Selasa, 10 Disember 2013

Pliding (Siri 2)

Prosedur Tuntutan Mut’ah di Mahkamah Syariah – Pliding (Siri 2).

-              Pernyataan Tuntutan

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Sepertimana tuntutan kes Saman Mal yang lain setiap tuntutan bayaran mut’ah hendaklah mempunyai Pernyataan Tuntutan. Ini adalah kehendak seksyen 8 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 (Pahang) dibaca bersama dengan Borang MS 2 dalam Jadual Ketiga [mengenai bentuk Pernyataan Tuntutan].

Seksyen 8. Bentuk saman
Tiap-tiap saman—
(a) hendaklah dalam Borang MS 2; dan
(b) hendaklah disertakan dengan suatu pernyataan tuntutan yang hendaklah mematuhi kehendak seksyen 63.

Menurut seksyen 8 enakmen tersebut setiap Pernyataan Tuntutan hendak mematuhi kehendak seksyen 63 enakmen yang menghendaki perkara dan maklumat berikut di penuhi agar ianya tidak menjadikan pliding ini tidak cacat atau di tolak ataupun di batalkan:

i.   selepas perenggan terakhir dan tarikh  pernyataan tuntutan plaintif atau Peguam Syarienya hendaklah menurunkan tandatangannya;

ii.  kandungan pernyataannya hendak dalam perenggan yang bernombor;

iii.   kandungannya adalah ringkas dan padat;

iv.   kandungan yang ringkas dan padat itu adalah mengenai fakta-fakta sandaran mengenai dan menunjukan bahawa Plaintif membuat tuntutan bayaran mut’ah dari Defendan;

v.   pliding ini hendaklah juga mengandungi butir-butir tuntutan yang mencukupi seperti jumlah/nilaian mut’ah yang di tuntut;

v. pliding ini hendaklah selanjutnya menyatakan tentang relief/remedi yang dituntut iaitu mut’ah;

vi.  pliding ini hendaklah juga mengandungi butir-butir mengenai apa-apa permohonan lain yang berkesampingan dengannya seperti kos, jika berkenaan;

vii.  jika lebih daripada satu kausa tindakan dijadikan sandaran (umpamanya jika Plaintif menuntut juga harta sepencarian, nafkah iddah dll.), maka pliding itu hendaklan menyatakan secara berasingan akan semua alasan bagi setiap satu tindakan dan relief yang dituntut berdasarkan kausa tambahan itu.

Berikut ialah peruntukan seksyen 63 yang dirujuk di atas:

Seksyen 63. Pernyataan tuntutan

(1)   Tiap-tiap pernyataan tuntutan hendaklah ditandatangani oleh plaintif atau Peguam Syarienya dan hendaklah mengandungi –

(a) suatu pernyataan yang ringkas lagi padat, dalam perenggan-perenggan yang bernombor, tentang fakta-fakta yang dijadikan sandaran oleh plaintif dan menunjukkan kausa tindakannya, termasuk butir-butir mengenai apa-apa sifat khas yang atasnya plaintif mendakwa, jika ada;

(b) butir-butir tuntutan yang mencukupi;

(c) suatu pernyataan tentang relief yang dituntut; dan

(d) butir-butir mengenai apa-apa permohonan lain.

(2)   Jika lebih daripada satu kausa tindakan dijadikan sandaran, alasan bagi setiap satu tindakan dan relief yang dituntut berdasarkan kausa itu hendaklah dinyatakan secara berasingan.

Sebelum pergi lebih jauh saya rasa penghakiman kes berikut adalah amat sesuai untuk di postkan:

NORHAYATI BINTI MAMAT v A. RAHMAN BIN ISMAIL (Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu Kes Mal No. 11200-016-0128-2004 keputusan YA Haji Shaikh Ahmad pada 03hb Mei 2010 – tidak di lapurkan).

FAKTA KES

Plaintif dan Defenden telah berkahwin pada 30hb. Mac 1999 mengikut Hukum Syarak di Kampung Jak, Ajil, Hulu Terengganu, Terengganu.  Plaintif  adalah isteri  kedua  pada  Defendan. Perkahwinan Plaintif dan Defendan tidak dikurniakan sebarang anak. Plaintif dan Defendan telah bercerai dengan talak satu kali pertama pada 3hb. Jun 2004 melalui kes pengesahan perceraian, Saman No.: 11005-054-0194-2004.

Perbicaraan kes ini adalah berkenaan Tuntutan Mutaah Plaintif sebanyak RM100,000.00 daripada Defendan.

BIDANGKUASA MAHKAMAH

Merujuk kepada seksyen 12 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 bidang kuasa mal bagi Mahkamah Rendah Syariah telah dijelaskan sepertimana berikut:-

     Bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah
     12.     (1) …
              (2) Mahkamah Rendah Syariah hendaklah
                        (a) …
(b) dalam  bidang  kuasa  malnya,  mendengar  dan  memutuskan  semua  tindakan dan  prosiding  yang Mahkamah  Tinggi Syariah  diberi  kuasa untuk   mendengar dan   memutuskannya,   jika amaun  atau  nilai  hal perkara   yang   dipertikaikan  itu  tidak  melebihi  seratus  ribu  ringgit atau    tidak    dapat   dianggarkan   dengan   wang   (tidak   termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).

Manakala Seksyen 11 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 pula memperincikan bidang kuasa malnya yang dinyatakan di dalam Seksyen 11 (b) (i) sepertimana berikut:-  

Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah –
          a.  …
b. Dalam bidangkuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu berhubung dengan –

i. pertunangan,   perkahwinan,   ruju’,   perceraian,  pembubaran   perkahwinan (fasakh) atau  apa-apa perkara  yang berkaitan  dengan  perhubungan antara suami isteri;
ii. apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan di dalam subperenggan (i);

Seksyen 55 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985 memperuntukkan bahawa seorang isteri yang telah diceraikan oleh suaminya tanpa sebab yang patut boleh memohon agar Mahkamah memerintahkan bekas suaminya membayar Mutaah kepada beliau sekiranya didapati bahawa ternyata isteri tersebut telah diceraikan tanpa sebab yang patut:-

“55.   Selain dari haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut'ahatau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut menurut Hukum Syara'.

Di bawah Seksyen 245 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 memperuntukkan:

(1) …
(2) Jika    terdapat    apa–apa    lakuna    atau   jika    apa–apa     perkara    tidak  di peruntukkan  dengan   nyata   dalam   Enakmen   ini,   Mahkamah  hendaklah mengunakan Hukum Syarak.

Tafsiran berkanun berkenaan Mutaah dapat dilihat di bawah Seksyen 2 Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu) 1985 yang memperuntukkan:

Mutaah ertinya “Pemberian saguhati yang diberi menurut Hukum Syara’ kepada isteri yang diceraikan ”.

Mengenai takrifan muta’ah, dinyatakan dalam kitab Kifayatul Akhyar fi Halli Ghayah wa al Ikhtisor, karangan Allamah Taqiyuddin Abi Bakr bin Muhammad al Husainy al Husni al Dimasyqi al Syafie,  Juzuk 2 di mukasurat 42 :

فصل في المتعة ، وهي اسم للمال الذي يدفعه الرجل إلى امرأته لمفارقته إياها
Maksudnya : Ini satu fasal dalam membicarakan muta’ah , iaitu nama bagi harta yang dibayar atau diberikan oleh seorang lelaki kepada isterinya disebabkan oleh perpisahan dengan perempuan itu.

Jadi, takrifan yang diperuntukan di dalam enakmen hampir sama maksudnya dengan apa yang diistilahkan oleh ulama perundangan Islam.

Dari segi Hukum Syara’:

ALLAH telah berfirman di dalam Surah AL-Baqarah ayat 236 yang bermaksud: “Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka atau sebelum kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka dan hendaklah kamu memberikan mutaah kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya menurut ukuran kemampuannya dan suami yang susah pula menurut ukuran kemapuannya, sebagai pemberian saguhati menurut apa yang patutnya, lagi menjadi satu kewajipan ke atas orang-orang yang mahu berbuat kebaikan ”.

Ini ditegaskan lagi dengan Surah Al-Baqarah ayat 241 yang bermaksud: “… dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah dengan cara yang patut sebagai satu tanggungan yang wajib ke atas orang-orang yang taqwa”.

Ayat ini telah diterangkan oleh Prof Dr Hamka melalui Tafsir Al-Azhar iaitu seseorang isteri yang diceraikan hendaklah diberi juga pengubat hati iaitu menurut berapa patutnya wang, barang emas, perak atau rumah lengkap dengan isinya. Beliau juga ada menyebutkan cerita bahawa Sayyidina Hassan bin Ali pernah memberikan wang pengubat hati isteri yang diceraikan 10,000 dirham, diiringi dengan kata terharu “Hanya sedikit kiriman dari kekasih yang terpaksa berpisah”. Disebutkan juga bahawa beliau di dalam perceraian yang lain pernah mengirimkan wang ubat hati 20,000 dirham.

Daripada kedua-dua ayat 236 dan 241 dari Surah al-Baqarah dapat difahami bahawa, pada dasarnya Mutaah adalah suatu keredhaan diantara suami isteri yang diceraikan, tetapi jika tidak tercapai persetujuan, maka penentuan akan dibuat oleh Hakim. Penentuan kadarnya telah digariskan oleh Hukum Syara’, dari nilai kedudukan kaya atau miskin suami dan juga sifat serta kedudukan isteri. Kaya atau miskin dinilai dari pemilikan harta semasa untuk mencapai keredhaan ALLAH.

Merujuk kepada kes Noraini Abd Rahman lwn Taib Hanapi (2005) 1 CLJ (Sya) muka surat 332 di mana Yang Arif Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu telah merujuk kepada kitab Kifayatul Akhyar Juzu’ 2 muka surat 42 berkait dengan tuntutan Mutaah yang mana menerangkan bahawa mengikut pendapat Mazhab Syafie, Mutaah itu adalah wajib diberikan kepada isteri-isteri yang diceraikan tidak kira isteri itu sempat disetubuhi atau belum sempat disetubuhi kecualilah perceraian itu disebabkan oleh isteri iaitu jika isteri keluar dari Islam atau isteri itu hamba yang dimiliki suami atau kerana matinya isteri itu atau pembubaran perkahwinan disebabkan lian atau pembubaran perkahwinan berlaku kerana kemahuan isteri tersebut.

Selanjutnya di dalam kes Norma @ Normek lwn Mohd Zain Abdullah (2005) 1 CLJ (Sya) muka surat 305, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan telah memutuskan bahawa seorang isteri yang diceraikan berhak untuk menuntut Mutaah. Yang Amat Arif Dato’ Daud bin Muhammad di dalam alasan penghakimannya telah merujuk kepada kitab I’aanah al-Tholibin, karangan Sayed al Bakri pada Juzu’ 3 halaman 406 cetakan Darul Fikir, Beirut, Lebanon:

تجب عليه لزوجته موطؤة ولو أمة متعة بفراق بغير سببها وبغير موت أحدهما
Maksudnya : “Bayaran   Mutaah  wajib  ke  atas  suami  kepada isterinya  yang diceraikan setelah disetubuhi walaupun seorang hamba di mana perceraian  itu bukan  berpunca dari perbuatan isteri (seperti  isteri murtad atau difasakhkan nikah disebabkan keaiban suami atau isteri) dan perceraian bukannya disebabkan kematian salah seorang suami isteri ”

Seterusnya, Yang Amat Arif telah menerangkan maksud frasa yang dirujuk itu di mana maksud suami telah menceraikan isteri itu ialah seperti perceraian biasa samada dengan persetujuan bersama atau sebagainya. Manakala apa yang dimaksudkan dengan perbuatan isteri ialah seperti isteri murtad atau isteri memohon fasakh nikahnya dengan suami dengan sebab keaiban suami seperti suami gila, mati pucuk, papa dan sebagainya. Di dalam keadaan difasakhkan nikah oleh suami pula ialah dengan sebab keaiban isteri seperti alat kelaminnya terdapat “ratak” (ketumbuhan daging) atau “qaran” (ketumbuhan tulang).
    
Pemberian Mutaah ini adalah wajib di atas para suami yang telah menceraikan isterinya tanpa apa-apa sebab yang patut mahupun munasabah dan berdasarkan keterangan yang diberikan oleh Plaintif dan Defendan jelaslah bahawa perceraian ini adalah berpunca daripada Defendan yang mana jelas sekali bahawa Defendan yang telah melafazkan talaq dengan cara menulis dan mengutuskan sendiri surat tersebut dan fakta ini diakui sendiri oleh Defendan di dalam permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan oleh Defendan sendiri.

KADAR MUTAAH

Syara’ tidak menyebut dengan jelas kadar sesuatu Mutaah itu tetapi asas yang disebut adalah berdasarkan kemampuan masing-masing. Sehubungan dengan itu faktor kemampuan itu hendaklah diteliti dan ditimbang sebaik mungkin.

Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 236 maksudnya : “….Dan hendaklah kamu memberi "Mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan .

     Mahkamah melihat kepada kesenangan dan kesusahan pihak suami, keturunan dan sifat isteri itu sendiri. Dalam menentukan sesuatu kadar Mutaah itu, Mahkamah tekankan di sini bahawa tujuan sesuatu Mutaah itu adalah untuk menolong meringankan beban bekas isteri selepas diceraikan. Mutaah juga pada masa yang sama bertujuan untuk menutup rasa malu isteri yang diceraikan, menghindarkan fitnah dan juga sebagai asas untuk hidup bersendirian.            

Dalam Kitab Mughni al-Muhtaj, karangan Shamsuddin Muhammad bin Al Khatib Syarbini,  Juzu’ 3 halaman 318 dan  cetakan Dar Ma’rifah, Lubnan menjelaskan :

فإن تنازع في قدرها ، قدرها القاضى بنظره أي اجتهاده بحسب ما يليق بالحال ، معتبرا حالهما من يسار الزوج وإعساره ونسبها وصفاتها ...
Bermaksud : “ Jika berselisih antara suami dan isteri dalam menetukan kadar muta’ah, maka Hakim diberi tugas untuk menentukannya mengikut pandangannya iaitu ijtihadnya mengikut apa yang sesuai dengan keadaan semasa, dengan diambilkira kesenangan suami dan kesusahannya, keturunan isteri dan sifatnya.

Saya merujuk kepada kes Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978) 1 JH 2 muka surat 63, di mana Yang Arif Qadhi Besar menyatakan bahawa:

“Dasar Mutaah adalah keredhaan kedua pihak  tetapi  jika tidak tercapai persetujuan maka penentuan dibuat oleh  Qadi. Penentuan  kadar  telah  digariskan  oleh Syara’ dengan  nilai kedudukan kaya miskinnya suami dan sifat serta kedudukan isteri. Sifat ialah   perwatakan dan  keadaan  kedudukan  keluarga  atau status  keluarga   dalam  masyarakat. Kaya dan miskin ialah nilai semasa dari segi perolehan dan pemilikan.”

Jika dilihat dari segi kedudukan Plaintif dan Defendan, kedua-dua mereka berbeza dari segi pendapatan kerana Plaintif hanyalah suri rumah sepenuh masa manakala Defendan seorang usahawan yang berjaya. Oleh yang demikian kadar Mutaah tersebut juga mestilah suatu kadar munasabah dan bersesuaian dengan kemampuan yang dimiliki oleh Defendan. Keturunan dan sifat isteri juga diambil kira di dalam menentukan kadar Mutaah yang wajar diterima oleh seseorang isteri tersebut. Di dalam kes ini tidak dibuktikan bahawa Plaintif daripada keturunan yang tidak baik dan juga tidak terbukti bahawa Plaintif mempunyai sifat yang tidak elok di sisi Syara’. Malah, Plaintif juga tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah Syariah.

Dalam kes  Mustafa bin Ibrahim lwn. Sarwari binti Abdul Wahid, Jurnal Hukum, jilid 28, bahagian 1 April 2009 yang mana Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan telah bersidang dan dipengerusikan oleh YAA. Dato’ Aria Diraja Haji Daud bin Muhammad. Perayu dan Responden dalam kes ini telah berkahwin mengikut Hukum Syarak pada Ogos 1976 dan bercerai pada 6 September 2000 melalui perceraian secara ta’liq di Mahkamah Rendah Syariah Tumpat. Tuntutan Muta’ah yang dibuat oleh Responden di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan sebanyak RM51,000.00 dan dihukumkan ke atas perayu membayar Muta’ah sebanyak RM10,000.00 dengan cara bayaran bulanan sebanyak RM300.00 sebulan sehingga selesai RM10,000.00 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.

Dalam kes ini Perayu adalah seorang yang tidak bekerja setelah bersara dari pekerjaannya. Perayu tidak mempunyai pendapatan selain daripada pencennya yang bernilai RM1,100.00. Perayu juga mempunyai tanggungan untuk menyara 3 orang anak dan seorang isteri lain yang dikahwininya di Sabah. Selain itu, Perayu mempunyai tanggungan lain seperti potongan pencen untuk 2 orang anak daripada perkahwinannya dengan Responden yang berjumlah sebanyak RM430.00 dan potongan pinjaman perumahan kerajaan sebanyak RM405.00 yang kesemuanya berjumlah sebanyak RM835.00. Di dalam kes ini jelas menunjukkan perayu adalah tidak berkemampuan untuk membayar jumlah Muta’ah sebagaimana yang telah disabitkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam kes rayuannya, Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan dengan sebulat suara menerima rayuan Perayu dengan mengurangkan hukuman serta memerintahkan Perayu iaitu Mustafa bin Ibrahim membayar Muta’ah kepada Sarwari binti Abdul  Wahid sebanyak RM5,000.00

     Kes tuntutan Mutaah di hadapan saya ini tidak ada persetujuan dicapai antara Plaintif dan Defendan. Oleh itu mahkamah akan membuat atau akan menentukan kadarnya.

Mahkamah telah meneliti keterangan-keterangan daripada kedua-dua pihak dan disokong oleh saksi-saksi kedua-dua pihak, Mahkamah berpuas hati bahawa Defendan adalah seorang ahli perniagaan yang boleh dikatakan berjaya, terbukti dengan pemberian nafkah sebanyak RM700.00 sebulan kepada Plaintif dan sebuah kereta yang ditanggung sepenuhnya oleh Defendan. Kadar Muta’ah yang dituntut oleh Plantif terhadap Defendan adalah sebanyak RM100,00.00. Oleh itu Mahkamah akan menentukan suatu kadar yang munasabah sebagai Mutaah yang perlu dibayar oleh Defendan kepada Plaintif.

Defendan, A. Rahman adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya dengan mempunyai syarikat perniagaan yang mana pendapatan bulanannya tidak kurang daripada RM10,000.00 yang tidak dipertikaikan olehnya. Antara syarikat perniagaannya ialah :

1.           Seltro Station ( K.T 0082434M )
2.           Ramaco Motor Sdn. Bhd. ( 106462-A )
3.           Ramaco Bena Sdn. Bhd. ( 184172-V)

Setelah meneliti dan membuat pertimbangan di antara hujah-hujah yang dikemukakan oleh Plaintif dan Defendan, saya berpuas hati, maka dengan ini saya telah membuat keputusan seperti berikut:

KEPUTUSAN MAHKAMAH

1.  SAYA LULUSKAN Tuntutan Mutaah Plantif, Norhayati binti Mamat KPT : 770303-11-5106 terhadap Defendan, A. Rahman bin Ismail KPT : 500427-11-5079

2.  SAYA SABIT Plaintif berhak Muta’ah dan saya PERINTAHKAN Defendan, A. Rahman bin Ismail, KPT : 500427-11-5079 membayar Mutaah kepada Plaintif sebanyak RM21,000 sahaja.

3.  SAYA PERINTAHKAN segala kos ditanggung oleh pihak masing-masing.


^^^^^^^^^^^^^^^
Selain dari kes NORHAYATI BINTI MAMAT v A. RAHMAN BIN ISMAIL diatas serta kes-kes yang di rujuknya iaitu kes-kes Noraini Abd Rahman v Taib Hanapi; Norma @ Normek v Mohd Zain Abdullah; Noor Bee v Ahmad Shanusi; Mustafa bin Ibrahim v Sarwari binti Abdul Wahid terdapat banyak lagi kes untuk menghuraikan elemen tuntutan hibah yang perlu dijadikan fakta sandaran kepada tuntutan itu serta perlu di nyatakan didalam pliding, antaranya adalah kes-kes berikut.

Dalam kes Tengku Puteri Zainab v Dato Sri Mohd Najib 12 [1998] 1 JH 1  Pihak isteri didalam prosiding tuntutan  mut’ahnya telah memohon kepada Mahkamah bicara agar bekas suaminya mengemukakan suatu afidavit menyenaraikan semua harta alih dan tak alih  kepunyaan bekas suami ini. Mahkamah Rayuan WP Kuala Lumpur memutuskan bahawa isu yang sepatutnya di dalam prosiding itu adalah mengenai apa yang hendak/perlu dibuktikan oleh Plaintif/isteri dalam tuntutan mut’ahnya dan bukan acara pembuktian atau bahan bukti. Rayuan dan permohonan sedemikian di tolak oleh Mahkamah.
Prinsip kes ini: apa yang penting dan perlu di masukkan kedalam pliding hanyalah mengenai pengataan fakta-fakta ringkas elemen-elemen dan unsur-unsur untuk tuntutan mut’ah sahaja. Bukan bukti dan yang lain.

Dalam kes Hasmah binti Sharie v Juhari bin Abdul Ghani  10 [1995] 1 JH 50 Pasangan telah bernikah (kahwin lari) di Thailand pada Jun 1991. Pada Disember 1992 Defendan/suami telah melafazkan cerai talaq tiga sekaligus kepada Plaintif/isteri. Plaintif memohon untuk disahkan pernikahan mereka dan disabitkan perceraian mereka. Plaintif juga memohon nafkah anak dan mut’ah. Diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu bahawa pernikahan tersebut sah disisi Hukum Syarak; perceraian yang terjadi adalah disabitkan dengan cerai secara lafaz talaq tiga kali pertama; dan seterusnya  tuntutan nafkah anak dan mut’ah dibenarkan.
Prinsip kes ini: pernikahan itu hendaklah sah dan perceraian berlaku dengan secara sah walaupun dengan talaq tiga sebelum tuntutan mut’ah di benarkan untuk di tuntut.

Dalam kes Hajah Ramlah binti Syarif v Nor Husin bin Othman 13 [1999] 1 JH 103 Pasangan telah bercerai dengan talaq tiga. Plaintif/isteri antara lain menuntut bayaran Mut’ah sebanyak RM500,000.00. Mahkamah Tinggi Syariah Pahang berpendapat bahawa walaupun perceraian adalah dengan talaq tiga dan isteri tidak layak untuk nafkah iddah (tetapi masih layak mendapat nafkah tempat tinggal selama iddah yakni RM600.00 x 3 bulan 10 hari = RM2,000.00) namun Plaintif layak menuntut mut’ah dan di perintahkan sebanyak  RM43,200.00 yang di asaskan kepada formula kiraan pada kadar ¼ dari nafkah bulanan (RM800.00) atau 1/3 dari nafkah tempat tinggal (RM600.00 sebulan) di kalikan dengan tempohmasa perkahwinan selama 18 tahun  [yakni ¼ x RM800.00 x 216 bulan atau 1/3 x RM600.00 x 216 bulan].
Prinsip kes ini antara lain: kadar nafkah bulanan di ambil kira beserta dengan tempoh perkahwinan. Fakta telah berlakunya pernikahan dan perceraian yang sah perlu ujud terlebih dahulu bagi menuntut bayaran mut’ah. Maka dalam pliding tarikh perkahwinan dan perceraian adalah perlu dinyatakan sebagai fakta sandaran menurut kemahuan kandungan pliding dalam seksyen 63 enakmen tatacara mal.

Dalam kes NOORAINI BINTI RASHID v HAMZAH BIN ZAINUDIN – 18 [2004] 2 JH 279 pasangan telah bernikah di Perak. Pasangan ini kemudiannya bercerai di luar Mahkamah. Permohonan pengesahan perceraian mereka di failkan oleh suami di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 02.01.97 manakala si isteri pula memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Tinggi Syariah Perak beserta tuntutan tuntutan lain termasuk harta sepencarian. Kemudiannya tuntutan itu dipinda kepada menuntut mut’ah dan harta sepencarian sahaja. Mahkamah Rendah WP mengesahkan perceraian pasangan ini. Mut’ah yang di tuntut adalah sebanyak RM3 juta.

Mahkamah Tinggi Syariah Perak memutuskan bahawa: Mut’ah sebanyak RM810,000.00 di bayar dalam tempoh 1 bulan. Bayaran ini tidak termasuk kerugian pengorbanan berhenti kerja yang mana Mahkamah memerintahkan Defendan suami membayar dalam tempoh 1 bulan juga sejumlah bersamaan dengan bayaran gaji dan kenaikan gaji tahunan selepas perletakan jawatan Plaintif selama 22 tahun sebanyak RM396,066-00.

Suami tidak berpuashati dan merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah Perak. Rayuan ini di lapurkan sebagai HAMZAH BIN ZAINUDDIN v NORAINI BINTI ABDUL RASHID 25 [2008] 2  JH 201. Mahkamah Rayuan berkata bahawa bidangkuasa mahkamah yang mendengar tuntutan harta sepencarian adalah dibawah bidangkuasa Mahkamah yang memerintahkan apa-apa perceraian termasuklah pengesahan perceraian. Maka Mahkamah Tinggi Syariah Perak dalam kes ini tiada bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan tuntutan muta’ah dan harta sepencarian si isteri ini. Oleh kerana pasangan ini bukan disahkan bercerai oleh Mahkamah Perak maka Mahkamah Perak tiada bidangkuasa mendengar tuntutan Responden. Tuntutan mut’ah dalam kes itu sepatutnya di failkan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Prinsip kes ini antara lain: pliding hendaklah mengandungi pernyataan di Mahkamah mana perceraian itu di sahkan atau di perintahkan agar isu bidangkuasa tempat(an) Mahkamah dapat di ketahui dengan jelas untuk di teliti Mahkamah semasa pemfailan Saman.

Prinsip dalam kes TUKIMAH AHMAD v JAMALUDDIN AHMAD – 22 [2006] 1 JH 109 adalah bahawa penentuan  kadar Mutaah adalah berdasarkan kemampuan suami  dan beban Pembuktian terletak pada isteri (Plaintif) mengenai kemampuan suami (Defendan) maka dengan itu pliding Pernyataan tuntutan perlu menyebut bahawa Defendan adalah seorang yang berkemampuan. Dalam kes ini siisteri menuntut mut’ah sebanyak RM180,000.00.

Dalam kes HASNAH BINTI OMAR v OTHMAN BIN YA @ ZAKARIA 26  [2008] 1 JH  43 isteri (Perayu) menuntut RM140,000.00 sebagai mut’ah. Responden menawarkan RM5,000.00 tetapi tidak dipersetujui isteri. Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan membenarkan tuntutan mut’ah setakat RM10,000.00 yang perlu dibayar secara ansuran bulanan RM300.00. Mahkamah Rayuan Syariah  Kelantan mengatakan bahawa isteri telah diceraikan tanpa sebab menasabah setelah hidup bersama selama 29 tahun dan mendapat 10 anak. Perceraian cara biasa dan bukan isteri minta fasakh. Fakta-fakta pertimbangan untuk mendapat mut’ah serta kadar mut’ah diberikan Mahkamah. Mut’ah diperintahkan sebanyak RM15,000.00 dibayar dalam tempoh 3 bulan.
Prinsip kes ini antara lain: pliding hendaklah mengandungi pernyataan fakta-fakta untuk pertimbangan menentukan asas penentuan isu mut’’ah.

Prinsip sebegini juga terdapat dalam kes SUYABAH BINTI JAAFAR v YAAKUB BIN MUHAMMAD 26  [2008] 1 JH 83. Dalam kes ini isteri (Perayu) menuntut RM500,000.00 sebagai mut’ah. Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan RM20,000.00. Isteri tidak berpuashati dan merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan yang memutuskan bahawa: isteri telah diceraikan tanpa sebab menasabah setelah hidup bersama selama 13 tahun dan mendapat 4 anak. Perceraian cara biasa dan bukan isteri minta fasakh. Fakta-fakta pertimbangan untut mendapat mut’ah serta kadar mut’ah diberikan Mahkamah. Mut’ah diperintahkan sebanyak RM100,000.00.

Dalam kes SURAIYA BT M SHAFIE v ABD SHUKOR BIN MOHD HASHIM 27 (2) 2009 JH 259  pasangan ini telah berkahwin selama 15 tahun dan dikurniakan 4 orang anak. Plaintif (isteri) adalah pakar mata dan Defendan adalah pakar tulang di Hospital yang sama. Plaintif menuntut RM500,000.00 manakala Defendan menawarkan RM50,000.00 sebagai mut'ah. Mahkamah Tinggi Syariah Seremban menetapkan kadar mut’ah adalah RM70,000.00 dibayar dalam tempoh 7 bulan. Pendapatan bulanan Defendan adalah antara RM50,000.00 dan RM70,000.00 sebulan. Bahkan ada wang simpanan sebanyak RM100,000.00.

Penutup:

Secara ringkasnya setiap Pernyataan Tuntutan mengenai mut’ah hendaklah mematuhi peruntukan seksyen 63 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 (Pahang).  Mengenai kehendak seksyen 63(1)(a) Enakmen itu,  fakta-fakta sandaran yang berikut perlu juga dinyatakan oleh Plaintif/isteri dalam plidingnya:

1. butiran mengenai perkahwinan pasangan Defendan dan Plaintif  – termasuk tarikh pernikahan pihak-pihak; tarikh perceraian dan butiran perceraian ~ Ini adalah kerana untuk menuntut mut’ah mestilah ujud fakta bahawa perkahwinan dan perceraian pihak-pihak yang bertikai itu adalah sah.

Kes-kes seperti kes IDA HIDAYATI v AHMAD SHUKRI 18 (2004) 2 JH 259 ada mengatakan bahawa tempoh lama-masa perkahwinan adalah penting dalam menentukan kadar mut’ah. Bahkan tempohmasa itu menjadi asas pengiraan sebagaimana yang di tunjukkan dalam kes Hajah Ramlah binti Syarif v Nor Husin bin Othman di atas. Namun terdapat juga kes-kes yang mengatakan bahawa tempoh masa perkahwinan adalah bukan faktor penting dalam menentukan jumlah mut’ah sebagaimana yang di sebut di dalam kes FARIDAH SULAIMAN v MOHD NOH OTHMAN 19 (2005) 1 JH 124.

2. Butiran fakta ringkas mengenai alasan perceraian itu terjadi -  ini adalah kerana menurut seksyen 55 enakmen keluarga Islam 2005 hak menuntut mut’ah hanya ujud kepada ‘seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya’ sahaja.

3. Butiran mengenai status taraf kehidupan si isteri/Plaintif dan fakta menunjukan sifat seperti kesetiaan/ketaatan – lihat kes TENGKU ANUM v DATO DR HUSSAIN 1983 .

4. Status dan kemampuan suami/Defendan sepertimana yang di nyatakan dalam kes-kes seperti Tengku Puteri Zainab v Dato Sri Mohd Najib dan kes Norma @ Normek v Mohd Zain Abdullah 19 [2005] 2  JH 278.

5. Sumbangan dan khidmat isteri kepada perkahwinan tersebut – lihat kes ROKIAH v MOHAMED IDRIS (1980) 6 JH 272.

Mengenai contoh Pliding Pernyataan Tuntutan Mut’ah ini ianya tidak di sertakan di dalam post kali ini. Contoh itu telahpun di postkan terdahulu dalam blog ini dengan tajuk ‘Saman (Siri 2)’.

Berdasarkan penulisan di atas dapat dirumuskan bahawa kandungan Pernyataan Tuntutan adalas menjurus untuk di nyatakan mengenai:

i. fakta-fakta yang dapat menunjukkan bahawa Mahkamah yang difailkan Saman itu mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan tuntutan si isteri (Plaintif) itu;

ii. fakta-fakta yang dapat menunjukkan bahawa Plaintif berhak dan layak untuk membuat tuntutan itu;

iii. fakta-fakta sandaran secara ringkas yang dapat menunjukkan bahawa Defendan sememangnya berkemampuan dan layak untuk membuat bayaran mut’ah kepada Plaintif/isterinya itu;

iv. tuntutan Plaintif dalam prosiding yang di failkan itu adalah tuntutan mut’ah;

v. berapakah jumlah tuntutan mut’ah yang  Plaintif rasakan munasabah dan wajar. Tidak perlu di nyatakan alasannya dalam pliding ini kerana jika kadarnya tidak di persetujui oleh Defendan/suami semasa peringkat sulh atau semasa di hadapan Hakim kadar itu akan di tetapkan dan di tentukan Hakim selepas di jalankan perbicaraan dengan mendengar keterangan Plaintif dan Defendadan serta saksi-saksi yang di bawa oleh mesing-masing pihak (jika ada). Perbicaraan juga boleh dijalankan oleh Mahkamah  secara sebelah pihak (yakni tanpa kehadiran Defendan setelah Saman (di buktikan dengan Afidavit Penyampaian) telah di sampaikan kepada Defendan secara serahan kediri atau serahan gantian boleh di jalankan menurut seksyen 121 (1)(b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 (Pahang). Mengenai proses perbicaraan ini ia akan di terangkan dalam bab pendengaran/perbicaraan kelak. InsyaAllah.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Pemfailan Pernyataan Tuntutan di Mahkamah: Prosedurnya di Mahkamah Syariah adalah pemfailan Pernyataan Tuntutan hendaklah di lakukan semasa Saman di failkan. Ia tidak boleh di failkan secara berasingan. Jika Saman difailkan tanpa Pernyataan Tuntutan di sertakan maka pemfailan sedemikian akan di tolak oleh Pendaftar Mahkamah – rujuk peruntukan seksyen 8 dan 10 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 (Pahang). Situasi mengenai ini telahpun di ulaskan di dalam post sebelum ini.


Ahad, 1 Disember 2013

Pliding (Siri 1)

Prosedur Tuntutan Mut’ah di Mahkamah Syariah – Pliding (Siri 1).

-              Pliding dalam Tuntutan Mut’ah

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Kamus Dewan DBP menyatakan bahawa pliding dari segi istilah undang-undang bermakna suatu pernyataan bertulis secara formal tentang sebab sesuatu tindakan atau pembelaan yg dikemukakan oleh plaintif dan defendan dalam sesuatu tuntutan di mahkamah.

Pliding dalam bahasa Arab di sebut sebagai Murafa’ata Difaa’

Sebagai sejarah kepada perundangan tatacara mal di Pahang elok kita sorot kembali kepada Huraian dalam Rang Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 sepertimana Warta Kerajaan Pahang Jil 55 No. 21 (Tambahan No. 6) bertarikh 10.10.2002 yang di bentangkan di dalam Dewan Undangan Negeri Pahang mengenai Bahagian VIII Rang Undang-Undang tersebut.

Berikut ialah ‘huraian’ yang di maksudkan di atas:


BAHAGIAN VIII

21. Bahagian VIII memperkatakan pliding.

22. Fasal 63 dan 65 masing-masingnya menyatakan bentuk pernyataan tuntutan dan pernyataan pembelaan. Fasal 64 menghendaki seseorang defendan yang mempertikaikan tanggungannya dalam sesuatu tindakan supaya menyampaikan pembelaannya atau hadir pada hari kehadiran untuk mempertikaikan tuntutan plaintif. Fasal 66 dan 67 masing-masingnya memperkatakan tuntutan balas dan pembelaan terhadap tuntutan balas. Fasal 68 adalah berhubungan dengan pembelaan tawaran.



Huraian dalam Rang tersebut tidak menyentuh langsung mengenai peruntukan seksyen-seksyen 69, 70, dan 71.

Apabila di luluskan rang undang-undang tersebut di namakan sebagai Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 dan berkuatkuasa mulai pada tarikh 01.02.2004 dan Bahagian VIII ini mempunyai beberapa seksyen iaitu: seksyen 63 sehingga seksyen 71. Dari seksyen-seksyen ini maka terdapatlah kategori pliding-pliding yang berikut:

i.        Pernyataan Tuntutan (lihat seksyen 63);
ii.       Pembelaan (lihat seksyen 64 dan 65);
iii.      Tuntutan Balas (lihat seksyen 66);
iv.      Pembelaan Tawaran (lihat seksyen 68);
v.       Jawapan kepada Pembelaan (lihat seksyen 69);  
vi.      Jawapan dan Pembelaan kepada Tuntutan Balas (lihat seksyen 69); dan
vii.     Butir-butir lanjut dan jelas (lihat seksyen 71).

Pliding-pliding tersebut hendaklah di sediakan dan di failkan di Mahkamah oleh pihak-pihak kepada prosiding yang berkenaan dan boleh juga melalui Peguam Syarie masing-masing.

Namun terdapat juga satu lagi bentuk pliding tetapi yang tidak di dokumentasikan oleh pihak-pihak yang bertikai, sebaliknya yang di sediakan dalam bentuk dokumen oleh Mahkamah. Pliding sedemikian di sediakan oleh Mahkamah apabila tuntutan atau pembelaan di buat oleh pihak dengan secara lisan sahaja. Pliding sebegini hanya akan di sediakan oleh Mahkamah semata-mata berdasarkan budibicara Mahkamah demi untuk keadilan. Perkara ini ada di peruntukkan di bawah seksyen 16 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah. Seksyen ini juga di rujuk oleh Seksyen 67 Enakmen Tatacara Mal apabila menyatakan mengenai pemfailan pliding ‘pembelaan kepada tuntutan balas’.

Untuk rujukan mudah posting kali ini berikut ialah peruntukan seksyen 16 dan 67 tersebut:

Seksyen 16. Tuntutan atau pembelaan lisan

(1) Walau apa pun apa-apa jua dalam Enakmen ini, Mahkamah boleh, mengikut budi bicaranya, membenarkan apa-apa tuntutan atau pembelaan dibuat secara lisan:

Dengan syarat bahawa dalam hal sedemikian Mahkamah hendaklah merekodkan butir-butir tuntutan atau pembelaan itu dengan mengambil kira kehendak Enakmen ini yang berhubungan dengan saman atau permohonan, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2)  Mahkamah hendaklah menyampaikan satu salinan rekod yang dibuat di bawah subseksyen (1) kepada pihak yang baginya butir-butir tuntutan atau pembelaan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, direkodkan.

(3) Apabila dia menerima rekod yang tersebut dalam subseksyen (2), pihak yang kepadanya rekod itu disampaikan hendaklah —

(a)  memperakui butir-butir yang terkandung dalamnya dengan menurunkan tandatangannya atau cap ibu jari kanannya pada rekod itu;

(b)  menyediakan salinan yang mencukupi bagi rekod itu supaya satu salinan boleh disampaikan kepada setiap pihak lain dalam prosiding itu; dan

(c)  menyampaikan satu salinan rekod itu kepada tiap-tiap pihak itu sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum hari kehadiran.

(4) Jika Mahkamah membenarkan suatu tuntutan atau pembelaan dibuat mengikut subseksyen (1), maka Mahkamah hendaklah mengenakan apa-apa fi yang ditetapkan sebagai tambahan kepada apa-apa fi lain yang kena dibayar di bawah Enakmen ini.

Seksyen 67. Pembelaan terhadap tuntutan balas

(1) Jika mana-mana defendan membuat tuntutan balas, plaintif hendaklah, jika dia berhasrat hendak membuat pembelaan terhadap tuntutan balas itu, memfailkan dan menyebabkan disampaikan kepada defendan suatu pembelaan kepada tuntutan balas itu dalam apa-apa tempoh masa yang diarahkan oleh Mahkamah.

(2) Jika plaintif tidak mematuhi subseksyen (1), seksyen 16 hendaklah terpakai seolah-olah plaintif ialah seorang defendan.

Fungsi dan Keperluan Pliding.

Fungsi pliding secara umumnya adalah untuk menentukan dengan tepat dan lengkap apakah perkara yang di pertikaikan dan yang di persetujui oleh pihak-pihak dalam prosiding Mahkamah itu. Pliding itu juga dapat mengenalpasti dan menetukan dengan tepat perkara yang memerlukan pertimbangan, keputusan dan penghakiman Mahkamah dalam prosiding yang berkenaan.

Pliding yang disediakan dengan wajar dan sempurna akan membolehkan:

i.   pihak-pihak mengetahui dengan tepat apakah perkara pertikaian dalam prosiding itu;

ii. pihak-pihak mengetahui dengan tepat apakah fakta yang perlu di buktikan dalam prosiding itu;

iii. sifat dan ciri pertikaian dapat di kenalpasti dan dengan itu bentuk perbicaraan yang sesuai dapat di tentukan.

Sebagai contoh jika tuntutan itu melibatkan isu bidangkuasa Mahkamah atau persoalan undang-undang yang jelas nyata maka prosiding itu boleh di putuskan melalui permohonanan Bantahan Awal sahaja di mana pihak yang ingin membuat Bantahan Awal perlu memfailkan suatu Notis Bantahan  Awal yang lengkap [dan jika perlu bersama Afidavit Sokongannya dan pihak yang menentang Bantahan Awal memfailkan Afidavit Balasannya] dan kemudian setelah kesemua pihak membentangkan hujahan masing-masing Mahkamah akan mempertimbangkan Bantahan Awal itu dan membuat keputusannya tanpa perlu kes tersebut di bicarakan sepenuhnya. Mengenai bantahan awal ini secara ringkasnya ianya tidak melibatkan sebarang pertikaian mengenai fakta dalam kes itu. Dengan lain perkataan fakta kes adalah di persetujui dan di anggap sebagai benar dan sahih oleh pihak-pihak. Hanya yang di pertikaikan ialah isu mengenai samada Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan tuntuan atau tidak. Juga samada Mahkamah boleh mendengar tuntuan (atau tuntutan balas) yang difailkan oleh pihak-pihak. Juga samada pihak yang menuntut mempunyai kausa tindakan ataupun locus standi untuk membawa kes yang berkenaan. Ataupun isu bahawa Plaintif di halang dari membawa tindakan ini kerana telah terdapat penghakiman persetujuan terhadap tuntutan perkara atau relif dalam prosiding ini. Begitulah antara contohnya.


Persoalan Pertama:

Apakah yang di maksudkan dengan prinsip bahawa ‘pihak-pihak terikat dengan plidingnya dan Mahkamah hanya membuat keputusan berdasarkan pliding yang di kemukakan’.

Prinsip ini secara tersirat telah diterimapakai di dalam suatu Arahan Amalan No 15 tahun 2006. Berikut ialah petikan dari Arahan Amalan tersebut:

Arahan Amalan No. 15 Tahun 2006
Cara Mengambil Keterangan Dalam Perbicaraan Penuh

Saya ingin menarik perhatian Y.A.A. kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Tahun 2006 pada 12 hingga 14 April, 2006 bersamaan 13 hingga 15 Rabiulawwal, 1427H di Shah Alam, Selangor yang telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan bahawa cara mengambil keterangan di Mahkamah Syariah dalam perbicaraan penuh hendaklah dengan mendengar secara lengkap keterangan Plaintif, Defendan dan saksi-saksi melalui proses soal utama, soal balas dan soal semula berdasarkan pliding masing-masing.

Arahan Amalan ini berkuatkuasa mulai 1 Jun, 2006.

Sebelum berkuatkuasa Arahan Amalan diatas  Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dalam kes Murshida binti Mustakim v Hassim bin Abdullah 19 (2005) 1 JH 143 di mukasurat 151 telah berkata:

‘Oleh itu kami menjelaskan bahawa mengikut prosedur setiap pihak terikat kepada pliding. Mahkamah hanya boleh tertumpu membicarakan apa-apa yang ada dalam pliding masing-masing. Kami bersetuju dengan hujah Responden bahawa persoalan hibah tidak dibangkitkan oleh Perayu di dalam kes asal di mahkamah Tinggi Syariah Selangor yang mana tidak ada dalam pliding asal dan ia bercanggah dengan seksyen 52(1)(b) Kanun Prosedur Mal Syariah Selangor 1991 yang di sebutkan tadi.’

Seksyen 52(1)(b) yang dirujuk itu memperuntukkan seperti berikut:

(1) Tiap-tiap pernyataan tuntutan hendaklah ditandatangani oleh plaintif atau Peguam Syarienya dan hendaklah mengandungi —
(a) ...
(b) butir-butir tuntutan yang mencukupi;

Dalam kes Murshida binti Mustakim v Hassim bin Abdullah tersebut Plaintif/Perayu antara lain menuntut sebuah rumah di Kuala Lumpur (setelah di tolak RM100,000.00 yang dikatakan telah beliau belanjakan) di bahagi dua sebagai harta sepencarian. Mahkamah Bicara memutuskan bahawa harta itu adalah sebagai harta sepencarian dan hendaklah di jual dan setelah di tolak semua hutang maka hasil jualannya hendaklah di bahagi sama rata. Perayu tidak berpuashati dan merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah atas alasan Hakim Bicara tidak mengambil kira langsung bahawa rumah tersebut telah dihibahkan kepadanya oleh Defendan/Responden dan dijanjikan akan di pindahmilik nama selepas habis bayaran pinjaman kerajaan. Responden menghujahkan bahawa perkara hibah ini tidak di bangkitkan dalam perbicaraan kes asal semasa di Mahkamah Bicara. Oleh kerana persoalan hibah ini tiada di dalam pliding maka ianya bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan seksyen 52(1)(b) diatas  dan itulah sebabnya Mahkamah Tinggi Syariah yang membicarakan kes ini tidak membangkitkan atau mempertimbangkan persoalan hibah ini. Walaupun bersetuju dengan hujahan tersebut Mahkamah Rayuan Syariah secara obiter dicta mengulas juga mengenai rukun hibah apabila kemudiannya merumskan bahawa harta itu masih dalam hutang gadaian pinjaman dengan kerajaan maka harta itu bukan dalam milik penuh Defendan/Responden serta tidak boleh di hibahkan. Syarat barangan hibah tidak di mencukupi. Hibah itu juga tidak sah kerana perbuatan hibah diragui samada sah atau tidak benar-benar dilakukan atau tidak (seperti persoalan penyerahan dan izin pemegangan barang – lihat muka surat 154 dan 155).

Mahkamah Rayuan dalam kes Murshida binti Mustakim v Hassim bin Abdullah ini tidak secara jelas dan mutlak memutuskan mengenai isu pliding sedemikian ‘[yakni isu samada Mahkamah hanya akan membuat keputusannya semata-mata  berdasarkan pliding yang di kemukakan dihadapannya sahaja]’. Mahkamah Rayuan dalam kes ini sebaliknya hanya merumuskan bahawa tiada terdapat cacat cela dalam penghakiman Mahkamah Bicara dan keputusan Mahkamah Bicara di kekalkan dan rayuan Perayu di tolak sepenuhnya.

Kes Murshida binti Mustakim ini telah di rujuk di dalam kes Abdul Ghani bin Abdul Kadir yang berikut di bawah ini dan isu persoalan pliding ada di bangkitkan dan di jelaskan.

Dalam kes Abdul Ghani bin Abdul Kadir & seorang lagi v Arpah binti Kadir 35 (2012) 2 JH 307 Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Sembilan telah berkata di muka surat 316-320:

‘[20] ... kami tegaskan bahawa prinsip ‘semua pihak terikat dengan plidingnya’ adalah satu prinsip yang tidak diperuntukkan secara nyata di dalam undang-undang tatacara mal. Namun prinsip ini telah diakui dan diguna pakai samada di Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil dan kami juga mengguna pakai prinsip tersebut kerana ia tidak bercanggah dengan tatacara syarak secara umum.

[21] ... Kami setuju bahawa prinsip yang di tegaskan dalam kes Mursida binti Mustakim v Hashim bin Abdullah adalah berkenaan prinsip setiap pihak terikat kepada pliding. Namun kami dapati isu yang berbangkit tidak sama dengan isu yang menjadi pertikaian dalam kes ini. ...

[22] Persoalan bahawa fakta yang tidak diplidkan tidak boleh dibangkitkan sepanjang perbicaraan, kami dengan hormat bersetuju dengan prinsip asas yang ditegaskan oleh Peguam Perayu/Defendan. ... Dalam kes ini berdasarkan nota perbicaraan kami dapati tiada apa-apa bantahan di kemukakan oleh Perayu/Defendan sejurus selepas Responden/Plaintif memberi keterangan berkaitan ucapan hibah lisan arwah. ... Seharusnya pihak Perayu/Defendan membantah keterangan berkenaan fakta baru dengan segera kerana pihak-pihak di dalam perbicaraan tidak boleh di kejutkan dengan suatu dakwaan baru atau fakta baru yang mereka tidak ada peluang membela diri atau menafikannya.

[26] Kesimpulan kami, walaupun prinsip amnya fakta baru tidak boleh di bangkitkan sepanjang perbicaraan apabila tidak diplidkan, namun apabila tidak ada bantahan oleh pihak yang satu lagi, malah ada bukti pihak yang satu lagi menjawab secara lisan kemudian dari itu semasa peringkat kes mereka, fakta tersebut boleh dipertimbangkan oleh hakim dalam membuat keputusan. Kami boleh mengatakan bahawa keadaan-keadaan yang sedemikianlah menjadi kecualian kepada prinsip am tersebut. ...’

Namun begitu kes Abdul Ghani bin Abdul Kadir & seorang lagi v Arpah binti Kadir di atas [lihat para 28 hingga 30 di mukasurat 320-321] mengakui bahawa ‘fakta yang dijadikan sandaran oleh Plaintif dan menunjukkan kausa tindakannya’ hendaklah diplidkan jika tidak maka pihak itu akan hilang kausa tindakannya. Oleh itu kita dapat katakan juga bahawa jika Defendan gagal memplidkan fakta sandaran pembelaannya dan menunjukkan kausa pembelaannya maka pembelaan yang tidak diplidkan itu tidak boleh digunakan sepanjang perbicaraan. Dalam kes Abdul Ghani ini tuntutan adalah tuntutan hibah maka fakta material dakwaan yang diperlukan adalah fakta-fakta berlakunya hibah. Jika Plaintif tidak menyatakan fakta-fakta itu dan Mahkamah tidak mempunyai gambaran apakah kausa tindakan Plaintif serta menimbulkan tandatanya adakah Plaintif menuntut wasiat atau waqf atas harta arwah dan lebih malang jika tuntutan Plaintif keatas harta arwah menjadi tidak berasas sama sekali dan kehilangan kausa tindakan. Dalam kes Abdul Ghani ini apa yang penting ialah fakta ujudnya transaksi hibah harta arwah kepada Plaintif. Manakala fakta berkenaan bentuk hibah samada bertulis atau lisan bukanlah fakta-fakta yang boleh menunjukkan kausa tindakan. Bentuk atau cara hibah dibuat lebih merupakan fakta sampingan yang boleh di nyatakan dalam pliding atau tidak, jika ada.

Dikatakan juga oleh kes tersebut bahawa fakta yang dimaksudkan oleh seksyen 63 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah itu ialah : ‘fakta-fakta jika tidak dinyatakan, mahkamah atau pihak Defendan gagal merumuskan apakah kausa tindakan Plaintif dalam sesuatu kes ataupun pernyataan tuntutan itu sendiri menjadi tidak sempurna.’

Sebagai rumusan saya bependapat bahawa kes Abdul Ghani bin Abdul Kadir & seorang lagi v Arpah binti Kadir di atas ini adalah jelas untuk menjawab persoalan mengenai prinsip bahawa ‘pihak-pihak terikat dengan plidingnya dan Mahkamah hanya membuat keputusan berdasarkan pliding yang di kemukakan’.

Persoalan Kedua:

Apa yang perlu diplidkan sebagai fakta material di dalam Pliding-Pliding berkaitan prosiding kes mut’ah.

Tuntutan mut’ah adalah diperuntukkan di bawah seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pahang) 2005. Maka butiran dan fakta material yang perlu diplidkan adalah mengenai kausa tindakan atau kausa pembelaan yang terkandung serta tertakluk kepada seksyen tersebut. Fakta-fakta itu hendaklah mengandungi isu elemen-elemen atau unsur-unsur yang terdapat di dalam seksyen itu sendiri.

Seksyen itu memperuntukkan:

"58. Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak."

Maka isu/elemen dalam kes tuntutan sedemikian itu adalah:

-   Samada pihak-pihak atau pasangan itu telah bernikah dengan sah menurut peruntukkan Enakmen Undang Keluarga Islam 2005 – maka perlu di berikan butiran pernikahan mereka oleh Plaintif.
-      Samada pihak-pihak itu telah bercerai dengan sah menurut peruntukkan Enakmen Undang Keluarga Islam 2005 – maka perlu di berikan butiran perceraian mereka oleh Plaintif.
-      Samada perempuan itu telah diceraikan oleh Defendan tanpa sebab yang patut di sisi Hukum Syarak.
-      Berapakah jumlah wang mengikut Hukum Syarak yang wajar dan patut di bayar oleh suami kepada isteri itu  - maka perlu diplidkan fakta bagi menunjukan keujudan/ketidakujudan kedudukan mengenai perkara berikut: kesenangan suami, kesusahan suami, keturunan isteri dan sifat isteri itu yang merupakan kriteria berdasarkan hukum Syarak kerana:

فإن تنازعا قدرها القاضى بقدر حالهما من يساره وإعساره ونسبها وصفتها

Maksud: “Sekiranya berlaku perselisihan mengenai kadar mutaah yang patut dibayar oleh suami kepada isterinya, maka hakim hendaklah bertindak sebagai penentu kadar mutaah itu berdasarkan kriteria-kriteria berikut, kesenangan suami, kesusahan suami, keturunan isteri dan sifat isteri itu”.

-      Tambahan kepada diatas Defendan hendaklah memplidkan terdapatnya faktor-faktor hilang kelayakan atau gugurnya hak menuntut mut’ah, jika kausa pembelaan sedemikian ujud dan Defendan ingin menjadikan alasan dan sandaran dalam pembelaan atau pertikaiannya.

Dalam posting yang lain pula saya akan membincangkan persoalan Pliding secara lebih khusus.

Sementara itu, kenapa seksyen 58 mempunyai rangkaikata berikut di awal ayatnya: Selain daripada haknya untuk memohon nafkah ...’. [Secara ringkasnya perkataan ‘nafkah’ di dalam seksyen itu lebih menjuruskan kepada nafkah semasa dalam tempoh iddah perceraian. Nafkah sedemikian ini di gelar sebagai ‘nafkah iddah’]. Maka sehubungan dengan itu timbul persoalan berikut:

Apakah rangkaikata tersebut bermaksud bahawa jika sekiranya perempuan itu tiada hak menuntut nafkah maka beliau tidak boleh menuntut bayaran mut’ah? 

Di sisi syarak seseorang isteri yang diceraikan itu tidak layak menuntut atau mendapatkan nafkah iddah sekiranya beliau telah melakukan ‘nusyuz’ yakni ’penderhakaan’ kepada suaminya. Begitu juga jika haknya kepada nafkah iddah telah beliau gugurkan/ibra’kan selepas berlakunya perceraian, maka dalam situasi ini nafkah itu tidak boleh didapatkan semula. Apakah sehubungan dengan itu maka hak si isteri itu untuk mendapatkan bayaran mut’ah itu telah hilang, tiada ujud ataupun telah gugur?

Saya berpandangan bahawa rangkaikata Selain daripada haknya untuk memohon nafkah ...’ dalam seksyen 58 itu sepatutnya tidak perlu di sebut/di masukkan samasekali dalam seksyen itu kerana ‘nafkah’ dan mut’ah adalah dua perkara yang berlainan. Sebagaimana yang telah di nyatakan di dalam posting peringkat awal blog ini, ‘mut’ah’ adalah mut’ah manakala nafkah adalah suatu perkara yang lain walaupun konsep mut’ah itu bermaksud lebih kearah menghampiri konsep nafkah. Ia bukannya pemberian saguhati ex-gratia semata-mata tetapi mempunyai konsep/hikmah dan tujuan tertentu serta merupakan suatu tanggungjawab bagi orang bertaqwa sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah 2:241 yang bermaksud: Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat mut’ah (pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.’

Di mukasurat 766 dalam kitab berjudul Kitab Fikah Mazhab Syafie Jilid 4 Pustaka Salam [terjemahan dari kitab Al Fiqhul Manhaji ‘Ala Mazhabil Imam as-Shafie karangan Dr Mistofa al-Khin, Dr Mustofa al-Bugha dan Ali ash-Sharbaji]  di nyatakan bahawa:

‘Hikmat disyariatkan mut’ah ialah untuk mengambil hati isteri yang telah diceraikan sewaktu dia meninggalkan kehidupan bersuami, meringankan bebanan dan kesusahan disebabkan perpisahan dan mengubati perasaan sakit hati dan rasa benci yang memuncak hasil daripada perceraian tersebut.’

Wassalam.