Sabtu, 29 Mac 2014

WAKALAH PEGUAM SYARIE – Siri 7 (Akhir)




Al-wakalah bi al-khusumah

Dalam mana-mana peringkat prosiding bermula dari peringkat pemfailan tuntutan mutaah oleh Plaintif serta pemfailan Pembelaan oleh Defendan sehinggalah kes selesai di putuskan secara muktamad (termasuk di peringkat Mahkamah Rayuan Syariah) pihak yang bertikai berhak untuk melantik Peguam Syarie pilihan masing-masing tanpa had bagi mewakili masing-masing pihak. Perlantikan wakilan inilah yang di istilahkan sebagai al-wakalah bi al khusumah. Dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 (Pahang) istilah ini hanya di sebut sebagai ‘Wakalah’ sahaja – lihat seksyen 34 hingga 39 Enakmen Tatacara tersebut yang telah di sentuh dalam siri yang lalu.

Prof. Dr Abd Karim Zaidan bukunya Nidzham al-Qada Fi al-Syariyyah al-Islamiyyah ada menulis mengenai perkara wakalah bi al-khusumah ini sebagai Perkara 192 hingga 196 dalam bab kedua fasal kedua perbahasan ketiga. Untuk tujuan posting ini elok rasanya di lampirkan terjemahan penulisan beliau mengenai wakalah bi al-khusumah sebagaimana yang di terjemahkan oleh Haji Mohd Saleh Bin Haji Ahmad ke dalam versi Bahasa Melayu (judul buku ‘Sistem Kehakiman Islam’, edisi 1 Pustaka Haji Abdul Majid, Batu Caves Selangor 2010)

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


192.
Siapakah Yang Akan Mengemukakan Dakwaan Kepada Hakim?

Pada prinsipnya pihak yang mendakwa akan mengemukakan dakwaannya kepada hakim, sekiranya dia memenuhi syarat-syarat yang diperlukan seorang pendakwa. Dalam erti kata lain, seorang pendakwa itu mestilah baligh, berakal, tidak dihjar (ditahan dari mengendalikan hartanya) kerana kebodohannya (safah) atau sebagainya.
         
Namun demikian pihak pendakwa (tuanpunya hak) boleh mewakilkan dakwaannya itu kepada orang lain sebagai menggantikan tempatnya untuk mengemukakan hujah dan dakwaannya kepada pihak hakim, pengganti atau wakil imi dinamakan “al-Wakil bi al-Khusumah”. Walaupun begitu pihak pendakwa yang ingin mewakilkan kepada orang yang mempunyai kelayakan yang sempurna (Kamil al-Ahliyyah). Tetapi jika sekiranya tuan punya hak itu tidak memenuhi kelayakan sebagai pendakwa, maka walinya yang syar’iy akan menggantikan tempatnya bagi menegakkan atau mengemukakan dakwaan.

193.
Wakil Untuk Mendakwa atau Melawan

Mewakilkan kepada orang lain untuk melakukan pendakwaan bagi mengemukakan hujah-hujah di hadapan hakim adalah harus hukumnya, sama ada wakil itu mengenakan upah atau tidak. Tetapi sekiranya tidak dikenakan upah oleh wakil tersebut, maka itu adalah merupakan ehsan dan makruf daripadanya. Walau bagaimanapun, wakil itu akan terikat dengan mandat tersebut dan berterusanlah wakalahnya itu.159
         
Para fuqaha mengatakan harus mewakilkan untuk mendakwa atau melawan (al-Wakalah bi al Khusumah) dalam erti kata lain, memandatkan kepada orang lain mendakwa atau melawan.
         
Dalam hal ini, al-Faqih al-Samnani berkata:

“Sesungguhnya apabila wakil itu sah pada pemandatannya, maka haruslah hakim mendengar dakwaannya dan dakwaan ke atasnya pada kes-kes yang sah dilantik orang lain mewakilinya, kerana Nabi Muhammad s.a.w. pernah mewakilkan ‘Umar bin Umaiyyah al-Dzamari dalam dalam perkahwinan Ummu Habibah binti Abi Sufian, maka ‘Umar menerima akad nikah bagi pihak Rasulullah s.a.w. Ini adalah menjadi amalan manusia di seluruh tempat”.160

194.
Wakil Mewakilkan Kepada Orang Lain
(Wakil Atas Wakil)

Seseorang wakil dalam satu-satu dakwaan tertentu dia tidak boleh mewakilkan kepada orang lain dalam kes-kes yang diwakilkan itu, kecuali sekiranya orang yang berwakil itu memberi mandat dan mengizinkan kepadanya untuk berbuat demikian atau wakil tersebut tidak dapat mengendalikan dan menguasai kes tersebut, sedangkan orang yang berwakil itu mengetahui hal ini.161

195.
Upah Mendakwa atau Melawan Secara
Berwakil (Upah Peguam)

Apa yang dimaksudkan dengan upah mendakwa atau melawan secara berwakil ialah orang yang mewakilkan itu menjanjikan upah tertentu kepada wakilnya. Misalnya, satu dinar akan diperoleh sekiranya dia berjaya dalam dakwaannya dan hakim memutuskan kemenangan kepada pihaknya. Wakil tidak berhak mendapat sebarang upah, sekiranya dia gagal atau tidak dapat mensabitkan suatu di dalam dakwaannya. Persoalannya di sini, sejauh manakah syarat ini harus diamalkan?
         
Para fuqaha tidak sependapat dalam hal ini, ada yang mengharuskan berdasarkan kepada persamaan dengan masalah memberi upah kepada doktor yang mana ia bergantung pada sembuhatau tidak sesuatu penyakit yang dirawatnya, sedangkan ia adalah harus hukumnya, begitu juga dalam memberi upah kepada wakil.

Walau bagaimanapun, menurut Imam Malik, hukumnya adalah makruh menurut satu riwayat dan dalam riwayat yang lain mengatakan beliau berpendapat ia adalah harus. Kemudian sahabat Imam Malik menerangkan sebab dikatakan makruh kerana perbicaraan di dalam dakwaan ini kadangkala panjang dan tidak tercapai tujuan orang yang mewakilkan memberi upah dan tugas wakil akan percuma sahaja tanpa ganjaran. Mereka yang mengatakan harus memberi upah kepada wakil ialah kerana darurat dan manusia sering berhajat kepada wakil.162

196.
Berakhirnya Mandat (Wakalah) Mendakwa
Atau Melawan

Mandat atau ‘Wakalah’ dakwaan akan berakhir dengan kematian orang yang berwakil atau orang yang diwakilkan kepadanya. Begitu juga sekiranya pihak wakil sendiri memecat dirinya atau dipecat oleh mereka yang berwakil atau telah menjadi baligh kanak-kanak yang diwakilinya ataupun kanak-kanak itu telah mati.
         
Ini apa yang dikatakan oleh al-Samnani.163 Tetapi ia memerlukan sedikit huraian dan penjelasan kerana berwakil untuk bertikai atau mendakwa sekiranya ia berkaitan dengan hak-hak wakil, seperti wakil untuk mendawa itu dengan bayaran, maka yang berwakil tidak mempunyai hak untuk memecat wakilnya melainkan ternyata terdapat penipuan oleh wakil itu sendiri.
         
Begitu juga apabila bersangkut paut dengan hak-hak orang lain dengan ‘Wakalah’ itu sendiri, maka orang yang mempunyai hak itu boleh melarang orang yang berwakil daripada memecat wakilnya. Demikian juga wakil tidak akan terpecat dengan sendirinya daripada ‘Wakalah’ disebabkan kematian yang berwakil, sedangkan dakwaan hampir selesai dan pihak hakim sudah hampir mencapai suatu keputusan, maka dalam keadaan demikian tidak harus bagi waris-waris pihak yang berwakil memecat wakilnya.164

NOTA KAKI

159 Ibn Farhun Jld. 2 hal. 156, 158
160 Ibid jld. 6 hal. 156 – 157 dan Raudzah al-Qadzah, jld. 1 hal. 181
161 Ibn Farhun, op cit, jld. 1 hal. 159
162 Ibid Jld. 1 hal. 158
163 Raudzah al-Qudzah, al-Samnani, jld. 1 hal. 181 – 182
164 Ibn Farhun, op cit jld. 1 hal. 155 – 156

BIBILIOGRAFI

-      FIQH MALIKIYYAH

Ibnu Farhun al-Maliki (wafat tahun 799H) Tabsirah Al-Hukkam Fi Usul al-Aqdziah Wa Manahij al-Ahkam.

-      FIQH AL-HANAFIYYAH

Al-Samnani, Al-Allamah Abu al-Qasim ‘Ali bin Muhammad Bin Ahmad (wafat tahun 499H) Raudzah al-Qudzah Wa Tariq al-Najah.


Nota: untuk melihat perbezaan pendapat atau persamaan antara 4 mazhab (Mazhab Hanafi, Maliki, Hambali dan Shafie bolehlah rujuk kitab karangan Abdul Rahman al-Jaziri yang berjudul Kitab al-Fiqh Ala Mazahib al-Arba’ah.Jld 3, Maktabah al-Tijariyyah, al-Kubra, Mesir.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Tiada ulasan:

Catat Ulasan