Khamis, 31 Januari 2013


Posting hari ini adalah merujuk kepada terjemahan kitab karangan Wahbah al Zuhaili yang berjudul FIQH & PERUNDANGAN ISLAM Jilid VII – di mukasurat 400 – 409:

Makna Mut’ah

Makna Mut’ah, kalimah Arab daripada perkataan mataa’ iaitu sesuatu yang bersedap-sedapan dengannya. Ia istilahkan dengan empat makna:

     1.   Mut’ah dan ini telah dijelaskan dalam Bab Haji.
     2.   Perkahwinan yang bertempoh.
    3.   Mut’ah perempuan-perempuan yang diceraikan oleh suaminya dan ini akan dibincangkan di sini.
   4.   Perempuan yang memberi suaminya bersedap-sedapan dengan hartanya mengikut adat kebiasaan yang berlaku pada setengah negeri. Golongan Maliki berpendapat bahawa jika ia merupakan syarat dalam ‘aqad, adalah tidak harus, tetapi jika ia dilakukan dengan sukarela setelah sempurna ‘aqad adalah diharuskan.

Mut’ah yang dimaksudkan dalam bahasan ini adalah pakaian atau harta yang diberi oleh suami kepada isteri yang diceraikan sebagai tambahan ke atas mahar atau gantian daripadanya sebagaimana perempuan menyerahkan perkahwinannya tanpa ditentukan mahar, pemberian ini untuk menyenangkan hatinya dan sebagai ganjaran daripada kepahitan perceraian.

Ulama’ Shafi’i mentakrifkan bahawa ia adalah harta yang wajib ke atas lelaki membayar kepada isterinya yang diceraikan pada masa hidup dengan talaq dan sebagainya dengan beberapa syarat yang akan diterangkan nanti. Manakala, ulama’ Maliki mentakrifkannya dengan berbuat baik kepada isteri yag diceraikan ketika perceraian mengikut kemampuan suami daripada segi hartanya tentang banyak dan sedikit.

Hukum Mut’ah.

Ada beberapa pendapat para fuqaha’ tentang hukum mut’ah:
Ulama’ Hanafi berpendapat bahawa mut’ah kadang-kadang wajib dan kadang-kadang sunat. Wajib mut’ah pada dua jenis talaq;

   1.   Talaq perempuan yang menyerahkan nikah tafwid sebelum setubuh atau disebutkan mahar dalam ‘aqad tetapi sebutan itu fasid, yakni talaq yang berlaku sebelum suami isteri berkhalwat pada pernikahan yang tidak disebutkan mahar dalam ‘aqad dan tidak ditentukan mahar selepas ‘aqad, atau perkahwinan yang disebutkan mahar dalam ‘aqad tetapi sebutannya fasid. Ini mendapat kata sepakat si sisi jumhur selain daripada ulama’ Maliki kerana firman Allah S.A.W.:



Terjemahan: Tidaklah kamu bersalah (dan tidaklah kamu menanggung bayaran mas kahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi mut’ah (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu)...
                                                                   (surah al-baqarah2;236)

Dalam ayat ini menyuruh supaya memberi mut’ah dan suruhan menunjukkan makna wajib. Ini diperkuatkan lagi pada akhir ayat dengan firman Allah S.A.W.:

Terjemahan:...Menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.
                                                                   (surah al-Baqarah 2:236)

Mut’ah dalam hal ini adalah sebagai ganti daripada satu per dua mahar. Satu per dua mahar adalah wajib dan ganti daripada wajib adalah wajib kerana ia mengambil tempat wajib seperti tayamum ganti daripada wuduk.

   2.   Talaq sebelum bersatu dengan isteri pada perkahwinan yang tidak disebut mahar; ia hanya ditentukan selepas ‘aqad nikah pada pendapat Abu Hanifah dan Muhammad kerana firman Allah S.A.W.:


Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu creaikanmereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang ‘iddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah “mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka,...
                                                                   (surah al-ahzab 33;49)
Dan ayat yang lepas;

Terjemahan: ..Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka.
                                                                   (surah al-Baqarah 2:236)

Ayat yang pertama mewajibkan memberi mut’ah kepada perempuan pada semua perceraian yang berlaku sebelum mereka (suami isteri) melakukan persetubuhan, kemudian ayat itu dikhususkan bagi mereka yang menyebutkan mahar. Oleh itu, kekal mut’ah perempuan yang diceraikan suami tanpa disebutkan mahar baginya dalam ‘aqad dan ayat yang kedua mewajibkan memberi mut’ah bagi mereka yang tidak ditentukan mahar baginya dan ini bermakna penentuan dalam ‘aqad.

