Sabtu, 10 Mei 2014

Prosedur Membatalkan Perintah Persetujuan


Sekiranya pihak suami atau isteri setelah memasuki dan merekodkan Perintah atau Persetujuan mengenai tuntutan mut’ah samada terhadap amaun yang di persetujui atau penarikan balik, berhasrat untuk membatalkan persetujuannya kerana sebab tertentu maka beliau hendaklah melanjutkan hasratnya sedemikian ke Mahkamah Syariah yang lebih tinggi hierarkinya dari Mahkamah yang memasukkan hukuman persetujuan/penarikan balik itu. Persoalannya adalah samada langkah lanjutan yang perlu diambil itu adalah melalui semakan kehakiman atau adalah merayu prosiding rayuan. 

Persoalan ini telah timbul dalam kes DATO ABU KHALIL BIN AKASAH v NIK RAHIMAH BINTI WAN AHMAD 31 (2010) 1 JH 61. 

Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dalam kes itu berkata di ms 66 :

5.  Kes ini  adalah salah satu dari kes-kes semakan yang semakin banyak di Mahkamah Syariah. Kami dapati bahawa pihak-pihak lebih cenderung untuk membuat semakan daripada terus membuat rayuan. Biarpun pihak-pihak mempunyai alternatif antara semakan dan rayuan namun Mahkamah Syariah sentiasa menggalakkan pihak-pihak membuat rayuan. Malah hasrat ini telah dinyatakan melalui Arahan Amalan No. 13 Tahun 2003 yang menyatakan bahawa :-
“3. Pihak-pihak yang menerima keputusan dan mempunyai hak merayu adalah tidak digalakkan memohon semakan”
Dalam kes DATO ABU KHALIL ini Pemohon (Dato Abu Khalil) memohon agar Mahkamah Rayuan Syariah menyemak Perintah Persetujuan yang di masukinya di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengenai persetujuannya terhadap amaun pembayaran tuntutan mut’ah dan lain-lain kepada bekas isterinya. 

Mahkamah Rayuan berkata di ms 68 bahawa:

10. Sebenarnya prosedur semakan dan rayuan ini telah dihurai panjang oleh YA Hakim Rayuan Syariah di Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Terengganu di dalam kes Mohd Aruwa bin Mohd Amin lwn. Daing Kelthom binti Daing Abu Bakar (1426) JH JLD XIX (II). Antara huraian oleh Hakim Rayuan ialah:-
“... bidangkuasa menyemak (revisionary jurisdiction) Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu tidak terhad kepada kes-kes yang telah diputuskan. Kerana mengikut hukum syara’, Mahkamah Syariah berbidangkuasa untuk menyemak mana-mana penghakiman yang sama ada dalam prosiding atau telah diputuskan yang bercanggah dengan jelas dengan nas Al-Qur’an, al-Sunnah dan Ijma’. Maka Hakim boleh mengubahnya sendiri atau oleh Hakim lain. Dalam hal ini, mengikut pentadbiran yang kita amalkan dalam sistem Mahkamah Syariah, ia boleh diubah oleh Mahkamah yang lebih tinggi.
Ini dijelaskan oleh al-Syeikh al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj, Jilid keenam mukasurat 307, cetakan al-Maktabah al-Taufiqiah :
Bermaksud :
Dan apabila seseorang Hakim telah membuat sesuatu keputusan dengan ijtihadnya dan kemudian nyata hukumannya bersalahan dengan nas Al-Qur’an atau Sunnah, ijma’ atau Qias yang nyata maka hendaklah ia membatalkan hukumannya itu sendiri atau membatalkannya oleh orang lain.
Setelah merujuk kepada huraian dalam kes Mohd Aruwa bin Mohd Amin tersebut Mahkamah Rayuan Syariah (ms 69-70) berkata:

12. Kenyataan ini tidak kami nafikan kerana di dalam Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998 telah diperuntukkan prosedur rayuan secara lengkap. Malah jika tamat tempoh sekalipun tetap diberi ruang untuk pihak-pihak mengemukakan rayuan dengan membuat permohonan melanjutkan tempoh rayuan. Kami juga bersependapat dengan Hakim Rayuan di dalam kes tersebut bahawa bidangkuasa semakan ini perlu dikawal untuk menegakkan keadilan.
13. Kesimpulannya, meskipun pihak-pihak boleh untuk membuat permohonan secara semakan ataupun rayuan, kami lebih cenderung memberikan panduan seperti berikut :-
i.  Permohonan semakan dimulakan terhadap sesuatu keputusan atas kesilapan yang dilakukan oleh Hakim Bicara yang bersifat teknikal seperti kesilapan penulisan, kesilapan nas dan hukum Syara’ serta kesilapan peruntukan undang-undang yang perlu diperbaiki dengan kadar segera oleh Mahkamah yang lebih tinggi. Semakan itu boleh dibuat oleh Hakim Bicara itu sendiri setelah menyedari kesilapan yang dilakukan mahupun oleh pihak-pihak yang terlibat dan panduan semakan ialah melalui Arahan Amalan No. 13 Tahun 2003 dan Arahan Amalan No. 4 Tahun 2004.
Kami merujuk kepada Majallah el-Ahkam-el-Adliya pada perkara 1838 telah memperuntukkan bahawa “Kuasa diberi kepada Mahkamah untuk membuat semakan hukuman. Apabila pihak kena hukum mendakwa bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah tidak menepati hukum Syara’ dan boleh menunjukkan dengan jelas isu-isu yang dipertikaikan itu dan jika ada kebenaran rayuan boleh didengar”
ii. Permohonan Rayuan pula ialah tindakan merayu oleh pihak-pihak terhadap kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Bicara dan tidak berpuashati dengan keputusan yang telah diberikan samada terhadap sebahagian atau keseluruhan keputusan/perintah tersebut.
Arahan Amalan No. 13 Tahun 2003 dan Arahan Amalan No. 4 Tahun 2004 adalah seperti berikut:


Arahan Amalan No. 13 Tahun 2003
Peraturan Semakan Kes Di Mahkamah Tinggi Syariah Atau
Di Mahkamah Rayuan Syariah

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil 4 Tahun 2003 pada 22-24hb Ogos 2003  bersamaan 24-26 Jamadilakhir 1424H di Shah Alam, Selangor telah bersetuju dan  mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung dengan peraturan
semakan kes di Mahkamah Tinggi Syariah atau di Mahkamah Rayuan Syariah  hendaklah mengikut peraturan seperti berikut:-

1. Permohonan semakan boleh dibuat ke atas kes mal atau jenayah sama ada kes yang dalam prosiding atau yang telah diputuskan ;

2. Permohonan semakan kes oleh pihak-pihak hendaklah dibuat melalui Notis Permohonan bersama dengan Affidavit kecuali permohonan oleh Hakim Syarie ;

3. Pihak-pihak yang menerima keputusan dan mempunyai hak merayu  adalah tidak digalakkan memohon semakan.

 Arahan amalan ini berkuatkuasa mulai 1 November 2003



Arahan Amalan No.4 Tahun 2004
Hakim Mengubah Perintah Sendiri

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil 1 Tahun 2004 pada 8-9hb Jun 2004 bersamaan 19 – 20hb. Rabiulakhir, 1425H di Subang Jaya, Selangor telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung tegahan kepada setiap Hakim daripada mengubah mana-mana perintah yang telah di buat oleh beliau dan mana-mana Hakim yang berhasrat untuk mengubah keputusannya tersebut hendaklah memanjangkannya ke Mahkamah yang lebih tinggi untuk semakan.

Arahan ini berkuatkuasa mulai 8 Jun, 2004


Ada pandangan menyarankan agar apabila ingin membatalkan Hukuman Persetujuan atas alasan yang tertentu maka pihak yang berkehendak itu hendaklah menghantar permohonannya kepada hakim Bicara (untuk Hakim itu menyemak sendiri samada terdapat kesilapan atau perkara tertentu yang boleh membuatkannya membatalkan keputusannya menerima rakaman hukuman persetujuan itu) untuk di rafakkan kes tersebut ke Mahkamah Syariah yang lebih tinggi. Jika tidak pihak itu terus membawa kes itu ke prosiding Rayuan. Namun Mahkamah Rayuan Syariah dalam kes DATO ABU KHALIL ini meneruskan juga permohonan Semakan itu dan berkata seperti dibawah serta seterusnya menolak permohonan semakan dan sebaliknya mengekalkan Perintah Persetujuan yang telah dimasuki dan dirakamkan di Mahkamah Bicara:

29. Hadis ini menunjukkan bahawa Islam menyatakan bahawa hukum Sulh itu adalah harus dan Islam turut melarang sulh atau persetujuan bagi mengharamkan sesuatu yang halal atau menghalalkan sesuatu yang haram.
...
35. Perkara ni kami tekankan kerana jika wujud paksaan oleh Mahkamah Syariah atau mana-mana pihak untuk menerima persetujuan atau perdamaian maka persetujuan atau perintah tersebut adalah tidak sah. Dr, Mahmud Saedon A.Othman di dalam artikelnya bertajuk Peranan Prinsip “Adabul Qadi” Dalam Kehidupan Qadhi dan Semasa bertugas di Mahkamah, [1402] JH Jld. II Bhg.II muka surat 189 telah memetik kata-kata Imam Malik R.A yang menegaskan bahawa :
“Aku tidak fikir pemerintah harus memaksakan sesuatu “perdamaian” kepada pihak-pihak yang berbalah, atau menolak diadakan perbicaraan semata-mata supaya menerima “perdamaian”. Al Imam Muhammad Hassan al-Shaibani pula berkata bahawa : tidak wajar bagi Qadi menolak perbicaraan lebih dari dua kali semata-mata inginkan “perdamaian”. Dengan ini jelas bahawa, jika perdamaian tidak dapat diwujudkan atau tidak ada keinginan pihak-pihak yang terlibat untuk mewujudkan perdamaian maka perbicaraan hendaklah diadakan”
36. Berbeza dengan kes ini, kami dapati bahawa tidak wujud unsur paksaan kerana Pemohon hadir bersama Peguam Syarie yang mahir dan mengetahui mengenai proses undang-undang.
...
39. Kami juga bersetuju dengan rujukan kes-kes yang dibentangkan oleh Responden iaitu kes Mohd Daud Nasir lwn. Azura Abu Bakar, [2007]1 CLJ (Sya) 192 di dalam hujahan yang mempunyai persamaan dengan kes ini. Isu utama yang telah diputuskan di dalam kes tersebut bahawa perintah persetujuan tidak boleh dirayu. Begitu juga dengan kes Saria Abdul Rahim lwn. Jaslim Abu, [2004] CLJ (Sya), Mahkamah Rayuan Syariah Singapura di dalam penghakimannya menyatakan bahawa “tidak terdapat sebarang hal istimewa dalam kes semasa bagi mahkamah mengenepikan perintah persetujuan”. YA Hakim Rayuan telah merujuk kepada ayat Al-Qur’an surah al-Baqarah ayat 177 dan surah al-Maidah ayat 1, bahawa apabila janji telah dibuat, ia hendaklah ditunaikan.
Walau apapun jika kita teliti peruntukan yang ujud dalam Enakmen Tatacara Mal tiada terdapat sebarang peruntukan yang menghalang pihak-pihak dari membuat rayuan terhadap Perintah Persetujuan. Apa yang ada hanyalah peruntukan seksyen 245 yang menetapkan bahawa Hukum Syarak mengatasi apajua peruntukan dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 itu. Juga Hukum Syarak hendaklah juga di gunapakai Mahkamah apabila terdapat lacunae (lakuna) dalam enakmen tersebut. Dengan penelitian itu maka keputusan kes DATO ABU KHALIL ini dapat difahami dan dihadamkan disisi peraturan Mahkamah.


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Tiada ulasan:

Catat Ulasan