Posting hari
ini adalah merujuk kepada terjemahan
kitab karangan Wahbah al Zuhaili yang
berjudul FIQH & PERUNDANGAN ISLAM Jilid
VII – di mukasurat 400 – 409:
Makna
Mut’ah
Makna Mut’ah, kalimah Arab daripada perkataan mataa’ iaitu sesuatu yang bersedap-sedapan dengannya. Ia istilahkan
dengan empat makna:
1.
Mut’ah dan ini telah dijelaskan
dalam Bab Haji.
2.
Perkahwinan yang
bertempoh.
3.
Mut’ah
perempuan-perempuan yang diceraikan oleh suaminya dan ini akan dibincangkan di
sini.
4.
Perempuan yang
memberi suaminya bersedap-sedapan dengan hartanya mengikut adat kebiasaan yang
berlaku pada setengah negeri. Golongan Maliki berpendapat bahawa jika ia
merupakan syarat dalam ‘aqad, adalah tidak harus, tetapi jika ia dilakukan
dengan sukarela setelah sempurna ‘aqad adalah diharuskan.
Mut’ah
yang dimaksudkan dalam bahasan ini adalah pakaian atau harta yang diberi oleh
suami kepada isteri yang diceraikan sebagai tambahan ke atas mahar atau gantian
daripadanya sebagaimana perempuan menyerahkan perkahwinannya tanpa ditentukan
mahar, pemberian ini untuk menyenangkan hatinya dan sebagai ganjaran daripada
kepahitan perceraian.
Ulama’
Shafi’i mentakrifkan bahawa ia adalah harta yang wajib ke atas lelaki membayar
kepada isterinya yang diceraikan pada masa hidup dengan talaq dan sebagainya
dengan beberapa syarat yang akan diterangkan nanti. Manakala, ulama’ Maliki
mentakrifkannya dengan berbuat baik kepada isteri yag diceraikan ketika
perceraian mengikut kemampuan suami daripada segi hartanya tentang banyak dan
sedikit.
Hukum
Mut’ah.
Ada beberapa pendapat para fuqaha’ tentang hukum mut’ah:
Ulama’
Hanafi berpendapat bahawa mut’ah kadang-kadang wajib dan kadang-kadang sunat.
Wajib mut’ah pada dua jenis talaq;
1.
Talaq perempuan yang
menyerahkan nikah tafwid sebelum
setubuh atau disebutkan mahar dalam ‘aqad tetapi sebutan itu fasid, yakni talaq
yang berlaku sebelum suami isteri berkhalwat pada pernikahan yang tidak
disebutkan mahar dalam ‘aqad dan tidak ditentukan mahar selepas ‘aqad, atau
perkahwinan yang disebutkan mahar dalam ‘aqad tetapi sebutannya fasid. Ini mendapat kata sepakat si sisi
jumhur selain daripada ulama’ Maliki
kerana firman Allah S.A.W.:
Terjemahan:
Tidaklah kamu bersalah (dan tidaklah kamu menanggung bayaran mas kahwin) jika
kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan
mereka atau (sebelum) kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. Walaupun
demikian, hendaklah kamu memberi mut’ah (pemberian saguhati) kepada mereka
(yang diceraikan itu)...
(surah
al-baqarah2;236)
Dalam ayat ini menyuruh supaya memberi
mut’ah dan suruhan menunjukkan makna
wajib. Ini diperkuatkan lagi pada akhir ayat dengan firman Allah S.A.W.:
Terjemahan:...Menjadi
satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.
(surah
al-Baqarah 2:236)
Mut’ah
dalam hal ini adalah sebagai ganti daripada satu per dua mahar. Satu per dua
mahar adalah wajib dan ganti daripada wajib adalah wajib kerana ia mengambil
tempat wajib seperti tayamum ganti daripada wuduk.
2.
Talaq sebelum bersatu
dengan isteri pada perkahwinan yang tidak disebut mahar; ia hanya ditentukan selepas
‘aqad nikah pada pendapat Abu Hanifah dan Muhammad kerana firman Allah S.A.W.:
Terjemahan:
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan
perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu creaikanmereka sebelum kamu
menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang
‘iddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah “mut’ah” (pemberian
saguhati) kepada mereka,...
(surah
al-ahzab 33;49)
Dan ayat yang lepas;
Terjemahan:
..Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “mut’ah” (pemberian saguhati)
kepada mereka.
