Isnin, 16 September 2013

Prosedur Perbicaraan

Prosedur Perbicaraan (Muqaddimah)


Prosedur perbicaraan atau al-Nizam al-Qada telah bermula sejak dari zaman Rasulullah s.a.w. dan Khulafa al Rasyidin lagi. Di zaman Rasulullah prosedurnya mudah. Kes pun tidak banyak. Sebarang keputusan dari penghakiman Rasulullah akan segera di terima tanpa ragu-ragu serta masing-masing pihak yang bertikai akan terus melaksanakannya. Di zaman Saidina Abu Bakar r.a. prosedur mudah sedemikian berterusan.

Namun di zaman Saidina Umar r.a. kedudukan telah berubah. Selain dari beliau menjadi Hakim beberapa kadi lagi telah dilantik beliau untuk mengendalikan perbicaraan. Abu Darda’ dilantik sebagai kadi di Madinah. Syuraih dilantik sebagai kadi di Kufah. Abu Musa al-Ashaari dilantik sebagai kadi di Basrah. Namun prosedur yang khusus atau terperinci belum diujudkan lagi. Namun suatu risalah dari Saidina Umar yang diutus kepada Abu Musa bolehlah dianggap sebagai prosedur untuk dipatuhi oleh kadi. Prosedur ini atau dipanggil Al Nizam al Qada al-Islami terkandung dalam risalah tersebut di terjemahkan di bawah ini.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, dari Abdullah Umar bin Khattab, Amirul-Mukminin kepada Abdullah bin Qais (Abu Musa Al-Ashaari). 

Salam sejahtera keatas kamu ataupun kemudian dari itu.

Sesungguhnya pekerjaan kadi adalah merupakan kewajipan yang ditetapkan dan sunnah yang wajib diikuti, maka hendaklah  kamu fahami betul-betul apabila dikemukakan kepada kamu hujah dari kedua-dua pihak kerana tidak ada gunanya berkata benar tanpa dapat dilaksanakan, sama-ratakanlah  kedudukan pihak-pihak itu semasa mereka berada di hadapan kamu di majlis pengadilan kamu, supaya tidak berpeluang bagi golongan bangsawan mempengaruhi kamu dan tidak terasa kecewa bagi golongan yang lemah mendapat keadilan kamu.

Orang yang mendakwa hendaklah membuktikan dengan keterangan dan sumpah keatas orang yang menafikannya (orang yang didakwa). Dan berdamai (bersulh) adalah diharuskan di antara sesama orang Islam di kecualikan suatu persetujuan (sulh) yang berakibat menghalalkan perkara yang haram atau mengharamkan yang halal. 

Tiada halangan untuk menyemak kembali keputusan yang lepas kerana hendak mencari kebenaran (hak). Sesungguhnya  hak itu yang lama (asal) dan kembali kepada hak yang lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan. Hendaklah kamu brthati-hati dalam pengertian fakta, hujah dan suasana kejadian apabila tidak terdapat nas di dalam Al-Qur’an dan hadis Rasullullah s.a.w. yang kemudiannya kamu boleh qiyas keadaannya dengan kes yang seumpamanya dan berilah tempoh atau penangguhan bagi orang-orang yang mendakwa jika hujah atau bayyinah tidak dapat tidak dapat dikemukakan dalam masa yang ditetapkan kerana berada di tempat lain yang berjauhan (ghaib). Maka jika dapat dikemukakan bayyinah dia akan beroleh haknya, dan sebaliknya jika dia tidak dapat  kemukakan bayyinah, kesnya akan ditolak (buang kes), yang demikian itu lebih tepat dapat menghilangkan keraguan.

Dan pada asalnya setiap orang Islam itu adil, boleh diterima kesaksiannya  kecuali mereka yang telah pernah dikenakan hukuman sebat dalam kes hudud atau yang telah diketahui sebagai saksi palsu. Sesungguhnya Allah Taala jua yang mengetahui segala rahsia hambanya dan Allah menutup ke atas hambaNya kesalahan hudud kecuali dengan kesaksian dan sumpah dan berjaga-jaga, serta berhati-hati ketika marah, tidak tenteram, bosan, sakit hati kepada manusia dan kurang senang dengan perbalahan atau pertelingkahan (keraguan daripada al-Rawi).

Sesungguhnya pekerjaan kadi dalam menegakkan kebenaran, diberi ganjaran oleh Allah dan sentiasa diingatkan kebaikannya.

Maka barangsiapa yang ikhlas niatnya semata-mata untuk menegak kebenaran sekalipun keatas dirinya sendiri, maka Allah akan memeliharanya apa yang ada di antaranya dengan orang lain. Dan barangsiapa yang menunjuk-nunjuk dengan pekerjaan yang tidak ikhlas, maka sesungguhnya Allah tidak akan menerima amalan seseorang hamba-Nya kecuali semata-mata ikhlas kerana Allah. Tidakkah kamu ingat pahala Allah sebagai imbuhan yang segera dan sangat besar rahmat-Nya.

Wassalam.
-      Lihat Ibrahim Najib Muhamad ‘Audh. 1975. Al-Qada’ fi al-Islam, Tarikh wa Nizhamuhu. Kaherah: Al-Amariyah.

Prosedur ini kemudiannya di laksanakan di zaman Saidina Umar dan Khalifah-khalifah selepas beliau. Kemudiannya diteruskan di zaman kerajaan Bani Umayyah, Abbassiyyah dan Uthmaniyyah. Semasa pemerintahan terakhir kerajaan Islam Uthmaniyyah di Turki prosedur perbicaraan ini telah dikanunkan di dalam kitab Majalah al-Ahkam al-Adliyyah. Kitab ini disusun oleh sebuah lembaga seramai tujuh orang yang diketuai oleh Ahmad Jaudat (Menteri Keadilan Kerajaan Islam Uthmaniyyah Turki) dan diperakui oleh Sultan pada 10.03.1885 untuk dijadikan Kanun bagi Mahkamah Syariah di Turki. Bermula dari kitab tersebut maka pengkanunan undang-undang lain kemudiannya telah dikanunkan.


Prosedur perbicaraan ini adalah terpakai didalam prosiding tuntutan bayaran mut’ah. Maka dengan itu tumpuan posting selanjutnya kelak adalah mengenai tatacara/prosedur tuntutan mut’ah di Mahkamah Syariah. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan