Prosedur
Tuntutan Mut’ah di Mahkamah Syariah – Saman (Siri 4).
Berikut
ialah ialah satu (1) lagi isu awalan dan penting mengenai ‘Saman’:
-
Penyampaian Saman. Dalam posting ini isu
ini di bincangkan kepada dua situasi iaitu:
a.
Penyampaian Saman kepada Defendan (pihak
kena tuntut) yang berada di dalam negeri Pahang;
b.
Penyampaian Saman kepada Defendan (pihak
kena tuntut) yang berada di luar negeri Pahang.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Penyampaian Saman secara yang sempurna dan
menepati tatacara dan arahan amalan Mahkamah Syariah adalah perkara penting.
Jika Saman yang di serahkan kepada Defendan itu cacat atau tidak sempurna dari
segi serahan menurut tatacara dan amalan
maka sebarang prosiding perbicaraan serta keputusan Mahkamah darinya adalah
juga cacat serta tidak sah.
Dalam kes Khairol Bin Bahari v Norazian binti
Saidin (Kes Mahkamah Rayuan Syariah No. 14500-001-0012-2001 yang tidak di
lapurkan) di putuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah bahawa perbicaraan dan
keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membicarakan kes tanpa kehadiran
Defendan/Perayu adalah batal serta tidak sah atas alasan bahawa penyampaian
Saman tidak sempurna dan tidak di serahkan kediri Defendan mahupun kepada
Peguam Syarie Defendan yang telah memaklumkan alamat serahan lengkap Defendan.
Sepertimana di negeri lain di Malaysia, kedudukan
mengenai penyampaian Saman di negeri Pahang terbahagi kepada dua keadaan.
Pertama dalam situasi dimana Defendan (yakni suami dalam kes tuntutan mut’ah)
berada di dalam negeri Pahang. Situasi kedua adalah apabila Defendan beralamat
dan berada di luar negeri Pahang. Kedudukan ini tedapat di dalam Bahagian VI
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pahang) 2002 di mana bab 1 nya adalah
peruntukan mengenai penyampaian Saman kepada Defendan (pihak kena tuntut) yang
berada di dalam negeri Pahang manakala bab 2 pula adalah peruntukan mengenai
penyampaian Saman kepada Defendan (pihak kena tuntut) yang berada di luar
negeri Pahang.
[hanya gambar hiasan] |
***************
a. Penyampaian Saman kepada Defendan
(pihak kena tuntut) yang berada di dalam negeri Pahang.
Di bawah Bahagian VI Bab 1 Enakmen Tatacara Mal
Mahkamah Syariah 2002 penyampaian ini disebut sebagai penyampaian dalam
bidangkuasa. Seksyen-seksyen yang terkandung dalam bab 2 ini adalah seksyen 40 sehingga
seksyen 51 enakmen.
Menurut seksyen 40 alamat Plaintif (yakni si isteri - dalam tuntutan
mut’ah) hendaklah di nyatakan di dalam Saman. Alamat tersebut hendaklah
merupakan alamatnya di dalam negeri Pahang dan di dalam kawasan bidangkuasa
tempatan Mahkamah Syariah yang berkenaan. Jika beliau memfailkan Saman melalui
Peguam Syarienya maka alamat Peguam Syarienya itu adalah merupakan alamat
penyampaian Plaintif. Berikut ialah
peruntukan seksyen tersebut:
Seksyen 40. Alamat bagi penyampaian
(1) Tertakluk kepada
subseksyen (2), tiap-tiap plaintif atau pemohon dan tiap-tiap orang yang
memfailkan sesuatu saman atau dokumen lain dalam mana-mana prosiding, selain
seorang pegawai Mahkamah yang bertindak demikian, dan mana-mana orang lain yang
diperintahkan oleh Mahkamah untuk berbuat demikian hendaklah memberikan alamat
bagi penyampaian di dalam Negeri Pahang.
(2) Jika mana-mana
plaintif, pemohon atau orang lain itu diwakili oleh seorang Peguam Syarie,
alamat Peguam Syarie itu hendaklah menjadi alamat bagi penyampaian.
Saman hendaklah diserahkan atau di sampaikan kepada Defendan secara
menyerahkan satu salinannya beserta Pernyataan Tuntutan oleh Penyerah Saman
dengan bertemu sendiri dengan Defendan dan serahkan kepada beliau. Cara
penyerahan atau penyampaian sedemikian di namakan serahan atau penyampaian ke
diri. Salinan Saman itu hendaklah yang bermeterai Mahkamah dan bertandatangan
Pendaftar Mahkamah. Orang yang menyerahkan Saman itu hendaklah merupakan
Pegawai Mahkamah Syariah yang berkenaan ataupun Plaintif sendiri, atau Peguam
Syarienya atau wakil Peguam Syarienya.
Cara penyampaian ini ada peruntukkan di dalam seksyen 41 enakmen:
Seksyen 41. Cara penyampaian
(1) Tertakluk kepada
Bahagian ini, sesuatu saman atau dokumen lain hendaklah disampaikan ke diri,
dan hendaklah dilaksanakan dengan menyerahkan saman atau dokumen lain itu, atau
dengan mengemukakannya untuk diperiksa dan menyerahkan satu salinan saman atau
dokumen lain itu, kepada orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendak disampaikan.
(2) Bagi maksud
subseksyen (1), suatu salinan yang mengandungi meterai Mahkamah dan tandatangan
Pendaftar hendaklah disifatkan sebagai suatu saman atau dokumen asal.
(3) Penyampaian
sesuatu saman atau dokumen lain hendaklah dilaksanakan oleh pegawai Mahkamah
atau mana-mana orang lain.
Oleh kerana seksyen ini tidak menyatakan tempoh
melaksanakan percubaan penyampaian Saman agar kes tidak tertangguh tanpa sebab
serta di selesaikan sesegera mungkin maka suatu arahan amalan telah di
keluarkan bagi tujuan penyelarasan tempoh penyampaian saman kediri Defendan.
Arahan Amalan No. 2 tahun 2011 itu menetapkan bahawa tempoh penyampaian saman
kediri kepada Defendan yang beralamat di dalam bidangkuasa sesebuah mahkamah hendaklah
disempurnakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh saman dikeluarkan.
Di bawah ini adalah Arahan Amalan tersebut:
ARAHAN
AMALAN NO. 2 TAHUN 2011
Tempoh
Penyampaian Saman Kediri
Dalam
Masa 14 Hari Dari Tarikh Saman Dikeluarkan
Saya ingin menarik
perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Arahan Amalan
Mahkamah Syariah Bil. 1 Tahun 2011 pada 12 Muharram 1433H bersamaan 7hb
Disember 2011 telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan
amalan bagi tujuan penyelarasan tempoh penyampaian saman kediri Defendan.
Tempoh penyampaian saman kediri kepada Defendan selain saman yang beralamat
di luar bidang kuasa sesebuah mahkamah hendaklah disempurnakan dalam tempoh
14 hari dari tarikh saman dikeluarkan.
Arahan Amalan ini
berkuatkuasa mulai 7 Disember 2011.
Sekiranya apabila penyerah Saman menerangkan
mengenai dokumen yang ingin di serahkan serta menghulurkan salinan Saman yang
sempurna kepada Defendan tetapi Defendan enggan menerima Saman tersebut atau
menurunkan tanda penerimaannya (tandatangan atau cap jari) maka Saman itu di
akui sebagai telah sempurna diserahkan apabila Saman dan Pernyataan Tuntutan
itu ditinggalkan
berhampiran dengan Defendan. Ini di peruntukkan oleh seksyen 42 di baca bersama
seksyen 49 (2) enakmen.
Seksyen 42 memperuntukkan:
Seksyen 42. Ketakterimaan
Jika orang yang kepadanya sesuatu saman
atau dokumen lain dikehendaki disampaikan enggan menerima saman atau dokumen
itu atau salinannya, ia bolehlah ditinggalkan berhampiran dengan orang itu dan
perhatiannya diarahkan kepada saman, dokumen atau salinannya itu.
Seksyen 49 (2) memperuntukkan bahawa:
(2) Orang yang
kepadanya saman atau dokumen itu disampaikan hendaklah menandatangani suatu
pengakuterimaan penyampaian, tetapi keengganan atau ketakupayaannya
menandatangani sedemikian tidaklah akan menjejaskan keesahan penyampaian itu.
Sepertimana yang ditunjukkan di dalam kes Khairol
Bin Bahari v Norazian binti Saidin (Kes Mahkamah Rayuan Syariah No.
14500-001-0012-2001 yang tidak di lapurkan) diatas Saman boleh diserahkan
kepada Peguam Syarie Defendan. Apabila Peguam Syarie memaklumkan kepada
Plaintif atau Peguam yang mewakili Plaintif (jika ada) bahawa beliau mewakili
Defendan serta mempunyai arahan untuk menerima Saman dan proses lain maka Saman
boleh di serahkan kealamat Peguam Syarie Defendan itu samada secara serahan
tangan ke alamat firma Peguam Syarie tersebut ataupun di poskan secara
berdaftar akuan terima (bersama surat litup). Ini adalah sebagaimana yang
diperuntukkan oleh seksyen 43 dan 44 enakmen.
Seksyen 43. Penyampaian kepada Peguam
Syarie
Sesuatu saman atau dokumen lain boleh
disampaikan kepada Peguam Syarie mana-mana pihak yang telah memfailkan wakalah mengikut seksyen 34 kecuali
sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Enakmen ini.
Seksyen 44. Penyampaian di alamat bagi
penyampaian
Sesuatu saman atau dokumen lain yang
diserahkan di alamat bagi penyampaian mana-mana orang hendaklah disifatkan
telah disampaikan kepada orang itu.
Dalam kes Noazizan Binti Mat Lazim v Aziz Bin
Othman (Kes Mahkamah Tinggi Syariah No: 06100-014-0423-2008 yang tidak di
lapurkan) melalui satu surat berdaftar AT Peguam Syarie Plaintif telah
menghantar secara pos satu salinan Saman beserta Pernyataan Tuntutan kealamat
tempat Defendan bekerja. Surat dan dokumen-dokumen yang diposkan tersebut telah
diterima oleh rakan pejabat tempat Defendan bekerja dan kemudiannya diserahkan
kepada Defendan apabila beliau kembali kepejabat. Peguam Syarie Defendan dalam
permohonannya untuk mengenepikan dan membatalkan serahan sedemikian telah
menghujahkan bahawa Saman hendaklah diserahkan secara kediri kepada Defendan
dan orang yang menyerahkan Saman tersebut kepada Dendan hendaklah membuat satu
afidavit penyampaian. Hujahan ini adalah berdasarkan seksyen 41 dan seksyen 49
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah. Di hujahkan juga bahawa serahan secara
pengeposan adalah bukan merupakan serahan kediri dan ia merupakan salah aturan.
Peguam Syarie Plaintif pula merujuk kepada seksyen 44 dan mengatakan bahawa
serahan Saman itu telah sempurna kerana ianya di serahkan ke alamat Defendan.
Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan bahawa serahan sedemikian adalah tidak
sempurna dan batal serta memerintahkan serahan di buat semula sebelum tindakan
lanjut prosiding di teruskan. Alasan Mahkamah adalah bahawa serahan Saman
hendaklah secara kediri dan sekiranya percubaan serahan kediri gagal maka
serahan secara gantian seperti tampalan dan iklan boleh dimohon dan diteruskan.
Seksyen 44 tidak terpakai dalam kes yang di bicarakan itu. Dalam kes Mahkamah ini
Seksyen 44 itu adalah merujuk kepada serahan secara tampalan dipremis Defendan.
Menurut seksyen 3 enakmen tatacara mal ‘hari
kehadiran’ di ertikan sebagai: hari yang di tetapkan dalam mana-mana saman
atau prosiding lain bagi kehadiran Defendan atau mana-mana hari lain yang di
tetapkan untuk pendengaran apa-apa prosiding itu.
Setiap Saman hendaklah disampaikan tidak kurang daripada
tujuh hari genap sebelum hari kehadiran melainkan jika Mahkamah memerintahkan
selainnya. Jika tempoh penyampaian itu tidak mencukupi maka sekiranya Defendan
tidak hadir di Mahkamah pada tarikh hari kehadiran tersebut, pihak Plaintif
tidak boleh meneruskan kes tetapi Pendaftar hendaklah memberikan satu tarikh
kehadiran yang baru dan selepas tarikh itu di berikan, pihak Plaintif tidak
perlu membuat serahan semula namun sebaliknya menghantar suatu notis/surat
pemberitahuan kepada Defendan
memaklumkan tarikh yang baru tersebut. seeloknya notis/surat pemberitahuan
tersebut dihantar secara pos Akuan Terima Berdaftar sebagai bukti pengeposan
dan pemakluman serta penerimaan makluman. Sekiranya tempoh penyerahan Saman
tersebut tidak mencukupi, tetapi Defendan atau Peguam Syarienya hadir di
Mahkamah maka kes boleh diteruskan dan penyampaian Saman tersebut dikira
sebagai sempurna tempoh penyerahan.
Mahkamah boleh mengarahkan sedemikian. Perkara ini dinyatakan didalam
seksyen 45 dibawah:
Seksyen 45. Hari kehadiran
(1) Sesuatu saman yang memulakan suatu
tindakan hendaklah disampaikan tidak kurang daripada tujuh hari genap sebelum
hari kehadiran melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.
(2) Tertakluk kepada Enakmen ini atau
mana-mana undang-undang bertulis lain, notis bagi semua prosiding lain
hendaklah notis dua hari genap melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.
(3) Hari kehadiran boleh diubah oleh
Pendaftar, jika perlu.
Saman boleh diserahkan dimana-mana tempat terjumpanya Defendan. Tidak
semestinya di alamat yang tertera pada Saman. Tidak ada waktu ditetapkan.
Bila-bila masa pun dibenarkan. Hanya yang ditetapkan ialah cara mengira masa
penyampaian dilaksanakan. Apakah ianya pada hari serahan dibuat atau pada hari
selepas penyampaian itu. Perkara ini adalah jelas dinyatakan didalam seksyen 46
enakmen:
Seksyen 46. Tempat dan masa penyampaian
(1) Penyampaian boleh dilaksanakan di
mana-mana tempat, pada mana-mana hari dan bila-bila masa pada waktu siang atau
malam.
(2) Penyampaian selepas pukul 4.00 petang
hendaklah disifatkan telah dilaksanakan pada hari yang berikutnya.
(3) Penyampaian yang dilaksanakan selepas pukul
12.00 tengah hari pada hari sebelum, atau pada bila-bila masa pada, hari
kelepasan mingguan atau pada bila-bila masa pada mana-mana hari kelepasan am,
hendaklah disifatkan telah dilaksanakan pada hari yang mengikuti hari kelepasan
itu.
Penyampaian dalam kes
khas – serahan Saman keatas
Defendan yang merupakan banduan; penghuni Pusat Serenti atau PUSPEN; dan
anggota tentera.
Sekiranya Defendan
adalah seorang banduan maka Saman itu hendaklah diserahkan kepada Pegawai Yang
Menjaga penjara yang berkenaan. Pegawai tersebutlah yang akan menyebabkan Saman
itu diserahkan kepada Defendan dan menguruskan kehadiran Defendan di Mahkamah.
Ini di peruntukkan oleh seksyen 47 (3) enakmen tatacara mal.
Sekiranya Defendan berada di Pusat Serenti atau Puspen maka serahan
Saman secara amalannya diberikan kepada Pegawai Yang Menjaga Pusat tersebut dan
Pegawai tersebutlah yang akan menyebabkan Saman itu diserahkan kepada Defendan
dan menguruskan kehadiran Defendan di Mahkamah. Ini kerana Defendan yang
sedemikian tidak boleh keluar dari Pusat tanpa Pegawai mengiringi.
