– penyerahan Notis Rayuan kepada Responden
Setelah Mahkamah membuat keputusannya terhadap tuntutan mut’ah yang di
bicarakannya mungkin ada pihak dalam prosidng itu tidak berpuashati samada dengan
keseluruhan ataupun sebahagian dari penghakiman / perintah keputusan Mahkamah
itu.
Di bawah Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 ada di nyatakan bahawa
sekiranya terdapat pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah yang
membicarakan kes atau tuntutan maka pihak itu mempunyai pilihan untuk membuat
rayuan kepada Mahkamah yang lebih tinggi dengan memfailkan suatu dokumen yang
di istilahkan sebagai Notis Rayuan, di Mahkamah yang membicarakan dalam tempoh
14 hari tarikh keputusan di umumkan oleh Mahkamah itu. Pihak yang merayu itu di
namakan sebagai Perayu dan pihak yang satu lagi di dalam prosiding rayuan itu
di namakan sebagai Responden.
Ini adalah kaedah am’ namun sekiranya ada sebab-sebab tertentu yang
menyebabkan Notis Rayuan tidak di failkan dalam tempoh 14 hari tersebut maka
pihak yang berhajat untuk merayu hendaklah terlebih dahulu memohon kebenaran
lanjutan masa (untuk pemfailan dan penyerahan notis rayuan) secara formal
kepada mahkamah yang akan mendengar rayuannya kelak dalam kadar segera dengan
memberikan alasan-alasan kelewatannya untuk memfailkan notis rayuannya serta
sebab-sebab yang patut kenapa lanjutan masa perlu di berikan. Begitu juga
keadaannya jika keputusan penghakiman di umumkan secara ex-parte yakni semasa ketidakhadirannya
di Mahkamah – lihat keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dalam kes
ABDUL KARIM BIN KALAPADATHIL KUTTY ALI v FARISYA BT MOIDEEN KUTTY 37 (2013) 2
JH 141.
Dalam kes ini Mahkamah Rayuan berkata bahawa permohonan lanjutan masa
itu adalah di bawah seksyen 238(1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah
Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 yang memperuntukkan:
Mahkamah boleh, atas apa-apa terma yang difikirkan adil melalui perintah,
melanjutkan atau memendekkan tempoh yang dalamnya seseorang dikehendakki atau
dibenarkan oleh Akta ini atau mana-mana penghakiman, perintah atau arahan untuk
melakukan apa-apa perbuatan dalam mana-mana prosiding.
Salah satu proses sebelum kes yang ingin dirayui tersebut dapat di dengar
meritnya di peringkat rayuan itu ialah Notis Rayuan itu hendaklah diserahkan
juga kepada pihak yang satu lagi ataupun di istilahkan sebagai Responden itu.
Posting kali ini ingin menyentuh mengenai isu penyerahan Notis Rayuan
kepada pihak Responden sebagaimana yang di putuskan dalam kes KRISNA
HADAJANI v AZIAN BINTI OMAR 37 (2013) 2 JH 229 sebuah keputusan Mahkamah
Rayuan Syariah Selangor yang di berikan pada 11.06.2013. Aspek yang di sentuh
adalah mengenai persoalan-persoalan berikut:
1.
Perlukah Notis Rayuan di serahkan kepada Responden dan
berapa lamakah tempoh yang di berikan untuk melaksanakannya;
2.
bolehkah Notis Rayuan di katakan telah di serahkan kepada
Responden jika hanya dengan memasukkan dokumen Notis Rayuan itu ke dalam peti
surat premis/rumah Responden atas alasan kerana Responden beliau tiada di alamat
itu ketika penyerahan Notis hendak di lakukan;
3.
bolehkah Notis Rayuan di sampaikan secara penyampaian
gantian seperti melalui tampalan, iklan dan sebagainya;
4.
perlukah Afidavit Penyampaian Notis Rayuan itu di failkan
di Mahkamah sebagai membolehkan Rayuan di dengar;
5.
adakah kegagalan memfailkan Afidavit Penyampaian
sedemikian akan menyebabkan Rayuan di batalkan oleh Pendaftar di bawah Arahan
Amalan No. 12 tahun 2004;
Walaupun Arahan Amalan No. 12 tahun 2004 adalah sebagaimana berikut sahaja
namun Arahan Amalan ini telah di perluaskan maksud pemakaiannya oleh kes KRISNA
HADAJANI v AZIAN BINTI OMAR ini. Maksud terma ‘rekodnya’ dalam para 1
Arahan Amalan tersebut nampaknya telah di jelaskan sebagai merangkumi ‘Afidavit
Penyampaian Notis Rayuan’ juga – lihat para 18 penghakiman.
Arahan Amalan
No.12 Tahun 2004
Tatacara
Penolakan Kes Rayuan Mal Yang Tidak Mengikut Aturan
Saya ingin menarik
perhatian Y.A.A kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah
seluruh Malaysia Bil 1 Tahun 2004 pada 8-9hb. Jun 2004 bersamaan 19 - 20
Rabiulakhir, 1425H di Subang Jaya, Selangor telah bersetuju dan mengesahkan
untuk menerima pakai arahan amalan berhubung tatacara penolakan kes rayuan
mal yang tidak mengikut aturan Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Tatacara
Mal Mahkamah Syariah Negeri-negeri adalah seperti berikut:-
1. Mahkamah bolehlah membatalkan sesuatu kes rayuan
yang mana rekodnya tidak dihantar seperti mana yang diperuntukkan di
dalam seksyen yang berkaitan setelah tamatnya tempoh yang ditetapkan di dalam
Undang-Undang yang berkenaan.
2. Sebelum melaksanakan tindakan di atas, mahkamah
hendaklah mengeluarkan notis tunjuk sebab mengapa kes rayuan ini tidak boleh
dibatalkan dalam masa 30 hari dari tarikh penerimaan notis.
3. Jika sesuatu notis tunjuk sebab tidak dijawab dalam
masa yang ditetapkan, Perayu hendaklah disifatkan sebagai tidak berminat
meneruskan rayuan dan Pendaftar hendaklah memanjangkan fail kes rayuan
tersebut kepada Hakim yang mendengar rayuan untuk mendapatkan perintah
pembatalan.
4. Pendaftar setelah mendapat perintah itu, hendaklah
memanjangkannya kepada pihak-pihak yang terlibat.
Arahan ini berkuatkuasa
mulai 8 Jun 2004
|
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Berikut ialah bahagian
tertentu dari Alasan Penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes KRISNA HADAJANI
v AZIAN BINTI OMAR 37 (2013) 2 JH 229:
Penyerahan
Notis Rayuan
[6] Kami dengan hormatnya merujuk
kepada peruntukkan yang dirujuk oleh pihak Responden iaitu subseksyen 139(8)
Enakmen Tatacara Mal 2003 yang memperuntukkan sebagaimana berikut:
‘Notis Rayuan hendaklah disampaikan oleh Perayu dalam
tempoh masa yang dihadkan bagi pemfailan rayuan kepada semua pihak yang
terlibat dengan rayuan itu atau kepada peguam syarie masing-masing.’
...
[8] Dalam Afidavit Responden beliau menyatakan tidak menerima
Notis Rayuan ini dalam tempoh yang ditetapkan oleh Enakmen tersebut. Manakala
dalam Hujah Jawapan Perayu, beliau menyatakan bahawa ia telah disampaikan
kepada Perayu pada 26/11/2010 (iaitu hari yang sama Notis Rayuan difailkan)
dengan cara meletakkan dalam Peti Surat rumah pihak Responden kerana
Responden tiada di rumah pada masa
penyampaian tersebut. Penyampaian
tersebut dinyatakan oleh pihak Perayu dibuat oleh Kerani Penghantar
Notis yang berkhidmat dengan Peguam Syarie Perayu dan beliau melampirkan
Afidavit Penyampaian tersebut di dalam
Hujah Jawapannya. Berhubung dengan penyampaian ini, pihak Responden dalam
hujahnya menyatakan bahawa beliau sama sekali tidak menerima atau melihat
apa-apa dokumen atau Notis yang dimasukkan ke dalam peti surat rumah beliau
dan hanya menyedari kewujudan prosiding rayuan melalui penerimaan Notis Bicara/Sebutan bertarikh 01/12/2011
dan Notis Tangguhan Bicara bertarikh 23/11/2011.
...
[11] Isu sama ada penyampaian Notis Rayuan dengan cara memasukkannya
ke dalam Peti Surat Responden sah menurut undang-undang? Pihak Responden
berhujah bahawa penyampaian tersebut menyalahi peruntukkan subseksyen 41 (1)
Enakmen Tatacara Mal 2003 yang menetapkan:-
“Tertakluk kepada bahagian ini, sesuatu
saman atau dokumen lain hendaklah disampaikan kediri dan
hendaklah dilaksanakan dengan menyerahkan saman atau dokumen lain itu, atau
dengan mengemukakannya untuk diperiksa dan menyerahkan satu salinan saman
atau dokumen lain itu, kepada orang yang kepadanya saman atau dokumen itu
hendaklah disampaikan.”
...
[13] Kami memahami bahawa frasa “dokumen lain” cuba ditafsirkan oleh
pihak Perayu sebagai dokumen permohonan sahaja. Pada pendapat kami analogi pihak Perayu bahawa
subseksyen 41 (1) tidak terpakai
kepada notis rayuan atas alasan ia tidak mempunyai meterai mahkamah
sebagaimana saman adalah jauh dari kebenaran kerana dalam kes
permohonan, ia juga tidak perlu kepada meterai mahkamah sebagaimana yang
dapat dilihat dalam Borang MS 3. Oleh itu tafsiran pihak Perayu bahawa “dokumen
lain” yang disebut di dalam subseksyen itu hendaklah yang bermeterai Mahkamah adalah tidak tepat. Malah tiada
apa-apa peruntukkan dalam Enakmen Tatacara Mal yang mengkhususkan penyampaian Kediri hanya kepada saman dan
permohonan. Oleh kerana itu kami berpendapat jika ada apa-apa dokumen
yang memerlukan penyampaian dibuat kepada pihak satu lagi,
maka seksyen 141 (1) itu terpakai. Dalam
kes notis rayuan, ia jelas dari peruntukkan seksyen 139 (8) Enakmen
Tatacara Mal bahawa notis rayuan perlu diserahkan kepada Responden.
[14] berdasarkan
hujah-hujah Perayu juga kami dapat memahami bahawa pihak Perayu menganggap
penyampaian Notis Rayuan tidak sepenting penyampaian dan notis permohonan
sehingga boleh meletakkannya dalam peti surat di alamat terakhir yang di
ketahui Responden tinggal. Kami berpendapat anggapan tersebut tidak tepat
kerana notis rayuan sama penting dengan saman dan permohonan bahkan ia lebih
penting apabila diteliti tujuan penyampaian tersebut, iaitu bagi membolehkan
pihak Responden memfailkan notis rayuan balas mengikut seksyen 140 Enakmen
Tatacara Mal 2003 yang menetapkan sebagaimana berikut:
“Seseorang responden dalam mana-mana rayuan boleh dalam
masa tujuh hari dari tarikh penyampaian notis rayuan itu kepadanya memfailkan
di mahkamah yang mendengar rayuan dan menyampaikan kepada perayu notis dalm
borang MS 31 tentang cadangannya untuk mengemukakan hujah pada pendengaran
rayuan itu bahawa keputusan yang dirayukan itu patut diubah.”
[15] Berdasarkan seksyen 140
itu, jelas bahawa pihak Responden boleh memfailkan rayuan balas dalam tempoh 7 hari dari tarikh penyampaian.
Tanpa mengetahui bila ia diserahkan, sudah
pasti menyebabkan Responden
terlepas peluang untuk memfailkan notis rayuan balas sebagaimana yang dihujahkan oleh
pihak Responden. Oleh kerana itu kami berpandangan penyampaian Kediri dalam
kes notis rayuan adalah amat penting
supaya pihak Responden dapat mengetahui bilakah tarikh terakhir beliau boleh
memfailkan notis rayuan balas. Kemungkinan untuk pihak Responden memfailkan notis rayuan balas wujud
memandangkan tuntutan balasnya ditolak oleh Mahkamah Bicara.
Apatah lagi Responden dalam hujahnya
menyatakan hak rayuan balasnya dinafikan kerana tidak menerima notis rayuan
tersebut dan hanya mengetahui adanya rayuan apabila menerima notis bicara
rayuan.
[16] Selain daripada itu cara penyampaian yang dibuat oleh pihak
Perayu adalah termasuk dalam
pengertian penyampaian ganti di bawah subseksyen 48 (1) Enakmen
Tatacara Mal yang mana ia hanya boleh
dibuat dengan kebenaran Mahkamah dan dalam kes ini tiada kebenaran sedemikian
diberikan.
[17] Oleh kerana itu kami berpendapat jika betul sekalipun wujudnya
penyampaian tersebut, namun ia suatu
penyampaian yang tidak sah dan kes rayuan pihak Perayu ini tidak boleh
diteruskan melainkan kecacatan yang menjejaskan keadilan tersebut diperbaiki.
Pada peringkat ini kecacatan tersebut tidak mampu dibaik pulih melainkan
pihak Perayu memohon pelanjuan
tempoh masa penyerahan notis rayuan kepada pihak Responden.
[18] Akhir sekali kami perlu memberikan panduan
disini bahawa apabila penyampaian notis rayuan kepada pihak Responden amat
penting, maka pihak pendaftar hendaklah memastikan Afidavit Penyampaian
secara Kediri atau Afidavit Penyampaian Ganti (setelah mendapat kebenaran
Mahkamah) difailkan. Jika tiada Afidavit Penyampaian, maka pihak Pendaftar
hendaklah mengguna pakai proses membatalkan rayuan yang ditetapkan oleh
Arahan Amalan No. 12 Tahun 2004. Pada pemerhatian kami Arahan Amalan tersebut
hanya diguna pakai terhadap kegagalan pemfailan Alasan Rayuan dan Rekod
Rayuan. Maka bermula hari ini Arahan Amalan itu juga hendaklah terpakai
kepada kegagalan memfailkan Afidavit Penyampaian Notis Rayuan yang
mana penyampaian tersebut hendaklah mengikut Enakmen Tatacara Mal.
|
Keputusan kes diatas ini adalah sebenarnya mengenai bantahan awal Responden
untuk Mahkamah Rayuan Syariah ini menolak serta membatalkan prosiding rayuan
Perayu atas alasan ketak-akuran prosedur. Jika dilihat kepada Alasan
Penghakiman tiada pula dinyatakan samada ketak-akuran yang berlaku
memprejudiskan Responden atau adalah amat fatal mahupun nas serta peruntukan
seksyen mana yang disandarkan oleh Mahkamah namun saya merasakan bahawa
Mahkamah mungkin mendasarkan antara lain kepada peruntukan tatacara mal
mengenai kesan ketakpatuhan demi untuk keadilan yang nyata dan tidak
semata-mata atas dasar teknikaliti/formaliti.
Mengenai kesan ketakpatuhan prosedur ini ianya telah di sentuh dalam
posting blog ini terdahulu. Berikut ialah keputusan Mahkamah Rayuan Syariah
tersebut yang membawa maksud seperti diatas.
Keputusan
SETELAH Kami meneliti Notis Permohonan, Afidavit Pemohon dan
setelah meneliti hujah-hujah kedua-dua belah pihak, MAKA kami sebulat suara
memutuskan:-
[1] Prosiding rayuan pihak Perayu hanya sah setakat pemfailan
Notis Rayuan dan segala dokumentasi lain yang difailkan oleh Perayu selepas
pemfailan Notis Rayuan adalah dibatalkan.
[2] Pihak Perayu boleh memfailkan permohonan melanjut tempoh
penyerahan Notis Rayuan kepada pihak Responden bagi membolehkan prosiding
rayuan disambung semula.
[3] Pihak Perayu diperintahkan membayar kos dalam kausa.
|
Jelaslah bahawa Bantahan Awal oleh Responden dalam kes ini tidaklah sampai dapat
membatalkan prosiding rayuan yang difailkan Perayu. Namun Responden dipampaskan
dengan kos dalam kausa yakni kos permohonan bantahan awalnya diperintahkan di tanggung
dan dibayar oleh Perayu kepada Responden sekiranya dalam prosiding rayuan
sebenar kelak Mahkamah menolak rayuan Perayu. Mengenai isu kos ini ada pihak
yang merasakan ianya hanya patut diperintahkan oleh Mahkamah hanya dalam
keadaan yang bertujuan menghukum (punitif) kerana Mahkamah Syariah adalah
tempat untuk mencari dan menegakkan keadilan serta hukum syarak. Apapun ia
adalah suatu persolan yang tidak berkaitan secara signifikan kepada tajuk
posting ini.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^