(surah
al-Baqarah 2:236)
Ayat yang pertama mewajibkan memberi mut’ah kepada perempuan pada semua
perceraian yang berlaku sebelum mereka (suami isteri) melakukan persetubuhan,
kemudian ayat itu dikhususkan bagi mereka yang menyebutkan mahar. Oleh itu,
kekal mut’ah perempuan yang
diceraikan suami tanpa disebutkan mahar baginya dalam ‘aqad dan ayat yang kedua
mewajibkan memberi mut’ah bagi mereka
yang tidak ditentukan mahar baginya dan ini bermakna penentuan dalam ‘aqad.
Pendapat
Abu Yusuf, Shafi’i dan Ahmad bahawa wajib diberi mut’ah bagi perempuan yang diceraikan suaminya sebelum berlaku
persetunuhan yang ditentukan mahar sama ada penentuan mahar itu di dalam aqad
atau selepas aqad kerana penentuan mahar selepas ‘aqad dibahagikan dua bila
berlaku perceraian sebelum bersatu, maka itu juga mahar yang ditentukan selepas
‘aqad.
Abu
Hanifa berpendapat bahawa adalah sunat memberi mut’ah dalam keadaan perceraian setelah suami isteri bersatu dan
perceraian sebelum bersatu pada perkahwinan yang tidak disebutkan mahar, kerana
mut’ahnya diwajibkan sebagai ganti daripada satu per dua mahar. Oleh itu,
apabila perempuan berhak mendapat mahar yang ditentukan (mahar musamma) atau mithli
selepas daripada bersatu dengan suaminya, maka ia tidak perlu lagi mendapat mut’ah. Ulama’ Shafi’i mewajibkan mut’ah pada perceraian (talaq) setelah
ia bersatu dengan suami kerana firman Allah S.A.W. :
Terjemahan:
Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat mut’ah (pemberian saguhati)
dengan cara yang patut, sdebagai satu tanggungan yang wajib atan orang-orang
yang taqwa.
(Surah
al_baqarah 2:241)
Kesimpulan:
Sunat diberi mut’ah di sisi ulama’
Hanafi kepada setiap perempuan yang diceraikan kecuali bagi perempuan yang
menyerahkan ini perkahwinannya (nikah
tafwid). Wajib diberi mut’ah
iaitu perempuan yang berkahwin tanpa mahar dan bercerai sebelum bersatu dengan
suaminya atau perkahwinan yang disebut mahar tetapi sebutannya atau penentuan
maharnya fasid atau ditentukan mahar
selepas ‘aqad.
Mazhab
Maliki berpendapat bahawa mut’ah
adalah sunat bagi semua perempuan yang diceraikan oleh suaminya kerana firmah
Allah S.A.W.:
Terjemahan:
.. sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.
(surah
al-Baqarah 2:241)
Dan firman-Nya:
Terjemahan:
... menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat demikian.
(surah
al-Baqarah 2:236)
Sesungguhnya Allah S.A.W. mengikat
suruhannya memberi mut’ah dengan
taqwa dan ihsan sedang perkara wajib tidak terikat dengan kedua-dua sifat itu.
Mereka
berpendapat bahawa perempuan yang diceraikan oleh suami ada tiga bahagian iaitu
perempuan yang diceraikan sebelum bersatu dengan suami dan sebelum ditentukan
maharnya, maka ia berhak mendapat mut’ah
dan tidak berhak mendapat sesuatu pun daripada mahar. Perempuan yang diceraikan
sebelum bersatu dengan suami dan setelah ditentukan maharnya, maka tidak ada mut’ah baginya. Manakala perempuan yang
diceraikan setelah bersatu dengan suami, sama ada sebelum ditentukan mahar
ataupun setelah ditentukannya, maka ia berhak mendapat mut’ah. Bagaimana pun tidak ada mut’ah
bagi perempuan pada setiap perceraian yang dipilih oleh perempuan, seperti
isteri kepada orang gila, orang berpenyakit sopak, orang mati pucuk dan tidak
ada mut’ah pada perceraian dengan
sebab fasakh, khulu’ dan li’an.
Pendapat
Mazhab Shafi’i adalah bertentangan dengan ulama’ Maliki iaitu mut’ah wajib bagi setiap perempuan yang
diceraikan suami sama ada perceraian itu sebelum bersatu dengan suami ataupun
selepasnya, kecuali bagi perempuan yang bercerai selepas bersatu dengan suami
dan maharnya telah ditentukan (mahar
masamma), ia berpada dengan mendapat satu per dua daripada maharnya. Oleh
itu, wajib mut’ah bagi isteri yang
diceraikan sebelum bersatu jika mahar tidak diwajibkan bahagi dua, dan wajib
juga mut’ah bagi perempuan yang
diceraikan suami setelah bersatu dengannya dan maharnya tidak disebutkan di
dalam ‘aqad, mengikut pendapat yang lebih zahir dan setiap perceraian yang
bukan sebab isteri seperti talaq perceraian berlaku dengan sebab suami seperti
murtad atau meli’ankan atau memeluk ugama Islam. Adapun perempuan yang wajib
baginya separuh mahar, maka baginya yang demikian. Manakala, perempuan yang
menyerahkan isi perkahwinannya (nikah
tafwid) dan tidak ditentukan maharnya, maka ia berhak mendapat mut’ah. Secara ringkas, ungkapan kata
mereka adalah bermaksud: “bagi perceraian ada mut’ah, kecuali perempuan yang telah ditentukan mahar baginya dan
perempuan yang diceraikan sebelum bersatu dengan suami, atau berlaku perceraian
dengan sebab perempuan, atau dengan sebab suami memberi milik talaq kepada
isteri kemudia isteri menjatuhkan talaqnya, atau suami mati, atau dengan sebab
suami meli’an dan mati pucuk dengan
sebab istei (yang menuntut fasakh).”
Dalil
mereka dengan firman Allah S.A.W.:
Terjemahan:
... Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “mut’ah,”(pemberian saguhati)
kepada mereka...
(surah
al-Baqarah 2:236)
Dan firman-Nya:
Terjemahan:
Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat mut’ah (pemberian saguhati)
dengan cara yang patut...
(surah
al Baqarah 2:241)
Sesungguhnya
Allah S.A.W. mewajibkan mut’ah bagi
setiap isteri yang telah diceraikan sama ada ia telah bersatu dengan suami ataupun
tidak dan sama ada ia telah ditentukan mahar ataupun tidak. Ini diperkuatkan
lagi dengan tawaran Nabi s.a.w. memberi mut’ah
kepada isteri-isteri Baginda s.a.w. sedang para isterinya telahpun bersatu
dengan Baginda s.a.w. Ini dapat di lihat pada firman Allah S.A.W.:
Terjemahan:
... katakanlah kepada isteri-isterimu: ‘sekiranya kamu semua mahukan kehidupan
dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah) maka marilah supaya aku
berikan kepada kamu pemberian mut’ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan
cara yang sebaik-baiknya.”
(surah
al-Ahzab 33:28)
Adapun sekiranya telah ditentukan
mahar bagi perempuan yang berkahwin secara penyerahan (tafwid) maharnya, maka tidak ada mut’ah baginya kerana suami tidak mengambil manfaat farajnya. Oleh
itu, memadai dibahagi dua mahar dan dia mengambil seperdua kerana dihubugkan
dengan talaq daripada segi kesedihan hatinya dengan sebab perpisahan.
Mazhab
Hanbali pada keseluruhannya bersependapat dengan Mazhab Hanafi iaitu mut’ah adalah wajib ke atas setiap suami
sama ada yang mendeka atau hamba, dan sama ada yang Muslim atau yang kafir dhimmi bagi setiap isteri yang
menyerahkan perkahwinan tentang maharnya, ia diceraikan sebelum bersatu dengan
suaminya dan sebelum ditentukan maharnya, berdalilkan ayat al-Quran yang tersebut
di atas:
Terjemahan:...
Walaupun demikian, kamu memberi “mut’ah”(pemberian saguhati) kepada mereka...
(surah
al-Baqarah 2:236)
Dan ini tidak bertentangan dengan
firman Allah S.A.W.:
Terjemahan:
..menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat demikian.
(surah
al-Baqarah 2:236)
Ini
kerana, menunaikan kewajipan adalah antara kebaikan, jadi tidak ada bagi
perempuan yang menyerahkan mahar perkahwinannya melainkan dengan mut’ah. Sunat diberi mut’ah di sisi ulama’ Hanbali kepada
setiap perempuan yang diceraikan yang bukan nikah tafwid, yang tidak ditentukan maharnya namun belum ditentukan mahar
kerana firman Allah S.A.W.:
Terjemahan:
Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat mut’ah (pemberian saguhati)
dengan cara yang patut,...
(surah
al-Baqarah 2:241)
Ini tidak diwajibkan kerana Allah
S.A.W membahagikan perempuan-perempuan yang diceraikan oleh suaminya kepada dua
bahagian. Allah S.A.W. mewajibkan mut’ah
bagi perempuan yang tidak ditentukan mahar baginya dan satu per dua daripada
mahar yang telah ditentukan baginya. Ini menunjukkan bahawa tiap-tiap bahagian
mempunyai hukum yang khusus baginya. Tidak ada mut’ah bagi perempuan yang kematian suami kerana nas (dalil) tidak
merangkuminya, mut’ah hanya mengenai
perempuan yang diceraikan oleh suaminya.
Kewajipan
mut’ah gugur pada semua tempat yang
digugurkan kesemua mahar seperti perempuan yang murtad dan perempuan yang
difasakhkan perkahwinan dengan sebab penyusuannya dan sebagainya kerana mut’ah menepati satu per dua mahar yang
telah ditentukan (mahar musamma).
Oleh itu, maka ia gugur pada semua tempat yang digugurkan mahar.
Wajib
bagi perempuan yang nikah tafwid pada
semua tempat yang perempuan berhak mendapat satu per dua daripada mahar musamma seperti suami murtad. Ini
berpandukan qiyas di atas talaq. Dan
tidak wajib mut’ah pada perpisahan
yang menggugurkan mahar musamma
seperti perceraian dengan sebab berlainan agama dan fasakh dengan sebab susuan, sekiranya ia datang daripada pihak
perempuan, kerana mut’ah menepati
satu per dua mahar musamma. Oleh itu
, mut’ah gugur pada tempat yang mahar
musamma gugur.
Perempuan
yang wajib baginya satu per dua daripada maharnya tidak wajib diberi mut’ah sama ada ada maharnya ditentukan
di dalam ‘aqad atau pun tidak tetapi ditentukan selepas ‘aqad. Ini sama dengan
pendapat jumhur selain daripada Abu
Hanifa dan Muhammad sebagaimana yang dijelaskan. Tidak wajib mut’ah bagi perempuan yang menyerahkan
untuk ditentukan maharnya, atau perempuan yang ditentukan mahar selepas ‘aqad
apabila berlaku perceraian setelah ia bersatu dengan suami. Namun sunat diberi mut’ah kepadanya dan disunatkan juga
bagi perempuan yang ditentukan maharnya yang fasid seperti menjadikan arak sebagai mahar, atau sesuatu yang majhul
dan ia diceraikan sebelum bersatu dengan suami.
Kesimpulan:
Mazhab Shafi’i mewajibkan mut’ah
kecuali bagi perempuan yang ditentukan maharnya di dalam ‘aqad bercerai sebelum
bersatu dengan suami. Bagaimana pun, jumhur
berpendapat sunat diberi mut’ah
kepadanya. Namun, ulama’ Maliki berpendapat adalah sunat diberi mut’ah kepada semua perempuan yang
diceraikan oleh suami, sementara ulama’ Hanafi dan Hanbali berpendapat sunat
diberi mut’ah kepada perempuan yang
diceraikan oleh suami, kecuali bagi perempuan yang nikah tafwid yang berkahwin tanpa ditentukan mahar. Pada zahirnya
pendapat ulama’ Shafi’i adalah lebih rajih,
kerana kekukuhan dalil mereka, di samping memujuk perasaan perempuan,
meringankan kepedihan perpisahan dan sebagai mengadakan dorongan untuk kembali
semula kepada ikatan perkahwinan jika ia bukan talaq ba’in kubra.
Kadar Mut’ah dan
Jenisnya.
Tidak
ada penentuan nas tentang mut’ah dan
jenisnya. Oleh itu, maka para fuqaha’
melakukan itjihad mengenai dengan
kadarnya.
Ulama’
Hanafi menetapkan bahawa mut’ah
merupakan tiga pakaian: pakaian basah, kain tudung kepala dan pakaian yang
menutup kepala hingga ke kaki (milhafah)
kerana firman Allah S.A.W.:
Terjemahan:
... Sebagai pemberian sagu hati menurut yang patut lagi menjadi satu kewaipan
atas orang-orang (yang mahu) berbuat demikian...
(surah
al-Baqarah 2:236)
Kalimah
mata’ adalah nama bagi persamaan pada ‘uruf kerana bagi mewajibkan
pakaian-pakaian yang sama pada kaedah-kaedah syara’ ada tiga iaitu pakaian yang
wajib baginya dan pada masa wujud hubungan suami isteri dan pada masa ‘iddah dan sekurang-kurang pakaian yang
dipakai oleh perempuan dan pakaian yang
dipakai ketika keluar rumah.
Pakaian-pakaian
ini tidak melebihi daripada seperdua mahar mithlinya seandainya suami daripada
golongan orang kaya kerana ia adalah sebagai ganti daripadanya dan tidak boleh
kurang daripada lima dirham seandainya suami daripada golongan orang miskin. Pendapat yang dijadikan fatwa bahawa mut’ah dikira dengan keadaan suami isteri
seperti nafkah. Jika kedua-duanya kaya, maka bagi perempuan pakaian yang
mahal-mahal (yang bermutu tinggi). Jika kedua-duanya fakir, maka baginya
pakaian yang terendah nilainya. Jika kedudukan kedua-duanya berbeza dari segi
kaya dan miskin, maka baginya pakaian yang sederhana.
Ulama’
Shafi’i berpendapat bahawa adalah sunat mut’ah
itu tidak kurang daripada 30 dirham barang yang sama nilai dengannya. Ini
adalah serendah-rendah yang disunatkan, setinggi-tingginya ialad khadam, dan yang
sederhana ialah pakaian. Disunatkan mut’ah
itu ialah juga kadarnya sampai separuh daripada mahar mithli. Sekiranya sampai atau lebih separuh dari nilai mahar mithli ia harus berdasarkan ayat:
Terjemahan:
... Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “mut’ah” (pemberian
saguhati)kepada mereka.
(surah
al-Baqarah 2:236)
Sekiranya
suami isteri bertikai tentang kadar mut’ah,
maka qadi atau mahkamah boleh menentukan kadar dengan ijtihadnya berdasarkan apa
yang sesuai dengan kedudukan atau taraf suami isteri sebagaimana pendapat
ulama’ Hanafi dari segi kaya, miskin, keturunannya dan sifatnya, kerana Allah
S.A.W telah berfirman:
Terjemahan:..
Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “mut’ah’ (pemberian saguhati) kepada
mereka(yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi
saguhati itu) menurut ukuran kemampuanya; dan suami yang susah pula menurut
ukuran kemampuannya....
(surah
al-Baqarah 2:236)
Terjemahan:
Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat mut’ah (pemberian saguhati)
dengan cara yang patut...
(surah
al-Baqarah 2:241)
Golongan
Maliki dan Hanbali berpendapat bahawa mut’ah
diambil kira dengan keadaan suami isteri dari segi kaya dan miskin, atas orang
yang kaya mengikut kedudukannya dan ke atas orang yang miskin mengikut
kedudukannya pula kerana ayat al Quran yang tersebut di atas secara jelas
menyatakan keadaan mut’ah adalah
menurut keadaan semasa kewangan suami, maksimum mut’ah adalah seorang khadam, yakni nilai harga seorang khadam pada
masa mereka sekiranya suami orang yang
kaya dan minimum mut’ah adalah
pakaian yang sempurna yang boleh dijadikan pakaian sembahyang sekiranya suami
orang yang miskin, ertinya sekurang-kurang pakaian iaitu baju labuh yang
menutup kepala hingga kekaki dan kain tudung kepala, ertinya sekurang-kurangnya
tiga pakaian sebagaimana pendapat ulama’ Hanafi iaitu baju labuh, kain tudung
dan kain penutup kepala perempuan berjalan. Ini berpandukan kepada kata-kata
Ibn ‘Abbas yang bermaksud, “setinggi-tinggi mut’ah
adalah seorang khadam, kemudian yang kurang daripada itu adalah pakaian”.
Pada zahirnya pendapat ini adalah lebih rajih.
Sesungguhnya
Undang-undang Syria memperuntukkan beberapa hukum mut’ah pada Perkara 61(1) iaitu: “Apabila berlaku perceraian
sebelum suami isteri bersetubuh dan berkhalwat yang sahih, maka ketika itu
diwajibkan mut’ah.
Peruntukkan
62(2) pula menyatakan bahawa “Mut’ah
ialah pakaian seperti pakaian perempuan ketika keluar rumah dan sambilmengira
keadaan suami dengan syarat tidak lebih daripada seperdua mahar yang setara.”