Berikut ialah senarai
dan nota ringkas antara beberapa kes rujukan/pilihan berkaitan tuntutan
mut’ah yang telah di putuskan di Mahkamah Syariah Malaysia dan di lapurkan di
dalam Jurnal Hukum JKSM dari tahun 1995 hingga 2011.
Siti Asiah binti Abdul Aziz v Abdul Ghafar
bin Hashim 10 [1995] 1 JH 27. Dalam kes
ini pasangan telah bercerai di Mahkamah Batu Pahat Johor. Plaintif/isteri
kemudiannya bermastautin di Negeri Sembilan dan failkan tuntutan nafkah anak
dan mut’ah di Seremban.
Mahkamah Rayuan Syariah putuskan bahawa Mahkamah Tinggi
Seremban mempunyai bidangkuasa mendengar kerana Plaintif bermastautin di Negeri
Sembilan.
Norizam binti Mohd. Lazim v Halim Azman
Haji Sulaiman 10 [1995] 1 JH
65. Pasangan dalam kes ini telah bercerai kerana isteri melanggar takliq.
Perkahwinan berjalan selama 5 tahun. Isteri kemudiannya membuat tuntutan nafkah
iddah, sewa tempat tinggal, nafkah tertunggak selama 36 bulan, mut’ah dan
hutang.
Terhadap tuntutan mut’ah Mahkamah Kadi Besar Kuala Lumpur
meluluskan mut’ah sekadar RM2,400.00 yang hendaklah dibayar secara ansuran
dalam masa 6 bulan.
Halim Azman v Norizan 10 [1996] 2 JH 247. Dalam kes ini isteri melanggar
syarat ta’liq dan suami mohon pengesahan cerai dari Mahkamah. Mahkamah putuskan
jatuh talaq. Kemudian isteri mohon nafkah iddah, sewa rumah semasa iddah,
nafkah tertunggak, mut’ah dan hutang
koperasi.
Mahkamah Kadi Besar meluluskan tuntutan Isteri.
Tengku Puteri Zainab v Dato Sri Mohd
Najib 12 [1998] 1 JH 1 Plaintif/Perayu
memohon Perintah Mahkamah agar Responden mengemukakan afidavit menyenaraikan
semua harta alih dan tak alih didalam
prosiding tuntutan mut’ah ini.
Diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur bahawa isu yang sepatutnya
adalah mengenai apa yang hendak/perlu dibuktikan dalam tuntutan mut’ahnya dan
bukan acara pembuktian.
Diputuskan juga bahawa
permohonan itu tiada kaitan dengan relif mut’ah yang dituntut maka rayuan
ditolak.
Hajah Ramlah binti Syarif v Nor Husin bin
Othman 13 [1999] 1 JH 103. Pasangan bercerai dengan
talaq tiga. Plaintif menuntut Mut’ah sebanyak RM500,000.00.
Diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang bahawa
tuntutan mut’ah sebanyak RM43,200.00 dibenarkan berdasarkan kiraan sebanyak ¼
dari nafkah RM800.00 atau 1/3 dari nafkah tempat tinggal RM600.00 x 216 bulan
[18 tahun kahwin] = RM43,200.00.
Rusiah binti Ismail v Mohd. Rafi
Heinges bin Abdullah 13 [1999] 2 JH
227 Pasangan bercerai dengan talaq satu. Plaintif menuntut antara lain bayaran
mut’ah sebanyak RM25,550.00 yang dikira pada kadar RM5.00 sehari.
Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan meluluskan
tuntuan mut’ah setakat sebanyak RM5,000.00 sahaja.
Serimah binti Abd. Rahim v Muhammad Hakimi
bin Marzuki 14 [2001] 1 JH 47. Dalam kes ini Defendan
berpendapatan kasar RM2,084.00 sebulan dan gaji bersihnya sebanyak RM1,825.00.
Plaintif menuntut bayaran mut’ah sebanyak RM4,000.00.
Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan memerintahkan
bayaran mut’ah sebanyak RM1,000.00 dan dibayar secara ansuran RM100.00 sebulan.
Joriah binti Doralim v Ibrahim bin
Mamat 14 [2001] 1 JH 89. Pemohon dalam kes ini selain menuntut
bayaran nafkah eddah ada juga menuntut bayaran mut’ah sebanyak RM5,000.00.
Diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka bahawa
tuntutan mut’ah ditolak kerana dalam catatan Sijil Daftar Cerai ada tertulis ‘tidak
menuntut’ maknanya sebagai persetujuan Plaintif tidak mahu menuntut.
Y.A.A.Datuk Hj Ibrahim Lembut dalam kes ini berkata:
Mengikut keterangan-keterangan ternyata perceraian bukan
dari sebab keaiban isteri atau fasakh isteri tetapi dari suami sendiri. Dengan talaq satu rajie. Oleh
itu pihak isteri berhak mendapat kedua-dua nafkah iaitu mutaah dan eddahnya.
Soalnya sekarang samada hak nafkah itu sudah terlupus kerana catatan ‘tidak
menuntut’ sepertimana yang tercatat dalam sijil daftar cerai bil. 66/97 muka
surat satu (1) IDP (Penentang) sebagai persetujuan. Dan Mahkamah tidak
teragak-agak, pembelaan berikut ialah res judicata, jika tdak dibuktikan
catatan ‘tidak menuntut’ membawa erti
‘bukan tidak mahu menuntut’.
Dari keterangan dan hujah Pemohon yang diperolehi
berkenaan catatan itu, Penentang selain menafikan ada keredaan dan mendakwa ini
adalah tuntutan baru, saya berpendapat samada keredaan telah berlaku atau tidak
atau tuntutan baru, yang perlu diberi perhatian dan pasti, Pemohon hendaklah
membuktikan catatan itu, telah memberi erti selain daripada tidak mahu
menuntut. Pemohon telah gagal membuktikannya. Mahkamah menolak kedua-dua
tuntutan nafkah [mutaah] dan eddah.
Azura binti Adna v Mohd Zulkefli bin Salleh 14 [2001] 2 JH 179. Dalam kes ini pasangan telah kahwin
di Selatan Thailand menggunakan wali am Narathiwat sedangkan wali mujbir (ayah
isteri masih hidup dan berada di
Terengganu. Kahwin lari. Siisteri kemudiannya diceraikan dengan lafaz cerai
diluar Mahkamah. Apabila membuat pengesahan kepada perceraian mereka di
Mahkamah Plaintif juga antara lain menuntut bayaran mut’ah sebanyak RM1,000.00.
defendan menwarkan bayaran sebanyak RM400.00. pendapatan suami adalah sebanyak
RM1,000.00 sebulan dan mempunyai isteri lain.
Mahkamah Rayuan Syariah mengiktiraf perkahwinan tersebut
walaupun tiada didaftarkan di Terengganu atas alasan ia sah disisi Hukum Syarak
dan seterusnya mengesahkan berlakunya perceraian kali kedua kepada pasangan ini.
Mengenai tuntutan mut’ah Mahkamah ini berkata:
Oleh yang demikian dalam mengira kadar mutaah yang patut dibayar Defendan
kepada Plaintif, Mahkamah menggunakan perkiraan seperti berikut: kadar yang
dituntut oleh Plaintif ditambah kepada kadar yang dipersetujui oleh Defendan,
kemudian dibahagi dua; (RM1,000.00 + RM400.00 = RM1,400/2 = RM700.00. Mahkamah
menentukan kadar mutaah yang kena dibayar oleh Defendan kepada Plaintif didalam
kes ini berjumlah RM700 sahaja.
Timah binti Sulaiman v Abdul Rahman bin Ayob 14 [2001] 2 JH 297. Dalam kes ini Plaintif menuntut
mutaah sebanyak RM100,800.00 berdasarkan kiraan pada kadar RM8.00 sehari elam
25 tahun umur perkahwinan.
Mahkamah Tinggi Syariah
Seremban berkata (ms 304):
Tetapi jika sekiranya pihak-pihak tidak bersefaham
tentang kadar mutaah tersebut, maka Kadi hendaklah menilaikan mengikut bahagian
yang ia berhak dengan mengambil kira kedudukan kewangan suami serta keturunan
dan sifat isteri.
Seterusnya Mahkamah ini berkata (ms 305):
Mutaah yang dituntut oleh Plaintif dengan kiraan sebanyak RM8.00 sehari
adalah terlalu tinggi dan tidak wajar. Walau bagaimanapun Mahkamah mengambil
kira keadaan Plaintif yang sekarang ini menumpang dirumah saudara khusus bagi
kes ini dapat diselesaikan dan akan merasa malu dan mungkin pula menerima
prasangka buruk dari masyarakat sekelilingnya. Untuk menghilangkan prasangka
buruk bahawa seseorang itu diceraikan bukanlah kerana keaiban yang ada pada
isteri yang lazimnya bergantung hidup kepada suami akan menghadapi kepayahan
untuk memulakan kehidupan bersendirian.
Keputusan
1.
Membenarkan tuntutan mutaah dengan kadar sebanyak satu pertiga (1/3) dari
tuntutan asal yang berjumlah RM100,800.00.
Sanisah binti Saad v Zulkifli bin
Abd. Ghani 15 [2002] 2 JH 197 isteri
yang diceraikan membuat bebarapa tuntutan di Mahkamah Rendah Syariah Butterworth.
Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan-tuntutan mengenai
hadhanah; nafkah anak; nafkah iddah; mut’ah; kereta proton saga; dan belanja
wang hantaran yang dipinjam kepada Defendan/suami adalah dibenarkkan. Mahkamah
hanya menolak tuntutan mengenai separuh elaun pertukaran tempat kerja.
NORANI BINTI ABD RAHMAN v MD TAIB BIN HANAPI 17 [2004] 1 JH 27 Dalam
kes ini Plaintif [isteri] menuntut bayaran mut'ah
sebanyak RM30,000.00. Defendan tidak bersetuju membayar mut'ah atas alasan
beliau ada menyediakan sebuah kereta kancil
kepada Plaintif. Kos kereta dibayar Defendan kecuali ada dua ansuran
tidak dibayar. Kos kereta adalah
melebihi RM30,000.00.
Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu
memutuskan bahawa kereta itu adalah pemberian masa hidup atau hibah dari
Defendan kepada Plaintif dan dengan itu
Mahkamah meneruskan dengan penilaian tuntutan serta penaksiran kadar mut'ah
yang dituntut Plaintif.
AHMAD SHAH
AHMAD TABRANI v NORHAYATI YUSOFF 18 [2004] 1 JH
33. Pasangan dalam kes ini berkahwin pada
1989 dan bercerai pada 2002. Mempunyai 2 orang anak. Suami adalah
Jurutera Perunding bergaji lebih RM16,000.00 sebulan, simpanan ASB RM75,000.00,
KWSP RM323,000.00, saham syarikat RM175,000.00 dan mempunyai sebuah rumah bernilai
RM400,000.00 yang disewakan sebanyak RM1,500.00 sebulan.
Mut'ah dituntut adalah sebanyak RM250,000.00. Perayu akui
bergaji hakiki RM9,000.00 dan telah bayar RM4,000.00 kepada isteri sebagai
mut'ah.
Mahkamah Tinggi Syariah hukumkan mut'ah sebanyak RM70,000.00.
Diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan bahawa
rayuan diterima. Kadar mut'ah adalah hanya sebanyak RM50,000.00 dan
diperintahkan dibayar secara ansuran RM1,000.00 sebulan. Jumlah RM4,000.00 yang
dikatakan telah dibayar adalah tidak cukup bukti. Maka isteri/Responden
dihukumkan membuat sumpah menafikan ada menerima bayaran RM4,000.00 dan setelah
itu suami/Perayu bersumpah Rad dan dipotong jumlah RM4,000.00 dari jumlah
RM50,000.00 itu.
IDA
HIDAYATI BINTI TAUFIQ v AHMAD SHUKRI BIN KASSIM 18 [2004] 2 JH 259. Pasangan bernikah pada 1993 dan bercerai pada 1998
[perkahwinan selama 5 tahun]. Mereka mempunyai seorang anak. Defendan
berpendapatan RM10,000.00 sebulan. Plaintif tuntut mut'ah RM144,000.00 dan
nafkah iddah RM6,317.40. Defendan tawarkan RM10,000.00 bayaran sepenuh kepada
tuntutan.
Mahkamah Tinggi Selangor meluluskan mut'ah sebanyak RM48,000.00.
Tuntutan Nafkah Idah sebanyak RM4,100.00 diluluskan.
NOORAINI
BINTI RASHID v HAMZAH BIN ZAINUDIN 18 [2004]
2 JH 279. Dalam kes ini isteri antara lain menuntut mut’ah sebanyak RM3 juta. Dakwaan
Defendan bahawa Plaintif isteri yang nusyuz tidak disokong dengan keterangan.
Adakah pengorbanan Plaintif berhenti kerja sebagai asas perkiraan kadar mut’ah.
Apakah kadar mut’ah yang wajar diterima.
Mahkamah Tinggi Syariah Perak memutuskan bahawa suami
hendaklah membayar mut’ah sebanyak RM810,000.00 dalam tempoh sebulan. Suami
juga diperintahkan membayar dalam tempoh
tersebut wang sebanyak RM396,066.00 sebagai gantian bayaran gaji dan kenaikan
gaji tahunan selepas perletakan jawatan Plaintif selama 22 tahun.
NORSIAH
BINTI ARSHAD v MARSUM BIN PAING 18 [2004] 2 JH
315. Kes ini adalah mengenai tuntutan mut’ah sebanyak RM500,000.00.
Diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Selangor bahawa kadar
yang dibenarkan adalah RM30,000.00. Asas taksiran dan kadarannya diterangkan
Mahkamah ini.
FARIDAH SULAIMAN v MOHD NOH OTHMAN 19 [2005] 1 JH 124.
Pasangan dalam kes ini berkahwin pada 05.12.1985 dan bercerai pada 18.09.1999
[selama 14 tahun]. Ada dua orang anak yang masing-masing berusia 10 tahun dan
16 tahun. Mut'ah dituntut sebanyak RM168,000.00.
Semasa dalam perkahwinan Defendan berpendapatan
RM10,000.00 sebulan. Setelah itu pada 2003 [4 tahun selepas bercerai] Defendan
bekerja sendiri dan pendapatannya adalah RM1,000.00 sebulan.
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengambil kira
pendapatan suami pada ketika perceraian berlaku yakni RM10,000.00 sebulan dan
memerintahkan mut'ah sebanyak RM10,000.00 dibayar dalam tempoh 2 bulan.
MURSHIDA MUSTAKIM v HASSIM ABDULLAH 19 [2005] 1 JH 143.
Pasangan berkahwin pada 03.01.1965 dan pada 07.04.1990 Defendan menceraikan
Plaintif/Perayu tanpa sebab yang munasabah diluar Mahkamah yang kemudiannya
didaftarkan di Mahkamah pada 24.11.1990 [kahwin selama 25 tahun]. Mut'ah
dituntut sebanyak RM200,000.00. Defendan mengatakan beliau sudah pencen dan
pendapatannya tidak tetap.
Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan kadar mut'ah sebanyak
RM20,000.00.
Mahkamah Rayuan Syariah apabila mendengar rayuan kes ini
telah memutuskan untuk tidak mahu mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi kerana
perbicaraan kes ini di Mahkamah Tinggi Syariah itu tiada terdapat cacat cela.
RAHIMA BINTI BABA v ABU HANIFAH BIN BACHIK 19 [2005] 1 JH
171. Apabila Plaintif menuntut fasakh suami memberi syarat untuk bercerai yang
antara lain bahawa Defendan tidak akan memberi nafkah iddah, mut'ah dan sebagainya. Syarat ini
diterima isteri dan mereka bercerai di Mahkamah Qadi.
Mahkamah Qadi meluluskan permohonan perceraian itu dengan
menambah bahawa atas persetujuan bersama Mahkamah Qadi meluluskan syarat-syarat
yang diberikan suami terhadap isteri dan penerimaannya diterima isteri. Antara
syarat-syarat yang ditetapkan atau dipersetujui itu adalah suami akan menceraikan
isteri dengan syarat suami tidak akan membayar nafkah iddah, mutaah dan
sebagainya.
Selepas perceraian itu Plaintif memfailkan tuntutan harta
sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah.
Mahkamah Tinggi Syariah telah menolak tuntutan itu kerana
Plaintif telah menggugurkan haknya keatas tuntutan itu sebagai syarat
perceraian. Tuntutan pemberian sebanyak RM10,000.00 juga ditolak kerana tiada
dalam pliding.
Plaintif kemudiannya merayu kepada Mahkamah Rayuan
Syariah.
Namun Mahkamah Rayuan Syariah Selangor mengekalkan
keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dan berkata:
Mengikut Wahbah Zuhaili dalam kitabnya al Fiqh al Islami
wa adillatuh Jilid 6 Dar al Fikr 1997 ms 4377-78 syarat pelepasan/ibrak
ada dua iaitu: perkara yang hendak diibrakkan adalah berupa hak dan bukan
barang; dan perkara yang hendak diibrakkan itu hendaklah wujud ketika ketika
ibra' dilakukan. Tiada syarat perkara yang hendak diibrakkan itu
diketahui/maklum kadar dan sifatnya.
... Setelah kami meneliti kami dapati hak Pemohon pada waktu itu adalah hak
yang sah untuk diibrakkan. ... Dalam hal ini kami dapati bahawa harta-harta
yang menjadi tuntutan Perayu adalah selari dengan definisi harta sepencarian
menurut seksyen 2 diatas. ...
Adapun hak-hak Perayu yang lain seperti nafkah iddah dan mut'ah adalah tidak sah diibrakkan
kerana hak-hak ini masih belum wujud sehinggalah jatuh talak. Oleh yang
demikian kami berpendapat hak-hak ini masih boleh dituntut oleh Perayu jika
ingin berbuat demikian.
Mengenai isu pemberian wang RM10,000.00 itu kami sependapat dengan YA Hakim
Mahkamah Tinggi Syariah bahawa setelah kami meneliti Rekod Rayuan kami dapati
tiada dalam tuntutan Pemohon. Oleh yang demikian kami berpendapat tiada hukuman
atau keputusan mengenainya.
NORMA @ NORMEK BINTI GHAZALI v MOHD ZAIN BIN ABDULLAH 19 [2005] 2 JH 278.
Pasangan berkahwin pada 29.04.1993 dengan mas kahwin RM5,000.00. mereka
bercerai pada 10.02.200 [selama 7 tahun]. Ada persetubuhan berlaku.
Mut'ah dituntut sebanyak RM50,000.00. Defendan bekas ahli
Parlimen Bachok dan pencennya RM2,400.00 sebulan. Plaintif adalah seorang
peniaga. Defendan membantah tuntutan dengan mengatakan bahawa Plaintif tidak
layak mendapat mut'ah kerana dia derhaka dan Defendan tidak mampu membayar
RM50,000.00 yang dituntut.
Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan mut'ah sebanyak
RM5,000.00. Perayu merayu.
Mahkamah Rayuan Kelantan memutuskan bahawa kadar mut'ah
RM10,000.00 dibayar secara beransur-ansur sebanyak RM500.00 sebulan.
BADARIAH HARON v IDRIS MAHMUD 20 [2005] 1 JH 57 – dari
headnote kes ini:
Tuntutan Mut’ah – sek. 58 Enakmen Undang – undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 – Tindakan
di luar aturan – Wakalah Peguam Syarie tidak sempurna dan tidak berlaku
mengikut undang– undang sek. 34(1)) Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah
Negeri Selangor Tahun 2003 – Bantahan Awal – mohon Mengenepikan
Permohonan – Arahan Amalan No 6 Tahun
2002 – Permohonan Dalam Prosiding – sek. 195 Enakmen Prosedur Mal Mahkamah
Syariah Negeri Selangor 2003. Bantahan awal ditolak.
ISMADI ISHAK v ZAINAB CHE AWANG 20 [2005] 1 JH 87. Dalam kes ini Plaintif menuntut mut’ah sebanyak
RM100,000.00. Defendan adalah seorang kontraktor berpendapatan antara
RM15,000.00 hingga RM20,000.00 sebulan.
Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan meluluskan jumlah mut’ah
RM15,000.00 yang dibayar 3 kali ansuran bulanan.
Rayuan Defendan ke Mahkamah Rayuan Syariah ditolak dan
keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan.
MOHD FARID ABDUL RAHMAN v RABIHAH KAMARUDIN 21 [2006] 1 JH 71.
Responden menuntut mut’ah sebanyak RM49,000.00.
Pendapatan kasar Perayu adalah RM18,000.00 sebulan. Mahkamah Rendah benarkan
mut’ah sebanyak RM30,000.00 dengan ansuran bulanan.dibenarkan dengan syarat
dipersetujui siisteri.
Mahkamah Tinggi Syariah menolah rayuan Defendan/Perayu
dan mengekalkan kadar mut’ah dan dipinda cara bayaran kepada ansuran bulanan
sebanyak RM500.00 setiap bulan selam 60 bulan mulai September 2005 hingga
selesai.
FARIDAH HANIM OMAR v ABD LATIF ASHAARI 22 [2006] 1 JH 27. Mut’ah dituntut sebanyak
RM20,000.00. Pendapatan bulanan Defendan Padalah sebanyak antara RM3,000.00 ke
RM5,000.00. pasangan mempunyai 3 orang anak.
Mahkamah Tinggi Syariah Selangor luluskan mut’ah sebanyak
RM5,000.00. juga diluluskan tuntutan hadhanah, nafkah anak, nafkah tertunggak
RM7,200.00 (yang dituntut adalah RM94,000.00);
HAFIZAH INDRA ABDULLAH v JAMALUDDIN EUSOFF 22 [2006] 1 JH 47. Tuntutan hadhanah atas 3 orang
anak; nafkah anak; nafkah eddah; mutaah; dan harta sepencarian. Perbicaraan
tanpa kehadiran Defendan namun saman sempurna.
Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang benarkan
tuntutan-tuntutan berikut:
1.
Hadhanah;
2.
Nafkah eddah RM1,500.00 [dari RM3,000.00];
3.
Nafkah anak 3 orang berjumlah RM500.00 mulai Ogos 2001;
4.
Tunggakan nafkah RM100.00 sebulan bersama nafkah anak;
5.
Mut’ah RM3,000.00 sebagaimana yang dituntut; dan
6.
Harta sepencarian sepertimana tuntutan.
TUKIMAH AHMAD v JAMALUDDIN AHMAD 22 [2006] 1 JH 109. Tuntutan Mut’ah adalah
sebanyak RM180,000-00 namun hanya dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor
sebanyak RM10,000.00. Plaintif/isteri gagal membawa bukti pendapatan Defendan.
Ini kerana penentuan kadar Mutaah adalah berdasarkan
kemampuan suami dan beban Pembuktian terletak pada Plaintif mengenai kemampuan
Defendan.
HAJI HASSAN ABDULLAH v NADIAH AHMAD 22 [2006] 2 JH 175. Dalam kes ini isteri/Responden
menuntut bayaran mut’ah dan Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan memerintahkan
Perayu membayar mut’ah sebanyak RM 50,000-00. Perayu adalah seorang wakil
rakyat ADUN berpendapatan tetap sebanyak RM4,150.00 sebulan. Perayu merayu.
Mahkamah Rayuan Syariah
mempertimbangkan untuk meminda kadar mut’ah dan memutuskan bahawa kadarnya
adalah sebanyak RM30,000.00 setelah Responden bersumpah. Perayu tidak hadir
semasa rayuan tetapi Peguamnya hadir.
NOOR LIZA H.A.LATIF v MOHAMMAD ASRI ISMAIL 22 [2006] 2 JH 191. Plaintif dalam kes ini
memfailkan Tuntutan hadhanah; Tuntutan Nafkah 2 orang Anak sebanyak RM500.00
setiap bulan; Tuntutan Mut’ah sebanyak RM8,000.00; Tuntutan Nafkah Eddah selama
5 bulan (sebulan RM500.00) berjumlah RM2,500.00. Perbicaraan tanpa kehadiran
Defendan.defendan adalah seorang guru.
Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang memerintahkan:
a.
Hadhanah diberi kepada Plaintif dan hak lawatan kepada Defendan;
b. Nafkah anak sebanyak RM350.00 sebulan mulai tarikh permohonan dan tunggakan nafkah
anak sebanyak RM9,100.00 dibayar secara ansuran bulanan RM100.00 bersama nafkah
anak;
c.
Mut’ah sebanyak RM4,000.00;
d.
Nafkah eddah berjumlah RM2,000.00;
e. Bayaran mut’ah dan eddah dibayar secara ansuran bulanan sekadar RM200.00
setiap bulan;
f. Semua pembayaran dibuat melalui potongan gajimajikan Defendan berjumlah
RM650.00 sebulan hingga selesai.
TUAN FARIZAH BINTI TUAN LUDIN v MOHD RAZUHAN BIN ABDUL
RAZAB 24 [2007] 2 JH 335.Plaintif/Perayu dalam kes ini membuat Tuntutan Mut’ah terhadap
bekas suaminya sebanyak RM250,000.00. Suami berpendapatan kasar RM5,390.00 dan
setelah potongan bulanan adalah RM1,563.00. Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan
mut’ah sebanyak RM7,000.00 yang perlu dibayar secara ansuran bulanan sebanyak
RM300.00. Plaintif tidak berpuashati dan mengemukakan rayuan terhadap keputusan
Mahkamah Tinggi Syariah tersebut.
Diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan bahawa
kadar mut’ah adalah RM15,000.00 dan dibayar secara 3 kali ansuran bulanan
sebanyak RM5,000.00 setiap satu.
Dikatakan oleh Mahkamah Rayuan Syariah setelah merujuk
kepada kitab I’anah al-Talibin yang bermaksud:
‘bayaran mut’ah wajib keatas suami yang telah menceraikan isterinya
setelah disetubuhi dimana perceraian itu bukan berpunca dari perbuatannya
(isteri) seperti isteri murtad atau difasakhkan nikah disebabkan keaiban suami
atau isteri’.
Yang dimaksud suami telah menceraikan isterinya itu ialah seperti
perceraian biasa sama ada persetujuan bersama atau sebagainya dan juga apa yang
dimaksud dengan perbuatan isteri disini ialah seperti isteri murtad atau dia
mohon fasakh nikahnya dengan sebab keaiban suami seperti suami gila atau mati
pucuk atau suami seorang yang papa dan sebagainya. Begitu juga jika difasakhkan
nikah oleh suami dengan sebab keaiban isteri seperti alat kelaminnya terdapat
ratak (ketumbuhan daging) atau qaran (ketumbuhan tulang).
HASNAH BINTI OMAR v OTHMAN BIN YA @ ZAKARIA 26 [2008] 1
JH 43. Perayu menuntut RM140,000.00
sebagai mut’ah Responden menawarkan RM5,000.00.
Mahkamah Tinggi membenarkan RM10,000.00 dibayar secara
ansuran bulanan RM300.00.
Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan memutuskan bahawa isteri
telah diceraikan tanpa sebab menasabah setelah hidup bersama selama 29 tahun
dan mendapat 10 anak. Perceraian cara biasa dan bukan isteri minta fasakh.
Fakta-fakta pertimbangan untut mendapat mut’ah serta kadar mut’ah diberikan
Mahkamah. Mut’ah diperintahkan sebanyak RM15,000.00 dibayar dalam tempoh 3
bulan.
SUYABAH BINTI JAAFAR v YAAKUB BIN MUHAMMAD 26 [2008] 1 JH 83.
Perayu menuntut RM500,000.00 sebagai mut’ah.
Mahkamah Tinggi Syariah hanya membenarkan bayaran mut’ah
sebanyak RM20,000.00.
Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan mendapati bahawa isteri
telah diceraikan tanpa sebab menasabah setelah hidup bersama selama 13 tahun
dan mendapat 4 anak. Perceraian cara biasa dan bukan isteri minta fasakh.
Fakta-fakta pertimbangan untut mendapat mut’ah serta kadar mut’ah diberikan
Mahkamah. Mut’ah diperintahkan sebanyak RM100,000.00.
ZAINON BINTI DORAMAN v HJ ABDUL RAHMAN MAHMUDA 26 [2008] 1 JH 117.
Plaintif menuntut RM300,000.00 sebagai mut’ah. Plaintif tidak mahu menuntut
harta sepencarian.
Mahkamah Tinggi Melaka membenarkan mut’ah sebanyak
RM140,000.00. Isteri telah diceraikan secara fasakh atas alasan Defendan tidak
menunaikan nafkah zahir. Mereka telah hidup bersama selama 40 tahun dan
mendapat 8 anak. Defendan mampu kerana banyak harta dibeli semasa perkahwinan
dan Plaintif tidak mahu menuntut harta sepencarian. Anak pasangan ini sanggup
membeli sebuah rumah kepunyaan Defendan sebanyak RM280,000.00. Nahkamah
memerintahkan bahawa dari hasil jualan itu sejumlah RM140,000.00 dibayar kepada
Plaintif sebagai mut’ah dan baki RM140,000.00 kepada Defendan.
JOAN MARY SULAIMAN @ JOANNAH MARIAM v SULAIMAN BIN HAJI
MUSA 27 [2009] 2 JH 213. Kes ini telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.
Semasa perceraian tiada perintah nafkah dibuat. Plaintif
kini menuntut nafkah tertunggak sejak tahun 2002 hingga tahun 2003 selama 12
tahun berjumlah RM288,000.00.
Pada tahun 2004 Plaintif ada memfailkan dua kes mal
terhadap Defendan yakni tuntutan harta sepencarian dan mut'ah. Pada 16.02.2006 perintah persetujuan dimasukkan yang antara
lain mempersetujui bahawa kedua-dua pihak tidak akan mendakwa-dakwi antara satu
sama lain berkaitan keseluruhan hak-hak selepas perkahwinan dan perceraian.
Selain dari itu Plaintif memfailkan tuntutan nafkah
tertunggak ini pada tahun 2004 yakni sebelum Perintah persetujuan dalam kes
harta sepencarian dan mut'ah diatas dirakamkan. Namun hanya pada 10.10.2006 kes
tuntutan nafkah ini dapat dikemukakan kepada Hakim. Oleh kerana itu Mahkamah
mengatakan bahawa dakwaan yang sebenar hanya dibuat pada 10.10.2006.
Maka Mahkamah memutuskan bahawa pada 10.02.2006 Plaintif
telah melepaskan hak nafkah dirinya. Dengan adanya Perintah persetujuan
tersebut Plaintif telah melepaskan atau menggugurkan [ibraa'] hutang yang
ditanggung oleh Defendan. Dengan itu permohonan Defendan untuk dibatalkan keterangan
Plaintif dalam kes ini dibenarkan. Perbicaraan juga dibatalkan.
SURAIYA BT M SHAFIE v ABD SHUKOR BIN MOHD HASHIM 27 (2) 2009 JH 259. Pasangan ini
berkahwin selama 15 tahun dan dikurniakan 4 orang anak. Plaintif adalah pakar
mata dan Defendan adalah pakar tulang di Hospital yang sama. Pendapatan bulanan
Defendan adalah antara RM50,000.00 dan RM70,000.00 sebulan. Bahkan ada wang
simpanan sebanyak RM100,000.00. Plaintif menuntut RM500,000.00 manakala
Defendan menawarkan RM50,000.00 sebagai mut'ah.
Mahkamah Tinggi Syariah Seremban menetapkan kadar mut’ah
adalah sebanyak RM70,000.00 dan dibayar dalam tempoh 7 bulan.
MUSTAFA IBRAHIM v SARWARI AB
WAHID 28 [2009] 1 JH 45. Pasangan dalam kes ini telah berkahwin
selama 24 tahun dan mempunyai 4 orang anak.
Diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan bahawa
kadar mut’ah dikurangkan kepada RM 5,000.00.
SAMIAH YASMIN BINTI ABDUL KADIR v MUHAMMAD TAUFIK BIN
MOHD NOOR 28 [2009] 1 JH 91. Isteri failkan tindakan Saman
Penghutang Penghakiman. Fakta kes: Pada 06.10.06 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur
perintahkan suami membayar mut’ah sebanyak RM23,000.00. Suami Penghutang
Penghakiman tidak hadir di Mahkamah tetapi peguamnya hadir. Pada Disember 2006
Peguamnya memaklumkan mengenai Perintah
mut’ah tersebut kepada Penghutang Penghakiman. Tiada rayuan dibuat oleh Penghutang
Penghakiman. Kini Penghutang Penghakiman
mengatakan beliau tidak tahu akan perintah asal tersebut.
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memutuskan bahawa
Penghutang Penghakiman bertanggungan dan diperintahkan membayar secara
ansuran bulanan melalui potongan gaji.
SITI ROHANI BINTI HASHIM
v MOHD NIZAM ANDO BIN ABDULLAH 28 [2009] 1 JH 121. Penghakiman asal adalah hukuman persetujuan di Mahkamah
Rendah pada 25.10.00. Jumlah keseluruhan tunggakan adalah RM94,000.00. Saman
Penghutang Penghakiman difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur
namun isu bidangkuasa tidak dipertikaikan.
Permohonan Penghutang Penghakiman [suami] agar nafkah
anak dibayar kedalam akaun bank anak adalah ditolak Mahkamah.
Mahkamah juga menolak hujahan Penghutang Penghakiman
bahawa kemungkiran membayar nafkah anak adalah disebabkan Mahkamah Rendah tidak
menetapkan cara bayaran nafkah anak.
Mengenai tunggakan nafkah iddah dan mut’ah Penghutang Penghakiman mengatakan bahawa berdasarkan suatu
perjanjian bertulis perceraian pihak-pihak bertarikh 25.10.00, beliau telah
membayar RM65,000.00 bagi bayaran kereta estima, wang jualan tanah dan
pemberian sebuah kondo oleh Penghutang Penghakiman kepada Pemiutang Penghakiman
[isteri].
Mahkamah Tinggi Syariah berpendapat bahawa perjanjian
tersebut tidak menyatakan bahawa pemberian-pemberian itu adalah untuk nafkah
iddah ataupun mut’ah.
Setelah meneliti keupayaan Penghutang Penghakiman maka
beliau diperintahkan oleh Mahkamah untuk membayar kesemua jumlah tunggakan sebanyak
RM94,000.00 tersebut dalam tempohmasa 90 hari.
AMINAH BINTI MOKHTAR v
ZAKARIA BIN YAHYA 28 [2009] 2 JH 181. Plaintif
dan Defendan telah bernikah pada 11.06.1993 dan kemudiannya bercerai pada 13.02.1998.
mereka mempunyai seorang anak.
Tuntutan nafkah iddah sebanyak RM9,000.00 adalah dibenarkan
oleh Mahkamah kerana Plaintif tidak nusyuz semasa dalam tempoh iddah.
Mengenai tuntutan mut’ah Plaintif sebanyak RM200,000.00 Mahkamah
Tinggi Syariah Kuala Lumpur hanya meluluskan setakat sebanyak RM10,000.00
sahaja dan hendaklah dibayar penuh oleh Defendan dalam tempoh 6 bulan.
BABJI BABJAN v ZAINAB MOHD SALLEH 29 [2009] 2JH 175 Kes ini telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.
Plaintif dalam kes ini memfailkan permohonan untuk
mengubah Perintah/Perjanjian Persetujuan yang dirakam sebelum itu di Majlis
Sulh dan di rekodkan Mahkamah. Permohonan itu adalah terhadap Perintah mengenai
nafkah anak, hak jagaan dan muta’ah. Defendan membuat bantahan awal memohon
agar Mahkamah membatalkan permohonan-permohonan Plaintif tersebut.
Diputuskan oleh Mahkamah bahawa permohonan untuk mengubah
Perintah mengenai nafkah anak dan hak jagaan anak adalah boleh diteruskan
berdasarkan seksyen 76 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984.
Manakala bantahan awal terhadap pemfailan permohonan
untuk meminda perintah persetujuan mengenai bayaran mutaah sebanyak RM50,000.00
kepada RM20,000.00 adalah dibenarkan. Alasan Mahkamah adalah merujuk kepada
Arahan Amalan No. 5 tahun 2006; No. 11 tahun 2005 dan No. 15 tahun 2006.
Yang Arif Hakim berkata:
Tafsiran bagi maksud ‘tidak boleh ditarik balik dan tidak
boleh dirayu’ dalam Arahan Amalan No. 5 tahun 2006 ini juga perlu diperjelaskan,
iaitu mahkamah berpendapat bahawa kesan suatu perjanjian secara sulh bukan
sahaja tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu sahaja, malah turut
bermaksud bahawa tidak boleh dibuat pindaan tanpa persetujuan pihak yang satu
lagi dan tidak boleh diubah perintah tersebut tanpa mencapaipersetujuan ber
sama antara pihak-pihak.
...
Berdasarkan pemakaian Arahan Amalan No. 5 tahun 2006 ini,
... setiap perjanjian sulh yang dimaksudkan dalam Arahan Amalan juga membawa
maksud perjanjian bersama. Kedua-dua terma ini perlu dibaca bersama dan dengan
itu mana-mana perkara berkenaan persetujuan bersama turut disebut ‘dan/atau
sulh’. Contoh yang Mahkamah berikan ialah Arahan Amalan No. 11 tahun 2005, ...
Begitu juga dengan Arahan Amalan No. 15 tahun 2006:
Perjanjian-perjanjian persetujuan bersama atau perjanjian
semasa Majlis Sulh tidak boleh
menggugurkan hak-hak isteri yang belum disabitkan melalui talaq iaitu nafkah
iddah dan mut’ah dan hak anak iaitu hadhanah dan nafkah anak.
ZAHARAH
BINTI ALIAS v JEN (B) TAN SRI DATO ZAIN HASHIM 32 (2011) 2 JH 275. Terhadap tuntutan mutaah sebanyak RM1,000,000.00 dalam
kes ini Mahkamah Rayuan Syariah Selangor (ms 290 – 291) berkata:
29. Kami bersetuju dengan dengan penghakiman Y.A. Hakim
bahawa tafsiran mut’ah adalah merupakan
‘balasan khidmat/layanan isteri termasuk mengurus rumahtangga dan
anal-anak yang dicurahkan setiap hari sepanjang tempoh perkahwinan kepada
suaminya’. Hal ini diambil kira kerana Responden telah mempunyai kedudukan yang
tinggi dan dihormati oleh masyarakat sepanjang tempoh perkahwinan denga Perayu.
30. ... Kami juga bersetuju bahawa tempoh perkahwinan
Perayu dan Responden selama 34 tahun ... menjadi sandaran untuk meluluskan
pemberian mut’ah kepada Perayu. ...
31. Kadar RM200,000.00 yang telah ditetapkan oleh Y.A.
Hakim bukanlah suatu kadar yang terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi
berdasarkan kemampuan Responden yang mempunyai pendapatan RM11,500.00 setelah
ditolak tanggungan lain. Haruslah difahamai bahawa pembayaran mut’ah bukanlah bayaran bulanan
yang perlu bersandar kepada pendapatan bulanan. Hal yang perlu diberi penekanan
bahawa melalui wang tersebutlah Perayu akan memulakan penghidupan yang baru
tanpa bantuan Responden.
33. Kami bersetuju
bahawa dengan hujah Perayu bahawa Y.A. Hakim telah khilaf apabila tidak melihat
kepada status Perayu terutamanya apabila Perayu menjangkau umur 58 tahun dan
sehingga rayuan ini dibuat beliau telahpun menjangkau umur 72 tahun. Dalam
keadaan begini, Perayu sudah tidak mempunyai apa-apa kudrat untuk mendapatkan
pekerjaan bagi menafkahi dirinya sendiri.
Dengan itu Mahkamah Rayuan Syariah ini mengekalkan keputusan
Hakim Bicara yang memutuskan bahawa bayaran mut’ah adalah sebanyak
RM200,000.00.
NONY BINTI
ISMAIL & 1 lagi v ZUBIR BIN EMBONG 33 (2011) 1 JH 103. Dalam kes ini pasangan berkahwin
pada tahun 1993. Pada 08.06.1997 Responden/suami melafazkan cerai keatas isteri
diluar Mahkamah. Pada 22.11.1997 suatu Perjanjian Penyelesaian Perceraian
dimasuki oleh pasangan ini yang antara lain Responden bersetuju membayar
bayaran saguhati (mut’ah) sebanyak RM500,000.00 pada atau sebelum akhir tahun
1999.
Pada 07.03.1998 isteri failkan permohonan pengesahan
cerai diluar Mahkamah. Pada 28.06.1998 Mahkamah Rendah Syariah mensabitkan
perceraian tersebut dengan talaq satu kali pertama dijatuhkan.
Selepas pengesahan perceraian itu, pada tahun 2002 isteri
memfailkan tuntutan bayaran mut’ah sebanyak RM500,000.00 dan sebuah kenderaan
Mercedes C200 yang dikatakan telah dijanji secara lisan oleh suami.
Responden pertikaikan dan menuntut balas. Setelah tidak
berpuashati dengan penolakan tuntutannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah isteri
merayu ke Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu memerintahkan agar kes
dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi Syariah oleh Hakim yang lain kerana
didalam rekod Rayuan beberapa helai Nota Keterangan Hakim sebagai Catatan
Bicara telah hilang.