Sabtu, 2 Mac 2013

Kes Tuntutan Mut’ah yang dilapurkan dalam Jurnal Hukum JKSM


Berikut ialah senarai  dan nota ringkas antara beberapa kes rujukan/pilihan berkaitan tuntutan mut’ah yang telah di putuskan di Mahkamah Syariah Malaysia dan di lapurkan di dalam Jurnal Hukum JKSM dari tahun 1995 hingga 2011.

Siti Asiah binti Abdul Aziz v Abdul Ghafar bin Hashim 10 [1995] 1 JH 27. Dalam kes ini pasangan telah bercerai di Mahkamah Batu Pahat Johor. Plaintif/isteri kemudiannya bermastautin di Negeri Sembilan dan failkan tuntutan nafkah anak dan mut’ah di Seremban.

Mahkamah Rayuan Syariah putuskan bahawa Mahkamah Tinggi Seremban mempunyai bidangkuasa mendengar kerana Plaintif bermastautin di Negeri Sembilan.

Norizam binti Mohd. Lazim v Halim Azman Haji Sulaiman 10 [1995] 1 JH 65. Pasangan dalam kes ini telah bercerai kerana isteri melanggar takliq. Perkahwinan berjalan selama 5 tahun. Isteri kemudiannya membuat tuntutan nafkah iddah, sewa tempat tinggal, nafkah tertunggak selama 36 bulan, mut’ah dan hutang.

Terhadap tuntutan mut’ah Mahkamah Kadi Besar Kuala Lumpur meluluskan mut’ah sekadar RM2,400.00 yang hendaklah dibayar secara ansuran dalam masa 6 bulan.

Halim Azman v Norizan 10 [1996] 2 JH 247. Dalam kes ini isteri melanggar syarat ta’liq dan suami mohon pengesahan cerai dari Mahkamah. Mahkamah putuskan jatuh talaq. Kemudian isteri mohon nafkah iddah, sewa rumah semasa iddah, nafkah tertunggak, mut’ah dan hutang koperasi.

Mahkamah Kadi Besar meluluskan tuntutan Isteri.

Tengku Puteri Zainab v Dato Sri Mohd Najib 12 [1998] 1 JH 1 Plaintif/Perayu memohon Perintah Mahkamah agar Responden mengemukakan afidavit menyenaraikan semua harta alih dan tak alih  didalam prosiding tuntutan  mut’ah ini. Diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur bahawa isu yang sepatutnya adalah mengenai apa yang hendak/perlu dibuktikan dalam tuntutan mut’ahnya dan bukan acara pembuktian.

Diputuskan juga bahawa permohonan itu tiada kaitan dengan relif mut’ah yang dituntut maka rayuan ditolak.

Hajah Ramlah binti Syarif v Nor Husin bin Othman 13 [1999] 1 JH 103. Pasangan bercerai dengan talaq tiga. Plaintif menuntut Mut’ah sebanyak RM500,000.00.

Diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang bahawa tuntutan mut’ah sebanyak RM43,200.00 dibenarkan berdasarkan kiraan sebanyak ¼ dari nafkah RM800.00 atau 1/3 dari nafkah tempat tinggal RM600.00 x 216 bulan [18 tahun kahwin] = RM43,200.00.

Rusiah binti Ismail v Mohd. Rafi Heinges bin Abdullah 13 [1999] 2 JH 227 Pasangan bercerai dengan talaq satu. Plaintif menuntut antara lain bayaran mut’ah sebanyak RM25,550.00 yang dikira pada kadar RM5.00 sehari.

Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan meluluskan tuntuan mut’ah setakat sebanyak RM5,000.00 sahaja.

Serimah binti Abd. Rahim v Muhammad Hakimi bin Marzuki  14 [2001] 1 JH 47. Dalam kes ini Defendan berpendapatan kasar RM2,084.00 sebulan dan gaji bersihnya sebanyak RM1,825.00. Plaintif menuntut bayaran mut’ah sebanyak RM4,000.00.

Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan memerintahkan bayaran mut’ah sebanyak RM1,000.00 dan dibayar secara ansuran RM100.00 sebulan.

Joriah binti Doralim v Ibrahim bin Mamat 14 [2001] 1 JH 89. Pemohon dalam kes ini selain menuntut bayaran nafkah eddah ada juga menuntut bayaran mut’ah sebanyak RM5,000.00.

Diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka bahawa tuntutan mut’ah ditolak kerana dalam catatan Sijil Daftar Cerai ada tertulis ‘tidak menuntut’ maknanya sebagai persetujuan Plaintif tidak mahu menuntut.

Y.A.A.Datuk Hj Ibrahim Lembut dalam kes ini berkata:

Mengikut keterangan-keterangan ternyata perceraian bukan dari sebab keaiban isteri atau fasakh isteri tetapi dari  suami sendiri. Dengan talaq satu rajie. Oleh itu pihak isteri berhak mendapat kedua-dua nafkah iaitu mutaah dan eddahnya. Soalnya sekarang samada hak nafkah itu sudah terlupus kerana catatan ‘tidak menuntut’ sepertimana yang tercatat dalam sijil daftar cerai bil. 66/97 muka surat satu (1) IDP (Penentang) sebagai persetujuan. Dan Mahkamah tidak teragak-agak, pembelaan berikut ialah res judicata, jika tdak dibuktikan catatan ‘tidak menuntut’ membawa erti  ‘bukan tidak mahu menuntut’.

Dari keterangan dan hujah Pemohon yang diperolehi berkenaan catatan itu, Penentang selain menafikan ada keredaan dan mendakwa ini adalah tuntutan baru, saya berpendapat samada keredaan telah berlaku atau tidak atau tuntutan baru, yang perlu diberi perhatian dan pasti, Pemohon hendaklah membuktikan catatan itu, telah memberi erti selain daripada tidak mahu menuntut. Pemohon telah gagal membuktikannya. Mahkamah menolak kedua-dua tuntutan nafkah [mutaah] dan eddah.

Azura binti Adna v Mohd  Zulkefli bin Salleh 14 [2001] 2 JH 179. Dalam kes ini pasangan telah kahwin di Selatan Thailand menggunakan wali am Narathiwat sedangkan wali mujbir (ayah isteri  masih hidup dan berada di Terengganu. Kahwin lari. Siisteri kemudiannya diceraikan dengan lafaz cerai diluar Mahkamah. Apabila membuat pengesahan kepada perceraian mereka di Mahkamah Plaintif juga antara lain menuntut bayaran mut’ah sebanyak RM1,000.00. defendan menwarkan bayaran sebanyak RM400.00. pendapatan suami adalah sebanyak RM1,000.00 sebulan dan mempunyai isteri lain.
Mahkamah Rayuan Syariah mengiktiraf perkahwinan tersebut walaupun tiada didaftarkan di Terengganu atas alasan ia sah disisi Hukum Syarak dan seterusnya mengesahkan berlakunya perceraian kali kedua kepada pasangan ini. Mengenai tuntutan mut’ah Mahkamah ini berkata:

Oleh yang demikian dalam mengira kadar mutaah yang patut dibayar Defendan kepada Plaintif, Mahkamah menggunakan perkiraan seperti berikut: kadar yang dituntut oleh Plaintif ditambah kepada kadar yang dipersetujui oleh Defendan, kemudian dibahagi dua; (RM1,000.00 + RM400.00 = RM1,400/2 = RM700.00. Mahkamah menentukan kadar mutaah yang kena dibayar oleh Defendan kepada Plaintif didalam kes ini berjumlah RM700 sahaja.

Timah binti SulaimanAbdul Rahman bin Ayob 14 [2001] 2 JH 297. Dalam kes ini Plaintif menuntut mutaah sebanyak RM100,800.00 berdasarkan kiraan pada kadar RM8.00 sehari elam 25 tahun  umur perkahwinan.

Mahkamah Tinggi Syariah Seremban berkata (ms 304):

Tetapi jika sekiranya pihak-pihak tidak bersefaham tentang kadar mutaah tersebut, maka Kadi hendaklah menilaikan mengikut bahagian yang ia berhak dengan mengambil kira kedudukan kewangan suami serta keturunan dan sifat isteri.

Seterusnya Mahkamah ini berkata (ms 305):

Mutaah yang dituntut oleh Plaintif dengan kiraan sebanyak RM8.00 sehari adalah terlalu tinggi dan tidak wajar. Walau bagaimanapun Mahkamah mengambil kira keadaan Plaintif yang sekarang ini menumpang dirumah saudara khusus bagi kes ini dapat diselesaikan dan akan merasa malu dan mungkin pula menerima prasangka buruk dari masyarakat sekelilingnya. Untuk menghilangkan prasangka buruk bahawa seseorang itu diceraikan bukanlah kerana keaiban yang ada pada isteri yang lazimnya bergantung hidup kepada suami akan menghadapi kepayahan untuk memulakan kehidupan bersendirian.
Keputusan
1.   Membenarkan tuntutan mutaah dengan kadar sebanyak satu pertiga (1/3) dari tuntutan asal yang berjumlah RM100,800.00.

Sanisah binti Saad v Zulkifli bin Abd. Ghani 15 [2002] 2 JH 197 isteri yang diceraikan membuat bebarapa tuntutan di Mahkamah Rendah Syariah Butterworth.

Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan-tuntutan mengenai hadhanah; nafkah anak; nafkah iddah; mut’ah; kereta proton saga; dan belanja wang hantaran yang dipinjam kepada Defendan/suami adalah dibenarkkan. Mahkamah hanya menolak tuntutan mengenai separuh elaun pertukaran tempat kerja.

NORANI BINTI ABD RAHMAN v MD TAIB BIN HANAPI 17 [2004] 1 JH 27 Dalam kes ini Plaintif [isteri] menuntut bayaran mut'ah sebanyak RM30,000.00. Defendan tidak bersetuju membayar mut'ah atas alasan beliau ada menyediakan sebuah kereta kancil  kepada Plaintif. Kos kereta dibayar Defendan kecuali ada dua ansuran tidak dibayar.  Kos kereta adalah melebihi RM30,000.00.

Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu memutuskan bahawa kereta itu adalah pemberian masa hidup atau hibah dari Defendan kepada Plaintif dan  dengan itu Mahkamah meneruskan dengan penilaian tuntutan serta penaksiran kadar mut'ah yang dituntut Plaintif.

