Prosedur Tuntutan Mut’ah di Mahkamah Syariah – Pliding
(Siri 3).
-
Pembelaan-Pembelaan
-
Tuntutan Balas
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Tujuan dan pentingnya pliding secara amnya telah
pun di sentuh dalam posting yang sebelum ini. Tambahan kepada apa yang telah
dinyatakan tersebut elok juga kes berikut di kongsikan bersama bagi melihat
kenapa pliding Penyata Pembelaan perlu di sediakan dengan sempurna.
Dalam kes NORMA @ NORMEK BINTI GHAZALI v MOHD
ZAIN BIN ABDULLAH 19 [2005] 2 JH
278 isteri (seorang peniaga) menuntut pembayaran mut’ah sebanyak RM50,000.00
dari bekas suaminya (Defendan/Responden) yang mempunyai pendapatan tetap
sebanyak RM2,400.00 sebulan hasil dari pencennya.
Pembelaan Defendan adalah bahawa si isteri adalah isteri derhaka dan Defendan
tidak mampu membayar RM50,000.00 yang dituntut. Mahkamah Tinggi Syariah
Kelantan memerintahkan mut'ah sebanyak RM5,000.00. isteri tidak berpuashati dan
merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah. Mahkamah Rayuan Syariah menolak pembelaan suami
tersebut dan telah merujuk kepada kitab I’aanah al-Talibin Jil 3 hlm 356 yang
menyatakan: ‘bayaran mut’ah wajib keatas suami yang telah menceraikan isterinya
setelah disetubuhi di mana perceraian itu bukan berpunca dari perbuatannya
(isteri) seperti isteri murtad atau di fasakhkan nikah disebabkan keaiban
suami atau isteri.’ dan berkata:
‘yang
dimaksud suami telah menceraikan isteri isterinya itu ialah seperti perceraian
biasa samada dengan persetujuan bersama atau sebagainya dan juga apa yang
dimaksudkan dengan perbuatan isteri disini ialah seperti isteri murtad atau dia
pohon fasakh nikahnya dengan sebab keaiban suami seperti suami gila atau mati
pucuk atau suami seorang seorang yang papa dan sebagainya. Begitu juga jika
difasakhkan nikah oleh suami dengan sebab keaiban isteri seperti alat
kelaminnya terdapat ratak (ketumbuhan daging) atau qaran (ketumbuhan tulang).’
Mahkamah Rayuan Syariah seterusnya memutuskan
bahawa kadar mut'ah RM10,000.00 hendaklah dibayar oleh suami secara
beransur-ansur sebanyak RM500.00 sebulan.
Kes NORMA diatas ini mengutarakan bahawa pembelaan
‘isteri tidak layak kerana derhaka’ adalah bukan suatu kausa pembelaan
terhadap tuntutan mut’ah.
Dalam kes KAMARIAH BINTI SALIM v ZULKIFLI BIN
PUTEH (kes Mal Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam No. 481-2001 – tidak di
lapurkan) Mahkamag telah menolak Pliding Pembelaan suami kerana tidak menjawab
tuntutan isteri (kes fasakh) bahkan Pliding Pembelaan itu sebaliknya berbentuk
mengelak dan mengandungi pernyataan yang terjumlah kepada penghinaan Mahkamah
serta institusi kehakiman.
Mahkamah ulang bicara dalam kes ZAINUDDIN v ANITA 4 (1983) JH 73 berkata bahawa
kedua-dua pihak hendaklah diberi peluang dan masa untuk memfailkan pliding
masing-masing agar Mahkamah dapat melihat pliding semua pihak serta menentukan
apa isu pertikaian mereka dan tidaklah timbul isu dalam perbicaraan penuh yang
tiada dalam pliding asal masing-masing pihak. Dengan lain perkataan isu semasa
bicara adalah berkisar hanya mengenai fakta atau persoalan yang dibangkitkan
didalam pliding asal sahaja.
Manohara diberi tempoh
seminggu failkan pembelaan
05/10/2009
6:39pm
KOTA BHARU 5 Okt. Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini memberikan tempoh tujuh hari lagi kepada isteri Tengku Temenggong Kelantan, Cik Puan Temenggong Manohara Odelia Pinot untuk memfailkan pembelaannya terhadap dua tuntutan saman suaminya Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra bagi mengembalikan semula hutang dan perintah kembali taat.
Hakim Mohd. Yusof Awang
memberikan tempoh itu berkuatkuasa hari ini selepas Manohara gagal berbuat
demikian selepas tempoh 14 hari yang diberikan sejak 2 Ogos lalu.
Sepatutnya
pihak defendan tidak memberikan alasan untuk tidak memfailkan pembelaan itu
yang mahkamah telah memberikan tempohnya. Pihak defendan sepatutnya mematuhi
perintah yang telah dibuat.
Mahkamah
putuskan peguam defendan perlu memfailkan pembelaan dalam tempoh tujuh hari
bermula hari ini, katanya ketika membuat keputusan itu pada
sebutan semula kes tersebut hari ini. - Bernama
Artikel
Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_35.htm#ixzz2mDPplBXI
© Utusan Melayu (M) Bhd |
Maka jelaslah bahawa pliding Pliding Pembelaan
perlu di sediakan dengan sempurna. Untuk tujuan itu keperluan seksyen-seksyen
berikut perlu di rujuk sebelum Pembelaan yang berkenaan di sediakan. Seksyen-seksyen
ini adalah yang diperuntukan oleh Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah
(Pahang) 2002.
Seksyen
64. Defendan hendaklah menyampaikan Pembelaan
(1)
Defendan yang mempertikaikan tanggungannya bagi keseluruhan atau sebahagian
mana-mana tuntutan dalam tindakan itu boleh -
(a) pada
bila-bila masa sebelum hari kehadiran, menyampaikan kepada plaintif suatu Pembelaan;
atau
(b) hadir
pada hari kehadiran dan mempertikaikan tuntutan plaintif.
(2)
Jika defendan hadir di Mahkamah dan mempertikaikan tuntutan plaintif, Mahkamah
boleh memerintahkannya supaya menyampaikan suatu Pembelaan dalam apa-apa tempoh
masa yang diarahkannya.
(3)
Pembelaan hendaklah dikemukakan dalam Borang MS 16.
JADUAL KETIGA - Borang MS 16
(Subseksyen 64 (3))
PEMBELAAN
(Tajuk Am) (Nyatakan dalam perenggan bernombor pengakuan atau penafian pengataan-pengataan matan dalam pernyataan tuntutan setiap pengataan hendaklah, setakat yang sesuai, terkandung dalam perenggan yang berasingan, misalnya)
1. Defendan mengaku bahawa ................................................
sebagaimana yang dikatakan dalam perenggan ...................... pernyataan
tuntutan itu tetapi menafikan bahawa ....................................
2. Tentang perenggan
................................................................. pernyataan
tuntutan itu defendan berkata bahawa
....................................................... ..................................................................
3. Selanjutnya atau sebagai pilihan defendan
berkata bahawa .............. ...........................................
4. Jika (yang adalah dinafikan) plaintif .................. ................. ..................... maka defendan berkata bahawa ................................ .................. .................................................
5. Kecuali sebagaimana yang diakui dengan nyata
terdahulu daripada ini defendan menafikan setiap dan tiap-tiap pengataan
fakta yang terkandung dalam perenggan
................................................... (perenggan ........ ke
........) pernyataan tuntutan seolah-olah ia dinyatakan dalam Pembelaan ini
dan disangkal secara khusus.
TUNTUTAN BALAS 1. Defendan mengulangi perenggan ..................... dan menuntut sebanyak RM ......... yang merupakan baki amaun yang kena dibayar sebagaimana yang disebut terdahulu setelah ditolak tuntutan plaintif.
Bertarikh pada ....................
haribulan ................. 20 ........
......................................................
Defendan (atau Peguam Syarie bagi Defendan) |
Seksyen
65. Bentuk Pembelaan
(1)
Tiap-tiap Pembelaan hendaklah
ditandatangani oleh defendan atau Peguam Syarienya dan hendaklah —
(a) sama
ada mengaku atau menafikan tiap-tiap pengataan fakta yang material dalam
pernyataan tuntutan;
(b) menyatakan
dengan ringkas lagi padat apa-apa fakta baru yang dijadikan sandaran oleh
defendan sebagai pembelaan; dan
(c) membangkitkan
dengan ringkas lagi padat dan tanpa hujah apa-apa perkara undang-undang yang
perlu.
(2)
Penafian di bawah perenggan (1) (a) tidak
boleh berbentuk mengelak tetapi hendaklah menjawab perkara isi.
Seksyen
66. Tuntutan balas
(1)
Tiap-tiap tuntutan balas hendaklah mengandungi perkara dan butir-butir yang
sama seperti pernyataan tuntutan dan hendaklah ditandatangani oleh defendan
atau Peguam Syarienya.
(2)
Tuntutan balas tidak boleh dibuat terhadap mana-mana orang yang pada ketika itu
bukan pihak dalam tindakan itu, tetapi jika suatu tindakan balas dibuat, suatu
perintah penyatuan boleh dibuat oleh Mahkamah.
Seksyen
67. Pembelaan terhadap tuntutan balas
(1)
Jika mana-mana defendan membuat tuntutan balas, plaintif hendaklah, jika dia
berhasrat hendak membuat pembelaan terhadap tuntutan balas itu, memfailkan dan
menyebabkan disampaikan kepada defendan suatu Pembelaan kepada tuntutan balas
itu dalam apa-apa tempoh masa yang diarahkan oleh Mahkamah.
(2)
Jika plaintif tidak mematuhi subseksyen (1), seksyen 16 hendaklah terpakai
seolah-olah plaintif ialah seorang defendan.
Seksyen
16. Tuntutan
atau Pembelaan lisan
(1) Walau apa pun apa-apa jua dalam
Enakmen ini, Mahkamah boleh, mengikut budi bicaranya, membenarkan apa-apa
tuntutan atau Pembelaan dibuat secara lisan:
Dengan
syarat bahawa dalam hal sedemikian Mahkamah hendaklah merekodkan butir-butir
tuntutan atau Pembelaan itu dengan mengambil kira kehendak Enakmen ini yang
berhubungan dengan saman atau permohonan, mengikut mana-mana yang berkenaan.
(2) Mahkamah hendaklah menyampaikan
satu salinan rekod yang dibuat di bawah subseksyen (1) kepada pihak yang
baginya butir-butir tuntutan atau Pembelaan itu, mengikut mana-mana yang
berkenaan, direkodkan.
(3) Apabila
dia menerima rekod yang tersebut dalam subseksyen (2), pihak yang kepadanya
rekod itu disampaikan hendaklah -
(a) memperakui
butir-butir yang terkandung dalamnya dengan menurunkan tandatangannya atau cap
ibu jari kanannya pada rekod itu;
(b) menyediakan
salinan yang mencukupi bagi rekod itu supaya satu salinan boleh disampaikan
kepada setiap pihak lain dalam prosiding itu; dan
(c) menyampaikan
satu salinan rekod itu kepada tiap-tiap pihak itu sekurang-kurangnya empat
belas hari sebelum hari kehadiran.
(4) Jika
Mahkamah membenarkan suatu tuntutan atau Pembelaan dibuat mengikut subseksyen
(1), maka Mahkamah hendaklah mengenakan apa-apa fi yang ditetapkan sebagai
tambahan kepada apa-apa fi lain yang kena dibayar di bawah Enakmen ini.
Seksyen
68. Pembelaan tawaran
Jika
suatu pembelaan tawaran sebelum tindakan dibangkitkan maka defendan hendaklah,
apabila memfailkan Pembelaannya, membayar ke dalam Mahkamah amaun yang
dikatakan telah ditawarkan itu.
Berikut pula ialah sinopsis ringkas beberapa kes
pilihan untuk menunjukkan pembelaan-pembelaan tertentu yang telah di gunakan
terhadap tuntutan mut’ah.
Dalam kes AHMAD
SHAH AHMAD TABRANI v NORHAYATI YUSOFF 18 [2004] 1 JH 33 isteri menuntut mut’ah sebanyak RM250,000.00 dari bekas
suaminya (Perayu/Defendan). Sebagai pembelaannya Suami mengatakan dan mendakwa bahawa
beliau telah membayar mut’ah sebanyak RM4,000.00 tetapi gagal membuktikan
pengataan dakwaannya itu. Isteri sebaliknya mengatakan bahawa bayaran
RM4,000.00 itu adalah dibayar sebagai nafkah anak. Suami membuat rayuan kerana
tidak berpuashati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang memutuskan
beliau dikehendaki membayar mut’ah sebanyak RM70,000.00.
Dalam kes ini diputuskan oleh Mahkamah Rayuan
Syariah Kelantan bahawa jumlah Mut'ah adalah sebanyak RM50,000.00 dan dibayar
secara ansuran RM1,000.00 sebulan. Oleh kerana jumlah RM4,000.00 yang dikatakan
telah dibayar sebagai mu’tah tidak mempunyai cukup bukti sokongan maka isteri dihukumkan
membuat sumpah menafikan ada menerima bayaran RM4,000.00 dan setelah itu
Defendan/Perayu bersumpah Rad dan dipotong jumlah RM4,000.00 dari jumlah
RM50,000.00 itu. Ini berdasarkan sebuah hadis riwayat al-Dar Qutni dan
al-Baihaqi:
‘bahawa Nabi s.a.w.
telah jalankan Yamin mardudah keatas Yang Mendakwa kerana Yang Kena Dakwa
apabila enggan bersumpah setelah diminta berbuat demikian ternyata kebenaran
yang mendakwa dan memihak kepadanya’.
Dalam kes HASNAH BINTI OMAR v OTHMAN BIN YA @
ZAKARIA - 26 [2008] 1 JH
43 isteri menuntut mut’ah sebanyak RM140,000.00 manakala suami menawarkan
sejumlah RM5,000.00. Tawaran ini dipanggil sebagai pembelaan tawaran hanya
sekiranya semasa memfailkan Pembelaannya, Defendan/suami membayar ke
dalam Mahkamah amaun yang dikatakan telah ditawarkan itu. Ini nampaknya tidak
dilakukan oleh suami. Dalam kes ini isteri tidak bersetuju dengan jumlah
tawaran suami itu. Maka kes dibicarakan dan Mahakamah Tinggi Syariah Kelantan
meluluskan jumlah mut’ah sebanyak RM10,000.00. isteri tidak berpuashati dan
merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan yang kemudiannya memerintahkan
bahawa jumlah mut’ah adalah sebanyak RM15,000.00 yang perlu dibayar dalam
tempoh 3 bulan dan jika gagal maka suami dihukumkan dibawah seksyen 133(1)
Undang-Undang keluarga Islam (Kelantan) 2002 untuk dipenjarakan selama 3 bulan.
Dalam kes NORANI BINTI ABD RAHMAN v MD TAIB BIN
HANAPI 17 [2004] 1 JH 27 isteri
menuntut bayaran mut’ah sebanyak RM30,000.00. Sebagai pembelaannya suami
mengatakan bahawa telah menyediakan sebuah kereta kancil kepada Plaintif dan
kos pembelian kereta itu yang telah dibayar oleh suami adalah melebihi
RM30,000.00. Diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu bahawa kereta
berkenaan adalah merupakan hibah dari suami/Defendan kepada isteri/Plaintif dan
bukannya pembayaran mut’ah. setelah meneliti keterangan yang ada Mahkamah
membenarkan tuntutan mut’ah setakat sebanyak RM3,500.00.
Kes NORANI BINTI ABD RAHMAN ini telah di ulas oleh
Dr Najibah Mohd Zin dalam Jurnal Hukum yang sama 17 [2004] 1 JH 123 di ms 125:
‘... Walaubagaimanapun,
isu ini lebih merupakan kepada pemilikan aset harta dalam perkahwinan atau apa
yang disifatkan sebagai harta perkahwinan yang boleh di bahagi mengikut kadar
sumbangan. Oleh kerana tidak ada tuntutan mengenai harta perkahwinan,
kemungkinan mahkamah memutuskan ianya hanyalah pemberian suami kepada isteri.’
Namun saya berpandangan bahawa kes ini seharusnya
diteruskan dengan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah kerana isu mengenai
pemberian samada sebagai pemberian hibah atau sebagai saguhati mut’ah adalah
hanya timbul atau di ambil kira menurut masa ketika ‘pemberian’ itu mula
berlaku atau berkuatkuasa. Jika pemberian itu berlaku sebelum perceraian maka
semestinya ia bukan pemberian mut’ah kerana isu bayaran mut’ah adalah hanya
terjadi selepas kejadian perceraian nikah berlaku. Jika pemberian itu terjadi
selepas perceraian maka ketika itu barulah timbul isu persoalan samada
pemberian itu adalah merupakan bayaran mut’ah atau hibah atau nafkah dan
sebagainya.
Jenis-Jenis Pliding Pembelaan
Dari perbincangan diatas dapat di rumuskan bahawa
pliding Pembelaan mempunyai beberapa jenis seperti berikut:
1.
Pembelaan kepada Pernyataan Tuntutan
Plaintif (oleh Defendan);
2.
Pembelaan kepada Pernyataan Tuntutan Plaintif beserta dengan Tuntutan Balas
Defendan (oleh Defendan);
3.
Pembelaan Kepada Tuntutan Balas Defendan
(oleh Plaintif);
4.
Pembelaan Lisan kepada Pernyataan
Tuntutan Plaintif (oleh Defendan);
5.
Pembelaan Lisan Kepada Tuntutan Balas
Defendan (oleh Plaintif);
6.
Pembelaan Dalam Bentuk Tawaran kepada Pernyataan Tuntutan Plaintif (oleh
Defendan).
Bentuk Pembelaan
Seksyen 65 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah
(Pahang) 2002 telah memperuntukkan bahawa setiap pliding Pembelaan hendaklah:
i.
ditandatangani oleh defendan atau Peguam
Syarienya;
ii.
sama ada mengaku atau menafikan tiap-tiap pengataan fakta yang material dalam pliding
tuntutan pihak lawannya. Penafian itu tidak boleh berbentuk mengelak tetapi
hendaklah menjawab perkara isi;
iii.
menyatakan dengan ringkas lagi padat apa-apa fakta baru yang dijadikan
sandaran oleh defendan sebagai pembelaan; dan
iv.
membangkitkan dengan ringkas lagi padat dan tanpa hujah apa-apa perkara
undang-undang yang perlu.
Berdasarkan peruntukan ini maka isu pembelaan
kepada tuntutan mut’ah atau tuntutan balas mut’ah adalah antaranya mengenai dan
terhadap isu-isu berikut:
a.
unsur-unsur atau rukun mut’ah;
b.
kelayakan membuat tuntutan mut’ah;
c.
hilang kelayakan atau gugurnya hak menuntut mut’ah;
d.
tempoh masa membuat tuntutan;
e.
set-off / pengenepian; dan
f.
kadar jumlah bayaran mut’ah.
Kesemua isu pembelaan tersebut telah di sentuh secara
langsung dan tidak langsung dalam posting-posting blog ini.
Dalam keadaan berikut
isteri tidak berhak mendapat muta'ah:
1. Jika isteri bersetuju dalam perjanjian yang
dibuat selepas perceraian bahawa dia tidak akan menuntut mut'ah daripada
suaminya.
2. Jika isteri telah
membuat perceraian secara tebus talaq atau menukarkan hak muta'ahnya sebagai
'iwad atau bayaran bagi tebus talaq.
3. Jika pembubaran
perkahwinan disebabkan oleh pernikahan fasid atau batil yang tidak sah.
4. Jika isteri diceraikan
sebelum disetubuhi tetapi telah dibayar kepadanya maskahwin (1/2 mahar
muthamma)
5. Jika perceraian berpunca daripada isteri kerana
isteri murtad, enggan memeluk Islam, isteri bertukar menjadi mahram suami
akibat susuan atau wati' syubhah.
6. Jika perceraian
disebabkan oleh kematian suami atau anggapan kematian (mafqud).
7. Isteri yang di ceraikan secara fasakh atas
keaiban pada dirinya atau suaminya.
8. Jika perceraian
berpunca daripada isteri melakukan zina atau khalwat.
Pliding Pembelaan kepada tuntutan Plaintif
Jika Defendan setelah diserahkan dengan suatu
pernyataan tuntutan dan beliau ingin membela prosiding itu, suatu pliding Pembelaan
(borang MS 16) hendaklah difailkan dan disampaikan kepada pihak yang menuntut
(Plaintif). Pliding ini hendaklah difailkan dalam tempoh tertentu menurut
seksyen 65 enakmen. Jika Defendan gagal memfailkan pliding Pembelaannya dalam
masa tempoh yang di tetapkan dalam Enakmen Tatacara Mal tersebut maka tempoh
lanjutan masa boleh di mohon kepada Mahkamah secara lisan atau bersurat. Namun
Mahkamah mempunyai budibicara samada mahu meneruskan perbicaraan tanpa pliding Pembelaan
di failkan ataupun memberi kebenarannya bergantung kepada keadilan kesemua
pihak yang terlibat.
Perenggan bernombor dalam pliding Pembelaan itu hendaklah selaras dengan perenggan bernombor dalam pernyataan tuntutan apabila menyangkal dakwaan tersebut.
Pliding Pembelaan hendaklah memasukkan butir-butir pembelaan yang positif dan termasuk maklumat yang cukup untuk memaklumkan kepada hakim dan pihak-pihak lain berkenaan sifat dan butiran pembelaan. Oleh itu langkah-langkah tertentu perlu di ambil sebelum pliding Pembelaan di sediakan dan di failkan serta di serahkan. Berikut ialah proses yang biasa di ambil oleh pihak Peguam Syarie. Maka pihak yang ingin mendapatkan khidmat Peguam Syarie untuk menyediakan Pliding Pembelaan dan mewakili beliau di Mahkamah perlulah memberi perhatian akan proses penyediaan Pembelaan. Ketelitian dan langkah tersebut amat penting di laksanakan agar pembelaan oleh pihak Defendan (Orang Yang Kena Dakwa) dapat di utarakan sepenuhnya semasa perbicaraan. Sekiranya keterangan atau fakta versi pembelaan tidak di kemukakan semasa di peringkat keterangan kes pihak Plaintif tetapi sebaliknya hanya di timbulkan oleh Defendan semasa kes Defendan maka keterangan sedemikian tidak boleh di kemukakan samasekali atas alasan ianya merupakan suatu kejutan di sisi istilah. Maka rugilah pembelaan. Ia tidak akan di dengar lagi kerana Plaintif tiada peluang ketika itu untuk mematahkan keterangan sedemikian. Plaintif tidak perlu atau di benarkan untuk di panggil semula memberi keterangan kerana jika di panggil maka saksi perlu di panggil untuk menyokong keterangan Plaintif di peringkat itu. Jika ia di benarkan maka kes akan menjadi tiada kesudahan. Begitu juga kesannya terhadap keterangan dalam bentuk dokumentari yang ingin dikemukakan oleh Defendan buat pertama kali semasa kes dalam peringkat pembelaan sedang berlangsung, keterangan sedemikian juga tidak dapat di kemukakan lagi. Maka seluruh keterangan fakta berbentuk lisan dan dokumentari perlu di berikan sepenuhnya kepada pengetahuan Peguam Defendan untuk di gambarkan di dalam pliding Pembelaan. Justeru itu proses dan langkah-langkah dalam penyediaan pliding Pembelaan perlu di ambil perhatian dan di laksanakan setepat yang mungkin.
Proses Untuk Menyediakan Pliding Pembelaan
(terhadap tuntutan mut’ah)
Secara ringkas berikut ialah langkah-langkah yang biasa
di ambil oleh Peguam Syarie apabila hendak menyediakan pliding Pembelaan
anakguamnya (istilah ‘anakguam’ ini juga di rujuk sebagai ‘klien’ iaitu
pelanggan kepada Peguam Syarie):
Langkah
1 : Mengumpul apa yang di perlukan untuk
prosiding tuntutan itu;
Langkah
2: Mencatat dalam diari akan tarikh untuk penyerahan dan pemfailan pliding Pembelaan;
Langkah
3 : Mengadakan temubual dengan klien;
Langkah
4 : Menganalisakan kes;
Langkah
5 : Menyediakan draf pliding Pembelaan;
Langkah
6 : Menyemak semula dan memuktamadkan draf pliding Pembelaan;
Langkah
7: Menyerahkan pliding Pembelaan kepada pihak lawan dan memfailkan pliding itu di Mahkamah;
Di samping itu pihak pembelaan perlu juga sentiasa
mengkaji serta merujuk kepada nas, sumber rujukan perpustakaan, statut/enakmen,
kaedah peraturan dan lain-lain yang berkaitan.
Langkah
1. Mengumpul apa yang di perlukan
Peguam akan mengumpulkan dokumen dan maklumat
seperti berikut dari kliennya dan dari sumbernya:
i.
salinan Saman dan pernyataan tuntutan
beserta lampirannya (jika ada);
ii. Nota hasil dari temubual dengan kliennya;
iii.
Salinan apa-apa dokumen dalam milikan dan kawalan klien, termasuk dokumen
perjanjian klien dengan pihak lawan, surat-menyurat, pengecualian, resit
bayaran, perintah mahkamah, dan lain-lain yang berkaitan.
Peguam juga akan mengumpulkan dan membuat rujukan
kepada perkara yang berkaitan yang terdapat dalam:
-
Enakmen Undang-Undang keluarga Islam
2005;
-
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah
2002;
- Enakmen Keterangan 2005;
-
Arahan Amalan dari Jabatan Kehakiman
Syariah Malaysia;
- Borang-borang yang terdapat dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah seperti berikut:
o Borang MS 1, Tajuk am Borang-borang;
o
Borang MS 2, Saman dan Pernyataan Tuntutan;
o
Borang MS 26, Afidavit Penyampaian;
o
Borang MS 27, Pengenalpastian Ekshibit;
o
Borang MS 16, pliding Pembelaan;
o
Borang MS 5, Wakalah Peguam Syarie;
o
Borang MS 16, Tuntutan Balas (Terhadap Pihak Plaintif);
-
Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam
1991; dan
- Duluan-duluan yang jelas, jika ada, dan
sumber-sumber perpustakaan sebagai bahan-bahan contoh dan rujukan nas.
Langkah
2: mencatat dalam diari akan tarikh untuk penyerahan dan pemfailan pliding Pembelaan
Peguam terlebih dahulu perlu menjalankan pencarian
konflik menggunakan nama semua pihak
untuk mengelak terdapatnya konflik kepentingan di antara Peguam dengan
mana-mana pihak di mana sekiranya terdapat konflik kepentingan beliau hendaklah
tidak mewakili sesiapa dalam prosiding itu, contohnya apabila beliau merupakan
saksi penting dalam kes prosiding itu.
Jika defendan itu diserahkan Saman maka beliau
bolehlah menyampaikan pliding Pembelaannya kepada Plaintif sebelum hari
kehadiran. Maka tarikh hari kehadiran hendaklah di catatkan dalam diari. Tarikh
hari kehadiran adalah merujuk kepada tarikh Defendan perlu hadir ke Mahkamah setelah
penyerahan Saman dan Pernyataan Tuntutan yang merupakan tarikh yang di nyatakan
di atas Saman tersebut. (Lihat seksyen 64 (1)(a) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah
Syariah). Seksyen 3 Enakmen menakrifkan ‘hari kehadiran’ sebagai:
‘hari yang ditetapkan dalam mana-mana saman atau
prosiding lain bagi kehadiran defendan atau mana-mana hari lain yang ditetapkan
untuk pendengaran apa-apa prosiding itu.’
Jika Defendan diberi tempoh lanjut oleh Mahkamah
di bawah seksyen 64 (2) Enakmen Tatacara Mal untuk menyerahkan dan memfailkan
Pembelaannya maka tarikh lanjutan tersebut hendaklah di catatkan dalam diari.
Langkah
3: Temubual klien
Di peringkat ini temubual dibuat untuk
tujuan-tujuan berikut:
• dapat berbincang dengan klien mengenai
kesemua dakwaan yang terkandung di dalam Pernyataan Tuntutan. Tujuannya adalah
untuk mendapatkan versi klien mengenai peristiwa-peristiwa, termasuk tarikh
yang berkaitan, lokasi, pihak-pihak dan lain-lain dokumen. Nota terperinci akan
di ambil sebagai hasil temubual;
• dapat membuat semakan dan membuat
salinan mana-mana dokumen yang berkaitan (dokumen-dokumen berbentuk bertulis
dan elektronik) dalam milikan dan kawalan klien, termasuk perjanjian,
surat-menyurat, e-mel, pengguguran hak, resit, perintah Mahkamah dan lain-lain
dokumen;
• dapat menasihati klien mengenai
kewajipan klien untuk memastikan bahawa semua dokumen yang berkaitan sentiasa
berada dalam kuasa, pemilikan atau kawalan klien, termasuk dokumen-dokumen
berbentuk elektronik;
• sejurus selepas temuduga tersebut, Peguam
dapat menyediakan memorandum untuk memfailkan ringkasan maklumat yang
diperolehi daripada klien menyatakan, antara lain, langkah-langkah seterusnya
yang akan diambil ke atas fail;
• dapat menyediakan dokumen wakalah Peguam Syarie dan merumuskan perbincangan
semasa temubual-klien serta mengenalpasti langkah-langkah seterusnya yang perlu
diambil. Juga dapat menyatakan kepada klien butiran mengenai tugas-tugas yang
perlu diambil oleh klien, dan termasuk tarikh tempohmasa perlu laksana;
• dapat dicatatkan mengenai tarikh yang
ditetapkan untuk dilaksanakan langkah-langkah tindakan lanjut.
Langkah 4: Menganalisa dan
mengkaji kes
Di peringkat ini Peguam akan mengambil tindakan
berikut:
• mengujudkan teori hipotesis kes ini
berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada klien. Hasilnya adalah Peguam
dapat mengenalpasti pembelaan yang mungkin ada terhadap dakwaan yang terkandung
di dalam pernyataan tuntutan;
• mengkaji pernyataan tuntutan dan pertimbangkan
samada diperlukan permintaan untuk butir-butir lanjut. Jika ya, perlu sediakan
dan sampaikan suatu surat permintaan bagi butir-butir lanjut. Jika plaintif
gagal untuk memberi butir-butir itu dalam masa tujuh hari dari tarikh
permintaan untuk butir-butir, Defendan melalui Peguamnya boleh memohon kepada
Mahkamah untuk memerintahkan Plaintif membekalkan butir-butir lanjut tersebut (seksyen
71 Enakmen Tatacara Mal). [Perkara ini akan di nyatakan di dalam siri yang akan
datang];
• sekiranya pernyataan tuntutan merujuk
kepada dokumen-dokumen tertentu, Peguam akan pertimbangkan samada
dokumen-dokumen ini perlu diperolehi menurut permintaan untuk memeriksa dokumen
(seksyen 85 dan 86 Enakmen Tatacara Mal);
• menjalankan penyelidikan undang-undang yang perlu untuk menganalisa pembelaan
yang mungkin ada dan kausa tindakan yang mungkin boleh digunakan sebagai
tuntutan balas, tuntutan-bersilang dan / atau tuntutan pihak ketiga. Sediakan
nota memo penyelidikan undang-undang agar penyelidikan undang-undang telah
siap-sedia serta dapat dikemaskini dan
untuk kegunaan dalam prosiding itu kelak;
•
menyediakan kronologi peristiwa dalam
bentuk nota ringkas, termasuk rujukan kepada dokumen utama;
• menyediakan ringkasan isi dokumen utama
yang boleh dikemaskini semasa kes berkembang.
Langkah 5: Menyediakan draf pliding
Pembelaan
Apabila mendarafkan pliding Pembelaan bertulis
Peguam akan:
• merujuk kepada contoh yang kukuh dan
sumber perpustakaan untuk bahan duluan yang akan membantu dalam proses
penggubalan / mendraf pliding Pembelaan;
• menyediakan tajuk umum (Borang MS 1) termasuk
nama Mahkamah yang berkenaan dan tajuk prosiding itu, nama penuh pihak-pihak
dan sifat apa mereka telah dinamakan sebagai pihak;
• menggunakan format Borang MS 16 sebagai
asas untuk pliding Pembelaan, tuntutan-bersilang atau tuntutan balas yang
digabungkan dengan pliding Pembelaan, dengan pindaan yang perlu kepada
kandungannya;
• menyatakan perkara yang berikut
dalam perenggan bernombor yang berturutan:
o setiap dakwaan yang terkandung dalam perenggan pernyataan tuntutan yang diakui Defendan;
o setiap dakwaan yang terkandung dalam
perenggan pernyataan tuntutan yang Defendan nafikan; dan
o setiap dakwaan yang terkandung dalam
perenggan pernyataan tuntutan yang mana Defendan tidak mempunyai pengetahuan;
• dalam baki perenggan bernombor berturutan
itu, menyatakan (dengan jelas dengan menggunakan bahasa yang jelas) mengenai apa-apa
fakta material yang disandarkan sebagai asas untuk pembelaan, tetapi bukannya
bukti/keterangan yang dengannya fakta-fakta
itu hendak dibuktikan (lihat seksyen 65 Enakmen Tatacara Mal);
•
sekiranya suatu tuntutan-bersilang atau tuntutan balas yang digabungkan dengan pliding
Pembelaan, taipkan tajuk yang berasingan untuk tuntutan-bersilang atau tuntutan
balas selepas bahagian pliding Pembelaan itu. Selepas tajuk itu barulah dinyatakan
dakwaan utama tuntutan-bersilang atau tuntutan balas tersebut dalam bentuk perenggan
bernombor yang berturutan;
• mempertimbangkan
menggunakan tajuk dan sub-tajuk, terutamanya terhadap dokumen yang panjang
kandungannya yang di rujuk dalam pliding itu. Satu jadual atau senarai mengenai
dokumen-dokumen yang di rujuk dalam pembelaan mungkin sesuai apabila sesuatu pernyataan
mengenai kandungan dokumen itu sangat panjang dan kompleks. Istilah yang
ditakrifkan akan digunakan di mana perlu;
•
jika
bantahan ingin dibuat kepada prosiding itu sebagai bantahan awal, Peguam
bolehlah memasukkan pengataan yang bermaksud sedemikian dalam pliding Pembelaan
sekiranya mahu. Namun kebiasaannya Peguam tidak memfailkan mahupun menyerahkan
pliding Pembelaan dalam situasi dimana Defendan ingin membangkitkan bantahan
awal kepada prosiding yang difailkan Plaintif, sebaliknya akan terus memfailkan
dan menyerahkan Notis Bantahan Awal secepat mungkin;
• memasukkan tarikh, nama serta alamat firma peguam yang mengendalikan fail (lihat
seksyen 40).
Langkah
6: Mengkaji semula dan memuktamadkan draf pliding Pembelaan
Setelah kesemua langkah di atas diambil maka
langkah seterusnya adalah Peguam Syarie kepada Defendan itu akan:
• berikan kliennya mengkaji semula pliding Pembelaan untuk melihat dan memastikan
pliding itu tidak mempunyai kesilapan, ketinggalan dan ketidaktepatan serta memastikan
semua fakta penting yang telah dimasukkan ke dalam pliding Pembelaan. Sekiranya
ada maka pembetulan akan di buat serta merta sehingga pliding itu tiada cacat
celanya;
• Peguam kemudiannya akan membuat apa-apa
semakan perlu dan dapatkan bantuan
(sekiranya ada) seseorang untuk menyemak ketepatan bahasa dan nahu pliding Pembelaan.
Setelah siap semakan sedemikian barulah pliding Pembelaan di muktamadkan dan di
jadikan dalam bentuk beberapa salinan sebanyak yang di perlukan beserta surat
litupnya untuk tujuan penyerahan dan pemfailan.
Langkah 7: Penyampaian pliding Pembelaan
Langkah terakhir ialah penyampaian dan pemfailan
pliding Pembelaan beserta bukti penyampaian (lihat kehendak seksyen 49, 43 dan 64
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002). Maka Defendan atau Peguam
Syarienya hendaklah:
• ingat bahawa istilah
"menyampaikan" dokumen adalah bermaksud penyerahan dan pemfailan
dokumen dengan bukti penyampaian;
•
memastikan bahawa satu salinan pliding Pembelaan
diserahkan kepada Plaintif atau Peguam Syarienya;
• memastikan bahawa terdapat bukti penyampaian pliding Pembelaan untuk difailkan dalam bentuk
suatu afidavit penyampaian;
•
memfailkan satu salinan pliding Pembelaan
dengan bukti penyampaian di Mahkamah di mana prosiding itu dimulakan;
· menyimpan
satu salinan pliding Pembelaan dan bukti penyampaian dalam fail dan sediakan
salinan yang sama untuk fail dan maklumat klien beliau;
•
Tambah satu lagi salinan pliding Pembelaan untuk brief pliding.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^