Sekiranya Defendan
adalah seorang anggota Angkatan Tentera maka Saman itu hendaklah diserahkan
kepada pegawai pemerintah atau adjutan unitnya. Pegawai tersebutlah yang akan
menyebabkan Saman itu diserahkan kepada Defendan dan menguruskan kehadiran
Defendan di Mahkamah. Ini di peruntukkan oleh seksyen 47 (4) enakmen tatacara
mal.
Jika Defendan adalah
seorang anggota beruniform yang lain seperti anggota Polis, Bomba dan Maritim
tiada peruntukan mengenai cara khas penyerahan. Maka proses penyampaian biasa
hendaklah dipatuhi.
Seksyen 47. Kes khas
(1) Penyampaian kepada seseorang orang tak
berkeupayaan hendaklah dibuat kepada penjaga ad
litemnya, jika ada.
(2) Walau apa pun subseksyen (1), Mahkamah
boleh, atas permohonan, memerintahkan supaya penyampaian kepada seseorang orang
tak berkeupayaan dibuat kepada mana-mana orang lain.
(3) Penyampaian kepada seseorang di dalam
penjara hendaklah dibuat kepada pegawai yang menjaga penjara itu, yang
hendaklah menyebabkan saman atau dokumen lain itu diberikan kepada orang itu.
(4) Penyampaian kepada mana-mana anggota
Angkatan Tentera hendaklah dibuat kepada pegawai pemerintah atau adjutan
unitnya, yang hendaklah menyebabkan saman atau dokumen lain itu diberikan
kepada anggota itu.
Penyampaian ganti –
Apabila terdapat keadaan dimana Saman tidak dapat diserahkan secara
kediri kerana Defendan gagal ditemui atau tidak diketahui berada dimana dan
seumpamanya, maka penyampaian Saman sebagai pilihan kedua, boleh di perintahkan
oleh Mahkamah agar dibuat secara tampalan di papan kenyataan Mahkamah dan dipremis
tempat tinggal Defendan yang terakhir diketahui serta mengiklankan dalam surat
khabar. Penyampaian sebegini diistilahkan sebagai penyampaian ganti dan
terpakai bagi penyampaian Saman tidak kira samada Defendan yang berkenaan
berada dalam kawasan bidangkuasa Mahkamah atau diluar kawasan bidangkuasa.
Kes-kes Mahkamah yang berikut telah membuat Perintah penyampaian ganti dan
boleh dijadikan rujukan serta panduan : Halimah v Mohamed Nasir (1982) 2
JH 292; Siti Zainab v Muhammad Ishak (1982) 2 JH 323; Rukiah v Abu
Bakar (1983) 4 JH 90; Zaharah v Johari (1983) 4 JH 123; Tuminah v
Arifin (1983) 4 JH 84; Siteh v Mat Desa (1984) 5 JH 408.
Seksyen 48 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pahang) 2002 mempunyai
peruntukan yang jelas mengenai penyampaian Saman secara gantian ini.
Seksyen
48. Penyampaian ganti
(1)
Jika Mahkamah berpuas hati bahawa atas apa-apa alasan yang mencukupi saman atau
dokumen lain itu tidak dapat disampaikan secara biasa, Mahkamah boleh
memerintahkan supaya saman atau dokumen lain itu disampaikan dengan cara
menampalkan suatu salinannya di papan kenyataan Mahkamah dan juga di suatu
tempat yang mudah dilihat di bangunan tempat orang yang kepadanya saman atau
dokumen itu hendak disampaikan terakhir diketahui tinggal, atau mengikut
apa-apa cara lain yang difikirkan patut oleh Mahkamah.
(2)
Mahkamah boleh juga, dalam mana-mana hal yang termasuk dalam subseksyen (1),
membuat perintah supaya penyampaian dibuat melalui iklan dalam mana-mana akhbar
tempatan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah.
(3)
Penyampaian ganti hendaklah mempunyai kesan yang sama seperti penyampaian ke
diri.
(4)
Dalam hal penyampaian ganti, Mahkamah hendaklah, jika perlu, menetapkan masa
bagi pihak yang berkenaan itu hadir di Mahkamah.
(6)
Apa-apa permohonan bagi perintah di bawah seksyen ini hendaklah disokong dengan
afidavit yang menyatakan fakta yang menjadi asas permohonan itu.
Berikut ialah contoh
Permohonan untuk mendapatkan Perintah Serahan Gantian:
DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI KUALA
LIPIS
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ??? TAHUN 2013
ANTARA
AAAA BINTI BBBB – (nama penuh isteri)
[KPPN NO: xxxxxx-yy-iiii / paspot ] …
PLAINTIF
DAN
CCCC BIN DDDD – (nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]
…DEFENDAN
PERMOHONAN
(EX-PARTE)
[Seksyen 48 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah
Syariah 2002]
Ambil perhatian bahawa AAAA BINTI BBBB Plaintif yang dinamakan diatas akan memohon
kepada Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Lipis pada hari pada haribulan 2013 pukul pagi/petang untuk mendapatkan suatu
Perintah bahawa:-
i.
Penyampaian Saman dan
Pernyataan Tuntutan dalam tindakan ini keatas Defendan dibenarkan untuk
dilaksanakan dengan cara menampalkan suatu salinannya beserta Perintah Penyampaian Ganti ini
dipapan kenyataan Mahkamah ini dan juga di suatu tempat yang mudah dilihat
dialamat terakhir Defendan yang diketahui iaitu di No. 4 Jalan XYZ, 40170 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan;
dan/atau
ii.
Penyampaian keatas
Defendan hendaklah juga dibuat melalui iklan selama satu (1) hari didalam
mana-mana akhbar tempatan berbahasa Malaysia; dan/atau
iii.
Lain-lain relif atau
Perintah yang Mahkamah ini rasakan sesuai.
Alasan-alasan permohonan adalah:-
a.
kerana percubaan untuk
menyampaikan Saman serta Pernyataan Tuntutan secara kediri keatas Defendan
tidak dapat dilaksanakan; dan
b.
sepertimana yang
dinyatakan didalam Afidavit Sokongan yang dilampirkan.
Bertarikh pada haribulan Oktober
2013.
....................................
Peguam Syarie Plaintif
PERMOHONAN ini difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS, Peguam Syarie Plaintif yang beralamat di
No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.
DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI KUALA
LIPIS
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ??? TAHUN 2013
ANTARA
AAAA BINTI BBBB – (nama penuh isteri)
[KPPN NO: xxxxxx-yy-iiii / paspot ] …
PLAINTIF
DAN
CCCC BIN DDDD – (nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]
…DEFENDAN
AFIDAVIT
Saya RRRR [KPPN NO: ------] yang
beralamat di No. 1 Jalan PQR,
27200 Kuala Lipis, Pahang berikrar dan menyatakan seperti berikut :-
i. Bahawa saya
telah diarahkan Plaintif dengan sempurnanya untuk mengikrarkan afidavit ini
bagi pehaknya selaku Peguam Syarie. Plaintif ingin memfailkan suatu tindakan
untuk menuntut pembayaran mut’ah terhadap Defendan yang beralamat di No. 4 Jalan XYZ, 40170 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Tempat tersebut adalah disatu kawasan diluar bidangkuasa Mahkamah Yang Mulia
ini.
ii. Bahawa saya
sesungguhnya percaya bahawa Defendan adalah satu pihak yang perlu dan patut
dalam tindakan tersebut selaku pihak yang terlibat. Plaintif dengan itu tidak
dapat meneruskan tindakan ini dengan wajar terhadap Defendan jika Saman dan
dokumen yang diperlukan dalam tindakan ini tidak dapat diserahkan terlebih
dahulu keatas Defendan.
iii. Bahawasanya pada ... Penghantar Notis Mahkamah Syariah
Shah Alam telah pergi ke alamat Defendan untuk menyerahkan Saman dan
lain-lain dokumen berkaitan tetapi telah diberitahu oleh ibu Defendan ...
bahawa Defendan tiada di rumah serta tidak dapat dikesan.
Saya kepilkan disini sesalinan Afidavit Tanpa
Serahan oleh FFFFF BIN GGGG bertarikh ikrar pada ... dan ditanda sebagai
ekshibit 'A'.
iv. Saya bagi pehak
Plaintif dengan rendah diri memohon agar permohonan penyampaian gantian ini
dibenarkan.
Di ikrarkan
pada haribulan Oktober 2013 ]
di
]
oleh RRRR ]
Dihadapan saya
……………………………….
Hakim/Pendaftar
AFIDAVIT ini difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS, Peguam Syarie Plaintif yang beralamat di
No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.
DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI KUALA
LIPIS
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO: 06010-016- ??? TAHUN 2013
ANTARA
AAAA BINTI BBBB – (nama penuh isteri)
[KPPN NO: xxxxxx-yy-iiii / paspot ] …
PLAINTIF
DAN
CCCC BIN DDDD – (nama penuh suami)
[KPPN NO: wwwwww- xx-ssss]
…DEFENDAN
SIJIL PERAKUAN EKSHIBIT
Saya dengan ini memperakui bahawa berikut adalah ekshibit
yang bertanda “A” yang dirujuk dalam Afidavit Sokongan RRRR yang
diikrarkan pada haribulan
Oktober 2013.
Di hadapan saya,
..............................................
HAKIM / PENDAFTAR
AFIDAVIT ini difailkan oleh Tetuan RRRR & SSSS, Peguam Syarie Plaintif yang beralamat di
No. 1 Jalan PQR, 27200 Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.
|
Mengenai serahan
gantian ini pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengeluarkan
beberapa Arahan Amalan kepada Ketua Hakim Mahkamah Syariah diseluruh Malaysia
untuk dilaksanakan dan dipatuhi.
1. Arahan Amalan No. 8 tahun 2000 mengarahkan bahawa mulai
dari 1 Mac 2001, iklan bagi Saman Gantian selain di akhbar yang meluas
penyebarannya dan mengunakan bahasa yang difahami oleh pihak yang dimaksudkan,
hendaklah juga dipaparkan di papan kenyataan Mahkamah, Masjid dan lain-lain
bangunan yang munasabah sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh
perbicaraan.
Arahan Amalan No.
8 Tahun 2000
Saman Gantian Secara Iklan
Saya ingin menarik
perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah
seluruh Malaysia Bil.1/2000 pada 11 Mei 2000 di Kota Bharu Kelantan dan
keputusan Mesyuarat Ketua-ketua Hakim Syarie kali ke 16 pada 26 Jun 2000 bersamaan
26 Rabiulawal 1421 di Kota Kinabalu Sabah telah bersetuju dan mengesahkan untuk
menerimapakai arahan bagi tujuan penyelarasan amalan saman gantian secara iklan
di Mahkamah Syariah diseluruh Negara. Mulai dari 1 Mac 2001, Iklan bagi Saman
Gantian selain di akhbar yang meluas penyebarannya dan mengunakan bahasa yang
difahami oleh pihak yang dimaksudkan, hendaklah juga dipaparkan di papan
kenyataan Mahkamah, Masjid dan lain-lain bangunan yang munasabah
sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh perbicaraan.
Dengan
terdapatnya peruntukan seksyen 48 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002
Arahan Amalan No. 8 tahun 2000 ini tidak lagi mempunyai kesan perundangan dan
sebaliknya batal. Seksyen 48 (1) hanya
memerlukan Saman dan Perintah Penyampaian ganti itu ditampalkan di papan
kenyataan Mahkamah dan juga di suatu tempat yang mudah dilihat di bangunan
tempat Defendan terakhir diketahui tinggal, atau mengikut apa-apa cara lain
yang difikirkan patut oleh Mahkamah. Tidak perlu di masjid atau surau atau
balairaya dan sebagainya lagi. Mengenai iklan pula ia hendaklah di dalam dalam
mana-mana akhbar tempatan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah [s.
48(2)]. Mengenai tempoh 7 hari sebelum hari kehadiran seksyen 45 Enakmen
telahpun jelas.
2.
Arahan Amalan No. 3 tahun 2003 mengarahkan bahawa mulai dari 1 November 2003 semua
bentuk iklan penyampaian ganti di dalam akhbar-akhbar tempatan
hendaklah mengikut format yang diarahkan oleh Arahan Amalan ini.
Berikut ialah Arahan Amalan tersebut:
Arahan Amalan No.
3 Tahun 2003
Format Pemakaian Iklan Penyampaian Ganti Di Akhbar
Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan
Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil 4 Tahun 2003 pada 22-24hb Ogos 2003
bersamaan 24-26 Jamadilakhir 1424H di Shah Alam, Selangor telah bersetuju dan
mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung dengan pemakaian iklan
Penyampaian Ganti di dalam akhbar-akhbar tempatan hendaklah mengikut format
pemakaian iklan Penyampaian Ganti yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kehakiman
Syariah Malaysia seperti di dalam lampiran bagi tujuan penyelarasan dan
penyeragaman.
2. Arahan Amalan ini adalah tertakluk kepada Arahan Amalan No.8 Tahun 2000
Arahan amalan ini
berkuatkuasa mulai 1 November 2003.
lampiran
format seragam iklan penyampaian ganti
di dalam akhbar-akhbar tempatan
Lebar ruangan iklan : 6 cm; Panjang ruangan ke bawah : 8
cm
Dalam Mahkamah Tinggi /
Rendah Syariah ……………….
Kes Mal No. …………………….
Di Antara :
(Nama Plaintif)
Dengan
(Nama Defendan)
Kepada:
(Nama dan No. K.P.
Defendan)
AMBIL PERHATIAN bahawa kamu diminta hadir ke Mahkamah
Tinggi / Rendah Syariah ………… pada ……
jam…………. Bicara
tuntutan (mut’ah) oleh Plaintif.
Hadir / tidak, keputusan dibuat.
Bertarikh ……………………..
|
3.
Arahan Amalan No. 7 tahun 2005
telah membatalkan Arahan Amalan No. 3 tahun 2003 diatas dan mengarahkan bahawa semua bentuk iklan
penyampaian ganti di dalam akhbar-akhbar tempatan hendaklah mengikut format
baru yang diarahkan oleh Arahan Amalan ini. Berikut ialah Arahan Amalan No. 7
tahun 2005 tersebut:
Arahan Amalan No.7 Tahun 2005
Pindaan Format Pemakaian Iklan Penyampaian Ganti
Di Akhbar
Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan
Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil. 1 Tahun 2005 pada 10hb.-12hb. April 2005
bersamaan 1hb.-3hb. Rabiulawal 1426H di Shah Alam, Selangor telah bersetuju dan
mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan perubahan format pemakaian iklan
Penyampaian ganti di dalam akhbar-akhbar tempatan hendaklah mengikut fotmat
pemakaian iklan penyampaian Ganti seperti di dalam lampiran bagi tujuan
penyelarasan dan penyeragaman.
2. Format pemakaian iklan Penyampaian Ganti seperti di dalam lampiran
Arahan Amalan No. 3 tahun 2003 adalah dibatalkan.
Arahan Amalan ini berkuatkuasa serta merta.
Arahan Amalan No. 7 Tahun 2005
( Lampiran )
Lebar ruangan iklan : 3 cm; Panjang ruangan ke bawah :
tiada had
Dalam Mahkamah
Tinggi/Rendah Syariah.....
Kes Mal No.....
Di Antara:
Plaintif….
Dengan:
Defendan….
Kepada (Nama) No. K.P ______________
AMBIL. PERHATIAN bahawa kamu diminta hadir ke Mahkamah
Tinggi/Rendah Syariah .............. pada .............. jam ..........
bicara tuntutan ..................... oleh Plaintif.
Hadir/tidak , keputusan dibuat.
Bertarikh......
|
4.
Arahan Amalan No. 3 tahun 2011 telah mengarahkan bahawa
berkuatkuasa mulai 07.12.2011 penyampaian Saman Gantian hendaklah disempurnakan dalam
tempoh 14 hari dari tarikh Perintah Saman Gantian dikeluarkan. Berikut ialah
Arahan Amalan No. 3 tahun 2011 tersebut:
Arahan Amalan No. 3 tahun 2011
Tempoh Penyampaian Saman Gantian Dalam Masa 14 Hari
Dari Tarikh Perintah Saman Gantian Dikeluarkan
Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa
Induk Arahan Amalan Mahkamah Syariah Bil. 1 Tahun 2011 pada 12 Muharram 1433H
bersamaan 7hb Disember 2011 telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima
pakai arahan amalan bagi tujuan penyelarasan tempoh proses penyempurnaan saman
gantian. Tempoh penyampaian Saman Gantian hendaklah disempurnakan dalam tempoh
14 hari dari tarikh Perintah Saman Gantian dikeluarkan.
Arahan Amalan ini berkuatkuasa mulai 7 Disember 2011.
5. Arahan Amalan No. 9 tahun 2012
telah membatalkan Arahan Amalan No. 7 tahun 2005 diatas dan mengarahkan bahawa
mulai 14.01.2013 semua
bentuk iklan penyampaian ganti di dalam akhbar-akhbar tempatan
hendaklah mengikut format baru yang diarahkan oleh Arahan Amalan
ini. Berikut ialah Arahan Amalan No. 9 tahun 2012 tersebut:
Arahan Amalan No.9 Tahun 2012
Penjelasan Format Pemakaian
Iklan Penyampaian Ganti Di Akhbar
Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa
Induk Arahan Amalan Mahkamah Syariah Bil. 1 Tahun 2012 pada 14 Muharram 1434H
bersamaan 28hb November 2012 telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima
pakai arahan amalan berhubung Penjelasan Format Pemakaian Iklan Penyampaian
Ganti Di Akhbar-akhbar tempatan hendaklah mengikut ukuran saiz dan format ayat
seperti yang dinyatakan di lampiran bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman.
2. Arahan Amalan No. 7 Tahun 2005 adalah dibatalkan.
Arahan Amalan ini berkuatkuasa mulai 14 Januari 2013.
Lampiran kepada Arahan Amalan No. 9 tahun 2012
Lebar ruangan iklan : 3 cm; Panjang ruangan ke bawah :
tiada had
Dalam Mahkamah
Tinggi/Rendah Syariah
Kes Mal No.....
Di Antara:
Plaintif….
Dengan:
Defendan….
Kepada (Nama)
No. K.P ______________
AMBIL PERHATIAN bahawa kamu hendaklah hadir ke Mahkamah
Tinggi/Rendah Syariah .................. pada
.............. jam .......... bicara tuntutan ..................... oleh
Plaintif.
Hadir/tidak, keputusan
dibuat.
Bertarikh......
|
Bukti Penyampaian –
Samada penyampaian
Saman itu disempurnakan secara kediri atau secara serahan gantian dan samada
dilaksanakan di dalam kawasan bidangkuasa Mahkamah mahupun di luar bidangkuasa
orang yang melakukan penyampaian Saman tersebut hendaklah mengikrarkan suatu
afidavit sebagai bukti pelaksanaan penyampaian Saman itu. Ini di peruntukkan
oleh seksyen 49 Enakmen Tatacara Mal yang berkenaan. Selain dari seksyen ini
seksyen yang berkaitan adalah di Bahagian XIV Bab 3 (seksyen 112 hingga seksyen
118) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002. Untuk posting kali ini
memadailah di rujuk seksyen 49 sahaja manakala perbincangan/posting mengenai
afidavit penyampaian/tampalan kita tangguhkan dahulu.
Seksyen 49. Bukti penyampaian
(1) Penyampaian saman atau dokumen lain
boleh, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya, dibuktikan melalui
afidavit orang yang melaksanakan penyampaian itu dan, jika penyampaian itu
adalah ke diri dan orang yang kepadanya saman atau dokumen lain itu hendak
disampaikan tidak dikenalinya sendiri, melalui afidavit orang yang mengecamkan
orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendak disampaikan.
(2) Orang yang kepadanya saman atau dokumen
itu disampaikan hendaklah menandatangani suatu pengakuterimaan penyampaian,
tetapi keengganan atau ketakupayaannya menandatangani sedemikian tidaklah akan
menjejaskan keesahan penyampaian itu.
Mengubah Perintah –
Setiap perintah
Mahkamah mengenai penyampaian atau penyampaian ganti sepertimana kebiasaan
boleh di ubah oleh Mahkamah yang mengeluarkannya demi untuk mencapai keadilan
dan mengelak ketidakadilan. Keadaan ini ada diperuntukan oleh seksyen 50
Enakmen.
Seksyen 50. Mengubah
perintah
Suatu perintah bagi
penyampaian, atau bagi penyampaian ganti, boleh diubah oleh Mahkamah.
Pengeluaran waran tangkap-
Jika perlu dan keadaan yang dinyatakan dalam seksyen 51 Enakmen ujud
Plaintif boleh memohon kepada Mahkamah agar suatu waran tangkap keatas Defendan
di keluarkan bagi memastikan kehadiran Defendan ke Mahkamah. Seksyen 51 itu
dengan jelas memperuntukkan:
Seksyen
51. Mengeluarkan waran sebagai ganti atau tambahan kepada saman
Mahkamah
boleh, dalam mana-mana hal yang Mahkamah berkuasa mengeluarkan saman bagi
kehadiran mana-mana orang, setelah merekodkan alasannya, mengeluarkan waran
untuk menangkapnya jika —
(a) sama ada
sebelum atau selepas saman dikeluarkan tetapi sebelum masa yang ditetapkan bagi
kehadirannya, Mahkamah berpendapat ada alasan untuk mempercayai bahawa dia
telah melarikan diri atau tidak akan mematuhi saman itu; atau
(b) pada masa itu
dia tidak hadir dan saman itu dibuktikan telah disampaikan dengan sempurna
dalam masa yang mencukupi bagi memastikan kehadirannya mengikut saman itu dan
tiada alasan munasabah diberikan bagi ketakhadiran itu.
************************
b. Penyampaian Saman kepada Defendan
(pihak kena tuntut) yang berada di luar negeri Pahang.
Di bawah Bahagian VI Bab 2 Enakmen Tatacara Mal
Mahkamah Syariah 2002 penyampaian ini disebut sebagai penyampaian di luar
bidangkuasa. Seksyen-seksyen yang terkandung dalam bab 2 ini adalah seksyen 52
sehingga seksyen 55 enakmen. Oleh kerana seksyen-seksyen itu jelas dan tidak
mempunyai kekeliruan maka diperturunkan sahaja seksyen-seksyen itu disini tanpa
ulasan.
Seksyen
52. Bila dibenarkan
(1)
Mahkamah boleh memerintahkan penyampaian saman atau permohonan di luar
bidang kuasa jika —
(b) apa-apa relief diminta terhadap mana-mana orang yang
berdomisil atau biasanya bermastautin atau menjalankan perniagaan di Negeri
Pahang;
(c) tindakan itu dibawa dengan sepatutnya terhadap seseorang
yang kepadanya penyampaian dibuat dengan sempurna di Negeri Pahang, seseorang
di luar negeri Pahang ialah suatu pihak yang perlu atau patut dalam tindakan
itu; atau
(d) dalam apa-apa hal yang berbangkit daripada perkahwinan,
kemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan itu pada masa permohonan itu
ialah di Negeri Pahang.
(2)
Tertakluk kepada seksyen 54, apa-apa perintah yang memberikan kebenaran untuk
melaksanakan penyampaian di luar bidang kuasa hendaklah mengarahkan cara
penyampaian itu hendak dilaksanakan dan bagaimana penyampaian itu boleh
dibuktikan.
Seksyen 53. Bentuk perintah
Suatu perintah bagi penyampaian di luar
bidang kuasa hendaklah menetapkan hari kehadiran orang yang kepadanya
penyampaian hendak dibuat dan Mahkamah hendaklah mengambil kira dan boleh
menghendaki keterangan tentang cara perhubungan dan pengangkutan.
Seksyen 54. Cara penyampaian di luar bidang
kuasa di dalam Malaysia
(1) Apa-apa saman atau permohonan bagi
penyampaian di luar bidang kuasa di dalam Malaysia bolehlah dihantar kepada
mana-mana Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa di dalam kawasan tempatan di
mana orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendak disampaikan dikatakan
berada.
(2) Saman atau permohonan yang hendak
disampaikan itu boleh dihantar melalui pos atau selainnya bersama dengan
permintaan bertulis bagi penyampaian yang ditandatangani oleh Hakim atau
Pendaftar.
Seksyen 55. Mengubah perintah
Sesuatu perintah bagi penyampaian di luar
bidang kuasa boleh diubah oleh Mahkamah.
Perintah untuk membenarkan agar Saman disampaikan
kepada Defendan yang berada di luar bidangkuasa boleh di buat secara ex-parte
dan dimohon serentak dan semasa memfailkan Saman untuk kes tuntutan mut’ah.
Perintah itu boleh di keluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Syariah yang berkenaan
atau Penolong Pendaftar sebagaimana yang di maksudkan oleh Arahan Amalan No. 16
tahun 2002 yang berikut:
Arahan Amalan No. 16 Tahun 2002
Penyerahan Saman Luar Kawasan
Saya ingin
menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah
Syariah seluruh Malaysia Bil.3 Tahun 2002 pada 7 Mei 2002 di Johor Bahru
bersamaan 25 Safar 1423 telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerimapakai
arahan amalan berhubung tindakan penyerahan saman diluar bidangkuasa, Pendaftar
dan Penolong Pendaftar bolehlah diperturunkan kuasa bagi mengeluarkan arahan
berkaitan dengan perkara tersebut bagi menyegerakan prosiding kes.
Arahan amalan ini
berkuatkuasa mulai 1 Jun 2002
##################
Penutup -
Seksyen 241 Enakmen elok juga di rujuk untuk memantapkan lagi pemahaman
mengenai serahan atau penyampaian Saman:
Seksyen 241. Penyampaian oleh Mahkamah lain
Mana-mana proses atau dokumen yang
dikehendaki disampaikan oleh seseorang pegawai Mahkamah atau sesuatu pihak
boleh disampaikan oleh mana-mana Mahkamah yang lain.
#########################
Tiada ulasan:
Catat Ulasan