Isnin, 10 Februari 2014

WAKALAH PEGUAM SYARIE – Siri 3



^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Isu Ketiga: samada orang bukan Islam boleh di lantik sebagai Peguam Syari’e untuk mewakili pihak-pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah. 

Isu ini bermaksud Peguam Syarie itu boleh bebas mewakili mana-mana pihak di dalam urusan prosiding Mahkamah Syariah pada semua peringkat. Jika itu di bolehkan maka mereka boleh mewakili mana-mana Plaintif; Defendan; Pihak Mencelah; Pihak Ketiga; Pihak Kena Tuduh (Kes Jenayah). Sehubungan dengan itu maka ada keadaan pula kesemua pihak berugama Islam yang bertikai akan melantik Peguam Syarie bukan berugama Islam dalam satu prosiding yang sam – yakni Plaintif melantik Peguam Josephine Mary; Defendan melantik Peguam Isaac Cheah; Pihak Mencelah melantik Peguam Ah Kow (contoh sahaja). Kemungkinan Hakim pula bukan dari kalangan orang Islam. Lihat kes-kes seperti yang berlaku di India dalam posting saya terdahulu.

Di Malaysia isu ini telah pun timbul di dalam suatu kes Mahkamah Sibil yang kini di peringkat Rayuan. Lapuran penuh keputusan Mahkamah Tinggi Malaya dalam kes ini akan di postkan di dalam blog ini kelak. Insyaallah. Saya tidak mahu membuat sebarang ulasan mengenai kes tersebut tambahan pula terdapat juga kekangan dari kaedah perundangan yang dikenali sebagai kaedah, konsep atau prinsip SUB JUDICE. Mengenai sub judice ini saya akan postkan kelak sebagai tajuk kecil kepada siri wakalah ini.

Dalam posting kali ini kita lihat kedudukan isu ini di negeri Pahang khususnya.

^^^^^^^^^^^^^^^^^



Berkenaan dengan persoalan melantik orang bukan Islam sebagai Peguam Syarie ini dalam suatu fatwa yang tidak di wartakan telah di keluarkan di negeri Pahang pada 07.01.2011. Fatwa itu adalah seperti berikut:


Hukum Melantik Orang Bukan Islam Sebagai Peguam Syari'e **

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-1/2011 yang bersidang pada 7 Januari 2011 telah membincangkan Hukum Melantik Orang Bukan Islam Sebagai Peguam Syari'e. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:

Mesyuarat berpandangan bahawa untuk menjadi seorang peguam syarie, seseorang itu perlu mampu menguasai ilmu al-Quran dan al-hadith, bahasa Arab, Ilmu Usul Fiqh dan Fiqh secara keseluruhannya dan ia perlu didasari dengan keimanan kepada Allah s.w.t. agar tanggungjawab yang dipikul disandarkan hanya kepada Allah s.w.t. dan demi kemaslahatan umat Islam dan keadilan menurut perspektif Islam.

Oleh yang demikian, demi menjaga kesucian dan kehormatan agama dan umat Islam, Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan dilantik sebagai Peguam Syarie berpandukan kepada kaedah-kaedah fiqhiyyah dan peruntukan undang-undang berikut:

   a.    Kaedah ini سَدُّ الذَّرِيعَةِ merujuk kepada perlunya menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudharatan. Sekiranya orang bukan Islam dibenarkan untuk dilantik sebagai peguam syarie, ia memberi ruang kepada orang bukan Islam untuk menguruskan hal ehwal orang Islam terutama sekali isu-isu syarak. Keadaan ini boleh menimbulkan kecelaruan di kalangan umat Islam.

   b.    إِذَا تَعَارَضَ الْمَانِعُ وَالْمُقْتَضَى قُدِّمَ الْمَانِعُ : Apabila bertentangan antara dalil-dalil yang menegah dengan dalil-dalil yang menghendaki, hendaklah diutamakan perkara yang menegah. Larangan melantik orang bukan Islam sebagai peguam syarie perlu diutamakan, walaupun kemungkinan ia mempunyai kebaikan dari suatu segi, tetapi keburukannya perlu diambil kira dan diberi perhatian.

     c.    المَصْلَحَةُ الْعَامَّةُ تُقَدِّمُ عَلَى الْمَصْلَحَةِ الْخَاصَةِ: Kaedah ini bermaksud maslahah (kebaikan) am perlu didahulukan daripada maslahah khas. Maslahah am atau umum merujuk kepada maslahah umat Islam di Malaysia secara keseluruhannya. Manakala maslahah khas merujuk kepada kebaikan yang mungkin diperolehi oleh orang tertentu. Dalam situasi hari ini, maslahah orang awam (umat Islam) perlu diutamakan.

    d.    تَصَرَّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَة: Kaedah ini bermaksud tindakan yang dijalankan oleh pemerintah terhadap rakyat bergantung kepada maslahah. Dalam konteks ini, pemerintah berhak membuat keputusan berpandukan kepada kemaslahatan rakyat dengan berlandaskan kepada syariat Islam.

  e. Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa, sekiranya seorang bukan Islam dibenarkan untuk beramal sebagai peguam Syarie dan didapati tidak mematuhi etika sebagai Peguam Syarie atau apa-apa prosedur yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah, tiada tindakan yang boleh diambil kerana beliau tidak tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian, tiada tindakan yang boleh diambil ke atas beliau kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.



^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Mengenai persolan ini juga Fatwa Kebangsaan Malaysia juga telah di keluarkan melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-92 yang bersidang pada 15-17 Disember 2010 sebagaimana yang berikut:

Hukum Melantik Orang Bukan Islam Sebagai Peguam Syari’e

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-92 yang bersidang pada 15-17 Disember 2010 telah membincangkan Hukum Melantik Orang Bukan Islam Sebagai Peguam Syarie. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa untuk menjadi seorang peguam syarie, seseorang itu perlu mampu menguasai ilmu al-Quran dan al-hadith, bahasa Arab, Ilmu Usul Fiqh dan Fiqh secara keseluruhannya dan ia perlu didasari dengan keimanan kepada Allah s.w.t. agar tanggungjawab yang dipikul disandarkan hanya kepada Allah s.w.t. dan demi kemaslahatan umat Islam dan keadilan menurut perspektif Islam.

Oleh yang demikian, demi menjaga kesucian dan kehormatan agama dan umat Islam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan dilantik sebagai Peguam Syarie berpandukan kepada kaedah-kaedah fiqhiyyah dan peruntukan undang-undang berikut:

a. سَدُّ الذَّرِيعَةِ : Kaedah ini merujuk kepada perlunya menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudharatan. Sekiranya orang bukan Islam dibenarkan untuk dilantik sebagai peguam syarie, ia memberi ruang kepada orang bukan Islam untuk menguruskan hal ehwal orang Islam terutama sekali isu-isu syarak. Keadaan ini boleh menimbulkan kecelaruan di kalangan umat Islam.

b. 
إِذَا تَعَارَضَ الْمَانِعُ وَالْمُقْتَضَى قُدِّمَ الْمَانِعُ : Apabila bertentangan antara dalil-dalil yang menegah dengan dalil-dalil yang menghendaki, hendaklah diutamakan perkara yang menegah. Larangan melantik orang bukan Islam sebagai peguam syarie perlu diutamakan, walaupun kemungkinan ia mempunyai kebaikan dari suatu segi, tetapi keburukannya perlu diambil kira dan diberi perhatian.

c. 
المَصْلَحَةُ الْعَامَّةُ تُقَدِّمُ عَلَى الْمَصْلَحَةِ الْخَاصَةِ: Kaedah ini bermaksud maslahah (kebaikan) am perlu didahulukan daripada maslahah khas. Maslahah am atau umum merujuk kepada maslahah umat Islam di Malaysia secara keseluruhannya. Manakala maslahah khas merujuk kepada kebaikan yang mungkin diperolehi oleh orang tertentu. Dalam situasi hari ini, maslahah orang awam (umat Islam) perlu diutamakan.

d. 
تَصَرَّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ : Kaedah ini bermaksud tindakan yang dijalankan oleh pemerintah terhadap rakyat bergantung kepada maslahah. Dalam konteks ini, pemerintah berhak membuat keputusan berpandukan kepada kemaslahatan rakyat dengan berlandaskan kepada syariat Islam.

e. Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa, sekiranya seorang bukan Islam dibenarkan untuk beramal sebagai peguam Syarie dan didapati tidak mematuhi etika sebagai Peguam Syarie atau apa-apa prosedur yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah, tiada tindakan yang boleh diambil kerana beliau tidak tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian, tiada tindakan yang boleh diambil ke atas beliau kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.


Negeri Perak selain mengeluarkan fatwanya mengenai persoalan ini telah mewartakan fatwanya sebagaimana berikut:

Fatwa Mengenai Perlantikan Peguam Syarie Di Kalangan Orang Bukan Islam **

Tarikh Keputusan: 9 May, 2011
Keputusan: 

ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (PERAK) 2004

Fatwa Mengenai Perlantikan Peguam Syarie
Di Kalangan Orang Bukan Islam

BAHAWASANYA Jawatankuasa Fatwa, pada menjalankan kuasanya di bawah seksyen 36 dan seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 [Enakmen 4 Tahun 2004], telah menyediakan fatwa yang terkandung dalam ini:

Dan bahawasanya menurut seksyen 37 Enakmen yang sama, Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Darul Ridzuan telah memperkenankan penyiaran  fatwa ini dalam Warta dan Kerajaan Negeri telah dimaklumkan tentang fatwa ini.

Maka, oleh yang demikian, pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, Jawatankuasa Fatwa, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, membuat dan menyiarkan fatwa yang berikut:

" Orang bukan Islam adalah dilarang beramal sebagai Peguam Syarie di mana-mana Mahkamah Syariah dalam Negeri Perak Darul Ridzuan "

Status Penwartaan: Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 18 Aug, 2011
Nombor Rujukan: MNPK. A351.IST/01/7 JLD. 2; PU.Pk.07/2001
Akta/Enakmen: Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004


Apapun di dalam fatwa-fatwa tersebut isu persoalan diatas telah di jawab dengan negatif yakni tidak di benarkan.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Sebelum fatwa-fatwa di atas di keluarkan terdapat pandangan-pandangan telah di keluarkan dan di tulis secara meluas di Malaysia. Antaranya sebuah rencana tulisan Zaharuddin Abd Rahman yang saya rasa sesuai untuk di kongsikan di sini:

RENCANA:
Bolehkah Peguam Syarie Bukan Muslim?
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

SOALAN

Selain isu pemberian lesen perjudian untuk mengendalikan perjudian sewaktu piala dunia pada bulan hadapan, isu berkait Islam yang banyak ditanyakan adalah berkaitan Perlantikan Peguam Syari'e dari kalangan bukan Islam. Apakah terdapat larangan khusus atau keharusan tentangnya di dalam Islam? Mohon ustaz mengulas.

JAWAPAN

Saya kira isu ini memerlukan perbincangan lanjut dengan lebih terperinci khususnya yang melibatkan peruntukan undang-undang dan yang berkait dengannya.

Selain itu, perkara berkait nas syarak dan juga kesan positif serta negatifnya juga perlu diteliti. Semua perlu didiskusikan bagi memperolehi satu keputusan paling konkrit dan wajar. Artikel yang saya tulis ini hanyalah sekelumit perbincangan yang berkaitan, ia ditulis dalam bentuk agak ringan untuk pembacaan awam. Ia tentunya tidak cukup untuk menetapkan pendirian terbaik namun saya kira cukup untuk memberikan sedikit jawapan dan rujukan untuk perbincangan yang lebih mendalam dan ilmiah.

Jika kita menelusuri khazanah ilmu Islam terdapat beberapa perkara boleh dijadikan rujukan iaitu:-

1.     Firman Allah swt :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Maidah : 8)

Ayat ini secara jelas mengarah umat Islam mengenakkan keadilan dan kebenaran dalam apa jua penilaian dan hukuman yang dijatuhkan. Justeru menjadi objektif Shariah, apa sahaja perkara harus (yang tiada larangan khusus) boleh mendekatkan kepada keadilan akan turut dibenarkan.

Dalam konteks ini, demi menegakkan keadilan dalam pemutusan hukum Shariah di mahkamah, tentunya Hakim mestilah seorang Muslim, malah mempunyai syarat tertentu tambahan pula. Saya kira, adalah jelas hakim di Mahkamah Syariah MESTILAH dan WAJIB seorang MUSLIM.

Namun status peguam, bagi saya mereka HANYALAH pelaksana atau bidang kuasanya terhad seperti pegawai eksekutif sahaja, bukan pemutus. Malah semua hujjahnya dalam dakwaan atau pembelaan terhadap anak guamnya belum tentu diterima oleh Hakim Syarie. Perbicaraan pula boleh dibuat secara tertutup. Justeru tidak timbul persoalan, peguam terbabit akan menyelewengkan nas Al-Quran atau hadis, kerana sebarang penyelewengan akan ditolak oleh hakim dan peguam lain. Maka dalam konteks tersebut, saya melihat tiada masalah bagi seorang peguam Syarie walau dari kalangan bukan Muslim.

Ia hampir sama dengan situasi perbankan dan kewangan Islam hari ini yang dipenuhi dengan CEO, pengurusan tertinggi serta eksekutif yang bukan beragama Islam. Namun tentunya, mereka diperlukan mempunyai beberapa kriteria dan kelayakan tertentu untuk menduduki jawatan di sektor kewangan Islam. Khususnya ilmu dan pengetahuan di dalam hal ehwal hukum Shariah di dalam bidang Fiqh Mu'amalat.

Apa yang tidak wajar atau TIDAK DIBOLEHKAN adalah bukan Muslim menjadi ahli Majlis Penasihat Shariah di mana-mana institusi kewangan Islam. Ini kerana jawatan tersebut memerlukan kriteria seperti hakim di mahkamah Shariah yang perlu menghayati Islam dalam ilmu, kehidupan dan keimanan di hati. Alhamdulillah setakat ini, masih belum ada mana-mana individu atau ilmuan bukan Islam yang dilantik menjadi ahli penasihat Shariah.

2)         Allah juga mengingatkan :-
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِن جَآؤُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُم أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Ertinya : Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta putusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah dari mereka; jika kamu berpaling dari mereka maka mereka tidak akan memberi mudarat kepadamu sedikit pun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil ( Al-Maidah : 42)

Ayat ini menunjukkan mahkamah Islam sentiasa sedia menerima mana-mana individu bukan Islam untuk mencari keadilan atau mendapatkan hukuman terbaik di atas pertikaiannya berdasarkan ketentuan hukum Shariah. Justeru, dalam konteks memberikan pembuktian, mengemukan hujjah, sudah tentulah individu bukan Islam tersebut BEBAS untuk berhujah di mahkamah (jika dia tidak diwakili oleh mana-mana peguam). Keadaan ini secara langsung menjelaskan bahawa mahkamah Islam menerima hujah dari individu bukan Islam sama ada atas nama pendakwa, tertuduh dan sekaligus peguam yang mewakili anak guamnya.

3.         Allah swt berfirman :
إنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللّهُ وَلاَ تَكُن لِّلْخَآئِنِينَ خَصِيمًا

Ertinya : Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat...(An-Nisa : 105)

Menurut para ulama, ayat ini sangat PERLU DAN WAJIB diHAYATI OLEH SEMUA PEGUAM MUSLIM, amat bertepatan dengan kerjaya peguam yang bertugas di mahkamah keadilan. Menurut mufassirin, ayat ini diturunkan ke atas kes seorang Munafiq bernama Tu'mah Ibn Abiraq.

Hasil daripada ayat tersebut, Rasulullah menarik semula hukuman ke atas Yahudi yang dituduh oleh seorang Munafiq bernama Tu'mah ibn Abiraq mencuri baju besi perang kepunyaan Qatadah Bin Nu'man. Padahal Tu'mah yang mencurinya dan menyembunyikannya di rumah lelaki Yahudi yang juga merupakan jirannya. Kes ini berakhir dengan hukuman dikenakan ke atas Yahudi, namun Allah menurunkan satu ayat menunjukkan Yahudi terbabit tidak bersalah iaitu surah An-Nisa ayat 105-109. (Tafsir Ibn Kathir, 1/552 ; Al-Durru Al-Manthur, As-Sayuti, 2/673 ;)

Imam Al-Razi berkata ketika menghuraikan ayat 105 surah an-Nisa di atas:

وكان الغرض من هذا النهي تنبيه النبي عليه الصلاة والسلام على أن طعمة كذاب وأن اليهودي برىء عن ذلك الجرم

Ertinya : Tujuan dari larangan (janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) adalah peringatan kepada Nabi s.a.w bahawa sesungguhnya Tu'mah berbohong dan Yahudi tersebut tidak bersalah atas dakwaan jenayah mencuri tersebut.(Tafsir al-Kabir, 11/28)

Ayat ini juga menjelaskan secara terang bagaimana seorang bukan Islam dari kalangan Yahudi diadili di Mahkamah Islam di zaman Rasulullah. Sebagaimana di atas, tentunya Yahudi terbabit telah diberikan peluang oleh Rasulullah untuk membela dirinya. Namun pembelaannya gagal. Pembelaan bermaksud menjalan tugas seperti peguam. Namun jelas keadilan sentiasa dijamin pemutusan hukuman dalam kes di atas ini telah dipandu oleh Allah ta'ala.

4.         Athar

Kisah perbicaraan antara Khalifah Ali k.w selaku Amirul Mukminin ketika itu dengan seorang Yahudi perihal baju besi wajar dijadikan rujukan.

Asalnya khalifah Ali kehilangan baju besinya. Tiba-tiba terlihat ia dalam barang jualan seorang Yahudi, lelaki tersebut kelihatan sedang menjualnya di pasar. Apabila dituntut oleh khalifah Ali dengan mengatakan ia adalah baju besinya yang jatuh dari untanya di malam hari, lelaki Yahudi tersebut enggan mengaku dan menegaskan ia adalah miliknya. Ali terus menuntut membawa pertikaian mereka mereka ke penghakiman hakim Muslim.

Hasil dari itu, kes mereka berdua yang berselisih dalam menentukan pemilikan terhadap baju besi tersebut dibawa ke pengadilan Qadhi Syuraih Ibn Harith Al-Kindi r.a (wafat 78 H). Lalu Syuraih bertanya kepada Ali, apakah kisahmu?

Khalifah Ali : aku mendapati baju besi milikku yang jatuh tercicir pada malam hari berada di dalam barang jualan lelaki ini.
Qadhi Syuraih : bagaimana pula kamu wahai lelaki?
Lelaki Yahudi : Ia adalah milikku dan berada dalam simpananku, aku tidak pula menuduh Ali berbohong.
Qadhi Syuraih : Wahai Ali, aku tidak syak atas kejujuranmu namun kamu mesti mempunyai dua orang saksi. Adakah kamu mempunyai bukti ia milikmu?
Jawab Khalifah Ali : Ya, kedua anakku, Hasan dan Husain menjadi saksi bahawa ia kepunyaanku.  
Qadhi Syuraih :Sesungguhnya penyaksian anak terhadap bapanya dalam kes ini tidak diterima.
Khalifah Ali : Subhanallah!. Adakah lelaki yang dijamin syurga tidak diterima penyaksiannya ( merujuk kepada Hasan dan Hussain yang disebut oleh nabi akan menjadi pemuda Syurga)
Qadhi Syuraih : bahkan wahai Amirul Mukminin, namun aku tidak boleh membenarkan penyaksian anak menyokong bapanya dalam kes ini.
Qadhi Syuraih : Wahai lelaki, ambillah, baju besi itu adalah milikmu.
Lelaki Yahudi berkata :

أمير المؤمنين قدمني إلى قاضيه! وقاضيه يقضي عليه! أشهد أن هذا الدين على الحق، وأشهد أن لا إله إلا الله، وأن محمداً عبده ورسوله، وأن الدرع درعك يا أمير المؤمنين،
 سقطت منك ليلاً.

Ertinya : Amirul Mukminin Ali membawaku untuk diputuskan hukuman melalui mahkamahnya (islam) dan Qadhi pilihannya. Qadhi pilihannya memutuskan sebaliknya.! Aku bersaksi sesungguhnya agama ini adalah BENAR, lalu beliau terus mengucap dua kalimah shahadah. Kemudian, berkata : Sesungguhnya baju besi tersebut adalah milikmu wahai Amirul Mukminin, tercicir darimu di malam hari. (Hilyatul Awliya, Abu Nu'aim Al-Esfahani, 4/140 ; Tarikh al-Khulafa,  As-Sayuti, 1/185 ; Akhbar Al-Qudhah, Waki',  2/200)

Namun kemudiannya Ali terus menghadiahkannya kepada lelaki tersebut.

Jelas sekali lagi dalam kisah di atas bagaimana lelaki bukan Islam Yahudi ini dibenarkan berhujjah untuk dirinya sendiri. Menggunakan peguam adalah sama seperti berhujjah kepada diri sendiri, kerana peguam hanyalah wakil yang mewakili anak guamannya disebabkan kredibiliti, pengalaman dan pengetahuan undang-undang yang lebih baik berbanding anak guamannya.

KESIMPULAN

Hasil dari ringkasan dalil di atas, buat masa ini saya berpandangan, secara ilmiah, logik dan asalnya, tiada salah mana-mana peguam sama ada dalam kes yang melibatkan harta seperti di atas atau kes kekeluargaan dan sebagainya bertindak selaku peguam bagi anak guamannya. Tanpa mengira agama anutannya, apa yang asas adalah hujahnya mestilah menepati displin ilmu Islam yang ‘valid'.

Namun demikian, perlu saya ingatkan sekali lagi, artikel ini hanyalah ulasan ringkas menjawab soalan yang diutarakan. Justeru, beberapa persoalan lain juga perlu diambil kira khususnya dari sudut undang-undang dan pentadbiran.

Sebagaimana isu penggunaan nama Allah, pemerintah mempunyai kuasa ekslusif untuk menyekat jika diyakini ia boleh membawa mudarat tertentu. Malah jika tiada mudarat sekalipun, Allah memberikan kebebasan. Ini jelas dari ayat kedua yang saya bawakan di atas juga iaitu :

فَإِن جَآؤُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُم أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ

Ertinya : Sekiranya mereka datang kepadamu, jalankanlah proses hukuman di antara mereka atau kamu boleh berpaling

Imam Al-Baidhawi dan lain-lain mufassirin menjelaskan:

تخيير لرسول الله صلى الله عليه وسلم إذا تحاكموا إليه بين الحكم والإعراض

Ertinya : Ia merupakan pemberian pilihan kepada Rasulullah s.a.w apabila mereka datang meminta hukuman darinya, sama ada untuk menerima atau menolak ( Tafsir Al-Baidhawi, 2/326)

Justeru itu, pendirian Islam dalam hal ini terbuka kepada pemerintah dan hakim Syar'ie. Mereka boleh menerima kes yang melibatkan bukan Islam di dalam mahkamah mereka, atau menolak. Jika demikian, ini bermakna, menurut peruntukan yang jelas dari Allah ta'ala, Mahkamah Islam juga bebas sama ada untuk menerima peguam Syari'e bukan Islam atau menolaknya sebagaimana halnya penerimaan untuk membicarakan kes mereka atau menolaknya. Kedua-duanya dibenarkan oleh Allah ta'ala

Selain itu, pemerintah sama ada atas nama jabatan Agama Islam negeri berkenaan atau lainnya, mereka mempunyai hak untuk menyusun atur kelayakan khusus untuk sesuatu posisi dan jawatan di dalam perkhidmatan. Justeru, jika telah ditetapkan oleh mana-mana negeri, peguam syarie di negeri mereka mestilah dari kalangan mereka yang beragama Islam sahaja, maka hal tersebut adalah ‘valid' dan wajar dipatuhi.

Pada hemat saya, ia adalah undang-undang yang bersifat administrative dan bukan tegahan atas nama ‘agama' atau dari hujah agama' (kerana kelihatan tiada halangan dari sudut agama), ia adalah syarat pentadbiran, seperti mesti menjalani peperiksaan PTK untuk kenaikan pangkat, menghadiri majlis konvokesyen universiti dengan jubah khas. Memasuki sebahagian kawasan hospital dengan pakaian khas dan sebagainya. Jika kita mampu untuk memahami sedemikian, isu pentadbiran seperti itu, tidaklah wajar diperbesarkan.

PRAKTIKALNYA

Secara praktikalnya saya juga kurang setuju bukan Muslim menjadi Peguam Syari'e, namun apa yang saya bicarakan dalam artikel di atas adalah  sebahgain aspek dari sudut hukum. Persoalan peguam ini termasuk dalam bab ‘Al-Wakalah bil Khusumah' atau ‘Al-Wakalah Fi Al-Da'wa'. 

Ertinya, perlantikan seseorang terhadap peguam untuk mewakili dirinya dalam perbicaraan. Disebutkan dengan jelas oleh para ulama keharusan bukan Islam untuk mewakili orang Islam dalam apa juga kes melibatkan harta, keluarga, hak pusaka dan sebagainya.

Imam Ibn Qudamah mengatakan :  

وإن وكل مسلم كافرا فيما يصح تصرفه فيه صح توكيله سواء كان ذميا‏,‏ أو مستأمنا لأن العدالة غير مشترطة فيه

Ertinya : sesungguhnya jika seorang Muslim melantik wakilnya seorang akfir dalam apa jua perkara yang sah untuknya bertindak, mak sah perlantikannya sebagai wakil (dalam konteks perbincangan kita wakil bil khusumah = wakil pembela atau pendakwa), sama ada kafir itu dari kalangan kafir dzimmi, musta'min kerana keadilan itu tidak disyaratkan (berkait) padanya' ( Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah , Bab Wakalah) 

Kerana itu saya katakan, dari sudut hukum Islam, bukan Islam dibenarkan mewakili muslim di mahkamah sama ada mahkamah civil atau mahkamah Syariah (dalam konteks Malaysia). Cuma ia terikat kepada undang-undang administrative yang memerlukan muslim sahaja di mahkamah syariah. Cuma artikel saya lebih kepada mengajak pembaca mendapat info hukum asal, bukan terlalu specific dan menjawab persoalan dalam konteks Malaysia secara khusus. 

Adapun hal-hal dan isu seperti ‘kebenaran itu akan menutup peluang kerja muslim', ‘peguam muslim masih ramai', ‘agenda kuffar', ‘aqidah umat islam sedang lemah', ‘agenda murtad bertambah', ‘bagi betis nak peha', ‘kelak nanti memohon menjadi hakim syarie pula' dan sebagainya.

Semua itu adalah faktor-faktor mendatang (li ghayrihi), maka ia memerlukan perbincangan berasingan dan memerlukan berbukti. Maka terbukti, pemeirntah smemeangnya boleh melarang, namun larangan itu bukan atas dari larangan asal yang bersifat (li zatihi) tetapi larangan yang bersifat mendatang. (li ghayiri).

Kita perlu faham satu demi satu dimulakan dengan perspektif hukum Fiqh yang asal terlebih dahulu.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
18 Mei 2010


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Isu persoalan di atas telah timbul apabila Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menolak permohonan seorang berugama Kristian bernama Victoria Jayaseele Martin untuk menjadi Peguam Syarie di Kuala Lumpur.  Setelah permohonan beliau di tolak oleh MAIWP suatu semakan telah di failkan di Mahkamah Tinggi Malaya.  Mahkamah Tinggi Malaya memutuskan bahawa keputusan MAIWP menolak permohonan Victoria untuk di terima-masuk sebagai Peguam Syarie di Wilayah Persekutuan adalah tidak bercanggah dengan undang-undang serta Perlembagaan Malaysia.

Lapuran penuh keputusan semakan Mahkamah Tinggi Malaya itu akan di postkan di dalam posting Wakalah Peguam Syarie Siri 4. Untuk siri semasa ini berikut ialah headnotes (terjemahan) kepada lapuran keputusan Mahkamah Tinggi Malaya dalam kes itu:


Victoria Jayaseele Martin ('pemohon'), seorang peguamcara dan peguambela Mahkamah Tinggi Malaya, telah memohon untuk diterima masuk sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Permohonan kemasukannya telah dinafikan atas alasan bahawa dia bukan beragama Islam. Ini merupakan permohonan pemohon untuk semakan kehakiman keputusan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (responden pertama), atas alasan bahawa responden pertama telah bertindak dengan kepenyalahan undang-undang, tidak rasional, tidak berpatutan dan dengan bidang kuasa yang berlebihan apabila ia menafikan kemasukannya sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan disebabkan dia bukan beragama Islam. Melalui permohonan ini pemohon memohon, antara lain, deklarasi bahawa k 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993 ('k 10') yang mana memberikan mandat bahawa hanya orang yang beragama Islam boleh diterima masuk sebagai peguam syarie adalah ultra vires Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 ('Akta') dan juga tidak sah kerana bercanggah dengan perkara 8, 5 dan/atau 10 Perlembagaan Persekutuan ('Perlembagaan'); dan perintah certiotari untuk membatalkan keputusan responden pertama. Sementara itu, responden pertama telah memohon untuk membatalkan permohonan untuk semakan kehakiman sebagai penyalahgunaan proses, remeh dan menyusahkan. Responden pertama berhujah bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara ini memandangkan ia berkenaan dengan perkara-perkara dalam lingkungan Syariah dan bahawa k 10 adalah sah dan diluluskan mengikut Akta tersebut. Kedua-dua permohonan pemohon untuk semakan kehakiman dan pembatalan permohonan responden pertama didengar bersama. Pemohon berhujah bahawa di bawah s 59(1) Akta, responden pertama harus menerima masuk sesiapa yang mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang undang-undang Islam sebagai peguam syarie dan bahawa seseorang tidak mestinya beragama Islam untuk mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang undang-undang Islam. Pemohon selanjutnya menghujahkan bahawa keperluan responden pertama bagi seorang yang memohon pelantikan sebagai peguam syarie hendaklah beragama Islam adalah keperluan tambahan yang mana tidak dimaksudkan oleh Perundangan. Oleh itu, adalah menjadi hujahan pemohon bahawa responden pertama telah melepasi kuasa perundangannya apabila ia menggubal k 10, yang mana memberi mandat bahawa hanya seorang Islam boleh diterima masuk sebagai peguam syarie.

Responden pertama berhujah bahawa ia diberi kuasa di bawah s 59(2) Akta untuk menggubal kelayakan seorang peguam syarie dan bahawa k 10, yang mana menghendaki seorang yang memohon pelantikan sebagai peguam Syarie beragama Islam, adalah dibuat di bawah s 59(2) Akta.

Diputuskan, menolak permohonan pemohon dan permohonan responden pertama:

(1) Memandangkan s 59(1) Akta bermula dengan kata-kata pembuka 'subject to subsection (2)' ia hendaklah dibaca tertakluk kepada sub-s (2). Dengan bahasa yang jelas dan ringkas, ia bermaksud bahawa budi bicara responden pertama untuk menerima masuk sesiapa dengan pengetahuan undang-undang Islam yang mencukupi sebagai peguam Syarie adalah tertakluk kepada sub-s (2) dan bahawa s 59(1) adalah bukan tanpa syarat. Selanjutnya perkataan 'may admit' di dalam s 59(1) Akta menandakan bahawa adalah tidak mandatori untuk responden pertama menerima masuk seseorang semata-mata atas dasar mempunyai pengetahuan undang-undang Islam yang mencukupi. Adalah menjadi niat badan perundangan untuk memberi responden pertama kuasa untuk menentukan kelayakan yang berpatutan atas budi bicaranya. Justeru responden pertama adalah diberikan kuasa untuk menambah, mengubah atau menghadkan kelayakan tersebut. Oleh itu, responden pertama telah diberikan kuasa, menurut s 59(2) Akta, untuk mengawal selia kelayakan seorang peguam syarie (lihat perenggan 15-17).

(2) Dalam ketiadaan definisi 'qualification' di dalam Akta tersebut atau di dalam Akta Tafsiran, maksud jelas dan biasa perkataan hendaklah digunakan. Adalah didapati bahawa maksud jelas dan biasa perkataan 'qualification' adalah cukup luas untuk membenarkan responden pertama untuk mengenakan syarat yang terdapat di dalam k 10. Responden pertama dalam kewajarannya, berdasarkan tafsiran Syariah, menganggap adalah bersesuaian untuk memerlukan kelayakan tersebut dan oleh itu, adalah tidak wajar bagi mahkamah ini untuk meragui atau menyoal kewajaran responden pertama dalam mengenakan syarat sedemikian.

Keputusan responden pertama adalah berdasarkan tafsirannya sendiri tentang jurisprudens Islam. Melainkan bantahan telah dibuat terhadap ketepatan tafsiran responden pertama, keputusannya dikekalkan (lihat perenggan 18-22, 27 & 28).

(3) Adalah didapati bahawa sekiranya badan perundangan merasakan patut bahawa bagi tujuan mencapai objektif Akta, ia memerlukan peraturan di mana hanya seorang Islam boleh diterima masuk sebagai peguam syarie dan bahawa peraturan tersebut telah dibuat untuk menangani masalah tersebut, dikukuhkan dengan pengalamanan dan bahawa ia mendiskriminasi atas alasan yang secukupnya, oleh itu undang-undang tersebut tidak bercanggah dengan perkara 8 Perlembagaan dan merupakan undang-undang yang baik. Tambahan, dengan mempunyai peguam syarie yang menganut agama Islam, ia dapat mencapai objektif Akta; kepercayaan menjadi ukuran yang diperlukan dalam pendekatannya. Dalam kes sedemikian terdapat kaitan di antara peraturan yang dipersoalkan dengan objektif Akta. Lanjutan itu k 10 yang dipersoalkan tidak bercanggah dengan perkara 8 Perlembagaan dan adalah berperlembagaan (lihat perenggan 37-41).

(4) Melihatkan bahawa perkara ini melibatkan isu kepentingan awam, setiap pihak hendaklah menanggung kos masing-masing (lihat perenggan 44).


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Malaya itu Victoria merayu ke Mahkamah Rayuan Malaysia dan keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia berpihak kepada beliau. Lapuran dan Penghakiman Mahkamah Rayuan Malaysia itu akan saya kemukakan nanti dalam siri akan datang.

Pihak MAIWP dan Peguam Negara tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu dan ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan Malaysia. Rayuan sedemikian mengikut prosedur perlu terlebih dahulu mendapat suatu kebenaran dari Mahkamah Persekutuan sebelum pihak yang ingin merayu itu boleh memfailkan rayuan. Kebenaran sedemikian  telah di perolehi maka kes itu kini masih belum selesai sementara menunggu keputusan dari Mahkamah Persekutuan. Oleh itu kita seharusnya tidak membincangkan keputusan kes Victoria ini sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan dengan muktamad Rayuan oleh MAIWP dan Peguam Negara. Ini adalah kerana untuk mengelakkan perbuatan menghina Mahkamah di bawah konsep/kaedah sub-judice.

Berkenaan konsep/kaedah sub-judice Insyaallah saya akan postkan dalam blog ini contoh huraiannya dalan siri akan datang. Memadai di nyatakan di sini bahawa menurut Kamus Dewan Edisi Ke4 (terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka Malaysia) makna ‘sub-judice’ adalah: (Udg) sedang dipertimbangkan oleh mahkamah dan oleh itu tidak boleh diperkatakan di khalayak ramai.

Untuk posting kali ini saya ambil lapuran akhbar Berita Harian (sumber dari Bernama) bertarikh 28.01.2014 sepertimana di bawah ini:


MAIWP dibenar rayu keputusan kes peguam syarie bukan Islam
2014/01/28

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Peguam Negara (JPN) merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan peguam bukan Islam bertindak sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima anggota, meluluskan permohonan MAIWP dan JPN untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung perkara itu.

Peguam Ranjit Singh yang mewakili peguam Victoria Jayaseele Martin dalam permohonannya agar diterima sebagai peguam syariah, tidak membantah kelulusan yang diberi kepada permohonan kebenaran itu.

Berikutan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan itu dan akan menetapkan tarikh untuk membuat keputusan sama ada peguam bukan Islam boleh bertindak sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan.

Md Raus meluluskan permohonan itu berdasarkan satu persoalan undang-undang yang akan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Persoalan undang-undang berkenaan ialah "sama ada Peraturan 10 mengenai Peraturan-peraturan Peguam Syarie 1993 yang menetapkan bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie kerana peguam syarie adalah ultra vires dengan Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993." 

MAIWP dan JPN diberi masa 14 hari untuk memfailkan notis rayuan mereka.

Mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964, seseorang pemohon mestilah terlebih dahulu mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan, sebelum mengemukakan rayuan kepada mahkamah tertinggi.

Dalam prosiding hari ini, Ranjit Singh, dan Datuk Sulaiman Abdullah, yang mewakili MAIWP, memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka bersetuju untuk menumpukan terhadap satu persoalan undang-undang sahaja yang dikemukakan JPN, untuk dibuat keputusan oleh Mahakamah Persekutuan.

Pada 21 Jun 2013, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan membuat keputusan bersejarah bahawa peguam bukan Islam layak bertindak sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan ketika itu, Datuk Seri Abu Samah Nordin (kini hakim Mahkamah Persekutuan), mengisytiharkan bahawa Peraturan 10 Peraturan-peraturan Peguam Syarie 1993 yang hanya membenarkan orang Islam diterima sebagai peguam syarie, adalah ultra vires dengan Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan).

Victoria, 51, yang memperoleh Diploma dalam Undang-undang dan Amalan Syariah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) pada 2004, memfailkan permohonan semakan semula kehakiman pada 2009 dengan menyatakan bahawa beliau memohon untuk diterima sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan melalui sepucuk surat bertarikh 24 Ogos 2009.

Katanya, permohonan itu ditolak Jawatankuasa Peguam Syarie yang memaklumkan kepadanya melalui sepucuk surat bertarikh 9 Sept 2009, bahawa permohonannya tidak dapat diproses kerana syarat utama mengikut Peraturan-peraturan Peguam Syarie menyatakan bahawa seseorang yang ingin memohon dan menjadi peguam syarie di Wilayah Persekutuan mestilah beragama Islam.

Permohonan semakan semula kehakiman yang dikemukakannya ditolak Mahkamah Tinggi selepas memutuskan bahawa MAIWP mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menetapkan syarat berhubung penerimaan seseorang sebagai peguam syarie.

Victoria yang beragama Kristian, kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan menyebelahinya. - BERNAMA




^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^




Tiada ulasan:

Catat Ulasan