Pendapat Abu Yusuf, Shafi’i dan Ahmad bahawa wajib diberi mut’ah bagi perempuan yang diceraikan suaminya sebelum berlaku persetunuhan yang ditentukan mahar sama ada penentuan mahar itu di dalam aqad atau selepas aqad kerana penentuan mahar selepas ‘aqad dibahagikan dua bila berlaku perceraian sebelum bersatu, maka itu juga mahar yang ditentukan selepas ‘aqad.
         
Abu Hanifa berpendapat bahawa adalah sunat memberi mut’ah dalam keadaan perceraian setelah suami isteri bersatu dan perceraian sebelum bersatu pada perkahwinan yang tidak disebutkan mahar, kerana mut’ahnya diwajibkan sebagai ganti daripada satu per dua mahar. Oleh itu, apabila perempuan berhak mendapat mahar yang ditentukan (mahar musamma) atau mithli selepas daripada bersatu dengan suaminya, maka ia tidak perlu lagi mendapat mut’ah. Ulama’ Shafi’i mewajibkan mut’ah pada perceraian (talaq) setelah ia bersatu dengan suami kerana firman Allah S.A.W. :

Terjemahan: Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat mut’ah (pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sdebagai satu tanggungan yang wajib atan orang-orang yang taqwa.
                                                                   (Surah al_baqarah 2:241)

Kesimpulan: Sunat diberi mut’ah di sisi ulama’ Hanafi kepada setiap perempuan yang diceraikan kecuali bagi perempuan yang menyerahkan ini perkahwinannya (nikah tafwid). Wajib diberi mut’ah iaitu perempuan yang berkahwin tanpa mahar dan bercerai sebelum bersatu dengan suaminya atau perkahwinan yang disebut mahar tetapi sebutannya atau penentuan maharnya fasid atau ditentukan mahar selepas ‘aqad.
         
Mazhab Maliki berpendapat bahawa mut’ah adalah sunat bagi semua perempuan yang diceraikan oleh suaminya kerana firmah Allah S.A.W.:

Terjemahan: .. sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.
                                                                   (surah al-Baqarah 2:241)
                                                                                                                            
Dan firman-Nya:

Terjemahan: ... menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat demikian.
                                                                   (surah al-Baqarah 2:236)

          Sesungguhnya Allah S.A.W. mengikat suruhannya memberi mut’ah dengan taqwa dan ihsan sedang perkara wajib tidak terikat dengan kedua-dua sifat itu.
         
Mereka berpendapat bahawa perempuan yang diceraikan oleh suami ada tiga bahagian iaitu perempuan yang diceraikan sebelum bersatu dengan suami dan sebelum ditentukan maharnya, maka ia berhak mendapat mut’ah dan tidak berhak mendapat sesuatu pun daripada mahar. Perempuan yang diceraikan sebelum bersatu dengan suami dan setelah ditentukan maharnya, maka tidak ada mut’ah baginya. Manakala perempuan yang diceraikan setelah bersatu dengan suami, sama ada sebelum ditentukan mahar ataupun setelah ditentukannya, maka ia berhak mendapat mut’ah. Bagaimana pun tidak ada mut’ah bagi perempuan pada setiap perceraian yang dipilih oleh perempuan, seperti isteri kepada orang gila, orang berpenyakit sopak, orang mati pucuk dan tidak ada mut’ah pada perceraian dengan sebab fasakh, khulu’ dan li’an.
         
Pendapat Mazhab Shafi’i adalah bertentangan dengan ulama’ Maliki iaitu mut’ah wajib bagi setiap perempuan yang diceraikan suami sama ada perceraian itu sebelum bersatu dengan suami ataupun selepasnya, kecuali bagi perempuan yang bercerai selepas bersatu dengan suami dan maharnya telah ditentukan (mahar masamma), ia berpada dengan mendapat satu per dua daripada maharnya. Oleh itu, wajib mut’ah bagi isteri yang diceraikan sebelum bersatu jika mahar tidak diwajibkan bahagi dua, dan wajib juga mut’ah bagi perempuan yang diceraikan suami setelah bersatu dengannya dan maharnya tidak disebutkan di dalam ‘aqad, mengikut pendapat yang lebih zahir dan setiap perceraian yang bukan sebab isteri seperti talaq perceraian berlaku dengan sebab suami seperti murtad atau meli’ankan atau memeluk ugama Islam. Adapun perempuan yang wajib baginya separuh mahar, maka baginya yang demikian. Manakala, perempuan yang menyerahkan isi perkahwinannya (nikah tafwid) dan tidak ditentukan maharnya, maka ia berhak mendapat mut’ah. Secara ringkas, ungkapan kata mereka adalah bermaksud: “bagi perceraian ada mut’ah, kecuali perempuan yang telah ditentukan mahar baginya dan perempuan yang diceraikan sebelum bersatu dengan suami, atau berlaku perceraian dengan sebab perempuan, atau dengan sebab suami memberi milik talaq kepada isteri kemudia isteri menjatuhkan talaqnya, atau suami mati, atau dengan sebab suami  meli’an dan mati pucuk dengan sebab istei (yang menuntut fasakh).”
          
 Dalil mereka dengan firman Allah S.A.W.:
 
Terjemahan: ... Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “mut’ah,”(pemberian saguhati) kepada mereka...
                                                                   (surah al-Baqarah 2:236)
Dan firman-Nya:

Terjemahan: Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat mut’ah (pemberian saguhati) dengan cara yang patut...
                                                                   (surah al Baqarah 2:241)


Sesungguhnya Allah S.A.W. mewajibkan mut’ah bagi setiap isteri yang telah diceraikan sama ada ia telah bersatu dengan suami ataupun tidak dan sama ada ia telah ditentukan mahar ataupun tidak. Ini diperkuatkan lagi dengan tawaran Nabi s.a.w. memberi mut’ah kepada isteri-isteri Baginda s.a.w. sedang para isterinya telahpun bersatu dengan Baginda s.a.w. Ini dapat di lihat pada firman Allah S.A.W.:

Terjemahan: ... katakanlah kepada isteri-isterimu: ‘sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah) maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.”
                                                                   (surah al-Ahzab 33:28)

          Adapun sekiranya telah ditentukan mahar bagi perempuan yang berkahwin secara penyerahan (tafwid) maharnya, maka tidak ada mut’ah baginya kerana suami tidak mengambil manfaat farajnya. Oleh itu, memadai dibahagi dua mahar dan dia mengambil seperdua kerana dihubugkan dengan talaq daripada segi kesedihan hatinya dengan sebab perpisahan.
         
Mazhab Hanbali pada keseluruhannya bersependapat dengan Mazhab Hanafi iaitu mut’ah adalah wajib ke atas setiap suami sama ada yang mendeka atau hamba, dan sama ada yang Muslim atau yang kafir dhimmi bagi setiap isteri yang menyerahkan perkahwinan tentang maharnya, ia diceraikan sebelum bersatu dengan suaminya dan sebelum ditentukan maharnya, berdalilkan ayat al-Quran yang tersebut di atas:

Terjemahan:... Walaupun demikian, kamu memberi “mut’ah”(pemberian saguhati) kepada mereka...
                                                                   (surah al-Baqarah 2:236)
Dan ini tidak bertentangan dengan firman Allah S.A.W.:

Terjemahan: ..menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat demikian.
                                                                   (surah al-Baqarah 2:236)

Ini kerana, menunaikan kewajipan adalah antara kebaikan, jadi tidak ada bagi perempuan yang menyerahkan mahar perkahwinannya melainkan dengan mut’ah. Sunat diberi mut’ah di sisi ulama’ Hanbali kepada setiap perempuan yang diceraikan yang bukan nikah tafwid, yang tidak ditentukan maharnya namun belum ditentukan mahar kerana firman Allah S.A.W.:

Terjemahan: Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat mut’ah (pemberian saguhati) dengan cara yang patut,...
                                                                   (surah al-Baqarah 2:241)

          Ini tidak diwajibkan kerana Allah S.A.W membahagikan perempuan-perempuan yang diceraikan oleh suaminya kepada dua bahagian. Allah S.A.W. mewajibkan mut’ah bagi perempuan yang tidak ditentukan mahar baginya dan satu per dua daripada mahar yang telah ditentukan baginya. Ini menunjukkan bahawa tiap-tiap bahagian mempunyai hukum yang khusus baginya. Tidak ada mut’ah bagi perempuan yang kematian suami kerana nas (dalil) tidak merangkuminya, mut’ah hanya mengenai perempuan yang diceraikan oleh suaminya.
         
Kewajipan mut’ah gugur pada semua tempat yang digugurkan kesemua mahar seperti perempuan yang murtad dan perempuan yang difasakhkan perkahwinan dengan sebab penyusuannya dan sebagainya kerana mut’ah menepati satu per dua mahar yang telah ditentukan (mahar musamma). Oleh itu, maka ia gugur pada semua tempat yang digugurkan mahar.
         
Wajib bagi perempuan yang nikah tafwid pada semua tempat yang perempuan berhak mendapat satu per dua daripada mahar musamma seperti suami murtad. Ini berpandukan qiyas di atas talaq. Dan tidak wajib mut’ah pada perpisahan yang menggugurkan mahar musamma seperti perceraian dengan sebab berlainan agama dan fasakh dengan sebab susuan, sekiranya ia datang daripada pihak perempuan, kerana mut’ah menepati satu per dua mahar musamma. Oleh itu , mut’ah gugur pada tempat yang mahar musamma gugur.
         
Perempuan yang wajib baginya satu per dua daripada maharnya tidak wajib diberi mut’ah sama ada ada maharnya ditentukan di dalam ‘aqad atau pun tidak tetapi ditentukan selepas ‘aqad. Ini sama dengan pendapat jumhur selain daripada Abu Hanifa dan Muhammad sebagaimana yang dijelaskan. Tidak wajib mut’ah bagi perempuan yang menyerahkan untuk ditentukan maharnya, atau perempuan yang ditentukan mahar selepas ‘aqad apabila berlaku perceraian setelah ia bersatu dengan suami. Namun sunat diberi mut’ah kepadanya dan disunatkan juga bagi perempuan yang ditentukan maharnya yang fasid seperti menjadikan arak sebagai mahar, atau sesuatu yang majhul dan ia diceraikan sebelum bersatu dengan suami.
         
Kesimpulan: Mazhab Shafi’i mewajibkan mut’ah kecuali bagi perempuan yang ditentukan maharnya di dalam ‘aqad bercerai sebelum bersatu dengan suami. Bagaimana pun, jumhur berpendapat sunat diberi mut’ah kepadanya. Namun, ulama’ Maliki berpendapat adalah sunat diberi mut’ah kepada semua perempuan yang diceraikan oleh suami, sementara ulama’ Hanafi dan Hanbali berpendapat sunat diberi mut’ah kepada perempuan yang diceraikan oleh suami, kecuali bagi perempuan yang nikah tafwid yang berkahwin tanpa ditentukan mahar. Pada zahirnya pendapat ulama’ Shafi’i adalah lebih rajih, kerana kekukuhan dalil mereka, di samping memujuk perasaan perempuan, meringankan kepedihan perpisahan dan sebagai mengadakan dorongan untuk kembali semula kepada ikatan perkahwinan jika ia bukan talaq ba’in kubra.

Kadar Mut’ah dan Jenisnya.

Tidak ada penentuan nas tentang mut’ah dan jenisnya. Oleh itu, maka para fuqaha’ melakukan itjihad mengenai dengan kadarnya.
         
Ulama’ Hanafi menetapkan bahawa mut’ah merupakan tiga pakaian: pakaian basah, kain tudung kepala dan pakaian yang menutup kepala hingga ke kaki (milhafah) kerana firman Allah S.A.W.:

Terjemahan: ... Sebagai pemberian sagu hati menurut yang patut lagi menjadi satu kewaipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat demikian...
                                                                   (surah al-Baqarah 2:236)

Kalimah mata’ adalah nama bagi persamaan pada ‘uruf kerana bagi mewajibkan pakaian-pakaian yang sama pada kaedah-kaedah syara’ ada tiga iaitu pakaian yang wajib baginya dan pada masa wujud hubungan suami isteri dan pada masa ‘iddah dan sekurang-kurang pakaian yang dipakai oleh perempuan dan pakaian  yang dipakai ketika keluar rumah.

Pakaian-pakaian ini tidak melebihi daripada seperdua mahar mithlinya seandainya suami daripada golongan orang kaya kerana ia adalah sebagai ganti daripadanya dan tidak boleh kurang daripada lima dirham seandainya suami daripada golongan orang  miskin. Pendapat yang dijadikan fatwa bahawa mut’ah dikira dengan keadaan suami isteri seperti nafkah. Jika kedua-duanya kaya, maka bagi perempuan pakaian yang mahal-mahal (yang bermutu tinggi). Jika kedua-duanya fakir, maka baginya pakaian yang terendah nilainya. Jika kedudukan kedua-duanya berbeza dari segi kaya dan miskin, maka baginya pakaian yang sederhana.

Ulama’ Shafi’i berpendapat bahawa adalah sunat mut’ah itu tidak kurang daripada 30 dirham barang yang sama nilai dengannya. Ini adalah serendah-rendah yang disunatkan, setinggi-tingginya ialad khadam, dan yang sederhana ialah pakaian. Disunatkan mut’ah itu ialah juga kadarnya sampai separuh daripada mahar mithli. Sekiranya sampai atau lebih separuh dari nilai mahar mithli ia harus berdasarkan ayat:

Terjemahan: ... Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “mut’ah” (pemberian saguhati)kepada mereka.
                                                (surah al-Baqarah 2:236)

Sekiranya suami isteri bertikai tentang kadar mut’ah, maka qadi atau mahkamah boleh menentukan kadar dengan ijtihadnya berdasarkan apa yang sesuai dengan kedudukan atau taraf suami isteri sebagaimana pendapat ulama’ Hanafi dari segi kaya, miskin, keturunannya dan sifatnya, kerana Allah S.A.W telah berfirman:

Terjemahan:.. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “mut’ah’ (pemberian saguhati) kepada mereka(yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuanya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya....
                                                (surah al-Baqarah 2:236)

Terjemahan: Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat mut’ah (pemberian saguhati) dengan cara yang patut...
                                                (surah al-Baqarah 2:241)

Golongan Maliki dan Hanbali berpendapat bahawa mut’ah diambil kira dengan keadaan suami isteri dari segi kaya dan miskin, atas orang yang kaya mengikut kedudukannya dan ke atas orang yang miskin mengikut kedudukannya pula kerana ayat al Quran yang tersebut di atas secara jelas menyatakan keadaan mut’ah adalah menurut keadaan semasa kewangan suami, maksimum mut’ah adalah seorang khadam, yakni nilai harga seorang khadam pada masa mereka sekiranya suami orang yang kaya dan minimum mut’ah adalah pakaian yang sempurna yang boleh dijadikan pakaian sembahyang sekiranya suami orang yang miskin, ertinya sekurang-kurang pakaian iaitu baju labuh yang menutup kepala hingga kekaki dan kain tudung kepala, ertinya sekurang-kurangnya tiga pakaian sebagaimana pendapat ulama’ Hanafi iaitu baju labuh, kain tudung dan kain penutup kepala perempuan berjalan. Ini berpandukan kepada kata-kata Ibn ‘Abbas yang bermaksud, “setinggi-tinggi mut’ah adalah seorang khadam, kemudian yang kurang daripada itu adalah pakaian”. Pada zahirnya pendapat ini adalah lebih rajih.

Sesungguhnya Undang-undang Syria memperuntukkan beberapa hukum mut’ah pada Perkara 61(1) iaitu: “Apabila berlaku perceraian sebelum suami isteri bersetubuh dan berkhalwat yang sahih, maka ketika itu diwajibkan mut’ah.

Peruntukkan 62(2) pula menyatakan bahawa “Mut’ah ialah pakaian seperti pakaian perempuan ketika keluar rumah dan sambilmengira keadaan suami dengan syarat tidak lebih daripada seperdua mahar yang setara.”                                             
         


Tiada ulasan:

Catat Ulasan