Penghinaan Mahkamah
Salah satu cara untuk menangani tindakan suami yang gagal
atau enggan atau cuai membayar mut’ah kepada isteri sebagaimana yang telah di
perintahkan oleh Mahkamah Syariah adalah melalui permohonan kepada Mahkamah
agar suatu prosiding penghinaan Mahkamah di jalankan di bawah seksyen 229
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002. Tindakan suami sedemikian itu di
sebut sebagai perlakuan penghinaan di luar Mahkamah (intihak al-mahkamah
ghair mubasyir) atau juga di
kenali sebagai ex-facie contempt of court di Mahkamah Sivil.
Seksyen 229 tersebut memperuntukkan:
Seksyen 229. Notis menunjukkan sebab.
(1) Mahkamah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk
memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah dan
boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama
tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi
dua ribu ringgit.
(2) Jika penghinaan dilakukan di dalam Mahkamah maka
tidaklah perlu bagi Mahkamah menyampaikan notis untuk menunjukkan sebab
tetapi Mahkamah hendaklah memastikan bahawa orang yang dikatakan melakukan
penghinaan itu faham tentang jenis kesalahan yang dikatakan yang dikatakan
terhadapnya dan diberi peluang untuk didengar untuk membela dirinya, dan
Mahkamah hendaklah membuat suatu rekod yang sepatutnya mengenai prosiding
itu.
(3) Dalam hal penghinaan yang dilakukan di luar
Mahkamah, notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau prosiding
tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan ke diri orang yang
dikatakan melakukan penghinaan itu.
|
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah tidak
memperuntukkan borang yang khusus untuk ‘Notis Menunjukkan Sebab’ itu. Juga
enakmen tidak memberi peruntukkan bagaimana permohonan perlu di buat agar Notis
tersebut di keluarkan oleh Mahkamah.
Arahan Amalan Mahkamah Syariah juga tidak memperincikan
mengenai hal ini melainkan memberi arahan terhadap perkara substantif
Penghinaan di Luar Mahkamah sahaja sebagaiman yang di nyatakan di dalam Arahan
Amalan No. 13 tahun 2004 yang berikut:
Arahan Amalan No.13 Tahun
2004
Penghinaan Di Luar Mahkamah
Saya ingin menarik perhatian Y.A.A kepada keputusan
Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil 1 Tahun 2004
pada 8-9hb Jun 2004 bersamaan 19 - 20 Rabiulakhir, 1425H di Subang Jaya,
Selangor telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan
berhubung prosedur dan carta aliran kerja kes Penghinaan Mahkamah adalah
seperti berikut:-
1.
Penghinaan
Di Luar Mahkamah
a.
Penghinaan
diluar Mahkamah termasuklah:-
i. Keengganan mematuhi apa-apa perintah yang
dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah; atau
ii. Mengeluarkan apa-apa kenyataan samada secara lisan
atau bertulis oleh mana-mana orang atau badan atau pertubuhan atau organisasi
yang adalah satu perbuatan menghina Mahkamah Syariah.
b. Prosiding Penghinaan di luar Mahkamah bolehlah
dimulakan oleh samada Pendakwa Syarie atau mana-mana orang yang
berkepentingan.
c. Mahkamah hendaklah mendaftar dan membicarakan
permohonan penghinaan mahkamah mengikut undang-undang yang diperuntukkan.
d. Jika Mahkamah berpuashati bahawa orang yang menghina
Mahkamah harus dikomitkan ke penjara, perintah pengkomitan ke penjara
hendaklah ditetapkan bahawa pesalah itu hendaklah dipenjarakan sehingga
pesalah itu membersihkan diri dari kesalahan penghinaan mahkamah itu dengan
meminta maaf tanpa syarat kepada Mahkamah dan orang lain yang ada kepentingan
dan juga mematuhi perintah Mahkamah yang diingkari atau memberhentikan
perbuatan lain yang menghina Mahkamah dan sekiranya pesalah gagal berbuat
demikian, pesalah akan dipenjara sehingga tempoh yang ditetapkan oleh
Mahkamah yang tidak melebihi had maksima penjara bagi kesalahan menghina
mahkamah.
e. Tiada apa-apa permohonan atau tuntutan dari orang
yang dituduh menghina mahkamah itu boleh didengar oleh Mahkamah selagi
perintah penghakiman terdahulu belum dipatuhi dengan sepenuhnya.
Arahan ini berkuatkuasa mulai 8 Jun 2004.
|
Saya mengambil pendekatan bahawa Permohonan dan Notis
Tunjuk Sebab itu perlu menggunakan Borang-Borang sepertimana yang di gunapakai
dalam perkara permohonan Notis Penghakiman kes Saman Penghutang Penghakiman di
bawah seksyen 179 dengan menggunakan Borang MS 44. Notis Penghakiman pula
menggunakan Borang MS 45 (lihat sekayen 180).
Seksyen 179. Permohonan untuk mendapatkan notis penghakiman
(1) Jika seseorang penghutang penghakiman tidak mematuhi mana-mana
perintah yang dibuat oleh Mahkamah terhadapnya di bawah seksyen 178,
pemiutang penghakiman boleh, melalui notis penghakiman, meminta penghutang
penghakiman itu hadir di Mahkamah untuk menunjukkan sebab mengapa dia tidak
patut dikomitkan ke penjara kerana keingkaran itu.
(2) Sesuatu permohonan untuk mendapatkan notis penghakiman di bawah
subseksyen (1) hendaklah dibuat dan diangkat sumpah oleh pemohon dalam Borang
MS 44.
|
JADUAL KETIGA - Borang MS
44
(Subseksyen 179 (2)) PERMOHONAN UNTUK MENDAPATKAN NOTIS PENGHAKIMAN (Tajuk Am) Saya .................................................... yang beralamat di ........................ plaintif (atau defendan) dan pemiutang penghakiman yang dinamakan di atas memohon supaya suatu notis penghakiman dikeluarkan terhadap penghutang penghakiman untuk menunjukkan sebab mengapa dia tidak patut dikomitkan ke penjara kerana ingkar membuat pembayaran.
(butir-butir penghakkiman
dan penghutang penghakiman)
(a) Nama dan alamat penuh penghutang penghakiman.
(b) Tarikh dan
butir-butir peirntah bagi pembayaran yang berkenaan dengannya kemungkiran
telah dilakukan.
(c) Jumlah amaun yang telah dibayar sejak
tarikh perintah itu.
(d) Jumlah wang atau ansuran yang
berkenaan dengannya kemungkiran telah dilakukan.
(e) Tarikh jumlah wang atau ansuran itu sepatutnya telah dibayar mengikut perintah itu.
(f) Pekerjaan
penghutang, hal keadaan dan kemampuannya untuk membayar, setakat yang
diketahui oleh pemohon.
Bertarikh pada .......
haribulan ....................... 20 ......
.................................... Plaintif (atau Defendan) AFIDAVIT SOKONGAN Saya, ............................................................. pemiutang penghakiman yang dinamakan di atas bersumpah dan menyatakan:
Bahawa butir-butir yang
dinyatakan di atas adalah benar sepanjang yang saya ketahui dan percaya.
Diangkat sumpah (seperti
dalam Borang MS 26).
|
JADUAL KETIGA - Borang MS 45
(Subseksyen 180 (1))
NOTIS PENGHAKIMAN
(Tajuk Am)
Kepada penghutang penghakiman,
Ambil perhatian bahawa anda dikehendaki hadir di
Mahkamah ............. Syariah di ................... pada hari
................ pada ......... haribulan ........................ 20 ......
pukul .......... pagi/petang untuk menunjukkan sebab mengapa anda tidak patut
dikomitkan ke penjara kerana mengingkari perintah Mahkamah bertarikh
............ haribulan ................. 20 ....... iaitu kerana telah
melakukan kemungkiran dalam pembayaran ansuran ........................ yang
kena dibayar di bawah perintah itu (atau nyatakan perintah yang diingkari
atau yang tidak dipatuhi itu).
Bertarikh pada ......... haribulan ................. 20
....
Catatan No. ........ tahun 20 ......
Kerani
(Meterai) ................. Pendaftar |
Jika menurut seksyen 13 bentuk permohonan adalah
sepertimana borang MS 3:
Seksyen 13. Bentuk permohonan
(1) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan kemudian
daripada ini, tiap-tiap permohonan hendaklah dibuat melalui notis dalam
Borang MS 3 dan disokong dengan afidavit yang diangkat sumpah mengikut
Enakmen ini.
(2) Tiap-tiap permohonan hendaklah menyatakan dengan sepenuhnya
jenis perintah yang dipohon, dan megandungi fakta yang cukup terperinci untuk
menyokong permohonan itu, dan melainkan jika Mahkamah memerintahkan
selainnya, hendaklah disampaikan kepada semua pihak dan orang yang
berkepentingan dalamnya.
(3) Dalam sesuatu permohonan, penentang hendaklah
disebut sebagai responden.
|
Dengan yang demikian saya mencadangkan Permohonan dan
Notis Tunjuk Sebab adalah seperti berikut boleh di gunapakai:
DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI ...
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO:
-2014
ANTARA
... … PEMOHON
DAN
... ... RESPONDEN
PERMOHONAN UNTUK
MENDAPATKAN
NOTIS MENUNJUKKAN SEBAB
[Seksyen
229 (3) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002]
Saya ... [KPPN NO: ... ] Pemohon yang dinamakan di atas
yang beralamat di No. ...
memohon supaya suatu Notis Menunjukkan Sebab dikeluarkan terhadap Responden
untuk menunjukkan sebab mengapa tindakan/prosiding tidak boleh diambil
terhadapnya untuk suatu perintah pengkomitan kerana menghina Mahkamah.
BUTIR-BUTIR PERINTAH DAN RESPONDEN:
...
Perintah Mahkamah bertarikh ... yang memerintahkan
bahawa:
i.
Responden hendaklah membayar bayaran mut’ah
sebanyak RM ... kepada Pemohon kedalam akaun Pemohon di ... Berhad [No.
Akaun: ....].
Enggan dan/atau gagal membuat
sebarang bayaran mut’ah kepada Pemohon yang berjumlah sebanyak RM ... kedalam
akaun Pemohon di ... Berhad [No. Akaun: ....].
Serta-merta selepas tarikh
Perintah Penghakiman.
Bertarikh pada haribulan 2014.
........................................
Pemohon
PERMOHONAN UNTUK MENDAPATKAN NOTIS MENUNJUKKAN
SEBAB ini difailkan
oleh
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI ...
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO:
-2014
ANTARA
... … PEMOHON
DAN
...
...
RESPONDEN
AFIDAVIT SOKONGAN
Saya ... [KPPN NO: ... ] yang beralamat di No. ...
Pemohon yang dinamakan diatas bersumpah dan menyatakan:
bahawa butir-butir yang
dinyatakan didalam permohonan diatas adalah benar sepanjang yang saya ketahui
dan percaya.
Diangkat Sumpah oleh ...
)
di ) ......................................
pada
hb 2014 )
Dihadapan saya,
.......................................
Hakim / Pendaftar
PERMOHONAN UNTUK MENDAPATKAN NOTIS MENUNJUKKAN SEBAB ini difailkan oleh ...
****************
DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI ...
DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR MALAYSIA
KES MAL NO:
-2014
ANTARA
... … PEMOHON
DAN
...
...
RESPONDEN
NOTIS MENUNJUKKAN SEBAB
Kepada Responden:
...
Ambil perhatian bahawa anda dikehendaki hadir di
hadapan Mahkamah Rendah Syariah ... pada hari pada haribulan 2014 pukul pagi/petang untuk menunjukkan sebab mengapa
tindakan/prosiding tidak boleh
diambil terhadap anda untuk
suatu perintah pengkomitan kerana menghina Mahkamah apabila mengingkari
Perintah Mahkamah bertarikh ... iaitu kerana:
enggan dan gagal membuat
sebarang bayaran mut’ah kepada Pemohon yang berjumlah sebanyak RM ... kedalam
akaun Pemohon di ... Berhad [No. Akaun: ....].
Sesalinan Perintah tersebut dikepilkan disini.
Bertarikh pada
haribulan
2014.
............................
Hakim/Pendaftar
NOTIS MENUNJUKKAN SEBAB ini difailkan oleh ...
|
Panduan dari beberapa kes di Mahkamah Syariah yang telah
di putuskan.
Dalam kes NOR RELA BINTI
HAMZAH v MUSTAPA KAMAL BIN MOHD NASIR 29 (2009) 1 JH
43 di mukasurat 60 - 61 Mahkamah Tinggi Syariah Selangor menyatakan:
Apabila
Responden hadir pada hari yang ditetapkan aturan ini hendaklah dipatuhi iaitu Pertama,
berkaitan siapakah yang sebenarnya harus menjalankan pemeriksaan terhadap
Responden?
‘Seksyen
[229(3)] diatas tidak menyatakannya namun Mahkamah merujuk kepada kes Zainip
Binti Ahmad lwn Abdul Aziz Bin Hussain yang telah diputuskan pada 18hb Mei
2007, dimana Tuan Hakim Mohamed Fouzi Bin Mokhtar berpendapat bahawa Mahkamah
mempunyai kuasa untuk memeriksa Responden secara bersendirian tanpa memberi
ruang kepada Pemohon untuk memeriksa Responden berasaskan bahawa prosedur ini
sedikit unik dan berbeza dengan prosedur lain seperti Saman Penghutang
Penghakiman dan Notis Penghakiman. Oleh itu adalah lebih baik mahkamah
menggunakan prinsip ‘inquistorial’ iaitu mahkamah sendiri menyiasat dan
bukannya pihak-pihak walaupun jika pihak-pihak diwakili Peguam.
Walaubagaimanapun Mahkamah BOLEH memberi peluang kepada pihak-pihak terutamanya
yang diwakili Peguam Syarie sama ada untuk memeriksa atau membela diri
Responden sekiranya perlu. Dengan kata lain, ia adalah tertakluk kepada
BUDIBICARA Mahkamah yang mendengar kes tersebut.’
Dalam kes tersebut YA Hakim telah merujuk kepada kes ROSLAILI
BT ABDUL GHANI v AHMAD AZMAN BIN YAACOB
19 [2005] 2 JH 283 (suatu kes
yang di putuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam) yang mengatakan
bahawa:
‘...
6.
pada tarikh yang ditetapkan, Defendan
akan diperiksa oleh Mahkamah.
7.
sekiranya Tunjuk Sebab diterima dan
diputuskan oleh Mahkamah sebagai tidak menghina Mahkamah, Defendan dilepaskan.
8. sekiranya Mahkamah tidak menerima Tunjuk
Sebab berkenaan, Mahkamah perlu membuat hukuman di bawah seksyen 229 dan
Perintah Pengkomitan dikeluarkan sekiranya hukuman penjara dikenakan.
9. sekiranya pengkomitan berkenaan penghutang
penghakiman dan Defendan telah
dipenjarakan, penghutang boleh dilepaskan jika penenuaian hutang telah dibuat.’
Maka dengan itu dalam prosiding
Notis Tujuk Sebab, Mahkamah seharusnya mngambil pendekatan untuk melihat kepada
dua isu penting yang berikut:
(a)
Samada pelanggaran kepada Perintah telah berlaku; dan
(b)
Samada pelanggaran itu adalah terjumlah kepada penghinaan kepada
kredibiliti Mahkamah.
Dalam kes HASNAN BIN YUSOF v
YASMIN BT MOHD YACOB 25 [2008] 1 JH 89 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur
berkata bahawa persoalannya adalah :
‘(1)
samada Responden melakukan pelanggaran terhadap perintah yang dikeluarkan oleh
mahkamah pada 18hb Mei 2004;
(2)
Sekiranya perintah dilanggari, samada Mahkamah merasa terhina dengan
pelanggaran tersebut dan samada Responden telah berjaya atau berupaya memberi
sebab atau alasan yang wajar dan boleh diterima oleh Mahkamah supaya Responden
tidak dikenakan perintah pengkomitan atas kegagalan Responden mematuhi
perintah.’
Dalam kes HASNAN ini hak lawatan anak telah diberikan
kepada Pemohon tetapi setiap kali melawat anaknya beliau hanya dapat bermesra
dengan anak di hadapan pintu premis Responden yang dibatasi dengan jeriji
(grill). Beliau di bahagian luar pintu grill yang berkunci itu manakala anak berada
dalam rumah. Pemohon memohon tindakan pengkomitan (penghinaan mahkamah) diambil
keatas Responden kerana tidak memberikan hak lawatan sepenuhnya. Responden memberi
alasan bahawa beliau berbuat sedemikian
kerana Pemohon pernah melarikan anak itu semasa lawatan terdahulu. Mahkamah
menerima penjelasan Responden dan menolak permohonan Pemohon.
Dalam kes SALEH FEHED S.AL-ABDULWAHED v SHARIFAH
SORAYA BINTI SYED MAHMOOD 19 [2005] 2 JH 292 permohonan adalah dibuat di
bawah seksyen 229 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah. Tarikh sebutan kes
ditetapkan pada 08.01.2001 buat pertama kali. Kes itu kemudiannya ditangguhkan
beberapa kali kerana Notis Tunjuk sebab gagal diserahkan kepada Responden
kerana Responden telah lari meninggalkan Malaysia dan berada diluar negeri.
Waran tangkap yang dikeluarkan juga gagal dilaksanakan. Oleh kerana kegagalan
penyerahan notis tersebut maka pada 07.12.2004 Mahkamah Tinggi Syariah Shah
Alam berpendapat bahawa kes ini tidak wajar untuk diterskan lagi dan dengan itu
kes ini dibatalkan.
Dalam kes ROSLAILI BT ABDUL GHANI v AHMAD AZMAN BIN
YAACOB 19 [2005] 2 JH 283 Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam
setalah mendengar kesemua hujahan dari Pemohon dan Responden telah memutuskan
untuk menolak permohonan yang dibuat di bawah seksyen 229 Enakmen Tatacara Mal
Mahkamah Syariah kerana Perintah yang dikatakan telah dilanggari itu sendiri
adalah tidak jelas serta tidak lengkap dan mengelirukan pula. Mahkamah di m.s.
289 berkata:
‘Mahkamah
bersetuju dengan hujah Defendan mengatakan Perintah yang diperolehi oleh
Plaintif adalah tidak jelas kerana tidak dinyatakan tentang di mana dan
bagaimana serahan dan pengambilan anak-anak tersebut harus di buat.’
Jika prinsip kes Roslaili ini di gunapakai maka
permohonan penghinaan Mahkamah akan di tolak dan tidak di benarkan sekiranya Perintah
yang didasarkan kepada permohonan penghinaan di luar mahkamah itu sendiri tidak
jelas mengenai isu dakwaan apakah terma perintah yang dilanggari atau di
ingkari. Sebagai contoh, dalam kes pihak suami telah diberikan peluang untuk
membayar mut’ah itu secara ansuran atau bertempoh tetapi tiada di masukkan
dalam Perintah itu klausa untuk hak isteri menuntut seluruh amaun mut’ah yang tertunggak
dan belum tertunggak. Maka sekiranya berlaku kegagalan membayar mana-mana
ansuran, pihak isteri hanya boleh menunut tunggakan yang belum di bayar sahaja
dan bukan keseluruhan amaun mut’ah yang di hakimikan. Sekiranya isteri memohon perintah atau
sabitan penghinaan Mahkamah keatas keseluruhan amaun mut’ah dan bukannya
tunggakan ansuran maka permohonannya akan di tolak Mahkamah.
Dalam kes Haji Azman bin Abdul Talib v Suhaila binti Ibrahim 16 [2003] 2
JH 175 M ahkamah Tinggi Syariah Pahang telah membebaskan Responden dari tuduhan
menghina Mahkamah kerana Pemohon gagal membuktikan bahawa salinan Perintah Mahkamah
yang di katakan telah di ingkari itu telah di serahkan kepada Responden. Dalam
kes itu Perintah yang dikemukakan adalah
bukannya Perintah Bersih tetapi hanya Perintah Deraf tanpa tandatangan Hakim
ataupun Pendaftar. Mahkamah telah merujuk kepada seksyen 135 Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam 1987 sebagai peruntukan mengenai kesalahan
menghina Mahkamah.
Kes haji Azman ini di
putuskan sebelum Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah di gubal. Kini terdapat
peruntukan seksyen 135 dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002.
Berdasarkan seksyen 135(2)
Perintah mut’ah (umpamanya) tidak perlu diserahkan untuk membawa tindakan
penghinaan terhadap suami sekiranya semasa Perintah mengenai kefarduan membayar
jumlah mut’ah di putuskan oleh Hakim/Mahkamah si suami itu hadir di hadapan
mahkamah. Sekiranya beliau tidak hadir sedemikian maka jika prosiding
penghinaan Mahkamah ingin di ambil dengan jayanya maka:
i.
perintah mut’ah itu perlu diserahkan kepada
suami; dan
ii.
dalam
Perintah bermetrai itu perlu mengandungi indorsemen yang ditetapkan oleh
seksyen 135 (3).
Berikut ialah peruntukan
seksyen 135 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 dan Borang MS 28 sebagai
rujukan mudah.
Seksyen
135. Penghakiman, dsb. yang menghendaki perbuatan dilakukan; masa untuk
melakukannya
(1)
Tiap-tiap penghakiman atau perintah yang menghendaki mana-mana orang
melakukan apa-apa perbuatan, selain pembayaran wang, hendaklah menyatakan
masa yang dalamnya perbuatan itu hendaklah dilakukan, dan jika masa tidak
dinyatakan sedemikian, perbuatan itu hendaklah dilakukan dalam masa tujuh
hari dari tarikh penghakiman atau perintah itu.
(2) Jika
orang yang dikehendaki melakukan perbuatan itu hadir sendiri atau diwakili
oleh Peguam Syarienya semasa penghakiman atau perintah diberikan atau dibuat,
maka salinan penghakiman atau perintah itu tidaklah perlu disampaikan
kepadanya.
(3) Jika
orang yang dikehendaki melakukan perbuatan itu tidak hadir sendiri atau tidak
diwakili, tiada prosiding untuk penangkapan atau pengkomitannya boleh diambil
melainkan jika suatu salinan penghakiman atau perintah itu yang diendorskan
dengan notis dalam Borang MS 28, telah disampaikan kepadanya.
|
JADUAL
KETIGA - Borang MS 28
(Subseksyen
135 (3))
PERINTAH/PENGHAKIMAN
(Tajuk
Am)
(Nyatakan
Jenis Perintah/Penghakiman)
Bertarikh pada .... haribulan .......................20 ... .......................... Hakim/Pendaftar PENGENDORSAN Ambil perhatian bahawa, jika anda abai mematuhi perintah (atau penghakiman) ini, dalam masa yang dihadkan dalamnya, atau dalam masa empat hari selepas penyampaian perintah ini kepada anda, mengikut mana-mana yang terkemudian, maka anda melakukan suatu penghinaan Mahkamah dan dengan itu boleh dikomitkan ke penjara. |
Kes-kes di atas adalah sebagai panduan sahaja. Mahkamah
Rayuan Syariah dalam kes MAT GHANI
BIN ISMAIL v SAMSIYAH BT MANSOR 36 (2013) 2 JH 64 DI MS 68-69 berkata:
‘Pada
hemat kami keputusan Mahkamah Tinggi Syariah tidak wajar di jadikan sebagai
hujah dalam kes Mahkamah yang lebih tinggi (Mahkamah Rayuan Syariah) walaupun
keputusan tersebut betul. Oleh kerana itu kami hanya akan memberikan ulasan
terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Syariah sama ada prinsip-prinsip yang di tegaskan
dalam kes-kes tersebut mempunyai kesamaan dalam kes di hadapan kami ini,’
PENUTUP
Sebagai penutup
kita kongsi bersama artikal di bawah ini.
PENGHINAAN MAHKAMAH DI
MAHKAMAH SYARIAH
OLEH:
NIK MUHAMMAD NASRI BIN
NIK MALEK
Definisi Penghinaan Mahkamah
Bahasa: Beberapa perkataan Arab yang membawa maksud penghinaan:
Ihtiqar, idhdira, imtihan, intihakul hurmah,
istirdhal dan qillatul ihtiram. 1
Istilah: Penghinaan mahkamah bermaksud perlakuan tidak
menghormati mahkamah, hakim atau keputusan-keputusan mahkamah yang
berdasarkan hukum Islam. 2
Menurut pandangan Harith Suleiman
Faruqi, penghinaan mahkamah bermaksud ‘tiap-tiap perbuatan atau sikap cuai
yang bermaksud untuk menghina atau melemahkan perjalanan mahkamah, atau cuba
menyimpang daripada maksud asal mahkamah atau perintah mahkamah’. 3
Kesalahan penghinaan mahkamah ini boleh terjadi sama ada melalui perkataan
ataupun perbuatan. 4
Bentuk Penghinaan Mahkamah
Ia berlaku dalam dua bentuk, secara
langsung atau secara tidak langsung. 5 Penghinaan mahkamah
secara langsung ialah penghinaan yang dilakukan di hadapan hakim atau di
dalam mahkamah, di mana seseorang itu bertujuan untuk menyimpangkan maksud
atau tujuan mahkamah secara nyata dan keadaan tersebut dilihat sendiri oleh
hakim. Contoh kesalahan ini ialah mempersendakan hakim atau seseorang di
dalam mahkamah, meninggikan suara untuk mengganggu penumpuan hakim, menghina
hakim dan sebagainya. 6
Saksi juga boleh terlibat dalam
kesalahan menghina mahkamah secara langsung, seperti seseorang yang
diperintahkan oleh mahkamah untuk menjadi saksi tetapi dia enggan, sedangkan
kesaksian itu adalah wajib ke atasnya apabila diminta oleh hakim seperti yang
disebut di dalam surah al-Baqarah, ayat 282 atau saksi menjawab soalan dengan
nada yang menghina kehormatan mahkamah secara langsung.7
Penghinaan mahkamah secara tidak
langsung (intihak al-mahkamah ghair mubasyir) ialah penghinaan yang dilakukan
ketika tidak berada dalam kawasan premis mahkamah atau ketika tidak dilihat
oleh hakim. Sebagai contoh, ingkar terhadap perintah yang dikeluarkan oleh
mahkamah atau mempengaruhi seseorang supaya tidak mentaati hukuman yang telah
dijatuhkan oleh hakim dan sebagainya.8
Penghinaan Mahkamah Dalam Sejarah
Islam
Persoalan berkaitan dengah sejarah
penghinaan mahkamah di mahkamah syariah adalah sesuatu yang amat sukar untuk
dijejaki. Ini berikutan konsep berkaitan penghinaan mahkamah diambil daripada
sistem perundangan ciptaan manusia. Tidak keterlaluan jika diandaikan bahawa
konsep penghinaan mahkamah di mahkamah syariah adalah selaras dengan
pembentukan mahkamah itu sendiri.9 Dalam konteks Nabi
Muhammad sebagai hakim, berlaku penghinaan terhadap hukuman yang telah
dijatuhkan oleh Nabi.
Penghinaan mahkamah dalam
undang-undang Islam
Walaupun disebut di atas bahawa
konsep penghinaan mahkamah diambil daripada sistem perundangan ciptaan
manusia, namun dalam Islam kita boleh melihat beberapa bentuk kesalahan yang
boleh dikategorikan sebagai kesalahan menghina mahkamah. Contohnya: 1. Enggan
patuhi perintah hakim hadir ke mahkamah
Dalam Islam, ada beberapa cara
meminta seseorang hadir ke mahkamah: 10
i. Menggunakan
pegawai mahkamah.
ii. Menggunakan
surat perintah yang bercap mohor mahkamah dan dialamatkan kepada pihak yang
terlibat.
iii. Melalui pegawai mahkamah dengan
disertakan surat perintah mahkamah
Pihak yang diminta hadir ke mahkamah
mestilah menghadirkan diri ke mahkamah. Jika tidak, dianggap menghina
mahkamah dan melambatkan prosiding mahkamah. Jika tidak dapat hadir ke
mahkamah, alasan mesti diberi kepada hakim. Jika beliau seorang yang
dipercayai, surat alasan tidak memerlukan 2 saksi. Jika tidak, 2 saksi adil
diperlukan. Hal ini bagi mengelakkan pihak yang diminta hadir ke mahkamah itu
dianggap menghina mahkamah dan boleh dikeluarkan waran tangkap.
Peruntukan Undang-Undang Tentang
Penghinaan Mahkamah Syariah
Kebanyakan undang-undang bertulis
tentang mahkamah syariah di Malaysia memperuntukkan kepada mahkamah syariah
kuasa menghukum sesiapa yang melakukan kesalahan penghinaan mahkamah. Antara
undang-undang bertulis yang memberi kuasa ini ialah enakmen syariah, iaitu
Enakmen Prosedur Jenayah, Enakmen Prosedur Mal dan sebagainya bagi setiap
negeri.11
Seksyen 210 Enakmen Tatacara Jenayah
Syariah (Terengganu) 2001 memperuntukkan seperti berikut:
“Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa untuk menghukum
mana-mana orang yang melakukan suatu penghinaan Mahkamah dengan hukuman denda
yang tidak melebihi seratus ringgit.”
Sementara di Wilayah Persekutuan,
peruntukannya berbunyi:
Seksyen 205 Enakmen Kanun Prosedur
Jenayah Syariah 1991 (Selangor) memperuntukkan kuasa menghukum ke atas orang
yang melakukan kesalahan menghina mahkamah ini dengan hukuman yang agak berat
bagi mengingatkan mereka agar tidak lagi mengulangi kesalahan tersebut.12
Peruntukan tersebut berbunyi:
“Mana-mana mahkamah adalah mempunyai kuasa menghukum ke
atas sesiapa yang melakukan penghinaan terhadapnya dengan denda tidak
melebihi satu ribu ringgit atau penjara bagi satu tempoh tidak melebihi enam
bulan atau kedua-duanya sekali.”
Ini bermakna, mahkamah syariah juga
mempunyai kuasa untuk menghukum sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan
menghina mahkamah. Hukuman yang diperuntukkan itu adalah wajar bagi
mempertahankan kedudukan dan kemuliaan mahkamah syariah, hakimnya dan semua
yang terlibat dengan pentadbiran keadilan daripada dihina atau diaibkan oleh
mana-mana pihak.13
Jika dilihat kepada peruntukan
Seksyen 220, ia mempunyai dua subseksyen yang mirip kepada peruntukan
mahkamah awam. Dalam penghinaan mahkamah di mahkamah awam terdapat dua jenis
penghinaan terhadap mahkamah, iaitu ex-facie dan in-facie.
Begitu juga keadaannya dengan mahkamah syariah, pembahagiannya adalah sama,
terutama apabila merujuk kepada Subseksyen (1) dan (2) Seksyen 220 Enakmen
Kanun Prosedur Mal Syariah 1991 (Selangor). Subseksyen (1) merujuk kepada
penghinaan secara in-facie, manakala Subseksyen (2) yang mempunyai
tajuk kecil ‘Notis Menunjuk Sebab’ dalam Bahagian XXX (Penghinaan Mahkamah) memperuntukkan:
(1) Jika penghinaan dilakukan di
hadapan mahkamah, mahkamah tidak perlu memberi notis kepada pesalah itu
tetapi mahkamah hendaklah menentukan bahawa pesalah itu faham maksud
kesalahan yang ditohmahkan terhadapnya dan diberi peluang untuk membela
dirinya dan mahkamah hendaklah membuat catatan yang teratur mengenai prosiding.
(2) Dalam hal kes penghinaan mahkamah
yang lain, notis menunjuk sebab mengapa pesalah tidak harus dipenjarakan atau
didenda hendaklah disampaikan kepada pesalah sendiri.
Menurut sesetengah penulis
undang-undang, penghinaan mahkamah adalah suatu perbuatan salah yang serius,
kerana melibatkan nama baik satu institusi yang sepatutnya dihormati.14
Dalam sesetengah kes, hakim telah
mengenakan perintah penjara kepada mereka yang didapati menghina mahkamah.
Antaranya kes Kamariah Salim lwn Zulkifli Puteh 15 Kes
ini pada awalnya merupakan permohonan tuntutan fasakh daripada
pihak isteri (Kamariah Salim) kepada suaminya (Zulkifli Puteh). Pernyataan
pembelaan di pihak suami banyak mengandungi pernyataan yang menghina mahkamah
dan institusi kehakiman. Sepatutnya pernyataan pembelaan mengandungi jawapan
kepada tuntutan pihak isteri. Pada kali pertama, hakim memerintahkan supaya
pihak suami menarik balik pernyataan itu dan membuat jawapan tuntutan atau
jawapan pembelaan yang lain. Suami akur dengan perintah mahkamah. Kali kedua,
tiada perubahan yang berlaku dalam pernyataan pembelaan yang dibuat malahan
pernyataan penghinaan yang dibuat semakin berat sehingga menyatakan ‘hakim
syaitan.’.
Hakim kemudiannya mengarahkan
Zulkifli supaya berjumpa pakar psikiatrik bagi menganalisa keadaan mentalnya.
Tempoh masa yang diberikan adalah selama dua bulan. Selepas dua bulan,
laporan tentang keadaan mentalnya diperolehi dan ia menunjukkan keadaan
mental Zulkifli normal. Ini bermakna tindakan yang dibuat olehnya bukanlah
kerana dia mempunyai penyakit mental. Berdasarkan laporan perubatan dan
peluang yang diberikan, hakim telah mensabitkan kesalahan di bawah Seksyen
220 (1), iaitu penghinaan di dalam mahkamah dengan hukuman penjara selama
tiga (3) hari. Tempoh tiga hari diberikan atas alasan sekiranya suami
dipenjarakan terlalu lama dikhuatiri akan menimbulkan kemudaratan di pihak
isteri yang memohon tuntutan fasakh.
Jelas dalam kes ini, penghinaan yang
dilakukan adalah di dalam mahkamah, walaupun pihak dituntut diberi peluang
untuk menarik balik pernyataannya yang berunsur menghina mahkamah. Tindakan
atau pernyataan yang dinyatakan kepada hakim dikira terjumlah dalam
penghinaan di dalam mahkamah.16
Namun ada perbezaan peruntukan di
antara negeri-negeri berkenaan hukuman kepada mereka yang didapati menghina
mahkamah. Contohnya peruntukan di negeri Terengganu:
Walaupun prosedur tentang penghinaan
mahkamah diperuntukkan, garis panduan pelaksanaannya tidak wujud dalam
kes-kes yang pernah diputuskan di mahkamah syariah. Ini menyukarkan para
hakim membuat rujukan dalam penghakiman. Justru, hakim boleh membuat rujukan
kepada penghakiman daripada mahkamah awam setakat mana ia tidak bertentangan
dengan hukum syarak.
Sebagaimana dalam kes Kamariah Salim
lwn Zulkifli Puteh yang telah diputuskan, hakim merujuk kepada penghakiman
yang telah dibuat oleh YA Hakim Mohd Salleh Abas dalam kes Public
Prosecutor lwn Seeralan [1985] 2 MLJ 30. Dalam kes tersebut, YA
menggariskan beberapa panduan dalam prosedur penghinaan terhadap mahkamah di
mana ia berdasarkan jawapan kepada tiga soalan berikut:
(a) whether
or not in law criminal contempt has been committed in the face of the court
by the respondent by accusing the presiding magistrate in Port Dickson
Magistrate’s Court Inquest No. 47/1984 of being biased, unfair and prejudiced
and by refusing to leave the court when ordered to do so by the learned
magistrate;
(b) if the answer to question (a) is
in the affirmative, then whether it is right in law for the learned
magistrate in the circumstances of this case to exercise his power of
punishment for contempt of court summarily;
(c) if the answer to question (b) is
in the affirmative, then whether it is right in law for the learned Judge to
set aside the order of the learned magistrate committing the respondent for
contempt of court in chambers without giving due notice or the right to be
heard to the public prosecutor?
Dalam memberikan jawapan kepada
persoalan yang ditimbulkan itu, YA telah menggariskan beberapa panduan yang
boleh diikuti dalam membuat penghakiman tentang penghinaan mahkamah di dalam
mahkamah. Pada mulanya, ada juga hakim syarie kanan yang tidak senang hati
dengan tindakan membuat rujukan kepada mahkamah awam. Tetapi apa yang jelas
adalah rujukan kepada mahkamah awam tidak menjadi satu kesalahan kerana
selagi mana ia tidak bertentangan dengan hukum syarak, maka ia boleh diikuti
sebagaimana pengadaptasian prosedur daripada mahkamah awam ke mahkamah
syariah.
Seterusnya ialah kes Abdul Kadir
bin Geroh 17 yang merupakan keingkaran pihak suami membayar
tunggakan nafkah isteri dan anaknya sebanyak RM12,000.00. Si suami juga
didapati gagal untuk menyerahkan anaknya kepada jagaan si isteri sebagaimana
yang diperintahkan oleh mahkamah. Hal ini menunjukkan bahawa pihak suami
telah ingkar kepada perintah yang dibuat oleh mahkamah. Keingkaran dan
kegagalan suami ini didapati tergolong kepada penghinaan mahkamah di luar
mahkamah iaitu di bawah Seksyen 220 (2). Mahkamah memerintahkan hukuman
penjara selama 10 hari ke atas pihak suami. Kemudian, pihak suami, setelah
menjalani hukuman selama beberapa hari, telah berubah fikiran dan bersetuju
untuk menjelaskan bayaran tertunggak tersebut. Bayaran itu kemudiannya
dibayar beberapa hari kemudian.
Melihat kepada peruntukan Seksyen 221
yang dibaca bersama Seksyen 155 didapati bahawa perintah pelaksanaan perlu
diutamakan berbanding dengan hukuman penjara. Tetapi apa yang berlaku di
dalam kes yang telah diputuskan, hukuman penjara lebih diutamakan. Alasannya
ialah bayaran denda yang boleh dikenakan maksimumnya hanyalah RM5,000.00 dan
jumlah ini biasanya mampu dibayar berbanding hukuman penjara yang boleh
membuatkan seseorang itu berasa malu kerana ia membabitkan maruah diri. 18
Kesimpulan:
Konsep penghinaan Mahkamah Syariah
boleh diterima sebagai satu aspek penting dalam sistem Kehakiman Islam kini.
Ia penting supaya perlaksanaan peruntukan undang-undang berkaitan dapat
berjalan dengan adil, baik dan lancar. Mahkamah Syariah perlu kepada
‘ketahanan’ dan ‘kekuatan’ dalam melaksanakan keadilan kepada semua pihak. Justru,
konsep ini perlu diperkasa dan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak
berkuasa.
Nota kaki
1 Hasan S. Karami, 1970. Al-Manar: English-Arabic Dictionary. Longman,
Beirut: Librairie du Liban, hlm 131, Munir Baalbaki, Al-Mawrid: A Modern English-Arabic
Dictionary, Beirut: Dar al-Ilmi li al-Malayin, hlm 211
2 Munir Ba’albaki op.cit., hlm 211
3 Harith Suleiman Faruqi, 1991. Faruqi’s
Law Dictionary: English-Arabic. Beirut: Librairie du Liban, hlm. 162
4 Harith Suleiman Faruqi, op.cit.,
hlm 162
5 ibid
6 ibid
7 ibid
8 ibid
9 Abdul Basir Mohammad, op. cit. Penghinaan
Mahkamah di mahkamah Syariah dalam Tajul Aris Ahmad Bustami, Mohd Hisham Mohd
Kamal, Farid Sufian Shuaib Kaedah Perundangan, Bidangkuasa dan Tatacara
Mahkamah Syariah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2005 hlm 98
10 Al-Mawardi, 1972, Adab al-Qadhi, Baghdad: Matba’at al-Ayni, Jil 2 hlm 322
11 Lih. Seksyen
205 Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah 1991 (Selangor), Seksyen 220-224
Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah 1991 (Selangor) dan Seksyen 225 Enakmen
Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992
12 Abdul Basir Mohammad, op.cit., hlm 100
13 ibid
14 Abdul Basir Mohammad op.cit., hlm 101
15 Abdul Basir
Mohammad op.cit., hlm 102; Kes Mal 481/SA, maklumat daripada YA Tuan
Mohd Na’im bin Mokhtar, HMRS Petaling ketika itu.
16 Abdul Basir Mohammad, op.cit., hlm 102
17 Kes yang tidak dilaporkan. Maklumat daripada
YA Tuan Mohd Na’im bin Mokhtar, HMRS Petaling - ketika itu
18 Abdul Basir bin Mohamad, op.cit., hlm
103-104
Bibliografi:
Al-Mawardi, 1972. Adab al-Qadhi, Baghdad: Matba’at al-Ayni
Hasan S. Karami,
1970. Al-Manar:
English-Arabic Dictionary. Longman, Beirut: Librairie du Liban
Harith Suleiman
Faruqi, 1991. Faruqi’s Law Dictionary: English-Arabic. Beirut:
Librairie du Liban
Munir Ba’albaki
1977 Al-Mawrid A Modern English-Arabic Dictionary, Beirut: Dar al-Ilmi
li al-Malayin
Tajul Aris Ahmad
Bustami, Mohd Hisham Mohd Kamal, Farid Sufian Shuaib, 2005. Kaedah
Perundangan, Bidangkuasa dan Tatacara Mahkamah Syariah, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur
|