Selasa, 13 Ogos 2013

Isu: boleh pinda Perintah Persetujuan Tuntutan Mut'ah

Baru-baru ini ada pembaca blog ini menulis bertanyakan soalan/pandangan saya yang antara lain mengenai isu samada Perintah Persetujuan Mengenai Kadar Mut’ah kesnya boleh di pinda. Berikut ialah jawapan saya kepada beliau:

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Salam,

Setelah meneliti permasalahan Tuan berikut ialah pandangan pribadi saya. Pandangan ini ringkas sahaja dan Tuan dinasihatkan mendapat pandangan kedua dari Peguam Syarie yang lain juga.

Permasalahan: minta buah pandangan berkenaan kes yang sedang Tuan hadapi kini. ‘ADAKAH SAYA BERPELUANG UNTUK MENGUBAH KADAR TUNTUTAN MUT'AH TERSEBUT?’.

Bagi menjawabnya saya bahagikan kepada bebarapa persoalan.



Persoalan pertama:
samada permohonan Tuan adalah sesuai di buat dalam bentuk pengubahan perintah di bawah seksyen 76.

Pandangan saya ialah seksyen 76 Enakmen Keluarga adalah hanya mengenai permohonan mengubah perintah penjagaan dan nafkah anak sahaja. Permohonan mengubah perintah mut’ah tidak dimaksudkan oleh seksyen tersebut.

Dibawah ialah peruntukan seksyen 76 tersebut untuk rujukan mudah Tuan:

Seksyen 76. Kuasa bagi Mahkamah mengubah perintah mengenai penjagaan atau nafkah seseorang anak
Mahkamah boleh, atas permohonan seseorang yang ada mempunyai kepentingan, pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa mengubah, atau boleh pada bila-bila masa membatalkan, sesuatu perintah mengenai penjagaan atau nafkah seseorang anak, jika Mahkamah berpuas hati bahawa perintah itu telah diasaskan atas sesuatu salah pernyataan atau kesilapan fakta atau jika sesuatu perubahan matan telah berlaku tentang hal keadaan.

Mengenai persoalan ini kes berikut (yang ada di nyatakan dalam blog saya) telah membuat tafsiran.

BABJI BABJAN v ZAINAB MOHD SALLEH 29 [2009] 2JH 175 Kes ini telah diputuskan oleh  Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.
Plaintif dalam kes ini memfailkan permohonan untuk mengubah Perintah/Perjanjian Persetujuan yang dirakam sebelum itu di Majlis Sulh dan di rekodkan Mahkamah. Permohonan itu adalah terhadap Perintah mengenai nafkah anak, hak jagaan dan muta’ah. Defendan membuat bantahan awal memohon agar Mahkamah membatalkan permohonan-permohonan Plaintif tersebut.

Diputuskan oleh Mahkamah bahawa permohonan untuk mengubah Perintah mengenai nafkah anak dan hak jagaan anak adalah boleh diteruskan berdasarkan seksyen 76 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984.

Manakala bantahan awal terhadap pemfailan permohonan untuk meminda perintah persetujuan mengenai bayaran mutaah sebanyak RM50,000.00 kepada RM20,000.00 adalah dibenarkan. Maka dengan itu permohonan untuk mengubah perintah mut’ah adalah dihalang dan gagal.

Alasan Mahkamah adalah merujuk kepada Arahan Amalan No. 5 tahun 2006; No. 11 tahun 2005 dan No. 15 tahun 2006.

Yang Arif Hakim berkata:

Tafsiran bagi maksud ‘tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu’ dalam Arahan Amalan No. 5 tahun 2006 ini juga perlu diperjelaskan, iaitu mahkamah berpendapat bahawa kesan suatu perjanjian secara sulh bukan sahaja tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu sahaja, malah turut bermaksud bahawa tidak boleh dibuat pindaan tanpa persetujuan pihak yang satu lagi dan tidak boleh diubah perintah tersebut tanpa mencapaipersetujuan ber sama antara pihak-pihak.
...
Berdasarkan pemakaian Arahan Amalan No. 5 tahun 2006 ini, ... setiap perjanjian sulh yang dimaksudkan dalam Arahan Amalan juga membawa maksud perjanjian bersama. Kedua-dua terma ini perlu dibaca bersama dan dengan itu mana-mana perkara berkenaan persetujuan bersama turut disebut ‘dan/atau sulh’. Contoh yang Mahkamah berikan ialah Arahan Amalan No. 11 tahun 2005, ...

Begitu juga dengan Arahan Amalan No. 15 tahun 2006:

Perjanjian-perjanjian persetujuan bersama atau perjanjian semasa Majlis Sulh tidak boleh menggugurkan hak-hak isteri yang belum disabitkan melalui talaq iaitu nafkah iddah dan mut’ah dan hak anak iaitu hadhanah dan nafkah anak.

Persoalan Kedua:
Apakah kesan persetujuan sulh dan perintah Mahkamah secara persetujuan bersama.

Menurut seksyen 94 Enakmen Tatacara Mal Selangor perintah sedemikian adalah muktamad dan menjadi halangan keatas tindakan yang sama atau matannya adalah sama. Permohonan yang dicadangkan Tuan adalah memang sama kausa tindakannya iaitu mengenai tuntutan perkara mut’ah. Seksyen itu adalah di perturunkan dibawah ini:

Seksyen 94. Penyelesaian tindakan
Jika dengan persetujuan pihak-pihak sesuatu tindakan telah diselesaikan, Mahkamah boleh pada bila-bila masa dengan persetujuan pihak-pihak itu merekodkan hakikat penyelesaian itu dengan terma-termanya, dan rekod penyelesaian itu hendaklah menjadi pembelaan dengan cara res judicata dalam tindakan kemudiannya bagi kausa tindakan yang sama, atau bagi kausa tindakan yang pada matanya adalah sama.

Dalam kitab Fiqh al Kitab Wa Sunnah Jld 3 terbitan Dar al Salam pengarangnya Dr Amir Abdul Aziz di ms 537 berkata:

Hukum asal bagi sulh pada perspektif syara’ ialah menamatkan perbalahan dan pertelingkahan di antara pihak yang mendakwa dengan pihak yang didakwa keatasnya. Selepas tercapainya sulh (persetujuan) maka dakwaan oleh kedua-dua pihak mereka tidak akan didengar selepas itu.

Persoalan Ketiga:
Samada hak untuk merayu ke Mahkamah Tinggi Syariah ujud kepada Tuan.

Satu lagi kesan persetujuan sulh dan perintah Mahkamah secara persetujuan bersama adalah menyebabkan tiada rayuan ke Mahkamah yang lebih Tinggi boleh dibuat.

Ini diperuntukan oleh seksyen 63 (1) (b)  ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003

Seksyen 63. Rayuan kepada Mahkamah Tinggi Syariah.

(1) Rayuan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah daripada apa-apa keputusan sesuatu Mahkamah Rendah Syariah -
...
(b) dalam bidang kuasa malnya—

(i) oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu, jika amaun yang dituntut itu tidak kurang daripada satu ribu ringgit;

(ii) dalam semua kes yang melibatkan apa-apa keputusan mengenai taraf diri, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu;

(iii) dalam semua kes yang berhubungan dengan nafkah orang-orang tanggungan, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu,

dengan syarat tiada rayuan boleh dibuat terhadap keputusan yang telah dibuat dengan persetujuan; 

Kes-kes seperti kes MOHD DAUD NASIR v AZURA ABU BAKAR – 23 [2006] 1 JH 35 (Mahkamah Rayuan Syariah Selangor); DATO ABU KHALIL BIN AKASAH v NIK RAHIMAH BINTI WAN AHMAD – 31 [2010] 1 JH 61 (keputusan Mahkamah rayuan Syariah WP Kuala Lumpur) juga telah memutuskan bahawa tiada rayuan boleh dibuat terhadap keputusan perintah persetujuan.

Persoalan Keempat:
Samada Tuan mempunyai peluang untuk memohon agar semakan kehakiman dibuat terhadap perintah persetujuan tersebut.

Kuasa dan bidangkuasa Mahkamah Tinggi menyemak keputusan Mahkamah Rendah ada dinyatakan didalam seksyen 66 ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003

Seksyen 66. Bidang kuasa pengawasan dan penyemakan Mahkamah Tinggi Syariah.
(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah dan boleh, jika tampak perlu oleh Mahkamah Tinggi Syariah itu demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.

Untuk berjaya didalam permohonan semakan Tuan hendaklah menunjukkan kepada mahkamah Tinggi dengan jelas fakta-fakta bahawa Hakim Mahkamah yang mengeluarkan perintah persetujuan itu dengan nyata telah silap dan bersalahan dengan nas Al Quran atau Sunnah, ijma’ atau qias yang nyata.

Syeikh al Syarbini dalam kitabnya Mughni al Muhtaj Jld 6 ms 307 berkata:

Bermaksud: ‘dan apabila seseorang hakim telah membuat sesuatu keputusan dengan ijtihadnya dan kemudian nyata hukumannya bersalahan dengan nas Al Quran atau sunnah, ijma’ atau Qias yang nyata maka hendaklah ia membatalkan hukumannya itu sendiri atau membatalkannya oleh orang lain.’

Kes-kes Mahkamah Rayua Syariah di Malaysia telah menggunakan prinsip ini juga.

Jika pihak Tuan berhasrat untuk membuat semakan sila gunakan khhidmat mana-mana peguam syarie di Selangor samada persendirian mahupun dari Jabatan Bantuan Guaman. Ini adalah kerana permohonan semakan juga melibatkan hal teknikal tertentu seperti penyediaan permohonan, di Mahkamah mana ia perlu difailkan dsb.

Persoalan Terakhir:
Apakah cara lain yang ada sebagai pilihan. 

Setelah melihat kepada fakta ringkas permasalahan yang Tuan bentangkan saya berpendapat secara pribadi pihak Tuan boleh memohon agar mut’ah yang diperintahkan itu adalah dalam bentuk bayaran wang tunai dan bukannya emas. Namun bayarannya adalah sebanyak RM5,000.00 di bayar secara ansuran bulanan. Permohonan dibuat di bawah seksyen 152 Enakmen Tatacara Mal Selangor. Untuk ini sila dapatkan bantuan Peguam Syarie seperti diatas. Berikut ialah peruntukan seksyen tersebut.

Seksyen 152. Kuasa Mahkamah untuk menetapkan masa

(1) Walaupun sesuatu penghakiman atau perintah yang menghendaki seseorang melakukan sesuatu perbuatan menyatakan masa yang dalamnya perbuatan itu hendaklah dilakukan, Mahkamah boleh, atas apa-apa terma yang difikirkannya adil, membuat perintah yang menghendaki perbuatan itu dilakukan dalam apa-apa masa yang dinyatakan dalam perintah itu.

(2) ...

(3) Permohonan untuk mendapatkan suatu perintah di bawah seksyen ini hendaklah dibuat dalam Borang MS 34 dan salinan permohonan itu hendaklah, walau apa pun apa-apa peruntukan lain Enakmen ini, disampaikan kepada orang yang dikehendaki melakukan perbuatan yang berkenaan.

Wallahu a‘lam. Sekian dan terima kasih.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan