Jumaat, 20 September 2013

PENGENALAN: Prosedur Tuntutan Mut’ah di Mahkamah Syariah.



Di negeri Pahang terdapat Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 yang berkuatkuasa mulai pada tarikh 01.02.2004 untuk di gunapakai oleh Mahkamah Syariah di seluruh negeri Pahang dalam semua prosiding mal termasuk dalam kes tuntutan mut’ah.

Seksyen 2 enakmen tersebut memperuntukan:

Seksyen 2. Pemakaian
Enakmen ini hendaklah mempunyai kuat kuasa dalam semua prosiding mal yang dimulakan di mana-mana Mahkamah Syariah kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain atau diperintahkan selainnya oleh Mahkamah.

Di Mahkamah Syariah hanya ada dua cara untuk memulakan prosiding mal. Pertama secara melalui Saman; dan Keduanya melalui Notis Permohonan. Ini di peruntukkan oleh seksyen 7 enakmen:

Seksyen 7. Cara memulakan prosiding mal
(1) Tertakluk kepada subseksyen (2) atau mana-mana undang-undang bertulis lain, tiap-tiap prosiding mal di Mahkamah hendaklah dimulakan melalui saman.
(2) Semua prosiding berkenaan dengan mana-mana perkara yang dinyatakan dalam Jadual Kedua hendaklah dimulakan melalui permohonan.

Jadual Kedua yang di rujuk oleh seksyen 7 (2) diatas memperuntukan:

JADUAL KEDUA.
(Subseksyen 7 (2))

PROSIDING YANG HENDAKLAH DIMULAKAN DENGAN PERMOHONAN

Perkara-perkara yang berhubungan dengan undang-undang diri dan keluarga seperti yang berikut:

-      Keizinan untuk melangsungkan perkahwinan seseorang orang belum dewasa; 
-      Pelantikan wali am;
-      Perintah bagi pendaftaran perkahwinan yang dilangsungkan berlawanan dengan undang-undang;
-      Anggapan kematian;
-      Pelantikan penjaga harta seseorang orang belum dewasa;
-      Perintah bagi penjagaan bersama harta seseorang orang belum dewasa;
-      Perintah bagi pengubahan kuasa penjaga harta seseorang orang belum dewasa;
-      Perintah bagi pemecatan penjaga harta seseorang orang belum dewasa;
-      Kebenaran bagi pelupusan harta seseorang orang belum dewasa;
-      Kebenaran untuk menyara seseorang orang belum dewasa daripada pendapatan hartanya;
-      Perintah bagi penggunaan harta modal untuk menyara seseorang orang belum dewasa;
-      Perintah larangan yang berhubungan dengan harta seseorang orang belum dewasa Injunksi yang menghalang anak dibawa keluar dari Malaysia;
-      Perintah untuk mengetepikan, dan injunksi yang menghalang, pelupusan harta untuk mengecewakan tuntutan nafkah;
-      Injunksi terhadap perkosaan oleh suami atau isteri atau bekas suami atau isteri; 
-      Pengiktirafan perkahwinan yang diijabkabulkan di luar Negeri Pahang (Pengakuterimaan paterniti);
-      Pengesahan pengakuterimaan paterniti oleh perempuan dalam ‘eddah (Pembahagian harta pusaka);

Seksyen 7 (1) ini tertakluk kepada seksyen 7 (2). Disebabkan oleh kerana tuntutan mut’ah tiada disenaraikan oleh Jadual Kedua maka tuntutan mut’ah hendaklah di mulai secara dengan pemfailan Saman.

Apabila ianya dimulai dengan Saman maka perbicaraan akan diadakan dan diputuskan di Mahkamah terbuka (yakni orang ramai boleh hadir untuk menyaksikan perbicaraan itu - lihat seksyen 119 enakmen berikut:

Seksyen 119. Pendengaran di dalam Mahkamah
Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, semua prosiding yang dimulakan dengan saman hendaklah didengar dan diputuskan di dalam Mahkamah terbuka dan semua prosiding yang dimulakan dengan permohonan hendaklah didengar dan diputuskan di dalam Kamar.

Prosedur perbicaraannya ada diperuntukkan dalam bahagian XV enakmen. Ini akan dibincangkan kelak dalam blog ini.

Persoalan timbul: apakah yang akan terjadi kepada prosiding tuntutan bayaran mut’ah jika pihak yang menuntut (si-isteri) memfailkan tuntutannya melalui Notis Permohonan dan bukannya melalui tindakan Saman. Persoalan ini mungkin timbul kerana terdapat seksyen 5 enakmen yang memperuntukan:

Seksyen 5. Ketakpatuhan
Ketakpatuhan mana-mana peruntukan Enakmen ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya tidaklah membatalkan mana-mana prosiding melainkan jika Mahkamah memerintahkan sedemikian, tetapi Mahkamah boleh, atas kehendaknya sendiri atau atas permohonan mana-mana pihak, mengetepikan mana-mana prosiding keseluruhannya atau sebahagiannya sebagai tak teratur, atau memerintahkan supaya apa-apa pindaan dibuat atas apa-apa terma yang difikirkannya adil.

Kes yang di failkan melalui notis permohonan akan di bicarakan secara melalui keterangan secara dokumentasi afidavit-afidavit sahaja dan tanpa sebarang keterangan secara lisan - lihat seksyen 13.

Seksyen 13. Bentuk permohonan
(1) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan kemudian daripada ini, tiap-tiap permohonan hendaklah dibuat melalui notis dalam Borang MS 3 dan disokong dengan afidavit yang diangkat sumpah mengikut Enakmen ini.

(2) Tiap-tiap permohonan hendaklah menyatakan dengan sepenuhnya jenis perintah yang dipohon, dan megandungi fakta yang cukup terperinci untuk menyokong permohonan itu, dan melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya, hendaklah disampaikan kepada semua pihak dan orang yang berkepentingan dalamnya.

(3) Dalam sesuatu permohonan, penentang hendaklah disebut sebagai responden.

Manakala kes yang dimulai melalui Saman hendaklah mempunyai pliding tertentu seperti Pernyataan Tuntutan, Pembelaan, Tuntutan Balas dan Jawapan Kepada Tuntutan Balas. Pliding ini semua bukannya dalam bentuk Afidavit-Afidavit. Kes sedemikian juga adalah di bicarakan sepenuhnya dimana pihak menuntut perlu hadir memberi keterangan secara lisan di Mahkamah dan mengemukakan dokumen serta saksi-saksi yang perlu kepada Mahkamah dan prosedur perbicaraannya ada dinyatakan didalam Bahagian XV enakmen. Prosedur perbicaraan ini akan di bincangkan kelak.

Oleh kerana prosedur perbicaraan prosiding kes yang di mulai dengan melalui Saman adalah berbeza dengan perbicaraan kes yang di mulakan dengan Notis Permohonan maka jika kes tuntutan mut’ah difailkan melalui Notis Permohonan maka ianya adalah cacat secara substantif.

Dalam kes Abdul Hamid Bin Kamaruddin v Rohaya Binti Mohamad  24 (2007) JH 27 di muka surat 30 – 32 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur berkata:

Setelah meneliti rekod rayuan dan hujahan bertulis Peguam Perayu. Dalam hujahan pertama Peguam Perayu telah mentafsirkan bahawa sek. 7 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 harus dimulai dengan Saman dan Senarai dalam Jadual Kedua adalah tidak muktamad.

a. saya tidak bersetuju dengan hujahan ini kerana perkataan harus yang digunakan oleh Peguam Perayu yang bijaksana adalah berbeza dengan perkataan hendaklah sebagaimana dalam sek. 7 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998. Perkataan ‘hendaklah’ adalah mandatori dan perlu dikuti.

Dalam kes Pendakwa Raya lwn Yap Min Woie, Mahkamah Persekutuan Malaysia di Johor Bahru, Rayuan Jenayah No. 06-6-95 pada 9 November 1995. Mahkamah Persekutuan telah mentakrifkan perkataan hendaklah didalam sek. 12 dan 28 Akta Mahkamah Juvana 1947 sebagai mandatori atau arahan (KANUN, Jun 1996).

Ini bermaksud tiap-tiap prosiding mal di Mahkamah hendaklah dimulakan dengan Saman dan ia tertakluk kepada subseksyen (2) Akta yang sama.

b. ...
Jadual Kedua dalam Akta tersebut merupakan suatu garis panduan kepada Pengamal-Pengamal Undang terutama kepada Peguam-Peguam Syarie yang bijaksana, prosiding yang dimulakan secara permohonan. Mana-mana tindakan yang tidak disebut dalam Jadual tersebut dimulakan secara saman dan pernyataan tuntutan.

Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang dalam kes Nurfarhani Uma Binti Abdullah v Muhammad Noor Manoranjan Bin Abdullah 24 (2007) 2 JH 281 di muka surat 285 - 287 berkata:

Pihak Responden juga telah berhujah bahawa pihak Perayu telah gagal menyampaikan notis rayuan kepada pihak Responden dalam masa yang ditetapkan. Oleh itu pihak Responden juga berhujah dengan kegagalan pihak Perayu mematuhi seksyen 139(8) adakah sekaligus tidak mematuhi sek. 139(4) (enakmen tersebut).
...
... Mahkamah mendapati sepanjang prosiding rayuan ini, Mahkamah melihat pihak Responden telah hadir dan sehinggalah pendengaran bantahan awal pihak Responden. Walaubagaimanapun Mahkamah ini berpendapat bahawa Mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk meneruskan pendengaran rayuan induk demi keadilan substantif agar ia selari dengan kehendak syara’.

Mahkamah juga bersetuju dengan hujah Peguam Perayu bahawa pihak Responden telah hadir bagi kes rayuan ini dan Mahkamah berpendapat adalah menjadi satu hujah yang tidak boleh dinafikan bahawa Responden sendiri telah maklum rayuan ini dimana tujuan notis rayuan tersebut disampaikan adalah untuk memaklumkan kepada pihak Responden bahawa satu rayuan atas keputusan Y.A.Hakjm Bicara telah dikemukakan oleh pihak Perayu.

Mahkamah ini juga mendapati sepanjang prosiding rayuan pihak Responden telah hadir sendiri dan telah memfailkan penghujahan bertulis bagi rayuan induk. Oleh itu Mahkamah berpendapat ketakaturan ini tidak sedikit pun mencacatkan keadilan keatas pihak Responden sekiranya rayuan induk ini diteruskan.

Sukacita Mahkamah ingin merujuk kepada sek. 5 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 2004. Seksyen tersebut menyebut:

Ketakpatuhan mana-mana peruntukan Enakmen ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya tidaklah membatalkan mana-mana prosiding melainkan jika Mahkamah memerintahkan sedemikian, tetapi Mahkamah boleh, atas kehendaknya sendiri atau atas permohonan mana-mana pihak, mengetepikan mana-mana prosiding keseluruhannya atau sebahagiannya sebagai tak teratur, atau memerintahkan supaya apa-apa pindaan dibuat atas apa-apa terma yang difikirkannya adil.

Berdasarkan peruntukan diatas Mahkamah berpendapat bahawa kuasa budi bicara Mahkamah amat jelas diperuntukkan dalam sek. 5 tersebut. ini bermaksud ketakpatuhan dalam mana-mana peruntukan dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah tidaklah membatalkan prosiding rayuan ini melainkan jika Mahkamah ini memerintahkan sedemikian sama ada membenarkan atau menolak bantahan awal Responden.

Ini kerana Mahkamah berpendapat sebarang ketakpatuhan pada prosedur tidaklah menafikan keadilan substantif, yang perlu diberi keutamaan. Walaubagaimanapun Mahkamah ini juga menegaskan bahawa undang-undang prosedur amat penting dalam membantu Mahkamah ini memutuskan demi keadilan undang-undang substantif.

KESIMPULAN:


Berdasarkan perbincangan di atas adalah jelas bahawa tuntutan mut’ah hendaklah di mulai dengan secara memfailkan Saman beserta Pernyataan Tuntutan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan