Prosedur Tuntutan Mut’ah di Mahkamah Syariah – Pliding
(Siri 2).
-
Pernyataan Tuntutan
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Sepertimana tuntutan kes Saman Mal yang lain
setiap tuntutan bayaran mut’ah hendaklah mempunyai Pernyataan Tuntutan. Ini
adalah kehendak seksyen 8 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 (Pahang)
dibaca bersama dengan Borang MS 2 dalam Jadual Ketiga [mengenai bentuk Pernyataan Tuntutan].
Seksyen
8. Bentuk saman
Tiap-tiap
saman—
(a) hendaklah dalam Borang MS 2; dan
(b) hendaklah disertakan dengan suatu pernyataan tuntutan yang
hendaklah mematuhi kehendak seksyen 63.
Menurut seksyen 8 enakmen tersebut setiap Pernyataan Tuntutan hendak
mematuhi kehendak seksyen 63 enakmen yang menghendaki perkara dan maklumat
berikut di penuhi agar ianya tidak menjadikan pliding ini tidak cacat atau di
tolak ataupun di batalkan:
i.
selepas perenggan terakhir dan
tarikh pernyataan tuntutan plaintif atau
Peguam Syarienya hendaklah menurunkan tandatangannya;
ii. kandungan pernyataannya hendak dalam
perenggan yang bernombor;
iii.
kandungannya adalah ringkas dan padat;
iv.
kandungan yang ringkas dan padat itu
adalah mengenai fakta-fakta sandaran mengenai dan menunjukan bahawa Plaintif
membuat tuntutan bayaran mut’ah dari Defendan;
v.
pliding ini hendaklah juga mengandungi
butir-butir tuntutan yang mencukupi seperti jumlah/nilaian mut’ah yang di
tuntut;
v.
pliding ini hendaklah selanjutnya
menyatakan tentang relief/remedi yang dituntut iaitu mut’ah;
vi.
pliding ini hendaklah juga mengandungi butir-butir
mengenai apa-apa permohonan lain yang berkesampingan dengannya seperti kos, jika
berkenaan;
vii. jika lebih daripada satu kausa tindakan
dijadikan sandaran (umpamanya jika Plaintif menuntut juga harta sepencarian,
nafkah iddah dll.), maka pliding itu hendaklan menyatakan secara berasingan
akan semua alasan bagi setiap satu tindakan dan relief yang dituntut berdasarkan
kausa tambahan itu.
Berikut ialah peruntukan seksyen 63 yang dirujuk
di atas:
Seksyen
63. Pernyataan tuntutan
(1)
Tiap-tiap pernyataan tuntutan hendaklah
ditandatangani oleh plaintif atau Peguam Syarienya dan hendaklah mengandungi –
(a) suatu
pernyataan yang ringkas lagi padat, dalam perenggan-perenggan yang bernombor,
tentang fakta-fakta yang dijadikan sandaran oleh plaintif dan menunjukkan kausa
tindakannya, termasuk butir-butir mengenai apa-apa sifat khas yang atasnya
plaintif mendakwa, jika ada;
(b) butir-butir
tuntutan yang mencukupi;
(c) suatu
pernyataan tentang relief yang dituntut; dan
(d) butir-butir
mengenai apa-apa permohonan lain.
(2)
Jika lebih daripada satu kausa tindakan
dijadikan sandaran, alasan bagi setiap satu tindakan dan relief yang dituntut
berdasarkan kausa itu hendaklah dinyatakan secara berasingan.
Sebelum pergi lebih jauh saya rasa penghakiman kes
berikut adalah amat sesuai untuk di postkan:
NORHAYATI BINTI MAMAT v A. RAHMAN BIN
ISMAIL (Mahkamah
Tinggi Syariah Terengganu Kes Mal No. 11200-016-0128-2004 keputusan YA Haji
Shaikh Ahmad pada 03hb Mei 2010 – tidak di lapurkan).
FAKTA
KES
Plaintif
dan Defenden telah berkahwin pada 30hb. Mac 1999 mengikut Hukum Syarak di
Kampung Jak, Ajil, Hulu Terengganu, Terengganu.
Plaintif adalah isteri kedua
pada Defendan. Perkahwinan
Plaintif dan Defendan tidak dikurniakan sebarang anak. Plaintif dan Defendan
telah bercerai dengan talak satu kali pertama pada 3hb. Jun 2004 melalui kes
pengesahan perceraian, Saman No.: 11005-054-0194-2004.
Perbicaraan
kes ini adalah berkenaan Tuntutan Mutaah Plaintif sebanyak RM100,000.00
daripada Defendan.
BIDANGKUASA
MAHKAMAH
Merujuk
kepada seksyen 12 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 bidang kuasa mal
bagi Mahkamah Rendah Syariah telah dijelaskan sepertimana berikut:-
Bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah
12. (1)
…
(2) Mahkamah Rendah Syariah hendaklah
(a) …
(b)
dalam bidang kuasa
malnya, mendengar dan
memutuskan semua tindakan dan
prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi
kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun
atau nilai hal perkara
yang dipertikaikan itu
tidak melebihi seratus
ribu ringgit atau tidak
dapat dianggarkan dengan
wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta
sepencarian).
Manakala
Seksyen 11 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 pula memperincikan bidang
kuasa malnya yang dinyatakan di dalam Seksyen 11 (b) (i) sepertimana berikut:-
Mahkamah
Tinggi Syariah hendaklah –
a. …
b.
Dalam bidangkuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding
jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan
tindakan atau prosiding itu berhubung dengan –
i.
pertunangan, perkahwinan, ruju’,
perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan
perhubungan antara suami isteri;
ii.
apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana
perkara yang dinyatakan di dalam subperenggan (i);
Seksyen
55 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985
memperuntukkan bahawa seorang isteri yang telah diceraikan oleh suaminya tanpa
sebab yang patut boleh memohon agar Mahkamah memerintahkan bekas
suaminya membayar Mutaah kepada beliau sekiranya didapati bahawa ternyata
isteri tersebut telah diceraikan tanpa sebab yang patut:-
“55.
Selain dari haknya untuk memohon
nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh
suaminya boleh memohon mut'ahatau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan
Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati
bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan
suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut menurut Hukum Syara'.
Di bawah
Seksyen 245 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001
memperuntukkan:
(1) …
(2)
Jika
terdapat apa–apa lakuna
atau jika apa–apa
perkara tidak di peruntukkan dengan
nyata dalam Enakmen
ini, Mahkamah hendaklah mengunakan Hukum Syarak.
Tafsiran
berkanun berkenaan Mutaah dapat dilihat di bawah Seksyen 2 Undang-Undang
Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu) 1985 yang memperuntukkan:
Mutaah
ertinya “Pemberian saguhati yang diberi menurut Hukum Syara’ kepada isteri
yang diceraikan ”.
Mengenai
takrifan muta’ah, dinyatakan dalam kitab Kifayatul Akhyar fi Halli Ghayah wa
al Ikhtisor, karangan Allamah Taqiyuddin Abi Bakr bin Muhammad al Husainy
al Husni al Dimasyqi al Syafie, Juzuk 2
di mukasurat 42 :
فصل في المتعة ، وهي اسم للمال الذي يدفعه
الرجل إلى امرأته لمفارقته إياها
Maksudnya
: Ini satu fasal dalam membicarakan muta’ah , iaitu nama bagi harta yang
dibayar atau diberikan oleh seorang lelaki kepada isterinya disebabkan oleh
perpisahan dengan perempuan itu.
Jadi,
takrifan yang diperuntukan di dalam enakmen hampir sama maksudnya dengan apa
yang diistilahkan oleh ulama perundangan Islam.
Dari
segi Hukum Syara’:
ALLAH
telah berfirman di dalam Surah AL-Baqarah ayat 236 yang bermaksud: “Tidaklah
kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan
mereka atau sebelum kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka dan hendaklah kamu
memberikan mutaah kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang
hendaklah memberikannya menurut ukuran kemampuannya dan suami yang susah pula
menurut ukuran kemapuannya, sebagai pemberian saguhati menurut apa yang
patutnya, lagi menjadi satu kewajipan ke atas orang-orang yang mahu berbuat
kebaikan ”.
Ini
ditegaskan lagi dengan Surah Al-Baqarah ayat 241 yang bermaksud: “… dan
isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah dengan cara yang patut
sebagai satu tanggungan yang wajib ke atas orang-orang yang taqwa”.
Ayat
ini telah diterangkan oleh Prof Dr Hamka melalui Tafsir Al-Azhar iaitu
seseorang isteri yang diceraikan hendaklah diberi juga pengubat hati
iaitu menurut berapa patutnya wang, barang emas, perak atau rumah lengkap
dengan isinya. Beliau juga ada menyebutkan cerita bahawa Sayyidina Hassan bin
Ali pernah memberikan wang pengubat hati isteri yang diceraikan 10,000 dirham,
diiringi dengan kata terharu “Hanya sedikit kiriman dari kekasih yang terpaksa
berpisah”. Disebutkan juga bahawa beliau di dalam perceraian yang lain pernah
mengirimkan wang ubat hati 20,000 dirham.
Daripada
kedua-dua ayat 236 dan 241 dari Surah al-Baqarah dapat difahami bahawa, pada
dasarnya Mutaah adalah suatu keredhaan diantara suami isteri yang diceraikan,
tetapi jika tidak tercapai persetujuan, maka penentuan akan dibuat oleh Hakim.
Penentuan kadarnya telah digariskan oleh Hukum Syara’, dari nilai kedudukan
kaya atau miskin suami dan juga sifat serta kedudukan isteri. Kaya atau miskin
dinilai dari pemilikan harta semasa untuk mencapai keredhaan ALLAH.
Merujuk
kepada kes Noraini Abd Rahman lwn Taib Hanapi (2005) 1 CLJ (Sya) muka
surat 332 di mana Yang Arif Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu telah
merujuk kepada kitab Kifayatul Akhyar Juzu’ 2 muka surat 42 berkait
dengan tuntutan Mutaah yang mana menerangkan bahawa mengikut pendapat Mazhab
Syafie, Mutaah itu adalah wajib diberikan kepada isteri-isteri yang diceraikan
tidak kira isteri itu sempat disetubuhi atau belum sempat disetubuhi kecualilah
perceraian itu disebabkan oleh isteri iaitu jika isteri keluar dari Islam atau
isteri itu hamba yang dimiliki suami atau kerana matinya isteri itu atau
pembubaran perkahwinan disebabkan lian atau pembubaran perkahwinan berlaku
kerana kemahuan isteri tersebut.
Selanjutnya
di dalam kes Norma @ Normek lwn Mohd Zain Abdullah (2005) 1
CLJ (Sya) muka surat 305, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan telah
memutuskan bahawa seorang isteri yang diceraikan berhak untuk menuntut Mutaah.
Yang Amat Arif Dato’ Daud bin Muhammad di dalam alasan penghakimannya telah
merujuk kepada kitab I’aanah al-Tholibin, karangan Sayed al Bakri pada
Juzu’ 3 halaman 406 cetakan Darul Fikir, Beirut, Lebanon:
تجب عليه لزوجته موطؤة ولو أمة متعة بفراق
بغير سببها وبغير موت أحدهما
Maksudnya
: “Bayaran Mutaah wajib
ke atas suami
kepada isterinya yang diceraikan
setelah disetubuhi walaupun seorang hamba di mana perceraian itu bukan
berpunca dari perbuatan isteri (seperti
isteri murtad atau difasakhkan nikah disebabkan keaiban suami atau
isteri) dan perceraian bukannya disebabkan kematian salah seorang suami isteri
”
Seterusnya,
Yang Amat Arif telah menerangkan maksud frasa yang dirujuk itu di mana maksud
suami telah menceraikan isteri itu ialah seperti perceraian biasa samada dengan
persetujuan bersama atau sebagainya. Manakala apa yang dimaksudkan dengan
perbuatan isteri ialah seperti isteri murtad atau isteri memohon fasakh
nikahnya dengan suami dengan sebab keaiban suami seperti suami gila, mati
pucuk, papa dan sebagainya. Di dalam keadaan difasakhkan nikah oleh suami pula
ialah dengan sebab keaiban isteri seperti alat kelaminnya terdapat “ratak”
(ketumbuhan daging) atau “qaran” (ketumbuhan tulang).
Pemberian
Mutaah ini adalah wajib di atas para suami yang telah menceraikan isterinya
tanpa apa-apa sebab yang patut mahupun munasabah dan berdasarkan keterangan
yang diberikan oleh Plaintif dan Defendan jelaslah bahawa perceraian ini adalah
berpunca daripada Defendan yang mana jelas sekali bahawa Defendan yang telah
melafazkan talaq dengan cara menulis dan mengutuskan sendiri surat tersebut dan
fakta ini diakui sendiri oleh Defendan di dalam permohonan pengesahan lafaz
cerai yang difailkan oleh Defendan sendiri.
KADAR
MUTAAH
Syara’
tidak menyebut dengan jelas kadar sesuatu Mutaah itu tetapi asas yang disebut
adalah berdasarkan kemampuan masing-masing. Sehubungan dengan itu faktor
kemampuan itu hendaklah diteliti dan ditimbang sebaik mungkin.
Allah
S.W.T berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 236 maksudnya : “….Dan hendaklah
kamu memberi "Mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang
diceraikan itu). iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu)
menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran
kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu
kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan . ”
Mahkamah melihat kepada kesenangan dan
kesusahan pihak suami, keturunan dan sifat isteri itu sendiri. Dalam menentukan
sesuatu kadar Mutaah itu, Mahkamah tekankan di sini bahawa tujuan sesuatu
Mutaah itu adalah untuk menolong meringankan beban bekas isteri selepas
diceraikan. Mutaah juga pada masa yang sama bertujuan untuk menutup rasa malu
isteri yang diceraikan, menghindarkan fitnah dan juga sebagai asas untuk hidup
bersendirian.
Dalam
Kitab Mughni al-Muhtaj, karangan Shamsuddin Muhammad bin Al Khatib
Syarbini, Juzu’ 3 halaman 318
dan cetakan Dar Ma’rifah, Lubnan
menjelaskan :
فإن تنازع في قدرها ، قدرها القاضى بنظره
أي اجتهاده بحسب ما يليق بالحال ، معتبرا حالهما من يسار الزوج وإعساره ونسبها وصفاتها
...
Bermaksud
: “ Jika berselisih antara suami dan isteri dalam menetukan kadar muta’ah,
maka Hakim diberi tugas untuk menentukannya mengikut pandangannya iaitu
ijtihadnya mengikut apa yang sesuai dengan keadaan semasa, dengan diambilkira
kesenangan suami dan kesusahannya, keturunan isteri dan sifatnya. ”
Saya
merujuk kepada kes Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978) 1 JH 2 muka surat 63,
di mana Yang Arif Qadhi Besar menyatakan bahawa:
“Dasar
Mutaah adalah keredhaan kedua pihak
tetapi jika tidak tercapai
persetujuan maka penentuan dibuat oleh
Qadi. Penentuan kadar telah
digariskan oleh Syara’
dengan nilai kedudukan kaya miskinnya
suami dan sifat serta kedudukan isteri. Sifat ialah perwatakan dan keadaan
kedudukan keluarga atau status
keluarga dalam masyarakat. Kaya dan miskin ialah nilai
semasa dari segi perolehan dan pemilikan.”
Jika
dilihat dari segi kedudukan Plaintif dan Defendan, kedua-dua mereka berbeza
dari segi pendapatan kerana Plaintif hanyalah suri rumah sepenuh masa manakala Defendan
seorang usahawan yang berjaya. Oleh yang demikian kadar Mutaah tersebut juga
mestilah suatu kadar munasabah dan bersesuaian dengan kemampuan yang dimiliki
oleh Defendan. Keturunan dan sifat isteri juga diambil kira di dalam menentukan
kadar Mutaah yang wajar diterima oleh seseorang isteri tersebut. Di dalam kes
ini tidak dibuktikan bahawa Plaintif daripada keturunan yang tidak baik dan
juga tidak terbukti bahawa Plaintif mempunyai sifat yang tidak elok di sisi
Syara’. Malah, Plaintif juga tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah
Syariah.
Dalam
kes Mustafa bin Ibrahim lwn. Sarwari
binti Abdul Wahid, Jurnal Hukum, jilid 28, bahagian 1 April 2009 yang mana
Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan telah bersidang dan dipengerusikan oleh YAA.
Dato’ Aria Diraja Haji Daud bin Muhammad. Perayu dan Responden dalam kes ini
telah berkahwin mengikut Hukum Syarak pada Ogos 1976 dan bercerai pada 6
September 2000 melalui perceraian secara ta’liq di Mahkamah Rendah Syariah
Tumpat. Tuntutan Muta’ah yang dibuat oleh Responden di Mahkamah Tinggi Syariah
Kota Bharu, Kelantan sebanyak RM51,000.00 dan dihukumkan ke atas perayu membayar
Muta’ah sebanyak RM10,000.00 dengan cara bayaran bulanan sebanyak RM300.00
sebulan sehingga selesai RM10,000.00 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.
Dalam
kes ini Perayu adalah seorang yang tidak bekerja setelah bersara dari
pekerjaannya. Perayu tidak mempunyai pendapatan selain daripada pencennya yang
bernilai RM1,100.00. Perayu juga mempunyai tanggungan untuk menyara 3 orang
anak dan seorang isteri lain yang dikahwininya di Sabah. Selain itu, Perayu
mempunyai tanggungan lain seperti potongan pencen untuk 2 orang anak daripada
perkahwinannya dengan Responden yang berjumlah sebanyak RM430.00 dan potongan
pinjaman perumahan kerajaan sebanyak RM405.00 yang kesemuanya berjumlah
sebanyak RM835.00. Di dalam kes ini jelas menunjukkan perayu adalah tidak
berkemampuan untuk membayar jumlah Muta’ah sebagaimana yang telah disabitkan
terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Syariah.
Dalam
kes rayuannya, Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan dengan sebulat suara menerima
rayuan Perayu dengan mengurangkan hukuman serta memerintahkan Perayu iaitu
Mustafa bin Ibrahim membayar Muta’ah kepada Sarwari binti Abdul Wahid sebanyak RM5,000.00
Kes tuntutan Mutaah di hadapan saya ini
tidak ada persetujuan dicapai antara Plaintif dan Defendan. Oleh itu mahkamah
akan membuat atau akan menentukan kadarnya.
Mahkamah
telah meneliti keterangan-keterangan daripada kedua-dua pihak dan disokong oleh
saksi-saksi kedua-dua pihak, Mahkamah berpuas hati bahawa Defendan adalah
seorang ahli perniagaan yang boleh dikatakan berjaya, terbukti dengan pemberian
nafkah sebanyak RM700.00 sebulan kepada Plaintif dan sebuah kereta yang
ditanggung sepenuhnya oleh Defendan. Kadar Muta’ah yang dituntut oleh Plantif
terhadap Defendan adalah sebanyak RM100,00.00. Oleh itu Mahkamah akan
menentukan suatu kadar yang munasabah sebagai Mutaah yang perlu dibayar oleh Defendan
kepada Plaintif.
Defendan,
A. Rahman adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya dengan mempunyai syarikat
perniagaan yang mana pendapatan bulanannya tidak kurang daripada RM10,000.00
yang tidak dipertikaikan olehnya. Antara syarikat perniagaannya ialah :
1.
Seltro Station
( K.T 0082434M )
2.
Ramaco Motor
Sdn. Bhd. ( 106462-A )
3.
Ramaco Bena
Sdn. Bhd. ( 184172-V)
Setelah
meneliti dan membuat pertimbangan di antara hujah-hujah yang dikemukakan oleh
Plaintif dan Defendan, saya berpuas hati, maka dengan ini saya telah membuat
keputusan seperti berikut:
KEPUTUSAN
MAHKAMAH
1. SAYA LULUSKAN Tuntutan Mutaah Plantif,
Norhayati binti Mamat KPT : 770303-11-5106 terhadap Defendan, A. Rahman bin
Ismail KPT : 500427-11-5079
2. SAYA SABIT Plaintif berhak Muta’ah dan saya
PERINTAHKAN Defendan, A. Rahman bin Ismail, KPT : 500427-11-5079 membayar
Mutaah kepada Plaintif sebanyak RM21,000 sahaja.
3. SAYA PERINTAHKAN segala kos ditanggung oleh
pihak masing-masing.
^^^^^^^^^^^^^^^
Selain dari kes NORHAYATI BINTI MAMAT v A.
RAHMAN BIN ISMAIL diatas serta kes-kes yang di rujuknya iaitu kes-kes Noraini
Abd Rahman v Taib Hanapi; Norma @ Normek v Mohd Zain Abdullah;
Noor Bee v Ahmad Shanusi; Mustafa bin Ibrahim v Sarwari binti Abdul Wahid terdapat
banyak lagi kes untuk menghuraikan elemen tuntutan hibah yang perlu dijadikan
fakta sandaran kepada tuntutan itu serta perlu di nyatakan didalam pliding,
antaranya adalah kes-kes berikut.
Dalam kes Tengku
Puteri Zainab v Dato Sri Mohd
Najib 12 [1998] 1 JH 1 Pihak
isteri didalam prosiding tuntutan
mut’ahnya telah memohon kepada Mahkamah bicara agar bekas suaminya mengemukakan
suatu afidavit menyenaraikan semua harta alih dan tak alih kepunyaan bekas suami ini. Mahkamah Rayuan
WP Kuala Lumpur memutuskan bahawa isu
yang sepatutnya di dalam prosiding itu adalah mengenai apa yang hendak/perlu
dibuktikan oleh Plaintif/isteri dalam tuntutan mut’ahnya dan bukan acara
pembuktian atau bahan bukti. Rayuan dan permohonan sedemikian di tolak oleh
Mahkamah.
Prinsip
kes ini: apa yang penting dan perlu di masukkan kedalam
pliding hanyalah mengenai pengataan fakta-fakta ringkas elemen-elemen dan unsur-unsur
untuk tuntutan mut’ah sahaja. Bukan bukti dan yang lain.
Dalam kes Hasmah binti Sharie v Juhari bin Abdul Ghani 10 [1995] 1 JH 50 Pasangan telah bernikah (kahwin
lari) di Thailand pada Jun 1991. Pada Disember 1992 Defendan/suami telah
melafazkan cerai talaq tiga sekaligus kepada Plaintif/isteri. Plaintif memohon
untuk disahkan pernikahan mereka dan disabitkan perceraian mereka. Plaintif
juga memohon nafkah anak dan mut’ah. Diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah
Terengganu bahawa pernikahan tersebut sah disisi Hukum Syarak; perceraian yang
terjadi adalah disabitkan dengan cerai secara lafaz talaq tiga kali pertama;
dan seterusnya tuntutan nafkah anak dan
mut’ah dibenarkan.
Prinsip
kes ini: pernikahan itu hendaklah sah dan perceraian berlaku
dengan secara sah walaupun dengan talaq tiga sebelum tuntutan mut’ah di
benarkan untuk di tuntut.
Dalam kes Hajah
Ramlah binti Syarif v Nor Husin
bin Othman 13 [1999] 1 JH
103 Pasangan telah bercerai dengan talaq tiga. Plaintif/isteri antara lain
menuntut bayaran Mut’ah sebanyak RM500,000.00. Mahkamah Tinggi Syariah Pahang
berpendapat bahawa walaupun perceraian adalah dengan talaq tiga dan isteri
tidak layak untuk nafkah iddah (tetapi masih layak mendapat nafkah tempat
tinggal selama iddah yakni RM600.00 x 3 bulan 10 hari = RM2,000.00) namun
Plaintif layak menuntut mut’ah dan di perintahkan sebanyak RM43,200.00 yang di asaskan kepada formula
kiraan pada kadar ¼ dari nafkah bulanan (RM800.00) atau 1/3 dari nafkah tempat
tinggal (RM600.00 sebulan) di kalikan dengan tempohmasa perkahwinan selama 18
tahun [yakni ¼ x RM800.00 x 216 bulan
atau 1/3 x RM600.00 x 216 bulan].
Prinsip
kes ini antara lain: kadar nafkah bulanan di ambil kira
beserta dengan tempoh perkahwinan. Fakta telah berlakunya pernikahan dan
perceraian yang sah perlu ujud terlebih dahulu bagi menuntut bayaran mut’ah. Maka
dalam pliding tarikh perkahwinan dan perceraian adalah perlu dinyatakan sebagai
fakta sandaran menurut kemahuan kandungan pliding dalam seksyen 63
enakmen tatacara mal.
Dalam kes NOORAINI BINTI RASHID v HAMZAH BIN
ZAINUDIN – 18 [2004] 2 JH 279 pasangan
telah bernikah di Perak. Pasangan ini kemudiannya bercerai di luar Mahkamah. Permohonan
pengesahan perceraian mereka di failkan oleh suami di Mahkamah Rendah
Syariah Wilayah Persekutuan pada 02.01.97 manakala si isteri pula memfailkan
tuntutan perceraian di Mahkamah Tinggi Syariah Perak beserta tuntutan tuntutan
lain termasuk harta sepencarian. Kemudiannya tuntutan itu dipinda kepada
menuntut mut’ah dan harta sepencarian sahaja. Mahkamah Rendah WP mengesahkan
perceraian pasangan ini. Mut’ah yang di tuntut adalah sebanyak RM3 juta.
Mahkamah Tinggi Syariah Perak memutuskan bahawa: Mut’ah sebanyak RM810,000.00 di bayar dalam
tempoh 1 bulan. Bayaran ini tidak termasuk kerugian pengorbanan berhenti kerja
yang mana Mahkamah memerintahkan Defendan suami membayar dalam tempoh 1 bulan
juga sejumlah bersamaan dengan bayaran gaji dan kenaikan gaji tahunan selepas
perletakan jawatan Plaintif selama 22 tahun sebanyak RM396,066-00.
Suami tidak berpuashati
dan merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah Perak. Rayuan ini di lapurkan sebagai
HAMZAH BIN ZAINUDDIN v NORAINI BINTI ABDUL RASHID 25 [2008]
2 JH 201. Mahkamah Rayuan berkata bahawa
bidangkuasa mahkamah yang mendengar tuntutan harta sepencarian adalah dibawah
bidangkuasa Mahkamah yang memerintahkan apa-apa perceraian termasuklah
pengesahan perceraian. Maka Mahkamah Tinggi Syariah Perak dalam kes ini tiada
bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan tuntutan muta’ah dan harta
sepencarian si isteri ini. Oleh kerana pasangan ini bukan disahkan bercerai
oleh Mahkamah Perak maka Mahkamah Perak tiada bidangkuasa mendengar tuntutan
Responden. Tuntutan mut’ah dalam kes itu sepatutnya di failkan di Mahkamah
Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Prinsip kes ini antara
lain: pliding hendaklah mengandungi pernyataan di Mahkamah mana perceraian itu
di sahkan atau di perintahkan agar isu bidangkuasa tempat(an) Mahkamah dapat di
ketahui dengan jelas untuk di teliti Mahkamah semasa pemfailan Saman.
Prinsip dalam kes TUKIMAH
AHMAD v JAMALUDDIN AHMAD – 22 [2006] 1 JH 109 adalah bahawa penentuan kadar Mutaah adalah berdasarkan kemampuan
suami dan beban
Pembuktian terletak pada isteri
(Plaintif) mengenai kemampuan suami (Defendan) maka dengan itu pliding
Pernyataan tuntutan perlu menyebut bahawa Defendan adalah seorang yang
berkemampuan. Dalam kes ini siisteri menuntut mut’ah sebanyak RM180,000.00.
Dalam kes HASNAH
BINTI OMAR v OTHMAN BIN YA @ ZAKARIA 26
[2008] 1 JH 43 isteri (Perayu)
menuntut RM140,000.00 sebagai mut’ah. Responden menawarkan RM5,000.00 tetapi
tidak dipersetujui isteri. Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan membenarkan tuntutan
mut’ah setakat RM10,000.00 yang perlu dibayar secara ansuran bulanan RM300.00.
Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan
mengatakan bahawa isteri telah diceraikan tanpa sebab menasabah setelah hidup
bersama selama 29 tahun dan mendapat 10 anak. Perceraian cara biasa dan bukan
isteri minta fasakh. Fakta-fakta pertimbangan untuk mendapat mut’ah serta kadar
mut’ah diberikan Mahkamah. Mut’ah diperintahkan sebanyak RM15,000.00 dibayar
dalam tempoh 3 bulan.
Prinsip kes ini antara
lain: pliding hendaklah mengandungi pernyataan fakta-fakta untuk pertimbangan
menentukan asas penentuan isu mut’’ah.
Prinsip sebegini juga
terdapat dalam kes SUYABAH BINTI JAAFAR v YAAKUB BIN MUHAMMAD 26 [2008] 1 JH 83. Dalam kes ini isteri (Perayu)
menuntut RM500,000.00 sebagai mut’ah. Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan
RM20,000.00. Isteri tidak berpuashati dan merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah
Kelantan yang memutuskan bahawa: isteri telah diceraikan tanpa sebab menasabah
setelah hidup bersama selama 13 tahun dan mendapat 4 anak. Perceraian cara
biasa dan bukan isteri minta fasakh. Fakta-fakta pertimbangan untut mendapat
mut’ah serta kadar mut’ah diberikan Mahkamah. Mut’ah diperintahkan sebanyak
RM100,000.00.
Dalam kes SURAIYA BT
M SHAFIE v ABD SHUKOR BIN MOHD
HASHIM 27 (2) 2009 JH 259 pasangan ini telah berkahwin selama 15
tahun dan dikurniakan 4 orang anak. Plaintif (isteri) adalah pakar mata dan
Defendan adalah pakar tulang di Hospital yang sama. Plaintif menuntut
RM500,000.00 manakala Defendan menawarkan RM50,000.00 sebagai mut'ah. Mahkamah Tinggi
Syariah Seremban menetapkan kadar mut’ah adalah RM70,000.00 dibayar dalam
tempoh 7 bulan. Pendapatan bulanan Defendan adalah antara RM50,000.00 dan
RM70,000.00 sebulan. Bahkan ada wang simpanan sebanyak RM100,000.00.
Penutup:
Secara ringkasnya setiap Pernyataan Tuntutan mengenai
mut’ah hendaklah mematuhi peruntukan seksyen 63 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah
Syariah 2002 (Pahang). Mengenai kehendak
seksyen 63(1)(a) Enakmen itu, fakta-fakta
sandaran yang berikut perlu juga dinyatakan oleh Plaintif/isteri dalam
plidingnya:
1.
butiran mengenai perkahwinan pasangan
Defendan dan Plaintif – termasuk tarikh
pernikahan pihak-pihak; tarikh perceraian dan butiran perceraian ~ Ini adalah
kerana untuk menuntut mut’ah mestilah ujud fakta bahawa perkahwinan dan
perceraian pihak-pihak yang bertikai itu adalah sah.
Kes-kes seperti kes IDA HIDAYATI v AHMAD SHUKRI
18 (2004) 2 JH 259 ada mengatakan bahawa tempoh lama-masa perkahwinan adalah
penting dalam menentukan kadar mut’ah. Bahkan tempohmasa itu menjadi asas
pengiraan sebagaimana yang di tunjukkan dalam kes Hajah Ramlah binti Syarif v
Nor Husin bin Othman di atas. Namun terdapat juga kes-kes yang
mengatakan bahawa tempoh masa perkahwinan adalah bukan faktor penting dalam
menentukan jumlah mut’ah sebagaimana yang di sebut di dalam kes FARIDAH
SULAIMAN v MOHD NOH OTHMAN 19 (2005) 1 JH 124.
2.
Butiran fakta ringkas mengenai alasan
perceraian itu terjadi - ini adalah
kerana menurut seksyen 55 enakmen keluarga Islam 2005 hak menuntut mut’ah hanya
ujud kepada ‘seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang
patut oleh suaminya’ sahaja.
3.
Butiran mengenai status taraf kehidupan si isteri/Plaintif dan fakta menunjukan
sifat seperti kesetiaan/ketaatan – lihat kes TENGKU ANUM v DATO DR HUSSAIN 1983
.
4.
Status dan kemampuan suami/Defendan sepertimana yang di nyatakan dalam kes-kes
seperti Tengku Puteri Zainab v Dato Sri Mohd Najib dan kes
Norma @ Normek v Mohd Zain Abdullah 19 [2005]
2 JH 278.
5.
Sumbangan dan khidmat isteri kepada perkahwinan tersebut – lihat kes ROKIAH
v MOHAMED IDRIS (1980) 6 JH 272.
Mengenai contoh Pliding Pernyataan Tuntutan Mut’ah
ini ianya tidak di sertakan di dalam post kali ini. Contoh itu telahpun di
postkan terdahulu dalam blog ini dengan tajuk ‘Saman (Siri 2)’.
Berdasarkan penulisan di atas dapat dirumuskan
bahawa kandungan Pernyataan Tuntutan adalas menjurus untuk di nyatakan
mengenai:
i.
fakta-fakta yang dapat menunjukkan bahawa Mahkamah yang difailkan Saman itu
mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan tuntutan si isteri
(Plaintif) itu;
ii.
fakta-fakta yang dapat menunjukkan bahawa Plaintif berhak dan layak untuk
membuat tuntutan itu;
iii.
fakta-fakta sandaran secara ringkas yang dapat menunjukkan bahawa Defendan sememangnya
berkemampuan dan layak untuk membuat bayaran mut’ah kepada Plaintif/isterinya
itu;
iv.
tuntutan Plaintif dalam prosiding yang di failkan itu adalah tuntutan mut’ah;
v.
berapakah jumlah tuntutan mut’ah yang Plaintif rasakan munasabah dan wajar. Tidak
perlu di nyatakan alasannya dalam pliding ini kerana jika kadarnya tidak di
persetujui oleh Defendan/suami semasa peringkat sulh atau semasa di hadapan
Hakim kadar itu akan di tetapkan dan di tentukan Hakim selepas di jalankan
perbicaraan dengan mendengar keterangan Plaintif dan Defendadan serta
saksi-saksi yang di bawa oleh mesing-masing pihak (jika ada). Perbicaraan juga boleh
dijalankan oleh Mahkamah secara sebelah
pihak (yakni tanpa kehadiran Defendan setelah Saman (di buktikan dengan
Afidavit Penyampaian) telah di sampaikan kepada Defendan secara serahan kediri
atau serahan gantian boleh di jalankan menurut seksyen 121 (1)(b) Enakmen
Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 (Pahang). Mengenai proses perbicaraan ini ia
akan di terangkan dalam bab pendengaran/perbicaraan kelak. InsyaAllah.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Pemfailan Pernyataan Tuntutan di Mahkamah:
Prosedurnya di Mahkamah Syariah adalah pemfailan Pernyataan Tuntutan hendaklah
di lakukan semasa Saman di failkan. Ia tidak boleh di failkan secara
berasingan. Jika Saman difailkan tanpa Pernyataan Tuntutan di sertakan maka
pemfailan sedemikian akan di tolak oleh Pendaftar Mahkamah – rujuk peruntukan
seksyen 8 dan 10 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 (Pahang). Situasi mengenai
ini telahpun di ulaskan di dalam post sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan