan dia dengan pasti secara
munasabah akan dapat hadir dan mewakili kelayan itu pada hari yang kehendaki.
10. Peguam Syarie tidak boleh dilepaskan dari tugasan.
Tertakluk
kepada apa-apa kaedah Mahkamah yang dibuat bagi maksud ini. Peguam Syarie
yang ditugaskan dalam sesuatu perkara mal atau jenayah –
(a) melainkan
dengan persetujuan Mahkamah, tidak boleh menarik diri dari sesuatu tugasan
setelah sahaja tugasan itu diterima, tanpa sebab yang mencukupi melainkan
notis yang berpatutan dan mencukupi diberi kepada kelayan itu;
(b) hendaklah
sentiasa menjalankan segala daya usahanya dalam pertugasan itu jika tidak
mendapat persetujuan Mahkamah untuk menarik diri.
11. Peguam Syarie hendaklah menjalankan pembelaan dengan cara yang
saksama dan terhormat
Peguam
Syarie yang menjalankan pembelaan bagi seseorang dalam apa-apa perkara
jenayah, hendaklah bertanggungan dengan segala cara yang saksama dan
terhormat mengemukakan setiap pembelaan yang dibenarkan oleh undang-undang.
12. Fi bagi perkara-perkara yang rumit atau dipertikaikan
Bagi
menentukan amaun fi bagi perkara-perkara yang rumit atau di pertikaikan yang
melibatkan seseorang kelayan di wakili dalam Mahkamah, maka wajarlah di ambilkira
–
(a) masa,
tenaga dan kemahiran yang diperlukan;
(b) kebaharuan dan rumitnya soalan yang
terlibat;
(c) sama ada
penerimaan tugasan tertentu itu akan menghalang harapannya untuk hadir bagi
pihak-pihak lain;
(d) fi biasa
profesion bagi perkhidmatan yang serupa;
(e) amaun yang
dipertikaikan;
(f) faedah
yang akan didapati oleh kelayan dari perkhidmatannya;
(g) corak tugasan itu – sama ada luar jangka
atau bagi kelayan yang tetap; dan
(h) kedudukan
khas atau kekananan Peguam Syarie tertentu.
13. Peguam Syarie tidak boleh menjalankan kes mal yang dimaksudkan untuk
melambatkan perbicaraan
Peguam
Syarie tidak boleh menjalankan sesuatu atau membuat pembelaan yang mana
adalah dimaksudkan semata-mata untuk melambatkan perbicaraan atau menyusahkan
atau memudaratkan pihak lawan atau untuk melakukan penindasan atau sesuatu
yang salah.
14. Menghormati Mahkamah
Peguam
Syarie hendaklah sentiasa menghormati dan tidak boleh melakukan perdayaan ke
atas Mahkamah.
15. Peguam Syarie hendaklah mempertahankan kepentingan keadilan,
kelayannya dan kehormatan profesionnya.
Peguam
Syarie hendaklah, sambil bertindak dengan segala tertib di hadapan mahkamah
di mana ia hadir, dan berani mempertahankan kepentingan keadilan, kelayannya
dan kehormatan profesionnya.
16. Peguam Syarie hendaklah berkelakukan jujur, tertib dan saksama
Peguam
Syarie hendaklah berkelakuan jujur, tertib dan saksama di hadapan Mahkamah
dan lain-lain Peguam Syarie
17. Peguam Syarie tidak boleh merujuk atau menegaskan kepada fakta yang
tidak dibuktikan.
Dalam
membuka sesuatu kes atau mengemukakan hujahnya, Peguam Syarie tidak boleh
merujuk atau menegaskan apa-apa fakta dalam kes itu yang tidak dapat
dibuktikannya.
18. Peguam Syarie hendaklah mengemukakan kepada Mahkamah keputusan yang
masih berkuatkuasa.
(a) Peguam
Syarie hendaklah mengemukakan kepada Mahkamah apa-apa keputusan yang masih
berkuatkuasa yang dia tahu adalah berkaitan dengan perkara yang sedang
dipertimbangkan di hadapan Mahkamah, sama ada keputusan itu menyokong atau
menentang hujahnya.
(b) Etika ini
adalah terpakai khususnya dalam prosiding ex-parte
19. Penyalahnyataan (misquote) adalah tidak wajar
Peguam
Syarie tidak wajar –
(a) menyalahnyatakan
dengan diketahuinya kandungan sesuatu kertas, keterangan seseorang saksi,
hujah pihak lawan atau bahasa sesuatu penghakiman atau buku teks;
(b) menyatakan
sebagai otoriti suatu keputusan yang telah dibatalkan atau suatu status yang
telah dimansuhkan;
20. Peguam Syarie boleh membawa kepada perhatian Mahkamah kedudukan dan
keputusan undang-undang.
(a) Jika
selepas keterangan dan hujah ditutup dan semasa keputusan ditangguhkan,
seseorang Peguam Syarie dapat tahu akan suatu kedudukan undang-undang atau
akan suatu keputusan undang-undang, yang mana adalah berkaitan secara
langsung, dia hendaklah membawanya kepada perhatian Mahkamah dan pihak lawan
dan pihak itu hendaklah bersetuju dengan kedudukan atau keputusan itu
walaupun menentangnya.
(b) Jika pihak
lawan tidak bersetuju, Peguam Syarie yang mengemukakan kedudukan atau
keputusan undang-undang masih boleh mengemukakan otoriti tambahan itu kepada
Mahkamah dengan satu salinan suratnya kepada pihak lawannya untuk
membolehkannya memberi ulasan mengenainya jika dibenarkan oleh Mahkamah.
21. Peguam Syarie hendaklah memberi kepada Mahkamah semua maklumat
Peguam
Syarie hendaklah memberi kepada Mahkamah segala maklumat mengenai jangkamasa
yang dijangkakan bagi sesuatu kes dan kemungkinan suatu penyelesaian.
22. Peguam Syarie hendaklah sedia untuk perbicaraan pada hari yang
ditetapkan
(a) Peguam
Syarie hendaklah menjalankan segala usaha supaya sedia untuk perbicaraan pada
hari yang ditetapkan.
(b) Peguam
Syarie hendaklah memohon penangguhan sesuatu kes yang telah ditetapkan
perbicaraannya hanya atas sebab-sebab yang baik dan memaksa.
(c) Kecuali
dalam kecemasan, adalah tak wajar bagi Peguam Syarie memohon sesuatu
penangguhan jika Peguam Syarie bagi pihak yang satu lagi itu tidak hadir
melainkan jika ia telah memberi kepada semua Peguam Syarie yang berkenaan
notis sekurangnya empat puluh lapan jam mengenai cadangan hendak membuat
permohonan itu.
23. Peguam Syarie hendaklah menzahirkan kepada kelayan segala hal keadaan
Peguam
Syarie pada masa dia dilantik hendaklah menzahirkan kepada kelayan segala hal
keadaan hubungannya dengan pihak-pihak yang berkenaan, dan apa-apa
kepentingan berhubung dengan perbalahan itu, yang mungkin mempengaruhi
kelayan dalam memilik Peguam Syarie.
24. Peguam Syarie tidak boleh mengelirukan
Peguam
Syarie hendaklah mengelakkan segala perkara yang boleh mengelirukan pihak
yang tidak diwakili oleh Peguam Syarie.
25. Peguam Syarie tidak boleh hadir jika dia mempunyai kepentingan
kewangan
(a) Peguam
Syarie tidak boleh hadir dalam apa-apa perkara dalam mana dia mempunyai
kepentingan kewangan secara langsung atau tidak langsung;
(b) Etika ini
tidak dipakai bagi seseorang Peguam Syarie yang hadir sendiri untuk menetapkan
kosnya sendiri.
26. Peguam Syarie tidak boleh hadir mengendalikan sesuatu kes di mana dia
menjadi saksi.
(a) Peguam
Syarie tidak boleh hadir mengendalikan sesuatu kes di dalam Mahkamah atau
dalam Kamar di mana dia ada sebab bagi mempercayai bahawa dia akan menjadi
seorang saksi mengenai sesuatu soal fakta yang matan dan dipertikaikan, dan
jika semasa hadir dalam mengendalikan sesuatu kes dia didapati akan menjadi
saksi sebagai demikian, dia hendaklah jangan hadir mengendalikan kes itu
seterusnya.
(b) Peguam
Syarie tidak boleh hadir mengendalikan kes di hadapan Mahkamah Rayuan jika
dalam kes yang menjadi perkara rayuan itu dia telah menjadi seorang saksi
mengenai sesuatu soal fakta yang matan dan dipertikaikan dalam Mahkamah di
peringkat bawah;
(c) Tiada
apa-apa jua yang terkandung dalam Etika ini boleh menghalang seseorang Peguam
Syarie daripada mengangkat sumpah atau berikrar sesuatu affidavit mengenai
fakta-fakta normal atau fakta-fakta yang tidak dipertikaikan mengenai
perkara-perkara dalam mana dia bertindak mengendalikan kes atau hadir sebagai
saksi.
27. Peguam Syarie hadir sebagai satu pihak atau saksi tidak boleh memakai
jubah
(a) Peguam
Syarie semasa hadir sendiri sebagai satu pihak atau apabila berada dalam
kandang saksi tidak boleh memakai jubah;
(b) Kecuali
dalam upacara-upacara dan di tempat-tempat yang di tetapkan oleh Mahkamah,
seseorang Peguam Syarie tidak boleh memakai jubah di tempat awam lain
daripada dalam mahkamah atau dalam perjalanan pergi atau balik dari Mahkamah.
28. Peguam Syarie hendaklah mempertahankan kehormatan dan profesionnya
Tiap-tiap
Peguam Syarie hendaklah sentiasa mempertahankan kehormatan dan taraf
profesionnya.
29. Perasaan kelayan tidak boleh mempengaruhi kelakuan peguam
Walau
apapun perasaan yang sedia ada di antara kelayan-kelayan, perasaan itu tidak
boleh dibiarkan mempengaruhi Peguam Syarie dalam kelakuan dan tingkah lakunya terhadap
satu sama lain atau terhadap pihak-pihak dan saksi-saksi mereka dalam kes
itu.
30. Peguam Syarie hendaklah sentiasa melayan saksi pihak yang menentang
dengan saksama dan timbang timbangrasa
Peguam
Syarie hendaklah sentiasa melayani saksi-saksi dan pihak-pihak yang menentang
dengan saksama dan timbangrasa dan dia hendaklah jangan sekali-kali memberi
galakan kepada niat jahat atau prasangka seseorang kelayan dalam menjalankan
sesuatu kes.
31. Peguam Syarie tidak boleh menyalahgunakan kepercayaan yang diletakkan
padanya oleh kelayan.
(a) Peguam
Syarie hendaklah jangan melakukan sesuatu untuk faedah atau keuntungannya
dengan menyalahgunakan atau mengambil kesempatan atas kepercayaan yang diletakkan
padanya oleh kelayan.
(b) Peguam
Syarie hendaklah mengekalkan kepercayaan kelayannya dan kewajipan itu
hendaklah dikekalkan sepanjang penggajiannya.
32. Peguam Syarie hendaklah mencegah kelayannya daripada melakukan
kelakuan tak baik terhadap Mahkamah dll
Peguam
Syarie hendaklah berikhtiar sedaya upaya untuk mencegah kelayannya daripada
melakukan perkara-perkara yang Peguam Syarie sendiri tidak patut lakukan,
terutama sekali berkenaan dengan kelakuannya terhadap Mahkamah dan
pegawai-pegawai kehakiman, saksi-saksi dan pihak-pihak yang berkenaan. Jika
seseorang kelayan berkeras hendak melakukan perbuatan salah seperti itu,
Peguam Syarie itu hendaklah menamatkan perhubungannya.
33. Peguam Syarie yang menulis untuk akhbar tidak boleh memperihalkan
dirinya sebagai Peguam Syarie
Tetakluk
kepada etika 34, seseorang Peguam Syarie yang menulis untuk akhbar atau untuk
diterbitkan kecuali atas sifat profesionalnya mestilah mengambil
langkah-langkah munasabah untuk menjamin supaya tiada apa perihal mengenainya
sebagai seorang Peguam Syarie atau mengenai tugas undang-undangnya terhadap
berhubung dengan makalahnya.
34. Pengecualian
Etika 33
tidak boleh dipakai bagi yang berikut:
(a) Di mana
seseorang Peguam Syarie menerbitkan suatu buku teks undang-undang (sama ada
atau tidak bersesama dengan seorang yang bukan Peguam Syarie) nama dan
kelulusannya serta rujukan mengenai buku-buku teks lain yang mungkin telah
ditulis olehnya boleh dinyatakan pada kulit atau muka surat tajuknya atau
dalam iklan-iklan mengenainya.
(b) Seseorang
Peguam Syarie yang telah bersara dari amalan boleh menulis riwayat
pengalaman-pengalamannya sebagai Peguam Syarie, tetapi hendaklah sentiasa
ingat bahawa dia tidak berhak mengkhianati kepercayaan yang telah diletakkan
padanya oleh kelayan-kelayan;
(c) Di mana
seseorang Peguam Syarie menulis makalah untuk jurnal undang-undang.
35. Peguam Syarie tidak boleh memperihalkan dirinya sebagai Peguam Syarie
tanpa izin Jawatankuasa
Peguam
Syarie yang hendak memberi suatu syarahan atau suatu siaran mengenai suatu
perkara undang-undang atau quasi undang-undang tidak boleh
membenarkan dirinya diperihalkan, tanpa izin Jawatankuasa.
36. Peguam Syarie tidak boleh menjadi penjamin
Peguam
Syarie tidak boleh menjadi seorang penjamin atau bailor bagi
kelayannya yang dikehendaki bagi maksud apa-apa perbicaraan undang-undang.
37. Peguam Syarie tidak boleh berhubung dengan orang yang diwakili oleh
Peguam Syarie lain
Peguam
Syarie tidak boleh berhubung dengan seseorang mengenai apa-apa perkara yang
berkenaan dengannya dia tahu orang tersebut adalah diwakili oleh seorang
Peguam Syarie lain kecuali dengan izin yang nyata dari Peguam Syarie yang
lain itu.
38. Peguam Syarie tidak boleh membangkitkan perselisihan dan guaman
Seseorang
Peguam Syarie tidak boleh menawar nasihat tanpa diminta kepada seseorang
supaya membawa sesuatu tindakan atau supaya membangkitkan perselisihan dan
guaman.
39. Peguam Syarie tidak boleh menjalankan secara aktif apa-apa tred
(a) Peguam
Syarie tidak boleh secara aktif atau mengambil bahagian dalam atau menjadi
seorang pekongsi apa-apa tred yang boleh menjejaskan apa-apa
perkhidmatan kepada kelayannya.
(b) Peguam
Syarie tidak boleh menjadi pekerja bergaji sepenuh masa bagi mana-mana orang,
firma (lain daripada Peguam Syarie dan peguamcara atau firma peguambela dan
peguamcara) atau perbadanan selagi dia menjalankan amalan dan hendaklah
apabila memegang apa-apa pekerjaan seperti itu memberitahu hal itu kepada
Jawatankuasa dan mengambil langkah-langkah untuk berhenti menjalankan amalan
sebagai Peguam Syarie selagi dia memegang pekerjaan itu , dengan syarat
perenggan ini tidak terpakai bagi Peguam Syarie Biro Bantuan Guaman dan Panel
Peguam yang dilantik di bawah seksyen 5 Akta BBG 1971.
40. Peguam Syarie tidak boleh mengiklan
Peguam
Syarie tidak boleh memujuk rayu kerja atau mengiklan, sama ada secara
langsung atau secara tak langsung, sama ada dengan pekeliling, iklan, melalui
peraih langganan, perhubungan sendiri, temuramah yang tidak diperlukan oleh
pertalian peribadi, dengan memberi atau menimbulkan komen-komen suratkhabar
atau dengan mendapatkan gambarnya disiarkan berhubung dengan kes-kes dalam
mana dia telah dipertugaskan atau mengambil bahagian.
41. Peguam Syarie tidak boleh mengiklankan dirinya
Peguam
Syarie tidak boleh melakukan atau menyebab atau membenar dilakukan apa-apa
perkara dengan tujuan utamanya untuk mengiklan dirinya, atau apa-apa perkara
yang dikira sebagai menyarankan bahawa dia adalah bertujuan sedemikian.
42. Peguam Syarie tidak boleh mengadakan temuramah
Peguam
Syarie tidak boleh mengadakan temuramah dengan akhbar atau memberi maklumat
kepadanya mengenai kehidupan, amalan atau pendapatannya sebagai Peguam
Syarie.
43. Peguam Syarie tidak boleh menyiarkan fotografnya
Peguam
Syarie tidak boleh mengambil langkah-langkah untuk mendapatkan fotografinya
sebagai Peguam Syarie disiarkan dalam akhbar atau mana-mana terbitan berkala.
44. Peguam Syarie tidak boleh memujuk rayu untuk mendapatkan laporan
Peguam
Syarie tidak boleh memujuk rayu untuk mendapatkan laporan dibuat mengenai
apa-apa perkara dalam mana dia telah dipertugaskan secara profesional, tetapi
dia boleh menimbangkan dan menyemak laporan-laporan mengenai kes-kes dalam
mana dia telah dipertugaskan secara profesional bagi mempastikan laporan itu
adalah tepat.
45. Peguam Syarie tidak boleh mengiklankan alamat
(1) Peguam
Syarie tidak boleh mengiklankan alamatnya atau alamat firmanya dalam apa-apa
buku, risalah, akhbar, terbitan berkala, penerbitan lain, media cetak atau
media elektronik atau mengizin diterbitkan sama ada dalam akhbar atau
lain-lain terbitan notis-notis atau makalah-makalah mengenai kelulusan atau
merit profesionnya dengan syarat bahawa etika ini tidak dipakai bagi percetakan
nama dan alamat mana-mana Peguam Syarie dalam senarai Undang-Undang, Buku
Panduan Undang-Undang, Diari Undang-Undang dan apa-apa buku panduan lain yang
diizinkan oleh Jawatankuasa yang dari semasa ke semasa, atau dalam mana-mana
buku panduan telefon dalam Malaysia, termasuk bahagiannya yang dikhaskan
untuk iklan-iklan dan dikenali sekarang sebagai “halaman kuning” atau dalam
notis-notis biasa undang-undang yang disiarkan dalam akhbar atau lain-lain
terbitan.
(2) Bagi
maksud perenggan ini, ukuran bagi iklan yang dibenarkan adalah seperti
berikut:-
(a) papan tanda firma berukuran tidak lebih 75
cm X 60 cm
(b) kad
perniagaan berukuran biasa dengan tidaklebih 9cm X 5.5cm.
46. Peguam Syarie tidak boleh melakukan atau menyebabkan dilakukan meraih
langganan
Peguam
Syarie tidak boleh melakukan atau menyebab atau membenar dilakukan apa-apa
perkara bagi maksud meraih langganan secara langsung atau secara tak
langsung, atau yang dikira sebagai menyarankan bahawa ia adalah dilakukan
bagi maksud tersebut.
47. Kos atau keuntungan dengan mana-mana orang yang tak berkelayakan
tidak boleh dibahagi-bahagi
(1) Peguam
Syarie tidak boleh:-
(a) membahagikan
atau bersetuju membahagikan mana-mana kos yang diterima atau keuntungan yang
diperolehi dari perniagaan guamannya dengan mana-mana orang yang tidak
berkelayakan; atau
(b) membayar,
memberi atau bersetuju membayar atau memberi apa-apa kamsen atau ganjaran
atau balasan berharga kepada mereka yang tidak berkelayakan, untuk
mendapatkan atau mempengaruhi atau kerana telah mendapatkan atau mempengaruhi
apa-apa urusan undang-undang dan sama ada pembayaran, pemberian atau
perjanjian ini dibuat berdalihkan perkhidmatan yang diberi atau selainnya;
tetapi etika ini tidak dimaksudkan untuk melarang pembayaran bonus-bonus
biasa kepada kakitangan;
(2) Peguam
Syarie tidak boleh mengenakan caj untuk perkhidmatannya kurang atau lebih
daripada skala yang ditetapkan oleh undang-undang kecuali atas sesuatu sebab
yang khas di mana caj tidak dikenakan langsung.
48. Kamsen agensi atau kos keuntungan
Kamsen
agensi atau kos keuntungan boleh dibenarkan di antara Peguam Syarie yang
menjalankan amalan dalam Malaysia dengan ejen atau ejen-ejennya yang dilantik
untuk menjalankan amalan guaman dalam atau luar Malaysia.
49. Peguam Syarie tidak boleh hadir bagi sesuatu pihak yang diwakili oleh
Peguam Syarie lain
Jika
dalam apa-apa perkara atau perbicaraan nama seseorang Peguam Syarie atau nama
firmanya terdapat dalam rekod bagi mana-mana pihak, atau seseorang Peguam
Syarie diketahui sebagai bertindak bagi sesuatu pihak dalam sesuatu perkara
sama ada dalam Mahkamah atau tidak, tiada Peguam Syarie lain boleh, dengan diketahuinya,
bersetuju, hadir atau bertindak seterusnya bagi pihak itu dalam perkara atau
perbicaraan tersebut melainkan jika –
(a) dia
mendapat izin Peguam Syarie yang pertama tersebut; atau
(b) dia
berpuas hati bahawa saraan profesional yang wajar bagi Peguam Syarie yang
pertama tersebut telah dibayar atau dia mengakujanji bahawa dia akan dibayar;
atau
(c) dia telah
pun, tanpa mengetahui nama itu ada dalam rekod tersebut atau Peguam Syarie
tersebut telah bertindak sedemikian, bersetuju hadir atau bertindak bagi
pihak tersebut dan tidak boleh oleh sebab hal keadaan atau keperluan yang
mendesak atau oleh apa-apa sebab seumpamanya, enggan hadir atau bertindak
selanjutnya bagi pihak tersebut, tanpa mendedahkan dirinya kepada pertuduhan
melanggar kewajipan profesional, atau
(d) Peguam
Syarie yang pertama tersebut itu tidak sanggup atau telah enggan bertindak
selanjutnya bagi pihak tersebut dan dalam hal demikian dia hendaklah, jika
dikehendaki, melindungi apa-apa lien yang mungkin ada pada Peguamcara
yang pertama tersebut itu terhadap kos.
50. Lien Peguam Syarie
Kecuali
bagi maksud membolehkannya mendapatkan lien seseorang Peguam Syarie boleh
menahan kertas kelayan hingga memudaratkan kepentingan kelayan itu.
51. Penghakiman kerana engkar
Jika
nama Peguam Syarie atau nama firmanya terdapat dalam rekod Mahkamah atau jika
fakta mengenai perwakilan adalah diketahui oleh pihak yang satu lagi itu,
tiada Peguam Syarie yang mewakili pihak yang satu lagi itu dalam perbicaraan
itu boleh mengambil tindakan untuk mendapatkan hukuman kerana engkar terhadap
kelayan Peguam Syarie yang pertama tersebut itu atau mengambil kesempatan
atas kelambatan Peguam Syarie yang pertama tersebut itu membuat guaman atau
memfailkan dokumen-dokumen dalam bentuk guaman atau dalam mengambil apa-apa
langkah yang perlu atau dalam mematuhi mana-mana perintah dalam perbicaraan
itu, melainkan jika dia telah memberi kepada Peguam Syarie yang pertama
tersebut itu notis bertulis mengenai tujuannya hendak berbuat demikian, dan
tempoh tujuh hari telah berlalu selepas notis itu diserahkan kepada Peguam
Syarie yang pertama tersebut itu.
52. Lanjutan masa untuk pliding
Jika
suatu lanjutan masa untuk membuat pliding diberi kepada sesuatu pihak, Peguam
Syarie yang mewakili pihak itu hendaklah, jika dikehendaki, bersetuju
menerima notis singkat untuk perbicaraan diadakan pada persidangan Mahkamah
yang berikutnya mengenai sesuatu kes di mana, jika sekiranya pliding itu
diserahkan dalam masa yang biasanya dihadkan tanpa apa-apa lanjutan, pihak
yang membenarkan lanjutan masa tentu sekali boleh memberi notis untuk
perbicaraan diadakan pada persidangan Mahkamah yang tersebut.
53. Pejabat cawangan tidak boleh diadakan tanpa Peguam Syarie
(1) Peguam
Syarie tidak boleh menyelenggarakan suatu pejabat cawangan melainkan jika
pejabat cawangan itu diawasi sepenuhnya dan berterusan oleh seorang Peguam
Syarie.
(2) Peguam
Syarie tidak boleh menjalankan amalan profesionnya dalam Negeri-negeri di
Malaysia dalam atau sebagai pekongsi bagi dua atau lebih dari satu firma pada
bila-bila masa tanpa izin Jawatankuasa.
(3) Peguam
Syarie tidak boleh menjalankan amalan profesionnya melainkan jika ia
menyelenggarakan suatu pejabat dalam mana-mana negeri di Malaysia.
54. Agensi tiada kaitan
Peguam
Syarie tidak boleh membiarkan dirinya dikawal atau dieksploitasi oleh
mana-mana agensi tiada kaitan yang menjadi perantaraan antara kelayan
dengannya.
|
6.
ARAHAN AMALAN NO. 5 TAHUN 2011
Amalan
Mengenai Penangguhan Kes Oleh Peguam Syarie
Saya ingin menarik perhatian
Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Arahan Amalan Mahkamah
Syariah Bil. 1 Tahun 2011 pada 12 Muharram 1433H bersamaan 7hb Disember 2011
telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai tatacara merekod dan
melaporkan amalan penangguhan kes oleh Peguam Syarie seperti berikut :-
1.
Ketika mengendalikan sebutan, pengurusan kes perbicaraan sesuatu kes mal, semua
Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan
Syariah dan Pendaftar (dalam sebutan pengurusan kes) hendaklah merekodkan
tarikh, masa, no. kes, nama peguam serta firma peguam yang “terlalu kerap”
memohon penangguhan kes-kes yang dikendalikannya dan melaporkannya kepada
Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri masing-masing menggunakan “Borang
Laporan Kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri” sebagaimana dalam lampiran untuk tindakan.
2.
Dalam konteks arahan ini maksud
perkataan “terlalu kerap” adalah apabila seseorang peguam yang sama memohon penangguhan
kes sama ada dalam sesuatu kes tertentu atau pun kes yang berlainan menggunakan
alasan yang tidak munasabah yang melebihi 3 kali.
3.
Semua Hakim dan Pendaftar hendaklah mengamalkan kuasa budi bicara masing-masing
(power of discretion) dengan bijaksana dalam menimbangkan permohonan sesuatu
penangguhan oleh peguam agar tidak menjejaskan kepentingan pihak-pihak yang
terlibat dalam perbicaraan.
4.
Borang laporan tersebut yang telah lengkap diisi dan ditandatangani hendaklah
diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri masing-masing dan
satu salinan kepada Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
Arahan Amalan ini berkuatkuasa
mulai 7 Disember 2011.
BORANG LAPORAN
KEPADA
PENGERUSI JAWATANKUASA PEGUAM SYARIE NEGERI
.....................
BERKAITAN ARAHAN AMALAN NO. 5 TAHUN 2011
MENGENAI PENANGGUHAN KES OLEH PEGUAM.
Kepada,
Pengerusi,
Jawatankuasa
Peguam Syarie Negeri ........................
Berikut
adalah aduan saya berkenaan peguam di atas berkaitan permohonan tangguhan kes
yang telah dipohon, ditimbangkan dan diputuskan oleh saya.
Ulasan
Pengadu:
.............................................
...................................
Tandatangan
Pengadu Tarikh
(Cop
Rasmi Pengadu)
|
7.
ARAHAN AMALAN NO. 2 TAHUN 2012
Perjanjian Penyelesaian/Persetujuan yang dibuat oleh
Peguam Syarie
atau pihak-pihak
Saya ingin menarik perhatian
Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Arahan Amalan Mahkamah
Syariah Bil. 1 Tahun 2012 pada 14 Muharram 1434H bersamaan 28hb Disember 2012
telah bersetuju dan mengesahkan bahawa bagi kes-kes yang disertakan Perjanjian
Penyelesaian/Persetujuan yang dibuat oleh Peguam Syarie atau pihak-pihak tidak
perlu dirujuk ke Majlis Sulh pada peringkat pendaftaran.
Arahan ini hendaklah di baca
bersama dengan Arahan Amalan No. 1 Tahun 2010.
Arahan Amalan ini
berkuatkuasa mulai 14hb Januari 2013.
8.
ARAHAN
AMALAN NO. 1 TAHUN 2010
Penentuan
Kes Yang Perlu Dirujuk Ke Majlis Sulh
Pada
Peringkat Pendaftaran Kes
Saya ingin menarik perhatian
Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Arahan Amalan Mahkamah
Syariah Bil. 1 Tahun 2010 pada 14 Sya’ban, 1431H bersamaan 26hb. Julai 2010
telah bersetuju dan mengesahkan bahawa kes-kes yang dinyatakan di bawah ini perlu
dirujuk ke Majlis Sulh semasa peringkat pendaftaran kes di Mahkamah Syariah.
009 - Tuntutan Gantirugi
Pertunangan
016 - Tuntutan Muta’ah
017 - Tuntutan Harta
Sepencarian
018 - Tuntutan Nafkah Isteri
019 - Tuntutan Nafkah Kepada
Pihak Tak Upaya
020 - Tuntutan Cagaran Nafkah
021 - Tuntutan Nafkah Eddah
022 - Tuntutan Mengubah
Perintah Nafkah
023 - Tuntutan Tunggakan
Nafkah
024 - Tuntutan Nafkah Anak
025 - Tuntutan Mengubah
Perintah Hak Jagaan Anak/Nafkah Anak
026 - Tuntutan Mengubah
Perjanjian Hak Jagaan Anak/Nafkah Anak
028 - Tuntutan Hadhanah
049 - Tuntutan Gantirugi
Perkahwinan
059 - Tuntutan Hak Tempat
Tinggal
060 - Tuntutan Perintah
Supaya Suami Tinggal Bersama Semula
062 - Tuntutan Isteri Kembali
Taat
063 - Tuntutan Mas Kahwin 4
2. Bagi kes-kes ex-parte
(interim) tidak perlu melalui proses Sulh.
3. Bagi kes-kes yang telah
melalui proses pengantaraan di Jabatan Bantuan Guaman Malaysia tidak perlu
dirujuk ke Majlis Sulh pada peringkat pendaftaran.
4. Arahan Amalan No. 1 Tahun
2000, No. 9 Tahun 2003, No. 14 Tahun 2004 dan No. 14 Tahun 2005 adalah
berkaitan.
Arahan ini berkuatkuasa mulai
30 Julai 2010.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Tiada ulasan:
Catat Ulasan