AHMAD SHAH AHMAD TABRANI v NORHAYATI YUSOFF 18 [2004] 1 JH 33. Pasangan dalam kes ini berkahwin pada  1989 dan bercerai pada 2002. Mempunyai 2 orang anak. Suami adalah Jurutera Perunding bergaji lebih RM16,000.00 sebulan, simpanan ASB RM75,000.00, KWSP RM323,000.00, saham syarikat RM175,000.00 dan mempunyai sebuah rumah bernilai RM400,000.00 yang disewakan sebanyak RM1,500.00 sebulan.
Mut'ah dituntut adalah sebanyak RM250,000.00. Perayu akui bergaji hakiki RM9,000.00 dan telah bayar RM4,000.00 kepada isteri sebagai mut'ah.

Mahkamah Tinggi Syariah hukumkan mut'ah sebanyak RM70,000.00.

Diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan bahawa rayuan diterima. Kadar mut'ah adalah hanya sebanyak RM50,000.00 dan diperintahkan dibayar secara ansuran RM1,000.00 sebulan. Jumlah RM4,000.00 yang dikatakan telah dibayar adalah tidak cukup bukti. Maka isteri/Responden dihukumkan membuat sumpah menafikan ada menerima bayaran RM4,000.00 dan setelah itu suami/Perayu bersumpah Rad dan dipotong jumlah RM4,000.00 dari jumlah RM50,000.00 itu.

IDA HIDAYATI BINTI TAUFIQ v AHMAD SHUKRI BIN KASSIM 18 [2004] 2 JH 259. Pasangan bernikah pada 1993 dan bercerai pada 1998 [perkahwinan selama 5 tahun]. Mereka mempunyai seorang anak. Defendan berpendapatan RM10,000.00 sebulan. Plaintif tuntut mut'ah RM144,000.00 dan nafkah iddah RM6,317.40. Defendan tawarkan RM10,000.00 bayaran sepenuh kepada tuntutan.
Mahkamah Tinggi Selangor meluluskan mut'ah sebanyak RM48,000.00. Tuntutan Nafkah Idah sebanyak RM4,100.00 diluluskan.

NOORAINI BINTI RASHID v HAMZAH BIN ZAINUDIN 18 [2004] 2 JH 279. Dalam kes ini isteri antara lain menuntut mut’ah sebanyak RM3 juta. Dakwaan Defendan bahawa Plaintif isteri yang nusyuz tidak disokong dengan keterangan. Adakah pengorbanan Plaintif berhenti kerja sebagai asas perkiraan kadar mut’ah. Apakah kadar mut’ah yang wajar diterima.

Mahkamah Tinggi Syariah Perak memutuskan bahawa suami hendaklah membayar mut’ah sebanyak RM810,000.00 dalam tempoh sebulan. Suami juga  diperintahkan membayar dalam tempoh tersebut wang sebanyak RM396,066.00 sebagai gantian bayaran gaji dan kenaikan gaji tahunan selepas perletakan jawatan Plaintif selama 22 tahun.

NORSIAH BINTI ARSHAD v MARSUM BIN PAING 18 [2004] 2 JH 315. Kes ini adalah mengenai tuntutan mut’ah sebanyak RM500,000.00.

Diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Selangor bahawa kadar yang dibenarkan adalah RM30,000.00. Asas taksiran dan kadarannya diterangkan Mahkamah ini.

FARIDAH SULAIMAN v MOHD NOH OTHMAN 19 [2005] 1  JH 124. Pasangan dalam kes ini berkahwin pada 05.12.1985 dan bercerai pada 18.09.1999 [selama 14 tahun]. Ada dua orang anak yang masing-masing berusia 10 tahun dan 16 tahun. Mut'ah dituntut sebanyak RM168,000.00.
Semasa dalam perkahwinan Defendan berpendapatan RM10,000.00 sebulan. Setelah itu pada 2003 [4 tahun selepas bercerai] Defendan bekerja sendiri dan pendapatannya adalah RM1,000.00 sebulan.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengambil kira pendapatan suami pada ketika perceraian berlaku yakni RM10,000.00 sebulan dan memerintahkan mut'ah sebanyak RM10,000.00 dibayar dalam tempoh 2 bulan.

MURSHIDA MUSTAKIM v HASSIM ABDULLAH 19 [2005] 1  JH 143. Pasangan berkahwin pada 03.01.1965 dan pada 07.04.1990 Defendan menceraikan Plaintif/Perayu tanpa sebab yang munasabah diluar Mahkamah yang kemudiannya didaftarkan di Mahkamah pada 24.11.1990 [kahwin selama 25 tahun]. Mut'ah dituntut sebanyak RM200,000.00. Defendan mengatakan beliau sudah pencen dan pendapatannya tidak tetap.

Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan kadar mut'ah sebanyak RM20,000.00.

Mahkamah Rayuan Syariah apabila mendengar rayuan kes ini telah memutuskan untuk tidak mahu mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi kerana perbicaraan kes ini di Mahkamah Tinggi Syariah itu tiada terdapat cacat cela.

RAHIMA BINTI BABA v ABU HANIFAH BIN BACHIK 19 [2005] 1  JH 171. Apabila Plaintif menuntut fasakh suami memberi syarat untuk bercerai yang antara lain bahawa Defendan tidak akan memberi nafkah iddah, mut'ah dan sebagainya. Syarat ini diterima isteri dan mereka bercerai di Mahkamah Qadi.

Mahkamah Qadi meluluskan permohonan perceraian itu dengan menambah bahawa atas persetujuan bersama Mahkamah Qadi meluluskan syarat-syarat yang diberikan suami terhadap isteri dan penerimaannya diterima isteri. Antara syarat-syarat yang ditetapkan atau dipersetujui itu adalah suami akan menceraikan isteri dengan syarat suami tidak akan membayar nafkah iddah, mutaah dan sebagainya.

Selepas perceraian itu Plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah.

Mahkamah Tinggi Syariah telah menolak tuntutan itu kerana Plaintif telah menggugurkan haknya keatas tuntutan itu sebagai syarat perceraian. Tuntutan pemberian sebanyak RM10,000.00 juga ditolak kerana tiada dalam pliding.
Plaintif kemudiannya merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah.

Namun Mahkamah Rayuan Syariah Selangor mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dan berkata:

Mengikut Wahbah Zuhaili dalam kitabnya al Fiqh al Islami wa adillatuh Jilid 6 Dar al Fikr 1997 ms 4377-78 syarat pelepasan/ibrak ada dua iaitu: perkara yang hendak diibrakkan adalah berupa hak dan bukan barang; dan perkara yang hendak diibrakkan itu hendaklah wujud ketika ketika ibra' dilakukan. Tiada syarat perkara yang hendak diibrakkan itu diketahui/maklum kadar dan sifatnya.

... Setelah kami meneliti kami dapati hak Pemohon pada waktu itu adalah hak yang sah untuk diibrakkan. ... Dalam hal ini kami dapati bahawa harta-harta yang menjadi tuntutan Perayu adalah selari dengan definisi harta sepencarian menurut seksyen 2 diatas. ...

Adapun hak-hak Perayu yang lain seperti nafkah iddah dan mut'ah adalah tidak sah diibrakkan kerana hak-hak ini masih belum wujud sehinggalah jatuh talak. Oleh yang demikian kami berpendapat hak-hak ini masih boleh dituntut oleh Perayu jika ingin berbuat demikian.

Mengenai isu pemberian wang RM10,000.00 itu kami sependapat dengan YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah bahawa setelah kami meneliti Rekod Rayuan kami dapati tiada dalam tuntutan Pemohon. Oleh yang demikian kami berpendapat tiada hukuman atau keputusan mengenainya.

NORMA @ NORMEK BINTI GHAZALI v MOHD ZAIN BIN ABDULLAH 19 [2005] 2  JH 278. Pasangan berkahwin pada 29.04.1993 dengan mas kahwin RM5,000.00. mereka bercerai pada 10.02.200 [selama 7 tahun]. Ada persetubuhan berlaku.
Mut'ah dituntut sebanyak RM50,000.00. Defendan bekas ahli Parlimen Bachok dan pencennya RM2,400.00 sebulan. Plaintif adalah seorang peniaga. Defendan membantah tuntutan dengan mengatakan bahawa Plaintif tidak layak mendapat mut'ah kerana dia derhaka dan Defendan tidak mampu membayar RM50,000.00 yang dituntut.

Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan mut'ah sebanyak RM5,000.00. Perayu merayu.

Mahkamah Rayuan Kelantan memutuskan bahawa kadar mut'ah RM10,000.00 dibayar secara beransur-ansur sebanyak RM500.00 sebulan. 

BADARIAH HARON v IDRIS MAHMUD 20 [2005] 1 JH  57 – dari headnote kes ini:
Tuntutan Mut’ah – sek. 58 Enakmen Undang – undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 – Tindakan di luar aturan – Wakalah Peguam Syarie tidak sempurna dan tidak berlaku mengikut undang– undang sek. 34(1)) Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor Tahun 2003 – Bantahan Awal – mohon Mengenepikan Permohonan – Arahan Amalan No 6  Tahun 2002 – Permohonan Dalam Prosiding – sek. 195 Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003. Bantahan awal ditolak.

ISMADI ISHAK v ZAINAB CHE AWANG 20 [2005] 1 JH 87. Dalam kes ini Plaintif menuntut mut’ah sebanyak RM100,000.00. Defendan adalah seorang kontraktor berpendapatan antara RM15,000.00 hingga RM20,000.00 sebulan.

Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan meluluskan jumlah mut’ah RM15,000.00 yang dibayar 3 kali ansuran bulanan.

Rayuan Defendan ke Mahkamah Rayuan Syariah ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan. 

MOHD FARID ABDUL RAHMAN v RABIHAH KAMARUDIN 21 [2006] 1 JH 71.
Responden menuntut mut’ah sebanyak RM49,000.00. Pendapatan kasar Perayu adalah RM18,000.00 sebulan. Mahkamah Rendah benarkan mut’ah sebanyak RM30,000.00 dengan ansuran bulanan.dibenarkan dengan syarat dipersetujui siisteri.

Mahkamah Tinggi Syariah menolah rayuan Defendan/Perayu dan mengekalkan kadar mut’ah dan dipinda cara bayaran kepada ansuran bulanan sebanyak RM500.00 setiap bulan selam 60 bulan mulai September 2005 hingga selesai.

FARIDAH HANIM OMAR v ABD LATIF ASHAARI 22 [2006] 1 JH 27. Mut’ah dituntut sebanyak RM20,000.00. Pendapatan bulanan Defendan Padalah sebanyak antara RM3,000.00 ke RM5,000.00. pasangan mempunyai 3 orang anak.

Mahkamah Tinggi Syariah Selangor luluskan mut’ah sebanyak RM5,000.00. juga diluluskan tuntutan hadhanah, nafkah anak, nafkah tertunggak RM7,200.00 (yang dituntut adalah RM94,000.00);

HAFIZAH INDRA ABDULLAH v JAMALUDDIN EUSOFF 22 [2006] 1 JH 47. Tuntutan hadhanah atas 3 orang anak; nafkah anak; nafkah eddah; mutaah; dan harta sepencarian. Perbicaraan tanpa kehadiran Defendan namun saman sempurna.

Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang benarkan tuntutan-tuntutan berikut:

1.   Hadhanah;
2.   Nafkah eddah RM1,500.00 [dari RM3,000.00];
3.   Nafkah anak 3 orang berjumlah RM500.00 mulai Ogos 2001;
4.   Tunggakan nafkah RM100.00 sebulan bersama nafkah anak;
5.   Mut’ah RM3,000.00 sebagaimana yang dituntut; dan
6.   Harta sepencarian sepertimana tuntutan.

TUKIMAH AHMAD v JAMALUDDIN AHMAD 22 [2006] 1 JH 109. Tuntutan Mut’ah adalah sebanyak RM180,000-00 namun hanya dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor sebanyak RM10,000.00. Plaintif/isteri gagal membawa bukti pendapatan Defendan.
Ini kerana penentuan kadar Mutaah adalah berdasarkan kemampuan suami dan beban Pembuktian terletak pada Plaintif mengenai kemampuan Defendan.

HAJI HASSAN ABDULLAH v NADIAH AHMAD 22 [2006] 2 JH 175. Dalam kes ini isteri/Responden menuntut bayaran mut’ah dan Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan memerintahkan Perayu membayar mut’ah sebanyak RM 50,000-00. Perayu adalah seorang wakil rakyat ADUN berpendapatan tetap sebanyak RM4,150.00 sebulan.  Perayu merayu.

Mahkamah Rayuan Syariah mempertimbangkan untuk meminda kadar mut’ah dan memutuskan bahawa kadarnya adalah sebanyak RM30,000.00 setelah Responden bersumpah. Perayu tidak hadir semasa rayuan tetapi Peguamnya hadir.

NOOR LIZA H.A.LATIF v MOHAMMAD ASRI ISMAIL 22 [2006] 2 JH 191. Plaintif dalam kes ini memfailkan Tuntutan hadhanah; Tuntutan Nafkah 2 orang Anak sebanyak RM500.00 setiap bulan; Tuntutan Mut’ah sebanyak RM8,000.00; Tuntutan Nafkah Eddah selama 5 bulan (sebulan RM500.00) berjumlah RM2,500.00. Perbicaraan tanpa kehadiran Defendan.defendan adalah seorang guru.

Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang memerintahkan:

a.      Hadhanah diberi kepada Plaintif dan hak lawatan kepada Defendan;
b.  Nafkah anak sebanyak RM350.00 sebulan mulai tarikh permohonan dan tunggakan nafkah anak sebanyak RM9,100.00 dibayar secara ansuran bulanan RM100.00 bersama nafkah anak;
c.      Mut’ah sebanyak RM4,000.00;
d.     Nafkah eddah berjumlah RM2,000.00;
e.   Bayaran mut’ah dan eddah dibayar secara ansuran bulanan sekadar RM200.00 setiap bulan;
f.   Semua pembayaran dibuat melalui potongan gajimajikan Defendan berjumlah RM650.00 sebulan hingga selesai.

TUAN FARIZAH BINTI TUAN LUDIN v MOHD RAZUHAN BIN ABDUL RAZAB  24 [2007] 2 JH 335.Plaintif/Perayu dalam kes ini membuat Tuntutan Mut’ah terhadap bekas suaminya sebanyak RM250,000.00. Suami berpendapatan kasar RM5,390.00 dan setelah potongan bulanan adalah RM1,563.00. Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan mut’ah sebanyak RM7,000.00 yang perlu dibayar secara ansuran bulanan sebanyak RM300.00. Plaintif tidak berpuashati dan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah tersebut.

Diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan bahawa kadar mut’ah adalah RM15,000.00 dan dibayar secara 3 kali ansuran bulanan sebanyak RM5,000.00 setiap satu.

Dikatakan oleh Mahkamah Rayuan Syariah setelah merujuk kepada kitab I’anah al-Talibin yang bermaksud:

‘bayaran mut’ah wajib keatas suami yang telah menceraikan isterinya setelah disetubuhi dimana perceraian itu bukan berpunca dari perbuatannya (isteri) seperti isteri murtad atau difasakhkan nikah disebabkan keaiban suami atau isteri’.

Yang dimaksud suami telah menceraikan isterinya itu ialah seperti perceraian biasa sama ada persetujuan bersama atau sebagainya dan juga apa yang dimaksud dengan perbuatan isteri disini ialah seperti isteri murtad atau dia mohon fasakh nikahnya dengan sebab keaiban suami seperti suami gila atau mati pucuk atau suami seorang yang papa dan sebagainya. Begitu juga jika difasakhkan nikah oleh suami dengan sebab keaiban isteri seperti alat kelaminnya terdapat ratak (ketumbuhan daging) atau qaran (ketumbuhan tulang).

HASNAH BINTI OMAR v OTHMAN BIN YA @ ZAKARIA 26  [2008] 1 JH  43. Perayu menuntut RM140,000.00 sebagai mut’ah Responden menawarkan RM5,000.00.

Mahkamah Tinggi membenarkan RM10,000.00 dibayar secara ansuran bulanan RM300.00.

Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan memutuskan bahawa isteri telah diceraikan tanpa sebab menasabah setelah hidup bersama selama 29 tahun dan mendapat 10 anak. Perceraian cara biasa dan bukan isteri minta fasakh. Fakta-fakta pertimbangan untut mendapat mut’ah serta kadar mut’ah diberikan Mahkamah. Mut’ah diperintahkan sebanyak RM15,000.00 dibayar dalam tempoh 3 bulan.

SUYABAH BINTI JAAFAR v YAAKUB BIN MUHAMMAD 26  [2008] 1 JH 83. Perayu menuntut RM500,000.00 sebagai mut’ah.

Mahkamah Tinggi Syariah hanya membenarkan bayaran mut’ah sebanyak RM20,000.00.

Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan mendapati bahawa isteri telah diceraikan tanpa sebab menasabah setelah hidup bersama selama 13 tahun dan mendapat 4 anak. Perceraian cara biasa dan bukan isteri minta fasakh. Fakta-fakta pertimbangan untut mendapat mut’ah serta kadar mut’ah diberikan Mahkamah. Mut’ah diperintahkan sebanyak RM100,000.00.

ZAINON BINTI DORAMAN v HJ ABDUL RAHMAN MAHMUDA 26  [2008] 1 JH 117. Plaintif menuntut RM300,000.00 sebagai mut’ah. Plaintif tidak mahu menuntut harta sepencarian.

Mahkamah Tinggi Melaka membenarkan mut’ah sebanyak RM140,000.00. Isteri telah diceraikan secara fasakh atas alasan Defendan tidak menunaikan nafkah zahir. Mereka telah hidup bersama selama 40 tahun dan mendapat 8 anak. Defendan mampu kerana banyak harta dibeli semasa perkahwinan dan Plaintif tidak mahu menuntut harta sepencarian. Anak pasangan ini sanggup membeli sebuah rumah kepunyaan Defendan sebanyak RM280,000.00. Nahkamah memerintahkan bahawa dari hasil jualan itu sejumlah RM140,000.00 dibayar kepada Plaintif sebagai mut’ah dan baki RM140,000.00 kepada Defendan.

JOAN MARY SULAIMAN @ JOANNAH MARIAM v SULAIMAN BIN HAJI MUSA 27 [2009] 2 JH 213. Kes ini telah diputuskan oleh  Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.
Semasa perceraian tiada perintah nafkah dibuat. Plaintif kini menuntut nafkah tertunggak sejak tahun 2002 hingga tahun 2003 selama 12 tahun berjumlah RM288,000.00.

Pada tahun 2004 Plaintif ada memfailkan dua kes mal terhadap Defendan yakni tuntutan harta sepencarian dan mut'ah. Pada 16.02.2006 perintah persetujuan dimasukkan yang antara lain mempersetujui bahawa kedua-dua pihak tidak akan mendakwa-dakwi antara satu sama lain berkaitan keseluruhan hak-hak selepas perkahwinan dan perceraian.

Selain dari itu Plaintif memfailkan tuntutan nafkah tertunggak ini pada tahun 2004 yakni sebelum Perintah persetujuan dalam kes harta sepencarian dan mut'ah diatas dirakamkan. Namun hanya pada 10.10.2006 kes tuntutan nafkah ini dapat dikemukakan kepada Hakim. Oleh kerana itu Mahkamah mengatakan bahawa dakwaan yang sebenar hanya dibuat pada 10.10.2006.

Maka Mahkamah memutuskan bahawa pada 10.02.2006 Plaintif telah melepaskan hak nafkah dirinya. Dengan adanya Perintah persetujuan tersebut Plaintif telah melepaskan atau menggugurkan [ibraa'] hutang yang ditanggung oleh Defendan. Dengan itu permohonan Defendan untuk dibatalkan keterangan Plaintif dalam kes ini dibenarkan. Perbicaraan juga dibatalkan.

SURAIYA BT M SHAFIE v ABD SHUKOR BIN MOHD HASHIM 27 (2) 2009 JH 259. Pasangan ini berkahwin selama 15 tahun dan dikurniakan 4 orang anak. Plaintif adalah pakar mata dan Defendan adalah pakar tulang di Hospital yang sama. Pendapatan bulanan Defendan adalah antara RM50,000.00 dan RM70,000.00 sebulan. Bahkan ada wang simpanan sebanyak RM100,000.00. Plaintif menuntut RM500,000.00 manakala Defendan menawarkan RM50,000.00 sebagai mut'ah.

Mahkamah Tinggi Syariah Seremban menetapkan kadar mut’ah adalah sebanyak RM70,000.00 dan dibayar dalam tempoh 7 bulan.

MUSTAFA IBRAHIM v SARWARI AB WAHID 28 [2009] 1 JH 45. Pasangan dalam kes ini telah berkahwin selama 24 tahun dan mempunyai 4 orang anak.

Diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan bahawa kadar mut’ah dikurangkan kepada RM 5,000.00.

SAMIAH YASMIN BINTI ABDUL KADIR v MUHAMMAD TAUFIK BIN MOHD NOOR 28 [2009] 1 JH 91. Isteri failkan tindakan Saman Penghutang Penghakiman. Fakta kes: Pada 06.10.06  Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur perintahkan suami membayar mut’ah sebanyak RM23,000.00. Suami Penghutang Penghakiman tidak hadir di Mahkamah tetapi peguamnya hadir. Pada Disember 2006 Peguamnya memaklumkan mengenai Perintah mut’ah tersebut kepada Penghutang Penghakiman. Tiada rayuan dibuat oleh Penghutang Penghakiman. Kini Penghutang Penghakiman  mengatakan beliau tidak tahu akan perintah asal tersebut.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memutuskan bahawa Penghutang Penghakiman bertanggungan dan diperintahkan membayar secara ansuran bulanan melalui potongan gaji.

SITI ROHANI BINTI HASHIM  v MOHD NIZAM ANDO BIN ABDULLAH 28 [2009] 1 JH 121. Penghakiman asal adalah hukuman persetujuan di Mahkamah Rendah pada 25.10.00. Jumlah keseluruhan tunggakan adalah RM94,000.00. Saman Penghutang Penghakiman difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur namun isu bidangkuasa tidak dipertikaikan.

Permohonan Penghutang Penghakiman [suami] agar nafkah anak dibayar kedalam akaun bank anak adalah ditolak Mahkamah.

Mahkamah juga menolak hujahan Penghutang Penghakiman bahawa kemungkiran membayar nafkah anak adalah disebabkan Mahkamah Rendah tidak menetapkan cara bayaran nafkah anak.

Mengenai tunggakan nafkah iddah dan mut’ah Penghutang Penghakiman mengatakan bahawa berdasarkan suatu perjanjian bertulis perceraian pihak-pihak bertarikh 25.10.00, beliau telah membayar RM65,000.00 bagi bayaran kereta estima, wang jualan tanah dan pemberian sebuah kondo oleh Penghutang Penghakiman kepada Pemiutang Penghakiman [isteri].

Mahkamah Tinggi Syariah berpendapat bahawa perjanjian tersebut tidak menyatakan bahawa pemberian-pemberian itu adalah untuk nafkah iddah ataupun mut’ah.
Setelah meneliti keupayaan Penghutang Penghakiman maka beliau diperintahkan oleh Mahkamah untuk membayar kesemua jumlah tunggakan sebanyak RM94,000.00 tersebut dalam tempohmasa 90 hari.

AMINAH BINTI MOKHTAR v ZAKARIA BIN YAHYA 28 [2009] 2 JH 181. Plaintif dan Defendan telah bernikah pada 11.06.1993 dan kemudiannya bercerai pada 13.02.1998. mereka mempunyai seorang anak.
Tuntutan nafkah iddah sebanyak RM9,000.00 adalah dibenarkan oleh Mahkamah kerana Plaintif tidak nusyuz semasa dalam tempoh iddah.

Mengenai tuntutan mut’ah Plaintif sebanyak RM200,000.00 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hanya meluluskan setakat sebanyak RM10,000.00 sahaja dan hendaklah dibayar penuh oleh Defendan dalam tempoh 6 bulan.

BABJI BABJAN v ZAINAB MOHD SALLEH 29 [2009] 2JH 175 Kes ini telah diputuskan oleh  Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.
Plaintif dalam kes ini memfailkan permohonan untuk mengubah Perintah/Perjanjian Persetujuan yang dirakam sebelum itu di Majlis Sulh dan di rekodkan Mahkamah. Permohonan itu adalah terhadap Perintah mengenai nafkah anak, hak jagaan dan muta’ah. Defendan membuat bantahan awal memohon agar Mahkamah membatalkan permohonan-permohonan Plaintif tersebut.

Diputuskan oleh Mahkamah bahawa permohonan untuk mengubah Perintah mengenai nafkah anak dan hak jagaan anak adalah boleh diteruskan berdasarkan seksyen 76 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984.

Manakala bantahan awal terhadap pemfailan permohonan untuk meminda perintah persetujuan mengenai bayaran mutaah sebanyak RM50,000.00 kepada RM20,000.00 adalah dibenarkan. Alasan Mahkamah adalah merujuk kepada Arahan Amalan No. 5 tahun 2006; No. 11 tahun 2005 dan No. 15 tahun 2006.

Yang Arif Hakim berkata:

Tafsiran bagi maksud ‘tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu’ dalam Arahan Amalan No. 5 tahun 2006 ini juga perlu diperjelaskan, iaitu mahkamah berpendapat bahawa kesan suatu perjanjian secara sulh bukan sahaja tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu sahaja, malah turut bermaksud bahawa tidak boleh dibuat pindaan tanpa persetujuan pihak yang satu lagi dan tidak boleh diubah perintah tersebut tanpa mencapaipersetujuan ber sama antara pihak-pihak.
...
Berdasarkan pemakaian Arahan Amalan No. 5 tahun 2006 ini, ... setiap perjanjian sulh yang dimaksudkan dalam Arahan Amalan juga membawa maksud perjanjian bersama. Kedua-dua terma ini perlu dibaca bersama dan dengan itu mana-mana perkara berkenaan persetujuan bersama turut disebut ‘dan/atau sulh’. Contoh yang Mahkamah berikan ialah Arahan Amalan No. 11 tahun 2005, ...

Begitu juga dengan Arahan Amalan No. 15 tahun 2006:
Perjanjian-perjanjian persetujuan bersama atau perjanjian semasa Majlis Sulh tidak boleh menggugurkan hak-hak isteri yang belum disabitkan melalui talaq iaitu nafkah iddah dan mut’ah dan hak anak iaitu hadhanah dan nafkah anak.

ZAHARAH BINTI ALIAS v JEN (B) TAN SRI DATO ZAIN HASHIM 32 (2011) 2 JH 275. Terhadap tuntutan mutaah sebanyak RM1,000,000.00 dalam kes ini Mahkamah Rayuan Syariah Selangor (ms 290 – 291) berkata:

29. Kami bersetuju dengan dengan penghakiman Y.A. Hakim bahawa tafsiran mut’ah adalah merupakan  ‘balasan khidmat/layanan isteri termasuk mengurus rumahtangga dan anal-anak yang dicurahkan setiap hari sepanjang tempoh perkahwinan kepada suaminya’. Hal ini diambil kira kerana Responden telah mempunyai kedudukan yang tinggi dan dihormati oleh masyarakat sepanjang tempoh perkahwinan denga Perayu.

30. ... Kami juga bersetuju bahawa tempoh perkahwinan Perayu dan Responden selama 34 tahun ... menjadi sandaran untuk meluluskan pemberian mut’ah kepada Perayu. ...

31. Kadar RM200,000.00 yang telah ditetapkan oleh Y.A. Hakim bukanlah suatu kadar yang terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi berdasarkan kemampuan Responden yang mempunyai pendapatan RM11,500.00 setelah ditolak tanggungan lain. Haruslah difahamai bahawa  pembayaran mut’ah bukanlah bayaran bulanan yang perlu bersandar kepada pendapatan bulanan. Hal yang perlu diberi penekanan bahawa melalui wang tersebutlah Perayu akan memulakan penghidupan yang baru tanpa bantuan Responden.

33.  Kami bersetuju bahawa dengan hujah Perayu bahawa Y.A. Hakim telah khilaf apabila tidak melihat kepada status Perayu terutamanya apabila Perayu menjangkau umur 58 tahun dan sehingga rayuan ini dibuat beliau telahpun menjangkau umur 72 tahun. Dalam keadaan begini, Perayu sudah tidak mempunyai apa-apa kudrat untuk mendapatkan pekerjaan bagi menafkahi dirinya sendiri.

Dengan itu Mahkamah Rayuan Syariah ini mengekalkan keputusan Hakim Bicara yang memutuskan bahawa bayaran mut’ah adalah sebanyak RM200,000.00.

NONY BINTI ISMAIL  & 1 lagi v ZUBIR BIN EMBONG 33 (2011) 1 JH 103. Dalam kes ini pasangan berkahwin pada tahun 1993. Pada 08.06.1997 Responden/suami melafazkan cerai keatas isteri diluar Mahkamah. Pada 22.11.1997 suatu Perjanjian Penyelesaian Perceraian dimasuki oleh pasangan ini yang antara lain Responden bersetuju membayar bayaran saguhati (mut’ah) sebanyak RM500,000.00 pada atau sebelum akhir tahun 1999.
Pada 07.03.1998 isteri failkan permohonan pengesahan cerai diluar Mahkamah. Pada 28.06.1998 Mahkamah Rendah Syariah mensabitkan perceraian tersebut dengan talaq satu kali pertama dijatuhkan.

Selepas pengesahan perceraian itu, pada tahun 2002 isteri memfailkan tuntutan bayaran mut’ah sebanyak RM500,000.00 dan sebuah kenderaan Mercedes C200 yang dikatakan telah dijanji secara lisan oleh suami.
Responden pertikaikan dan menuntut balas. Setelah tidak berpuashati dengan penolakan tuntutannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah isteri merayu ke Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu memerintahkan agar kes dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi Syariah oleh Hakim yang lain kerana didalam rekod Rayuan beberapa helai Nota Keterangan Hakim sebagai Catatan Bicara telah hilang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan